Isnin, 22 Januari 2018

FOKUS PENGEMBANGAN ISI KARANGAN MENGGUNAKAN JADUAL PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN ISI (KELAS 4K1 - 25/1/201 DAN 4K2 -22/1/2018)

Alhamdulillah, pelajar 4K1 dan 4K2 telah diperkenalkan dengan Kaedah Pengembangan Idea Perenggan Karangan secara umum. Pada minggu ini saya akan membimbing pelajar menghasilkan Perenggan Isi Kedua, Ketiga, Keempat dan Kelima. Disamping itu, pelajar akan saya perkenalkan secara lebih dekat perbezaan Format Karangan Berpandu ( Rangsangan bergambar ) Soalan 1 (a) dan Karangan Dimensi ( Karangan Pilihan ) Soalan 1 (b) Kertas Bahasa Melayu 1 (1103/1)

Kepada pelajar Kelas 5 Sains, sila ikuti coretan saya di bawah sebagai memperingat format soalan Kertas Bahasa Melayu 1 (1103/1). Semoga, pelajar akan faham dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan SPM 2018. Insya Allah.



CONTOH  SOALAN KARANGAN BAHASA MELAYU KERTAS 1 ( SPM 2017)

KARANGAN SOALAN 1 (A), KARANGAN BERPANDU WAJIB DIJAWAB OLEH PELAJAR


KARANGAN SOALAN 1 (B), KARANGAN DIMENSI  MERUPAKAN SOALAN PILIHAN
PELAJAR DIBERI PILIHAN UNTUK MENJAWAB SATU KARANGAN DARIPADA LIMA
DIMENSI KARANGAN YANG DIKEMUKAN PADA KERTAS SOALAN
s

DI BAWAH MERUPAKAN PERBEZAAN KERTAS SOALAN 1(a) dan SOALAN 1(b)
PELAJAR PERLU FAHAM PERBEZAAN KEDUA-DUA SOALAN

     Peringatan: Karangan cemerlang memerlukan kematangan pelajar semasa mengolah dan mengembangkan huraian karangan dengan baik serta bijak memilih penanda wacana sesuai agar setiap ayat dan perenggan isi menampakkan pertautannya. Maksudnya pelajar yang bijak dapat mengaitkan isi sebelum dan selepa semasa mengarang, serta menampakkan pengembangan isi dalam perenggan dan pertalian ayat demi ayat yang dibina.
   


PEMARKAHAN KARANGAN BERPANDU
(SOALAN 1 (a)
KERTAS BAHASA MELAYU 1 ( 1103/1)
MARKAH
PERINGKAT MARKAH
CEMERLANG ( 26-30)
ATAS          (28  - 30 )
BAWAH      ( 26 - 27 )
KEPUJIAN ( 20-25)
ATAS          (23  - 25 )
BAWAH      (20  -  24)
MEMUASKAN ( 15-19)
ATAS          (17  -  19 )
BAWAH      (15  -  16 )
KURANG MEMUASKAN
( 12- 14)
ATAS          (12  -  14 )
BAWAH      (10  -  11  )
PENCAPAIAN MINIMUM
( 01-  09)
ATAS          (06 -  09 )
BAWAH      (01  -  05 )


PEMARKAHAN KARANGAN DIMENSI (SOALAN 1 KARANGAN PILIHAN
  MARKAH
PERINGKAT MARKAH
CEMERLANG
( 90-100)
ATAS          (90  - 100 )
BAWAH      ( 80 -   89 )
KEPUJIAN
( 66-79)
ATAS          (73  -  79 )
BAWAH      (66   -  72)
BAIK
( 51-65)
ATAS          (58  -  65 )
BAWAH      (51  -   57 )
MEMUASKAN
( 36- 50)
ATAS          (43  -  50 )
BAWAH      (36  -  42 )
KURANG MEMUASKAN
( 36- 50)
ATAS          (28  -  35 )
BAWAH      (21  -   27 )
PENCAPAIAN MINIMUM
( 01- 20)
ATAS          (11  -   20 )
BAWAH      (01 -    10 )


PERBINCANGAN PADA MINGGU KETIGA, MENJURUS KEPADA CARA UNTUK
MENGHASILKAN PERENGGAN PENGENALAN, PERENGGAN ISI DAN PENUTUP
SECARA UMUM DAN HASILNYA SEPERTI DI BAWAH:-

PERENGGAN PENGENALAN

PERKARA
PENERANGAN
PENGENALAN JENIS LAGU
Ibu bergenang air mataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian


AYAT RANGSANGAN  1
Lirik lagu  Nasyid Aeman di atas memang meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati saya kerana bait-bait lagu tersebut mengingatkan saya kepada kedua-dua yang tersayang.
AYAT RANGSANGAN  2
Jasa insan  bergelar ibu dan  bapa banyak berbakti kepada saya dan tidak termampu untuk saya membalas jasa yang dicurahkan oleh mereka selama ini, kerana jasa ibu bapa tiada kesudahannya kecuali mereka sudah tiada di alam fana ini.
AYAT RANGSANGAN  3
Oleh sebab itu, saya haruslah menjaga nama baik ibu bapa  semasa mereka masih hidup lagi dan jika mereka sudah tiada semuanya sudah tidak berguna.
FRASA MENARIK
Ibu dan bapa merupakan nahkoda yang mengendalikan bahtera rumah tangga dan mereka sentiasa mengharapkan rumah tangga yang dibina bahagia.
UNSUR KBAT
Sekiranya,saya gagal membantu mereka mewujudkan rumahku, syurgaku, sudah pasti mereka akan berasa sedih dan menangisi kegagalan mereka membina keluarga bahagia.

AYAT ARAHAN
Persoalannya, apakah cara-cara untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapa saya?

PERENGGAN ISI

TEMA/ KATA KUNCI ISI
Sebagai seorang anak,  saya boleh membalas jasa baik mereka dengan menjaga imej ibu bapa di mata masyarakat.
AYAT HURAIAN 1
Sehubungan  dengan  itu, saya perlu mempamerkan imej dan  perlakuan yang baik  semasa berkomunikasi dengan masyarakat.
AYAT HURAIAN 2
Seyogia, tingkah laku saya pamerkan perlu disenangi masyarakat dan saya perlu berhati-hati untuk tidak menimbulkan perasaan tidak senang hati mereka terhadap diri saya.
AYAT HURAIAN 3
Sebagai seorang anak, saya faham saya merupakan permata dalam keluarga dan hanya dengan sedikit kesilapan saya lakukan akan mencoreng arang di muka mereka.
AYAT CONTOH
Sebagai contoh, saya akan sentiasa hormat terhadap jiran-jiran, guru-guru, serta kenalan ibu bapa saya terutama semasa berbicara dengan mereka.
FRASA MENARIKPepatah Melayu ada mengatakan, akibat nila setitik habis binasa susu sebelanga, justeru, saya perlu sentiasa berhati-hati dan menjaga nama baik ibu bapa saya setiap masa.
 UNSUR KBAT
Sekiranya, saya sentiasa menjaga imej keluarga saya sudah pasti mereka akan dipadang tinggi oleh masyarakat.
AYAT  PENEGASAN
Tegasnya, sebagai seorang anak saya perlu membalas jasa baik mereka dengan menjaga imej ibu bapa di mata masyarakat.

          
PERENGGAN PENUTUP

Ayat Penyimpul
Konklusinya, sebagai seorang anak, saya perlu membalas jasa baik kedua-dua  ibu bapa saya.
Ayat cadangan
Sebagaimana saya jelaskan dibahagian isi, saya perlu membalas jasa baik ibu bapa saya,  antaranya saya perlu belajar dengan bersungguh-sungguh, sentiasa menjaga imej mereka, menjaga mereka ketika sakit, dan membawa mereka melancong ke tempat menarik apabila saya telah bekerja dan mempunyai pendapatan yang tetap.
Ayat huraian cadangan
Hal ini kerana, ibu bapa amat sensitif terutamanya ketika mereka sudah berumur atau tua dan biarlah saya menjadi benih yang baik, dicapak ke laut menjadi pulau, dilontar ke udara menjadi kejora, dan dicapak ke bumi menjadi penawar.
Ayat huraian mengapa
Cadangan diutarakan
Oleh sebab itu, saya sebagai seorang anak perlu membalas jasa kedua-dua ibu bapa saya sebelum mereka menghembuskan nafas mereka.
Unsur KBAT
Sekiranya saya dapat membalas jasa ibu saya berdasarkan kemampuan saya, sudah pasti mereka akan gembira dan saya turut berkongsi kegembiraan tersebut.

Frasa menarik
Tambahan pula saya sedar, ibu bapa sayalah  mencorak kehidupan saya kerana saya ibarat kain putih bersih dan mereka mencorak keindahan kain tersebut.
Ayat harapan
Akhir kalam, saya berdoa agar saya diberi ruang untuk membalas jasa baik ibu bapa saya dan saya ingin melihat mereka sentiasa gembira meneruskan sisa-sisa kehidupan yang masih ada.
         
 FOKUS PERBINCANGAN PADA 22/1/2018- MENGHASILKAN PERENGGAN ISI KARANGAN UNTUK MELENGKAPKAN KARANGAN BERTAJUK. SEBAGAI SEORANG ANAK BERTANGGUNG JAWAB, TULISKAN CARA-CARA UNTUK MEMBALAS JASA BAIK IBU BAPA ANDA.

Antara isi yang telah disenaraikan pada minggu lepas:-

                         a)   belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dalam pelajaran.
                         b)   sentiasa patuh kepada arahan dan nasihat ibu bapa.
                         c)   memilih rakan sebaya agar dapat mengelakkan daripada terjerumus melakukan
                               gejala sosial
                         d)   menghantar ibu bapa ke Mekah untuk mengerjakan ibadah haji.
                         e)   membeli rumah untuk keselesaan ibu bapa.
                         f)   menjaga ibu bapa ketika mereka menghadapi dugaan seperti menghidapi
                               penyakit.
                         g)   membeli makanan berkhasiat dan makanan tambahan untuk kesihatan.
                         h)   sentiasa menziarahi ibu bapa ketika ada masa senggang.
                         i)    membawa ibu bapa melancong ke tempat-tempat menarik.
                         j)    menjaga nama baik ibu bapa dan mengelakkan mencoreng arang di muka mereka.

Kenapa perenggan isi amat penting dalam sesebuah karangan:-

PERENGGAN    ISI   SAMA      FUNGSINYA    SEPERTI  JANTUNG     MANUSIA
PERENGGAN KARANGAN SAMA PENTINGNYA SEPERTI JANTUNG MANUSIA. PERENGGAN ISI YANG MANTAP DAPAT MENGHASILKAN KARANGAN BERMUTU.

Setiap kumpulan pelajar diminta memilih satu isi dan mengembangkan isi berkenaan dengan menggunakan Jadual Pengembangan Isi yang diedarkan. 

JADUAL PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN ISI KARANGAN
  
PERENGGAN ISI ( KUMPULAN  PERTAMA )
 NAMA:....................................................                                                         TARIKH:.....................

TEMA/ KATA KUNCI ISI
Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, saya juga akan memastikan kesihatan ibu bapa saya sentiasa terjaga.
AYAT HURAIAN 1
Hal ini kerana ibu bapa saya sentiasa mengutamakan kesihatan saya daripada umur setahun jagung hinggalah saya dewasa.

AYAT HURAIAN 2
Mereka sanggup bersengkang mata dari malam hari hinggalah ke waktu pagi tanpa mengendahkan masa tidur mereka hanya untuk memastikan kesihatan saya sentiasa terjaga.

AYAT HURAIAN 3
Seyogia, tanggungjawab saya pada ketika ini untuk membalas jasa mereka dengan mengambil berat kesihatan mereka pula.

AYAT CONTOH
Sebagai contoh, saya akan memastikan makan minum mereka terjaga, dan saya akan memastikan kebersihan diri mereka sempurna sebagai mana mereka melayan saya ibarat menantang minyak yang penuh.

FRASA MENARIKPepatah Melayu ada mengatakan, seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak tetapi sebaliknya sepuluh orang anak tidak semestinya mampu menjaga seorang ibu.

 UNSUR KBAT
Sekiranya saya mampu menjaga kesihatan ibu bapa saya sudah pasti mereka akan terhidar daripada menghidap penyakit yang kronik yang boleh menyebabkan nyawa mereka terancam.

AYAT PENEGASAN
Sudah terang lagi bersuluh, sebagai seorang anak yang bertanggungjawab saya akan sentiasa menjaga kesihatan ibu bapa saya pada setiap masa.

          
JADUAL PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN ISI KARANGAN
  
PERENGGAN ISI ( KUMPULAN KEDUA )
 NAMA:....................................................                                                         TARIKH:.....................

TEMA/ KATA KUNCI ISI
Sekiranya saya sudah bekerja, saya akan membalas jasa ibu bapa saya dengan membelikan mereka sebuah rumah yang selesa untuk mereka.
AYAT HURAIAN 1
Sebagaimana kita sedia maklum, kedua-dua ibu bapa kita tidak mementingkan kepentingan diri mereka dan mereka sentiasa mengutamakan keselesaan anak mereka terlebih dahulu.

AYAT HURAIAN 2
Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang amat memilukan saya terutama untuk menyediakan makan minum, wang saku, pakaian seharian dan persekolahan  saya merupakan keutamaan mereka.

AYAT HURAIAN 3
Mereka langsung tidak memperdulikan sama ada untuk membelikan pakaian baru sebagaimana dipakai oleh orang lain, makan makanan sebagaimana dinikmati oleh orang berada, cuma apa yang berada di kotak pemikiran mereka untuk melihat saya gembira dan hidup selesa sebagai mana kehidupan rakan-rakan seumur dengan saya.

AYAT CONTOH
Oleh sebab itu, sekiranya saya berjaya dalam pelajaran dan menjawat jawatan tinggi, saya akan menyediakan ibu bapa saya tempat tinggal yang selesa dengan perkakasan rumah yang lengkap seperti telivisyen, peti ais, kerusi meja, dan juga kelengkapan aksesori rumah yang menarik.

FRASA MENARIKSaya ingin melayan mereka sebagaimana seorang khadam melayan seorang raja dan permaisurinya agar mereka menikmati kehidupan yang kondusif dan bahagia.

 UNSUR KBAT
Sekiranya, saya mampu membelikan rumah yang selesa untuk mereka, sekurang-kurangnya saya dapat membalas jasa mereka yang tidak ada tepiannya.

AYAT  ARAHAN
Sudah terang lagi bersuluh, keutamaan saya adalah untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk mereka agar mereka hidup bahagia.

       
JADUAL PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN ISI KARANGAN
  
PERENGGAN ISI ( KUMPULAN KETIGA)
 NAMA:....................................................                                                         TARIKH:.....................

TEMA/ KATA KUNCI ISI
Bahkan juga, sebagai seorang anak yang dilahirkan dengan didikan agama, saya akan cuba melengkapkan rukun Islam terakhir dengan  mengerjakan ibadah umrah atau haji bersama-sama ibu bapa saya.
AYAT HURAIAN 1
Tiada yang mustahil sekiranya niat baik ini saya tanam di hati mulai saat ini dan apabila cukup syarat dan kemampuan kewangan saya mantap, saya akan membawa mereka menunaikan ibadah umrah atau haji.

AYAT HURAIAN 2
Sudah pasti ibu bapa saya akan gembira dengan niat saya ini kerana mereka pasti tidak akan meminta untuk saya melakukannya agar saya tidak terbeban dengan kos yang tinggi untuk merealisasikan hasrat ini.
AYAT HURAIAN 3
Namun saya pasti sekiranya saya berusaha semua akan terlaksana kerana usaha tangga kejayaan.

AYAT CONTOH
Saya akan memulakan hasrat saya ini apabila saya bekerja dengan masukkan wang ke dalam akaun simpanan Tabung Haji mereka sekurang-kurangnya RM 50.00 sebulan bak kata peribahasa Melayu sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

FRASA MENARIKOleh sebab, peribahasa telah diselitkan pada ayat sebelumnya, pelajar tidak perlu menulis frasa menarik di bahagian ini tetapi pelajar yang bijak akan menyelitkan lagi peribahasa di rungan ini.

 UNSUR KBAT
Sekiranya saya dapat menyimpan wang ke dalam akaun Tabung Haji ibu bapa sya bermula dari awal lagi, saya akan pasti ibu bapa saya akan dapat mengerjakan ibadah umrah atai haji.

AYAT  PENEGASAN
Tegasnya, sebagai seorang anak, saya akan cuba untuk memastikan kedua-dua ibu bapa saya dapat menunaikan ibadah umrah atau haji untuk melengkapkan tuntutan rukun Islam yang didambakan oleh setiap bergelar muslim.

       
JADUAL PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN ISI KARANGAN
  
PERENGGAN ISI ( KUMPULAN KEEMPAT)
 NAMA:....................................................                                                         TARIKH:.....................

TEMA/ KATA KUNCI ISI
Bahkan juga, sekiranya saya mampu, saya akan membawa ibu bapa saya melancong ke tempat-tempat manarik yang ada di negara kita.
AYAT HURAIAN 1
Hal ini kerana, saya ingin melihat ibu saya gembira dan membawa mereka ke tempat menarik di negara kita kerana jauh perjalanan, luas pandangan.

AYAT HURAIAN 2
Selain ibu bapa saya dapat melancong, saya akan dapat merapatkan ukhwah saya dengan mereka.

AYAT HURAIAN 3
Apabila saya dapat membawa mereka melancong, saya akan dapat memenuhi masa senggang mereka dengan aktiviti yang berfaedah.

AYAT CONTOH
Sebagai contoh, saya akan membawa mereka melawat Bangunan KLCC, Masjid Negara, serta membawa mereka ke pusat beli belah dan memberi peluang untuk mereka membeli pakaian, makanan dan apa saja yang diinginkan oleh mereka.

FRASA MENARIKSaya pasti ibu bapa saya akan sentiasa mendoakan kesajahteraan hidup saya dan saya sedar di bawah telapak kaki ibu saya ada syurga.

 UNSUR KBAT
Jika saya berjaya membawa ibu bapa saya melancong, saya akan dapat membalas jasa ibu bapa saya dan mewujudkan keluarga bahagia kerana
 ' rumahku syurgaku."

AYAT  PENEGASAN
Kesimpulannya, saya akan membawa ibu bapa saya melancong  ke tempat-tempat menarik apabila ada waktu senggang.
       
SEBAGAI MAKLUMAN, CONTOH KARANGAN DI ATAS HANYA SEBAGAI CADANGAN DAN SAYA PASTI PELAJAR MEMPUNYAI IDEA YANG LEBIH KRITIS DAN KREATIF
    

SEMOGA SETIAP KUMPULAN DAPAT MENGHASILKAN PERENGGAN ISI YANG
BERMUTU TINGGI.

( SMKSL EXCELLENT)

2 ulasan:

Unknown berkata...

izinkan saya berkongsi dengan pelajar saya ilmu cikgu yang berguna ini.
terima kasih

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Silakan. Saya memang mengizinkan perkongsian ilmu di dalam blog Laman Bahasa Melayu dan sekiranya ada pandangan dan teguran saya dengan ikhlas hati menerimanya kerana saya bukanlah insan sempurna. Doakan blog ini dapat memperkasakan Bahaya Melayu sebagai bahasa ibunda dan Bahasa Kebangsaan kita.