Isnin, 29 Januari 2018

SOALAN LATIHAN RUMUSAN KELAS 4K1, 4K2, DAN KELAS 5 SAINS

Soalan 1 : Rumusan ( Soalan Percubaan Melaka 2016 )

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah menderma darah dan langkah-langkah menggalakkan orang ramai menderma darah. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Derma darah amalan mulia yang bukan hanya dapat memupuk nilai baik dalam diri, tetapi paling penting turut membantu menyelamatkan nyawa. Malangnya di negara kita, amalan ini kurang mendapat sambutan terutama daripada golongan muda. Menyedari kepentingan amalan itu, Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan masyarakat menderma darah bagi memastikan bekalan di Bank Darah sentiasa mencukupi. Antara langkah tersebut ialah tarikh 14 Jun diisyitiharkan sebagai Hari Derma Darah Sedunia. Namun hakikatnya, kempen menderma darah masih kurang mendapat sambutan dan tidak memenuhi jumlah keperluan darah yang diperlukan. Hal ini disebabkan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan menderma darah, selain kurang maklumat dan pendedahan mengenai menderma darah. Malah, sambutan Hari Derma Darah Sedunia tidak diuar-uarkan untuk disambut sebagai menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menderma darah. Melalui amalan derma darah, bukan sahaja penerima darah menerima kelebihan bahkan terbukti bahawa penderma juga dapat kelebihan dengan menderma darah.

Antara kelebihan menderma darah ialah penderma dapat melahirkan satu perasaan yang sangat menggembirakan apabila berjaya menolong doktor menyelamatkan nyawa orang lain. Selain itu, derma darah secara konsisten dapat mengurangkan risiko kanser termasuk kanser hati, paru-paru, colon, perut dan tekak. Amalan derma darah juga dapat mengurangkan jumlah zat besi yang berlebihan di dalam badan dan dapat menghindarkan risiko sakit jantung. Sebelum setiap proses menderma darah bermula, seseorang penderma akan melalui beberapa pemeriksaan kesihatan percuma. Secara tidak langsung, hal ini dapat membantu mereka mengdiagnosis sebarang penyakit pada peringkat awal sebelum penyakit tersebut makin teruk. Bersama-sama dengan pemeriksaan kesihatan, para penderma akan menerima dan mengetahui analisis darah serta jenis darah secara percuma. Kalau sendiri pergi ke klinik atau hospital untuk mengetahui jenis darah atau analisis darah, sudah tentu kena bayar.

Setiap kali seseorang menderma darah, sebanyak 640 Kcal akan hilang. Hal ini boleh membantu seseorang dalam proses untuk mengurangkan berat badan. Di samping itu, perasaan gembira mendapat pek percuma seperti makanan, minuman, t-shirt dan sijil, amat baik untuk sistem imun di dalam badan. Derma darah juga membolehkan penderma untuk mengisi semula bekalan darah, membantu badan penderma berfungsi dengan lebih cekap dan dapat bekerja secara produktif. Oleh itu, usaha orang ramai untuk menderma darah amatlah dihargai. Namun anda layak untuk menderma darah sekiranya anda seorang penderma yang berisiko rendah iaitu tidak memudaratkan diri sendiri dan darah yang anda derma itu tidak tercemar dengan virus penyakit-penyakit yang boleh berjangkit menerusi pemindahan darah.
Tuntasnya, menderma darah merupakan satu amalan sukarela yang terpuji dan tidak ternilai sumbangannya. Keinginan untuk menderma darah perlulah wujud dalam diri setiap individu tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak. Malah setiap orang haruslah mengganggap bahawa menderma darah adalah satu tanggungjawab diri dan mendermanya tanpa diundang.
(Dipetik dan diubah suai daripada
‘Derma Darah Kurang Dapat Sambutan Golongan Muda’
The Borneopost.com, 2015)
ISI TERSURAT DITANDAKAN DENGAN WARNA KUNING.

Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata secara konsisten.                                               [2 markah]
   
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa punca Kempen Derma Darah tidak mendapat sambutan masyarakat.

­­­­­­­­­­­­­­­­­­­Nyatakan punca-punca tersebut.                                                                          [3 markah
        
(iii) Masyarakat kita terutamanya golongan muda kurang berminat untuk menderma darah.

Pada pendapat anda, apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh media massa untuk menggalakkan masyarakat kita terutama golongan muda menderma darah?
              [4 markah]


PANDUAN MERUMUS TEKS:-

1.       Kemahiran memulakan pengenalan:-
      Di bawah disenaraikan frasa yang boleh digunakan untuk memulakan pengenalan rumusan:-

1. Petikan memperkatakan......
2. Petikan menyentuh...
3. Petikan berkaitan...
4. Petikan membincangkan...
5. Petikan mengenai...

6. Rumusan menerangkan..
7. Rumusan menghuraikan..
8. Rumusan menjelaskan
9. Rumusan membicarakan....


** Murid perlu membezakan binaan ayat pengenalan rumusan sekiranya kata awalan 
     digunakan:-
               1.  Petikan.
               2.  Rumusan
     Sila rujuk coretan sebelumnya.

     2.    KEMAHIRAN MEMBINA PERENGGAN PENGENALAN RUMUSAN
      *PELAJAR PERLU TAHU ISTILAH KATA KUNCI PERTAMA DAN MENGUBAH ISTILAH BERKENAAN:-

BIL
ISTILAH
ISTILAH SAMA ERTI
1
Sebab-sebab
punca-punca, faktor-faktor, potensi
2
Langkah-langkah
usaha-usaha, cara-cara, tindakan-tindakan, cadangan-cadangan, teknik, modus operandi, inisiatif, pendekatan, strategi, mekanisme
3
Masalah
kekangan, penghalang, karenah, batasan,  kerumitan, kesulitan
4
Faedah-faedah

keperluan,   kepentingan, kesan-kesan positif, kebaikan, manfaat, kelebihan, kemaslahatan, afdal, kepentingan, keistimewaan.
5
Kesan-kesan
akibat, keburukan, impak, implikasi, natijah
6
Ciri-ciri
sifat-sifat, kriteria, fungsi
7
Cadangan
usul,  pendapat, pandangan,
8
Peranan
fungsi,  tanggungjawab, tugas, kewajipan
9
Tujuan
matlamat, objektif
10
Panduan
pedoman, petunjuk

i)   Kemahiran membina perenggan pengenalan rumusan.
     Isi bahagian frasa pemulaan , perubahan istilah dan penambahan frasa berdasarkan teks di
     atas.

Frasa permulaan
Fokus Pertama Dengan Mengubah Istilah/ Kata
Kata hubung/
Kata sendi
Fokus kedua

Petikan teks membincangkan

                 ( 1 markah )
……………. menderma darah

di/ dalam
                           ( 1 markah )
di negara kita / di Malaysia/
dalam kalangan masyarakat.

Petikan teks memperkatakan
                 ( 1 markah )
…………….menderma darah
dan
                        ( 1 markah )
……………………….. menggalakkan orang ramai menderma.

iv)   Kemahiran menulis perenggan penutup.
       Cuba isi jadual binaan perenggan penutup rumusan di bawah berdasarkan teks di atas.


Kata Kesimpulan
Frasa Cadangan/ Pihak terlibat
Kata hubung
Frasa harapan

Konklusinya



agar / supaya


Peringatan, binaan perenggan penutup rumusan perlu dalam satu ayat, justeru, binaan perenggan penutup perlu dalam format sedemikian, Kata kesimpulan + frasa cadangan (selitkan pihak terlibat) + kata hubung ( agar/supaya) + frasa harapan). Elakkan daripada menulis dua ayat pada ayat penutup rumusan.

Contoh :  Konklusinya, Kementerian Kesihatan Malaysia perlu menyedarkan masyarakat kepentingan menderma darah agar bilangan kematian dalam kalangan pesakit dapat dikurangkan.


CADANGAN ISI TERSIRAT:-

1.  Kementerian Kesihatan Malaysia boleh melaksanakan kempen mendema darah.
2.  Media massa sama ada bercetak atau elektronik boleh menyiarkan rencana berkaitan kebaikan
     menderma darah ke dalam media mereka.
3.  Syarikat swasta boleh memberi saguhati kepada penderma darah untuk menggalakkan mereka             menderma darah.
4.  Ibu bapa perlu menggalakkan ahli keluarga menderma darah.
5.  Persatuan Belia perlu sentiasa menyedarkan ahli-ahli mereka untuk menderma darah.

SEMOGA ANDA DAPAT MENGHASILKAN
RUMUSAN YANG BAIK.

Tiada ulasan: