Apakah yang dimaksudkan karangan dimensi keluarga. Karangan dimensi keluarga bermaksud karangan yang penulisannya berfokus kepada peranan ibu dan bapa terhadap isu atau tema yang dikemukanan untuk keluarganya .
Semangat
kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan
peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Sebagai contoh, karangan di atas merupakan karangan dimensi keluarga yang menjurus kepada peranan atau tanggungjawab ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan ahli keluarga terutama anak-anak, justeru, penulisan karangan ini perlu memfokus kepada peranan ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan berkenaan.
Semasa menulis karangan berkenaan pelajar perlu menjelas dan menghuraikan peranan ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan tersebut. Sekiranya pelajar menulis peranan diri, atau peranan masyarakat semasa menulis karangan, karangan yang dihasilkan oleh pelajar telah lari daripada dimensi keluarga dan karangan berkenaan tidak akan dislotkan sebagai karangan cemerlang. Dengan kata lain, penulisan karangan lari dari dimensi yang diminta, impaknya karangan itu tidak akan dslotkan sebagai karangan cemerlang.
Sebagai contoh, karangan di atas merupakan karangan dimensi keluarga yang menjurus kepada peranan atau tanggungjawab ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan ahli keluarga terutama anak-anak, justeru, penulisan karangan ini perlu memfokus kepada peranan ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan berkenaan.
Semasa menulis karangan berkenaan pelajar perlu menjelas dan menghuraikan peranan ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan tersebut. Sekiranya pelajar menulis peranan diri, atau peranan masyarakat semasa menulis karangan, karangan yang dihasilkan oleh pelajar telah lari daripada dimensi keluarga dan karangan berkenaan tidak akan dislotkan sebagai karangan cemerlang. Dengan kata lain, penulisan karangan lari dari dimensi yang diminta, impaknya karangan itu tidak akan dslotkan sebagai karangan cemerlang.
Contoh karangan berfokus dimensi keluarga:-
.
Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga
menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan
kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup
berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam
kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta
mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama
individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa “Jiran Sepakat Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah
mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan
supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau
bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden,
semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat semakin meluntur. Oleh sebab itu, semua lapisan masyarakat terutamanya
ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar
diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat?
Menyedari
hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk
di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang
berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa
haruslah menyertai aktiviti
gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal
ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk
setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan
dilakukan. Apabila berkumpul dan
berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu
sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran
mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah
Melayu yang mengatakan bahawa “ tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh,
aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan
kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat
bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat
dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat
menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu
komuniti . Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama
untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan
aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain
itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada
anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri
sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’
atau ‘ ke bukit sama di daki, ke lurah
sama dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ untuk
mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan
keprihatinan terhadap jiran mereka..
Apabila mengambil berat akan hal-hal
jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil
tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang
dihadapi oleh jiran dan cuba membantu
mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini
demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan
menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat,
maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar
ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan
daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap
keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan
anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Sekiranya sifat dan amalan murni ini menjadi budaya kebanyakan ibu bapa sudah pasti masyarakat setempat akan hidup dalam keadaan aman damai ibarat cubit peha kiri, peha kanan terasa. Tegasnya, ibu bapa
yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di
samping itu, ibu bapa juga mestilah mengada atau menghadiri majlis-majlis
rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja
dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa
boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali
antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk
berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati
juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih
memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka
sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari
Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli
keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak
dengan lebih dekat adat resam sesuatu budaya masyarakat malah dapat menanamkan semangat
hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat perpaduan. Sikap dan amalan murni ini jika diamalkan dalam budaya masyarakat sudah pasti keakraban masyarakat berbilang kaum di Malaysia akan kekal terjalin. Tegasnya,
majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu
mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang
bersatu-padu.
Seterusnya,
ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan
masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan
dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa
anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga
pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita
akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua
masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka
lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai
contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu
bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu
penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih
sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri
sendiri dan hidup diibaratkan ‘ seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘berat mata
memandang, berat lagi bahu memikulnya’, namun sebagai jiran, kita mestilah
berpegang teguh pada prinsip “cubit peha kiri, peha kanan terasa juga”. Jadi,
melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan
yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup
dengan lebih selesa, aman dan tenang mengharungi kehidupan yang penuh dengan ranjau dan duri. Sekali gus, anak-anak turut mengambil berat tentang masalah jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa
boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk
memupuk semangat kejiranan.
Akhir
sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam
aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan
aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat
setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di
tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga
boleh menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada
anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang
mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini
hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak
pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga , Jawatankuasa
Keselamatan, Kebajikan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya.
Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara
bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk
mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh,
merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa
Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar
atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jika jalinan mesra antara ahli keluarga dalam masyarakat wujud, sudah pasti kehidupan masyarakat aman dan makmur. Jelasnya, ibu bapa
berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam
aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam
setiap individu amat penting untuk melahirkan
masyarakat yang prihatin dan mmmembentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun
kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang
menjadi tempat untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa
menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang.
Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita
sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan
jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran
Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari.
Jangan kita susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan
dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan.
Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah
utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk
memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa
aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
kenal-mengenali”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan