PELAJAR TING 4 DAN 5 SMK SERI LONDANG PERLU MENYALIN KARANGAN CEMERLANG SEMINGGU SEKALI. PELAJAR BEBAS MEMILIH KARANGAN SENDIRI MENGIKUT DIMENSI SAMA ADA DIMENSI DIRI, DIMENSI KELUARGA/ MASYARAKAT, DIMENSI ANTARABANGSA DAN DIMENSI KOMSAS. DI DALAM BLOG INI, SAYA JUGA AKAN MENYELITKAN SATU KARANGAN BERDASARKAN DIMENSI YANG DITETAPKAN
TAJUK KARANGAN MINGGU INI - DIMENSI DIRI ( 26/1/2018 - 1/2/2018)
BUKU KARANGAN PERLU DIKUMPULKAN PADA SETIAP HARI KHAMIS UNTUK
SEMAKAN GURU.
Latihan 1:
Seorang rakan anda telah terlibat
dengan gejala sosial yang serius sehingga rakan anda itu mengabaikan pelajarannya.
Huraikan usaha-usaha yang dapat
anda lakukan untuk membantu rakan anda itu.
Baru-baru ini, seorang rakan sekelas saya telah terlibat
dengan gejala sosial yang serius. Rakan saya tersebut kerap memonteng kelas,
terlibat dengan aktiviti vandalisme dan sering tidak hadir ke sekolah. Sebenarnya rakan
saya ini seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Namun,
guru-guru di sekolah berasa hairan kerana sejak akhir-akhir ini rakan saya itu
sering mengabaikan pelajarannya. Sebagai seorang sahabat, saya bertanggungjawab
untuk membantu rakan saya itu supaya dia
insaf bak kata pepatah sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Saya berharap, usaha-usaha yang saya
lakukan itu akan menyedarkan rakan saya tentang tanggungjawabnya sebagai
seorang remaja dan sebagai seorang pelajar kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Jika saya gagal menangani masalah rakan saya ini, saya bimbang masalahnya
bertambah kronik dan boleh mengakibatkan
dirinya ketinggalan dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha
yang boleh saya lakukan untuk membantu rakan saya itu?
Usaha pertama yang boleh saya lakukan untuk membantu rakan saya
itu adalah dengan menasihatinya supaya tidak terjebak dalam kancah gejala
sosial. Saya akan mengingatkan sahabat impak sekiranya rakan
saya itu terlibat dengan gejala sosial. Saya akan menyedarkan rakan saya akan
tanggungjawabnya sebagai seorang anak agar tidak menghampakan harapan ibu
bapanya. Rakan saya perlu sedar bahawa dia pernah mencapai kecemerlangan dalam
akademik dan pernah menerima anugerah pelajar terbaik PMR. Saya berharap
nasihat-nasihat saya itu dapat menyedarkan rakan saya dan rakan saya akan
berubah sikap serta insaf akan kesalahan yang dilakukan sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya
saya tidak bertindak daripada sekarang untuk menyedarkan kesilapannya, saya bimbang
masalah rakan saya akan bertambah parah. Saya tidak mahu rakan saya berasa menyesal
pada kemudian hari kerana apabila terhantuk baru terngadah sudah tidak berguna lagi.
Tegasnya, sebagai seorang rakan sejawat, saya perlu menasihatinya supaya tidak terjebak
dalam kancah gejala sosial dan saya berharap saya dan rakan saya tersebut berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal kami hadapi pada hujung tahun ini.
Selain itu, saya juga akan berjumpa dengan kedua-dua ibu
bapa rakan saya itu dan memberitahu
mereka tentang pembabitan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berbuat
demikian kerana kemungkinan ibu bapa rakan saya itu tidak tahu tentang
penglibatan anak mereka dalam kegiatan yang tidak sihat di sekolah. Saya
berharap, ibu bapa rakan saya itu dapat mengambil berat tentang masalah yang
dihadapi oleh anak mereka. Besar kemungkinan, faktor kekurangan kasih sayang
daripada kedua-dua ibu bapa merupakan faktor utama menyebabkan rakan saya
terjebak dalam gejala sosial. Apabila ibu bapa rakan saya sudah mengetahui
masalah anak mereka, saya berharap ibu bapa rakan saya dapat memberikan sepenuh
perhatian dan kasih sayang serta merungkai permasalahan rakan saya. Ibu bapa
rakan saya mungkin akan lebih bertanggungjawab dan mengadakan perbincangan
dengan anaknya untuk mengetahui
masalah-masalah yang dihadapi. Saya sedar
tindakan saya lakukan bukan bermakna saya menjaga tepi kain orang tetapi demi masa
depan rakan karib saya tersebut saya perlu melakukannya. Jelasnya, tanggungjawab saya untuk memberitahu ibu bapa rakan
saya itu diharapkan dapat membantu rakan saya untuk kembali ke pangkal jalan.
Di samping itu, saya akan mengajak rakan saya untuk
berjumpa dengan guru kaunseling untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling.
Saya akan memberitahu guru kaunseling tentang penglibatan rakan saya dalam
gejala sosial. Saya berharap guru kaunseling dapat membantu dan membimbing
rakan saya dengan menasihatinya supaya berubah sikap. Sesi kaunseling ini amat
penting kerana menerusi sesi kaunseling, diharapkan rakan saya itu akan sedar
dan insaf tentang perbuatannya yang
salah selama ini. Rakan saya juga dapat mengenali identiti diri dan bermotivasi
untuk berubah apabila guru kaunseling memberi nasihat dan dorongan kepada rakan
saya itu. Saya juga berharap, rakan saya dapat membina keyakinan diri dan
menyedari betapa pentingnya pembinaan sahsiah diri dan akhlak dalam kalangan
remaja sebagai benteng supaya tidak mudah terpengaruh oleh rakan sebaya yang
tidak sihat. Tegasnya, menerusi sesi kaunseling ini, rakan saya sebagai remaja
dapat menginsafi dan menyedari peranannya sebagai remaja yang mewarisi pewaris
kepimpinan negara pada masa hadapan. Hujatul Islam Imam
Al-Ghazali dalam bukunya ’Ihya’ Ulumuddin’ mengatakan bahawa sekiranya kita ingin melihat masa depan
remaja maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri
remaja, maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, jika buruk diri remaja maka
buruklah masa depan negara. Konklusinya, saya akan mengajak rakan saya untuk
berjumpa dengan guru kaunseling untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling agar
masalahnya dapat diatasi.
Seterusnya, saya akan mengajak rakan saya itu
menyertai program-program yang berfaedah untuk membina sahsiah dan jati diri. Saya akan membawa rakan saya
menghadiri majlis-majlis ilmu seperti program yang berunsurkan agama dan
motivasi diri. Sebagai contoh, saya akan mengajak rakan saya menghadiri ceramah
agama, Majlis Tazkirah, kelas mengaji al-Quran, Kem Bina Insan dan
Kecemerlangan Diri. Menerusi majlis ilmu yang dihadiri itu, saya berharap rakan
saya akan insaf dan lembut hatinya serta menyesal dengan apa yang pernah
dilakukannya selama ini. Menerusi Kem Kecemerlangan Diri dan Bina Insan pula,
rakan saya pasti membina keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk berubah
terutamanya dalam proses pembentukan minda dan akhlak terpuji. Hasil daripada
pergaulan dengan rakan-rakan yang baik dalam majlis-majlis ilmu itu, rakan saya
itu dapat membezakan dan mengenali antara rakan yang baik dengan rakan yang
tidak baik. Sekiranya saya berjaya menyemai amalan menyertai program pembentukan sahsian dan jati diri tersebut,
sudah pasti rakan saya itu tidak akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang rosak akhlaknya dan dia juga tahu menghargai masa kerana masa itu emas. Tegasnya, saya akan berusaha mengajak
rakan saya itu menyertai program-program yang berfaedah yang boleh membentuk jati diri dan melahirkan insan terpuji.
Akhir sekali, saya juga akan sentiasa membantu rakan saya
dalam pelajaran. Saya akan mengajak rakan saya menghadiri kumpulan
perbincangan. Saya juga akan membantu rakan saya menerangkan tajuk-tajuk bagi memahami
topik-topik pelajaran yang ketinggalan selama ini. Saya akan mengajak rakan
saya mengulang kaji pelajaran di perpustakaan dan mencari rujukan serta berbincang tentang topik-topik yang kurang
difahami kerana perpustakaan merupakan gedung ilmu. Saya juga akan mengajak rakan saya
menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan di sekolah atau di luar sekolah. Bahkan
juga, saya akan menasihati rakan saya tentang kepentingan pelajaran dalam
kehidupan. Tanpa
pelajaran, masa depan seseorang itu gelap. Pada masa yang sama, saya
akan mengajak rakan-rakan yang lain untuk membantu dan sudi mengadakan
perbincangan dengan rakan saya ini. Tujuan saya berbuat demikian adalah untuk memastikan rakan saya benar-benar insaf dan
tidak mengabaikan pelajaran. Sudah terang lagi bersuluh, pentingnya saya membantu
rakan saya dalam pelajarannya kerana dia seorang pelajar yang pintar.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan
bahawa usaha membantu rakan yang terlibat dalam gejala sosial adalah sesuatu
yang murni dan perlu diteruskan. Saya berharap, usaha yang saya lakukan ini
dapat membantu rakan saya supaya tidak melibatkan diri dalam gejala sosial.
Saya juga berharap, rakan saya benar-benar insaf dan bertanggungjawab terhadap
masa hadapannya dan tidak menconteng arang ke muka ibu bapanya. Rakan saya juga
perlu sedar bahawa sekiranya dia tidak berubah, tidak ada sesiapa pun yang akan
membantunya untuk berubah. Sebagai remaja, rakan saya perlu mempunyai jati diri
agar tidak mudah dipengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Tegasnya,
rakan saya perlu berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan kerana pepatah Melayu mengatakan rajin
dan usaha tangga kejayaan dan yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang
melayang.
1 ulasan:
karangan yang padu
Catat Ulasan