Sabtu, 7 Disember 2019

KATA PEMERI IALAH DAN ADALAH DAN FUNGSINYA DALAM PEMBINAAN AYAT

KATA PEMERI -   IALAH DAN ADALAH

Kata pemeri ialah kata tugas yang memerihalkan atau menghubungkan subjek dengan frasa-frasa utama dalam perdikat.  Terdapat dua jenis kata pemeri dalam bahasa Melayu, iaitu ialah dan adalah.  Penggunaan yang betul bagi kedua-dua kata pemeri ini baik dalam lisan dan tulisan sering diabaikan.   Sebenarnya tanggapan ini salah.  Menukar ganti kata pemeri dengan sewenang-wenangnya perlu diperbetulkan. 

KATA PEMERI ‘IALAH’

Kata pemeri  ‘ ialah ’ diletakkan di hadapan frasa nama bagi menjelaskan persamaan.  Contoh ayat:

1      Bunga Raya ialah bunga kebangsaan negara kita.
         [… ialah + frasa nama ‘bunga Raya ialah bunga kebangsaan Negara
         Malaysia]

2       Lelaki itu ialah Yusri.
          [… ialah + frasa nama ‘ Yusri ’ ]

3       Angin ialah udara yang bergerak.
         [… ialah + frasa nama ‘ udara yang bergerak ’]

Bagaimanapun, sebenarnya kata pemeri ‘ ialah ’ hanya bersifat pilihan atau dalam erti kata yang lain boleh digugurkan. 

Dalam erti kata lain, tanpa kehadiran ialah, ayat (1), (2) dan (3) yang dibina tetap gramatis:

i)   Bunga raya bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

ii)  Lelaki itu Yusri.

iii) Angin udara yang bergerak.

Namun yang demikian, bagi ayat yang lebih panjang, kehadiran kata pemeri ‘ ialah ’ dapat membantu meningkatkan  kefahaman kerana pemisahan antara subjek dengan predikat ayat adalah lebih jelas, seperti contoh berikut:

Lelaki yang baru saja memasuki dewan itu ialah Yusri.

Kata pemeri ‘ ialah ‘ tidak boleh ditulis di hadapan kata kerja kerana penggunaannya tidak gramatis

  
KATA PEMERI ‘ ADALAH ’

Kata pemeri ‘ adalah ’ diletakkan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama bagi menjelaskan sesuatu secara huraian, seperti contoh ayat berikut:

4.     Kepakaran beliau adalah dalam bidang komputer.
         [ … adalah + frasa sendi nama  ‘dalam bidang komputer ’]

5      Hadiah ini adalah untuk Nurul di sekolah.
        [… adalah + frasa sendi nama  ‘ untuk Nurul di sekolah ’]


6     Rupa-rupanya berita yang kita dengar selama ini adalah palsu.
        [… adalah + frasa adjektif  ‘palsu’]

Dalam konteks penggunaan bahasa Melayu baku, kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh digunakan di hadapan kata kerja atau frasa kerja, seperti berikut:

7     Adalah dimaklumkan bahawa cuti persekolahan akan bermula pada hari
       Isnin depan.  (SALAH)

       Dengan ini dimaklumkan bahawa cuti persekolahan akan bermula pada   
       hari Isnin depan.  (BETUL)

8    Amalan bergotong royong adalah merupakan amalan mulia.  (SALAH)

      Amalan bergotong royong merupakan amalan mulia.  (BETUL)

 Rumusannya, kata sendi  ‘ ialah ‘ dan ‘ adalah ‘ tidak boleh hadir sebelum kata kerja.

Namun begitu, kata pemeri ' adalah ' boleh ditulis sebelum kata kerja apabila disertakan kata sendi seperti  adalah kerana, adalah sebab, adalah untuk, dsb. 
Contoh ayat :  
  
i)    Matlamat utama gotong-royong adalah kerana kerja yang berat akan menjadi lebih 
      ringan apabila dilakukan secara bersama-sama.

ii)   Sumbangan derma itu dilakukan adalah untuk mengurangkan bebanan keluarga yang 
      malang itu.

 Cuba isikan tempat tempat  kosong di bawah ini dengan     kata   pemeri ialah atau adalah  yang sesuai.


 1.       Dr. Azhar yang berucap di perhimpunan sekolah ________           
           bekas   penuntut sekolah ini. 

2.       Penuntut perempuan yang jelita itu ___________ tunangan orang. 

3.       Tiada siapa yang menyangka dia  _________ sangat garang orangnya.

4.       Penyakit Hussein yang berjangkit itu _________ penyakit yang tiada
          penawarnya lagi.

5.       Matlamat mengadakan laman web Bahasa Melayu ________ untuk    
          memberi pengajaran yang lebih berkesan.

6.       Pasar serbanika itu yang dibuka di kawasan itu_____________ untuk
          kemudahan penduduk di situ.

7.      Rumah baru di hadapan rumah saya itu ________ milik Encik Mokhtar.

8.      Salah satu masalah remaja ________ tabiat membelanjakan wang
         dengan berlebihan.

Semoga dengan penerangan kata pemeri di atas, anda tidak lagi melakukan kesalahan penggunaan kata pemeri dalam binaan ayat.



Tiada ulasan: