Sabtu, 6 Januari 2018

PANDUAN DAN KRITERIA KARANGAN CEMERLANG 2018

           Penulisan karangan amat penting ke arah Kecemerlangan mata pelajaran Bahasa Melayu kerana kertas Bahasa Melayu 1 (1103/1) SPM menghasilkan 130 markah. Bahagian A kertas Bahasa Melayu 1, karangan berpandu memperuntukkan 30 markah dan Bahagian B, karangan pilihan berdasarkan dimensi menyumbangkan 100 markah. Banyak coretan saya berkaitan bahagian soalan kertas BM1, saya coretkan selama ini dan insya Allah, dalam kesempatan ini saya, coretkan lagi kriteria karangan Cemerlang kertas karangan berkenaan. Diharapkan pelajar Kelas 5 Sains, Kelas 4K1 dan 4K2 SMK Seri Londang boleh mengambil kesempatan merujuk kriteria karangan cemerlang yang saya maksudkan, dan jika mampu saya akan memasukkan Jadual Pengembangan Idea Karangan untuk bahagian Perenggan Pengenalan, Perenggan Isi dan Perenggan Penutup.

             Sebagai peringatan kepada pelajar, untuk menghasilkan karangan kertas BM 1, bukan boleh setakat membaca karangan terbaik hasilan rakan sebaya, membaca daripada buku, menghafal karangan, tetapi perlu dipraktikkan dengan menghasilkan karangan berdasarkan usaha pelajar sendiri. Namun, sebagai pengukuhan ke arah menghasilkan karangan cemerlang program menyalin karangan amat penting, terutama untuk melihat bagaimana pelajar cemerlang dapat menghasilkan karangan yang baik. Oleh sebab itu, amat penting pelajar memahami kriteria karangan cemerlang, terutama dengan faham kriteria karangan cemerlang akan memandu pelajar memilih karangan terbaik sahaja semasa melaksnakan program menyalin, di samping dengan kriteria berkenaan pelajar akan dipandu untuk menghasilkan karangan cemerlang atas atau A+.

    *** Pengolahan dan huraian isi karangan perlu matang dan  memperlihatkan pertautan antara idea..

     Karangan cemerlang atas memerlukan kematangan semasa mengarang, terutama semasa mengolah dan mengembangkan huraian isi, serta diikuti dengan contoh dan terdapat unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) terutama membuat ulasan sebab dan akibat berkaitan. Kemahiran mengarang dan kematangan mengarang hanya akan terhasil dengan latihan yang kerap serta mendapat bimbingan guru. Bahkan juga, seorang pelajar perlu mempunyai perbendaharaan kata yang luas atau mampu menyelitkan istilah menarik serta mahir menggunakan penanda wacana semasa memulakan isi karangan, atau ayat baru semasa menghurai dan mengembang isi karangan. Pelajar mampu memperoleh markah cemerlang dengan usaha yang berterusan dan saya tegaskan lagi perlu mendapat bimbingan daripada guru mata pelajaran Bahasa Melayu anda kerana hanya jauhari mengenal manikam.

      Bagaimana untuk menghasilkan karangan cemerlang? Terdapat pelbagai cara dan kaedah digunapakai oleh seseorang guru untuk membimbing murid menghaslkan karangan cemerlang. Antara kaedah yang saya gunapakai dengan menggunakan jadual pengembangan idea perenggan pengenalan, perenggan isi dan perenggan penutup. Murid mungkin kehairanan apabila rakan-rakan mereka mampu menghasilkan perenggan karangan yang panjang dan seimbang?

KAEDAH MENGARANG MENGGUNAKAN JADUAL PENGEMBANGAN IDEA  KARANGAN

         Karangan cemerlang memerlukan pelajar menghasilkan perkembangan dan pengolahan hurain isi secara harmoni, ibarat aliran air sungai yang tenang dan mendamaikan hati pembaca atau dalam peperiksaan lebih tepat kepada pemeriksa kertas. Oleh sebab itu, murid perlu memastikan karangan yang dihasilkan dapat memuaskan hati pemeriksa untuk terus membaca karangan berkenaan bermula daripada perenggan pengenalan hinggalah ke perenggan penutup kerana impresion seseorang pemeriksa akan menentukan markah karangan anda sama ada dalam skop markan cemerlang, baik mahupun sederhana. Diharapkan dengan adanya Jadaul Pengembangan Idea Karangan akan mampu membantu pelajar menghasilkan karangan cemerlang.

MODUS OPERANDI JADUAL PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN PENGENALAN

PERKARA
PENERANGAN
LAGU/ AYAT QURAN/KATA-KATA PEMIMPIN, BERITA, DAN RUJUK JENIS-JENIS PENGENALAN YANG PERNAH SAYA TULIS DALAM BLOG INI.


BAHAGIAN INI, PELAJAR PERLU MEMILIH PENGENALAN YANG SESUAI, MANTAP, DAN DAPAT MEMBERI KESAN KEPADA IMPRESION PEMERIKSA.
AYAT RANGSANGAN  1
AYAT DIBINA UNTUK MERANGSANG PEMERIKSA TERUS MEMBACA DAN AYAT RANSANGAN 1 PELAJAR MENGAITKAN PENGENALAN DENGAN FOKUS/TEMA KARANGAN.
 Membina ayat rangsangan dengan kata tanya  apa berkaitan fokus 
/tema pengenalan yang dipilih?
AYAT RANGSANGAN  2
AYAT RANGSANGAN KEDUA- MENERUSKAN RANGSANGAN DAN MINAT PEMERIKSA MEMBACA PERENGGAN. PELAJAR TERUS MENJELASKAN AYAT RANGSANGAN 1 BERKAIT DENGAN FOKUS/TEMA.
( Bijaksana Memilih Penanda Wacana- Membina ayat rangsangan 2 dengan kata tanya mengapa - fokus/ tema?
AYAT RANGSANGAN  3
MENERUSKAN RASA MINAT  PEMERIKSA TERHADAP KARANGAN PELAJAR DAN PELAJAR MENGEMBANGKAN FOKUS/TEMA
( Bijaksana Memilih Penanda Wacana- Membina ayat rangsangan 3 dengan kata tanya  bagamana - fokus/ tema?
FRASA MENARIK
PEMERIKSA TERPEGUN DENGAN FRASA MENARIK YANG DITULIS PELAJAR, SAMA ADA PERIBAHASA, KATA-KATA PEMIMPIN, PETIKAN AL QURAN, DAN SEBAGAINYA
Peribahasa Melayu ada mengatakan/ Kata-kata pemimpin tuliskan nama/ Firman Allah ……………………………………….. ulaskan sedikit. Frasa menarik boleh berada di mana-mana pada ayat pada perenggan pengenalan. Pelajar yang bijaksana boleh menyelitkan lebih satu frasa menarik pada perenggan pengenalan.

UNSUR KBAT
KESAN DAN AKIBAT- TAJUK ATAU TEMA SECARA UMUM
Sekiranya…………………………….. kesan/akibatnya…………………………….
Unsur KBAT, merupakan kematangan pelajar selain menyusun atur ayat rangsangan secara kronologi dalam pengembangan idea dalam perenggan pengenalan.

AYAT ARAHAN
MENULIS  AYAT TUGASAN / PERSOALAN -BERDASARKAN TAJUK DIPILIH
Persoalannya, bagaimanakah…….tema/tajuk karangan…….
Berfungsi sebagai penegasan terhadap tema/ arahan soalan.

JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI  (UMUM)

TEMA/ KATA KUNCI ISI
PELAJAR MENULIS KATA KUNCI / ATAU ISI- YANG HENDAK DITULIS
( APA  ISI YANG HENDAK DIPERKATAKAN)
AYAT HURAIAN 1
AYAT HURAIAN ISI.
(MENGAPA- TENTANG ISI)
PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH PENANDA WACANA SESUAI  UNTUK MEMULAKAN AYAT HURAIAN 1:-
AYAT HURAIAN 2
AYAT HURAIAN ISI SETERUSNYA
( BAGAIMANA – ISI TERSEBUT BERLAKU ATAU TERJADI)
PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH PENANDA WACANA SESUAI  UNTUK MEMULAKAN AYAT HURAIAN 2.
AYAT HURAIAN 3
AYAT HURAIAN ISI SELANJUTNYA.
(KENAPA – BERKAITAN KETERANGAN ISI SELANJUTNYA )
PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH PENANDA WACANA SESUAI  UNTUK MEMULAKAN AYAT HURAIAN 3.
AYAT CONTOH
AYAT CONTOH- PERLUNYA PELAJAR BANYAK MEMBACA UNTUK MENGAITKAN ISI DENGAN CONTOH SEMASA (KEMATANGAN)
PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH PENANDA WACANA SESUAI  UNTUK MEMULAKAN AYAT CONTOH.
UNSUR KBAT
SEBAB DAN AKIBAT-  JIKA BERLAKU----JIKA TIDAK…….KESANNYA……..
PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH PENANDA WACANA SESUAI  UNTUK MEMULAKAN AYAT
FRASA MENARIK
PEMERIKSA TERPEGUN DENGAN FRASA MENARIK YANG DITULIS PELAJAR, SAMA ADA PERIBAHASA, KATA-KATA PEMIMPIN, PETIKAN AL QURAN, DAN SEBAGAINYA.
SEKIRANYA PELAJAR BIJAK- FRASA MENARIK BOLEH DISELIT DI MANA-MANA RUANG PADA JADUAL PENGEMBANGAN ISI PERENGGAN
AYAT  ARAHAN
TEGASKAN SEMULA ISI TEMA
KONKLUSINYA/SUDAH TELAH TERANG BERSULUH /JELASNYA / TEGASNYA…………..TULIS SEMULA ISI YANG DIFOKUS PADA PERMULAAN TEMA PERENGGAN ISI PERTAMA



JADUAL  PERENGGAN PENUTUP KARANGAN

Ayat Penyimpul
Konklusinya, ( Penekanan kepada tajuk/ tema)

Ayat cadangan
Apa……cadangan/ sama ada mengulang isi  pada setiap perenggan atau masukkan cadangan lain
Ayat huraian cadangan
Huraikan kenapa pentingnya......tema?
Ayat huraian mengapa
Cadangan diutarakan
Huraikan bagaimana - tema dengan lebih lanjut ?
Unsur KBAT
Kesan dan akibat - Sekiranya/ Jika.........tajuk dan kesan atau implikasinya.

Frasa menarik
Selitkan peribahasa/ Kata-kata pemimpin/ petikan ayat Al Quran atau hadis dsb.

Ayat harapan
Apa harapan anda terhadap tajuk/tema

Semoga, Jadual Pengembangan Idea Karangan di atas dapat membantu pelajar menghasilkan karangan cemerlang.

CONTOH HASILAN PENGGUNAAN JADUAL PENGEMBANGAN IDEA KARANGAN

LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN  BIDANG SUKAN NEGARA


LAGU/ AYAT QURAN/
DSB
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,
………………………………………………………

AYAT RANGSANGAN  1
Lirik lagu  Negaraku meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati saya sebagaI seorang warganegara Malaysia.
AYAT RANGSANGAN  2
Begitu juga diharapkan lagu ini akan memancarkan semangat patriotisme kepada individu, atau masyarakat.
AYAT RANGSANGAN  3
Seyogia sebagai warganegara yang sayang akan negara, kita perlu berkorban apa sahaja aktiviti yang kita lakukan contohnya dalam bidang sukan.
FRASA MENARIK
Harimau mati meninggal meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
AYAT RANGSANGAN
Para atlet ternama negara seperti Allahyarham Mohtar Dahari, Dato’ Nicol  Ann David,  Dato’ Misbun Sidek, Dato’ Lee Chong Wei dan banyak lagi altet negara telah banyak mewarnai sukan negara terutama untuk memartabatkan negara agar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara terbilang dalam acara sukan.
UNSUR KBAT
Sekiranya atlet-atlet negara di atas tidak melakar nama negara di mata dunia, sudah pasti nama negara tidak akan dikenali oleh masyarakat dunia.
AYAT ARAHAN
Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk memajukan sukan negara kerana mutu sukan negara kita ada kalanya pasang dan ada kalanya surut.

JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI PERTAMA

 Kata Kunci Isi
Pada hemat saya, antara langkah untuk  memajukan bidang sukan di negara kita adalah dengan menyediakan imbuhan kepada atlet sukan yang telah berjaya dalam karier mereka sebagai atlet bertaraf dunia.
Ayat huraian 1
Hal ini demikian kerana  dengan adanya imbuhan lumayan atau insentif tersebut para atlet akan lebih bersungguh-sungguh mempertajam kemahiran mereka untuk berhadapan atlet-atlet besar dunia.

Ayat huraian 2
Oleh itu, adalah tidak salah jika atlet-atlet yang telah mencurahkan keringat dan berjaya dipersadana dunia diberi imbuhan setimpal dengan jasa dan bakti mereka menggugat dan mengatasi jaguh-jaguh atlet sukan ternama dunia.
Ayat huraian 3
Kini, atlet negara kita amat disegani oleh atlet dunia terutama dalam permainan badminton, squash, acara larian sukan paralimpik, acara terjun lompat anjal, lompat kijang dan sebagainya kerana mereka telah membuktikan bahawa mereka setaraf dengan jaguh bertaraf dunia yang lain.


Ayat contoh
Tamsilnya, atlet paralimpik negara seperti Latif Romli yang telah menggegarkan dunia, bukan sahaja memecah rekod atlet dunia dalam acara lompat kijang, malahan memecahkan rekod sendiri di Stadium Olimpik Reode Janeiro, Brazil. Diikuti pula nama seperti  Ziyad Zolkefli memecah rekod acara lontar peluru dan Muhamad Ridzuan Mohamad Puzi menjadi johan dalam acara lari 100 meter, perkembangan terbaru ini membanggakan warga negara Malaysia dan menambahkah sinar  Kontijen Sukan Paralimpik Negara.
Unsur KBAT
Sekiranya, insentif ini tidak diberi sudah pasti mutu sukan negara tidak akan setaraf dengan perkembangan sukan negara maju. Malahan untuk kita melihat lebih ramai anak bangsa berjaya dalam bidang sukan agak sukar.
Frasa menarik
Peribahasa Melayu ada mengatakan jauh perjalanan luas pemandangan.
Ayat  penegas
Benarlah bahawa menyediakan imbuhan yang lumayan kepada atlet dapat memajukan bidang sukan negara.


JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI KEDUA

Tema/ Kata Kunci Isi
Peningkatan prestasi ahli sukan juga dipengaruhi oleh peningkatan latihan secara intensif.

Ayat huraian 1
Hal ini demikian kerana melalui latihan intensif  menyebabkan  ahli sukan dapat meningkatkan kemahiran dalam bidang sukan yang diceburi justeru, mutu sukan negara pasti akan lebih meningkat.

Ayat huraian 2
Bahkan juga, dengan latihan intensif akan meningkatkan jumlah pingat yang diperoleh dalam kejohanan yang disertai.

Ayat huraian 3
Peningkatan latihan juga dapat melahirkan atlet yang berkualiti yang setaraf dengan atlet antarabangsa.

Ayat contoh
Sebagai contoh, menghantar atlet negara menjalani latihan bersama atlet daripada negara luar.

Unsur KBAT
Sekiranya atlet tidak melakukan latihan yang mencukupi, serta didedahkan dengan latihan intensif menggunakan kepakaran pakar sukan luar negara yang terkenal menggunakan pendekatan saintifik semasa sesi latihan.

Frasa menarik
Peribahasa ada mengatakan , jauh perjalanan luas pemandangan, begitulah hakikatnya dengan atlet yang mendapat latihan di luar negara. banyak ilmu dan pendedahan kemahiran sukan yang mereka terima selama mana mereka berada di sana.

Ayat  penegas
Sudah terang lagi bersuluh, bahawa latihan intensif yang banyak turut menyumbang kepada kemajuan bidang sukan negara.

JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI KETIGA

Tema/ Kata Kunci Isi
Dalam pada itu, atlet sewajarnya didedahkan ke dalam kejohanan yang bertaraf antarabangsa turut menyumbang kepada langkah memajukan bidang sukan di negara kita.
Ayat huraian 1
Pendedahan kepada atlet dalam kejohan bertaraf antarabangsa akan meningkatkan pengalaman atlet akan bertambah
Ayat huraian 2
Hal ini disebabkan, atlet negara akan berkongsi pengalaman dengan atlet negara lain.

Ayat huraian 3
Imej negara juga akan meningkat apabila penglibatan atlet negara kita dalam pertandingan yang bertaraf antarabangsa contohnya, sukan Olimpik dan ASEAN.

Ayat contoh
Tamsilnya, pendedahan dalam kejohanan  antarabangsa kepada saudara Ziyad menyebabkan Malaysia memperoleh pingat emas dalam sukan yang menjadi perhatian seluruh dunia iaitu Sukan Paralimpik di Brazil

Unsur KBAT
Seadainya, kerajaan tidak memberi pendedahan kepada para atlet, nescaya para atlet negara kita akan mempunyai masalah dalam bidang pengurusan dan Teknik dalam kejohanan yang dianjurkan.

Frasa menarik
Benarlah kata Tun Dr. Mahathir Mohamad ‘sekiranya kita sanggup menghadapi risiko  dan bersikap berani, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh berjaya’.

Ayat  penegas
Natijahnya, kerajaan sewajarnya berani mengambil risiko demi kejayaan atlet negara


JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI  KEEMPAT

Tema/ Kata Kunci Isi
Seterusnya, usaha penyediaan prasarana sukan di peringkat negara, negeri, daerah, dan kampung perlu diberi keutamaan.

Ayat huraian 1
Prasarana sukan amat penting untuk kegunaan masyarakat kerana dengan adanya kemudahan berkenaan di semua lokasi strategik sama ada di peringkat negara, negeri, daerah dan kampung, memudahkan masyarakat mengunjunginya.

Ayat huraian 2
Oleh sebab itu, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Luar Bandar perlu memberi perhatian terhadap prasarana sukan untuk masyarakat bukan saha tertumpu di bandar, malah juga di luar bandar.

Ayat huraian 3
Hal ini kerana, dengan adanya prasarana serta kelengkapan sukan berkenaan masyarakat boleh menggunakan kemudahan tersebut untuk beriadah tidak kira di mana mereka berada.

Ayat contoh
Sebagai contoh, setiap kampung kini telah dibina gelanggang futsal yang selalu digunapakai remaja kampung.

Unsur KBAT
Sekiranya usaha sebegini dilakukan secara berterusan, sudah pasti usaha untuk memajukan sukan negara akan sampai ke akar umbi iaitu melibatkan masyarakat keseluruhan, sama ada mereka tinggal di bandar mahupun kampung.

Frasa menarik
 Sila lengkapkan.

Ayat  penegas
  Sila lengkapkan.





JADUAL  PERENGGAN PENUTUP KARANGAN

Ayat Penyimpul
Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh kerajaan perlu berusaha untuk meningkatkan mutu sukan negara agar kejayaan sukan negara terserlah dan digeruni masyarakat dunia.

Ayat cadangan
Seyogia, usaha untuk membina dan meningkatkan prasarana sukan, latihan secara intensif, pemberian insetif sukan kepada atlet sukan berjaya di peringkat antarabangsa merupakan antara inisiatif untuk memajukan sukan negara.

Ayat cadangan
Usaha-usaha yang lebih proaktif perlu diberikan keutamaan seperti menggunakan kepakaran pelatih professional dari luar negara antara cadangan yang perlu diutamakan oleh Majlis Sukan Negara dan Kementerian, Belia dan Sukan.

Ayat cadangan
Oleh sebab itu, pihak kerajaan perlu menyuntik lebih banyak budget berbentuk kewangan untuk meningkatkan mutu sukan negara agar keperluan atlet seperti prasana latihan dan kebajikan atlet sentiasa terjaga.

Frasa menarik
Kita tidak mahu usaha untuk memajukan sukan negara hanya ibarat hangat-hangat tahi ayam atau sudah terhantuk baru tergadah untuk memajukan sukan negara kerana didapati mutu sukan negara sentiasa jauh ketinggalan berbanding mutu sukan negara maju dunia.

Unsur KBAT
Sekiranya usaha untuk memajukan mutu sukan negara, sudah pasti ranking sukan negara berada di bawah negara Asia yang lain , apatah lagi negara jika dibandingkan mutu sukan negara terhebat dunia seperti Australia, Jepun, Amerika dan Rusia.
Ayat harapan
Diharapkan dengan usaha berterusan pihak bertanggungjawab untuk memajukan mutu sukan negara, atlet Malaysia akan dapat meyaingi atau duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju dunia.


Insya Allah, saya akan cuba mencoretkan perbezaan karangan berpandu bahagian A dan karangan pilihan pelbagai dimensi. bahagian B, Kertas Bahasa Melayu 1 (1103/1). Selain itu, saya akan cuba mencoretkan keperluan pelajar memilih penanda wacana dan frasa untuk memulakan setiap perenggan pengenalan, perenggan isi dan penutup.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima Kasih Cikgu atas tips karangan ini. Sangat berguna untuk anak saya yg akan menduduki SPM tahun ini. Boleh tak cikgu kongsikan senarai topik-topik / tema-tema karangan yang mesti dibuat oleh pelajar sebagai persediaan SPM 2018.

Saya ada soalan tentang panduan cikgu ini :
"Namun, sebagai pengukuhan ke arah menghasilkan karangan cemerlang program menyalin karangan amat penting, terutama untuk melihat bagaimana pelajar cemerlang dapat menghasilkan karangan yang baik"
Program menyalin karangan maknanya salin contoh karangan yg cemerlang? Saya setuju dengan cara ini sebagai ulangkaji pelajar sendiri. Tetapi bagaimana pula jika cikgu suruh murid menyalin contoh karangan semasa pengajaran di kelas? Adakah ini efektik dan dapat membantu pelajar? Ini dipraktikkan di sekolah swasta yg anak saya kini belajar.

Selain itu, saya juga ingin minta nasihat cikgu tentang syllabus karangan SPM. Di mana saya boleh cari guidelene dari KPM utk karangan minimum yg patut diajar disekolah.

Tahun ini, anak saya belajar di sebuah sekolah swasta. Tetapi saya rasa latihan karangan, komsas, tatabahasa dll adalah sangat kurang. Berbanding daripada sekolah kerajaan tahun lalu, hampir setiap minggu ada homework karangan. Tetapi di sekolah swasta ini so far ada 6 karangan sahaja. Jadi, berapakah jumlah karangan yg patut diajar di sekolah sebeleum exam SPM?

Maaf cikgu, saya tanya banyak soalan. Harap cikgu dapat terangkan.
May God Bless You!
Terima Kasih, Prita Murthi - Kuala Lumpur

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Sama-sama. Sebagai makluman Pn. Pritha Murthi, saya ingin mengucapkan tahniah atas keprihatinan Puan terhadap perkembangan pelajaran anak puan terutama melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu. Sebagai makluman, menyalin karangan terbaik bukanlah faktor utama pelajar dapat mengukuhkan kemahiran mengarang tetapi sekadar contoh kepada pelajar untuk berkongsi maklumat bagaimana pelajar cemerlang dapat menghasilkan karangan dengan pendedahan bagaimana untuk menghasilkan perkembangan idea untuk penulisan perenggan pengenalan, perenggan isi dan perenggan penutup. Selian itu, semasa mengarang perenggan isi pelajar didedahkan cara memilih kaedah pengenalan yang sesuai kerana pemilihan pengenal mampu menarik minat pemeriksa. Selain itu banyak kemahiran binaan ayat yang perlu dikuasai oleh pelajar bukan untuk perenggan pengenalan, tetapi juga untuk perenggan isi, dan juga begitu juga perenggan penutup. Sebagai kesimpulannya, menyalin karangan terbaik sekadar peranggsang kepada pelajar contoh bagaimana untuk menghasilkan karangan terbaik.
Sebagai makluman puan, aktiviti mengarang semasa dalam kelas merupakan aktiviti paling penting untuk memantapkan karangan pelajar melalui bimbingan guru. Selain itu, pelajar juga perlu mengembangkan isi dalam kumpulan kerana ketika ini pelajar boleh berkolaborasi atau bekejasama menghasilkan karangan menarik. Selain itu, pelajar juga boleh meneruskan penghasilan karangan sebagai kerja rumah kerana, di rumah pelajar boleh merujuk internet untuk mendapatkan idea dan mengembangkan karangan. Banyak laman bahasa Melayu boleh menjadi rujukan pelajar sama ada untuk menguasai kemahiran mengarang, tatabahasa, komsas novel.
Berdasarkan soalan Puan berkaitan tema karangan, sebanarnya tema karangan banyak, tetapi dalam karangan kertas bahasa Melayu 1, ada dua karangan yang perlu ditulis pelajar, pertama bahagian A karangan berpandu yang wajib dijawab pelajar dengan markah 30 markah. Bahagian B, pelajar perlu menjawab lima pilihan soalan 1. Dimensi Diri 2. Dimnesi Keluarga/ Masyarakat 3. Dimensi Negara. 4. Dimensi Antarabngsa dan 5. Dimensi KOMSAS. Kebiasaannya pelajar kerap memilih karangan 1. Dimensi Diri dan 2. Dimnesi keluarga/ Masyarakat kerana penulisan lebih mudah berbanding dimensi yang lain. Untuk tema, sebenar sukar saya nak bincang di sini kerana temanya terlampau luas. Untuk pengetahuan fokus kertas Bahasa Melayu 2, puan boleh minta anak puan rujuk dalam Laman Bahasa Melayu saya atau laman bahasa Melayu yang lain di internet. Semoga penjelasan saya ini dapat membantu puan a]dan anak puan.

Tanpa Nama berkata...

Terima Kasih cikgu kerana mengambil masa untuk menerangkan soalan saya. Saya sangat menghargainya. May God bless you and your family.
Prita Murthi - KL