Jumaat, 25 Januari 2019

NOTA TATABAHASA BERKAITAN KATA KERJA TRANSITIF (KKT) DAN KATA KERJA TAK TRANSITIF


NOTA TATABAHASA BERKAITAN KATA KERJA TRANSITIF (KKT) DAN KATA KERJA TAK TRANSITIF

 

Kesilapan menulis ayat menggunakan  kata kerja dengan betul sering berlaku dalam kalangan pelajar, sama semasa mengarang dan juga untuk menentukan kesalahan kata kerja dalam binaan ayat.Insya-Allah pada minggu hadapan saya akan menyentuh tatabahasa berkaitan kata kerja dalam bahasa Melayu. Diharapkan pelajar dapat membaca nota di bawah dan fahamkan sebelum PdPC berlangsung. ( Untuk pelajar Ting 4 Sains dan 5K1)

 

KATA KERJA

Kata kerja merupakan salah satu golongan kata yang digunakan untuk menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu. Kata kerja terbahagi kepada dua:

  v  Kata kerja transitif

  v  Kata kerja tak transitif

 

KATA KERJA TRANSITIF (KKT)

Kata kerja yang memerlukan objek atau penyambut yang terdiri daripada kata nama untuk melengkapkan maksud ayat.

KKT boleh dikenal pasti dengan imbuhannya iaitu:

(minum, makan) – tiada imbuhan

meN-...                      -             (mencangkul, menebang, memukul)

meN-...-I                   -              (menjalani, menghadiahi, menghadapi)

meN-...-kan               -             (melarikan, memasukkan, menjalankan)

memper-...                 -             (memperbesar, mempercantik, mempersuami, memperisteri)

memper-...-kan          -             (mempertingkatkan, mempertunjukkan)

memper-...-i              -              (memperdengari, memperingati)

 

KKT boleh dipasifkan. Contoh:

AYAT AKTIF

AYAT PASIF

Ah Moi sedang membasuh kain di dalam bilik air.

Kain sedang dibasuh oleh Ah Moi di dalam bilik air.

Pekerja-pekerja sedang memperlebar jalan raya.

Jalan raya sedang diperlebar oleh pekerja-pekerja.

Ibu menidurkan adik di dalam kamar.

Adik ditidurkan oleh ibu di dalam kamar.

Kami makan kentang goreng itu.

Kentang goreng itu kami makan.

Tuan Hakim menjatuhi pengedar dadah itu hukuman mati mandatori.

Pengedar dadah itu dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Tuan Hakim.

 

 

 

 

 

 

KATA KERJA TAK TRANSITIF (KKTT)

Kata kerja tak transitif (intransitif) ialah kata kerja yang sudah sempurna maknanya dan dapat berdiri sendiri dalam ayat. Oleh itu, KKTT tidak memerlukan objek atau penyambut untuk menyempurnakan maksudnya. KKTT tidak boleh dipasifkan.

KKTT boleh dikenal pasti melalui imbuhannya, contohnya adalah seperti yang di bawah ini.

 Tanpa imbuhan (pulang, pergi, duduk, mati, tidur, balik)  

  v  meN-...                (mengalir, meletup, menangis, membisu)

  v  ber-...                  (berbicara, bercadang, berbincang, berkereta)

  v   ter-...                   (terkeluar, terjatuh, terpelosok, tertarik)

  v  ber-...-an            (berguguran, bergandingan, berkibaran, bertaburan)

  v  ber-...-kan          (berselimutkan, bersuamikan, beristerikan, berbantalkan)

 

 

KKTT terbahagi kepada dua iaitu;

i.     KKTT tanpa pelengkap

ii.    KKTT berpelengkap

KKTT Tanpa Pelengkap -kata kerja yang boleh berdiri sendiri tanpa pelengkap.

Contoh:

Gadis itu asyik termenung.

Ayah dan ibu sedang berbicara.

Lori yang sarat dengan muatan batu itu terhumban.

KKTT di atas boleh diikuti oleh unsur keterangan yang berfungsi memberikan keterangan lanjut tentang ayat tersebut.

Contoh:

1. Si Dara itu asyik termenung di dalam kamar.

2. Hanif dan Nazimah sedang berbicara tentang pilihan raya.

3. Lori yang sarat dengan muatan batu itu terhumban ke dalam gaung yang dalam.

 

KKTT Berpelengkap

Kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap (terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata sendi nama) untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap tidak sama dengan objek atau penyambut kerana objek atau penyambut hadir selepas Kata Kerja Transitif yang boleh mengalami proses pasif. Ayat yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan.

Contoh:

1. Keadaan banjir sudah beransur surut.

2. Pasaran saham di Malaysia sudah bertambah baik.

3. Pengemis itu tidur berbantalkan lengan.

4. Ying Ying bercita-cita untuk menjadi arkitek.

5. Cikgu Zakiah tinggal di Kepala Batas.

6. Hampir lima tahun Mak Limah menetap di kampung ini.

 

Daripada perbincangan di atas, dapatlah kita rumuskan bahawa KKTT dan KKT mempunyai fungsi yang berbeza. Perbezaan ini dapat dilihat dengan jelas melalui frasa kerja tak transitif dan frasa kerja transitif.

 

Struktur Frasa Kerja Tak Transitif

 

Kata bantu

KKTT

Kata Sendi /adjektif

Kata Nama

sedang

bekerja

di

pejabat

ingin

berbincang

tentang

perkara

telah

terlupa

akan

nama rakannya

sudah

bertambah

kukuh

-

sudah

beransur

sembuh

-

telah

bersuamikan

-

orang kaya

telah

berpayungkan

-

daun pisang

 

 

Struktur Frasa Kerja Transitif

 

Kata Bantu

KKT

Objek atau Penyambut

telah

membincangkan

perkara

akan

memperbesar

rumah

sedang

menggilap

kasut

hendak

menunggang

motosikal

 

 

Kesalahan-kesalahan Kata Kerja.

1. Penggunaan KKT tanpa imbuhan.  Contoh ayat:

    Haji Naseer sedang pandang lukisan itu (X)

    Haji Naseer sedang memandang lukisan itu. (√)

 

2. Penggunaan kata sendi nama selepas KKT. Contoh ayat:

    Sharifah memahami akan kehendak adiknya. (X)

    Sharifah memahami kehendak adiknya. (√)

 

3. Penggunaan Kata Adjektif selepas KKT. Contoh ayat:

    Ahmad telah menendang kuat-kuat bola itu. (X)

    Ahmad telah menendang bola itu kuat-kuat. (√)

 

4. Penggunaan Kata sendi nama selepas KKTT. Contoh ayat:

    Cik Min akan berjumpa Cikgu Zue. (X)

    Cik Min akan berjumpa dengan Cikgu Zue. (√)

 

5. Penggunaan Kata sendi nama selepas KKTT berimbuhan ber-...-kan. Contoh ayat:

    Penculik itu bersenjatakan dengan sebilah pisau. (X)

    Penculik itu bersenjatakan sebilah pisau. (√)

 

6 . Tidak meletakkan kata sendi nama selepas KKTT tanpa imbuhan. Contoh ayat:

    Ayah tidak akan pulang rumah tengah hari ini. (X)

    Ayah tidak akan pulang ke rumah tengah hari ini. (√)

 


5 ulasan:

Unknown berkata...

Saya faham tentang kata kerja dan nota di atas

Unknown berkata...

Alhamdulillah Nora diatas ni mudah difahami Dan lengkap

Unknown berkata...

Sangat bermanfaat. Terbaik tuan. Mohon share. Syukran.

Tanpa Nama berkata...

tolong betulkan contoh ayat pasif dan ayat aktif dlm jadual tu..tertukar tu

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Terima kasih atas teguran berkenaan dan saya telah memperbetul kesalahan berkenaan. Saya juga memohon maaf kerana kesilapan contoh ayat aktif dan ayat pasif berkenaan telah berlaku pada tahun Januari 2019.