Ahad, 20 Januari 2019

LATIHAN RUMUSAN KENDIRI SEMASA CUTI HARI THAIPUSAM ( 21/1/2019- TING 4 SAINS DAN 5K1)


Soalan Peperiksaan Percubaan SPM Negeri Pulau Pinang 2017

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan pelaburan kepada masyarakat serta usaha-usaha menggalakkan masyarakat membuat pelaburan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

         Malaysia merupakan salah sebuah pasaran baru yang menawarkan kelebihan bagi pelaburan langsung asing. Demi menggamit para pelabur cenderung untuk menanam modal di negara kita, kerajaan mengorak langkah dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan terutama prasarana yang lengkap. Oleh itu, kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan kemudahan elektrik dan air, di samping sistem pengangkutan yang baik demi menarik dan menjayakan projek-projek pelaburan asing. Melalui aktiviti pelaburan ini, secara tidak langsung, rakyat dapat menikmati kemudahan-kemudahan atau infrastruktur yang selesa yang telah disediakan oleh pihak kerajaan tersebut terutamanya bagi masyarakat yang tinggal di kawasan bandar-bandar utama.
         Aktiviti pelaburan dapat menyediakan simpanan untuk masa depan atau pada usia tua bagi masyarakat hari ini. Hal ini demikian kerana, apabila usia kita telah meningkat, kemampuan untuk bekerja semakin berkurang. Tambahan pula, orang yang berada di sekeliling kita sekarang belum tentu dapat menyara kita pada usia tua kelak. Dengan adanya aktiviti pelaburan, banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Hal ini bermakna aktiviti pelaburan mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu terutama dalam sektor perindustrian, perhotelan dan sebagainya. Keadaan ini juga sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat. Kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan masyarakat dapat mencetuskan pelbagai gejala social serta peningkatan kadar jenayah. Hal ini sekali gus dapat menjejaskan imej negara di mata dunia. Selain itu, pelaburan penting untuk pendidikan anak-anak pada hari ini. Kos untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma dan ijazah semakin mahal. Sekurang-kurangnya, melalui pelaburan, ibu bapa hari ini mampu mengurangkan bebanan kewangan dalam menampung kos perbelanjaan pendidikan anak-anak
          Pelaburan juga dapat mengatasi kenaikan harga barang sekali gus dapat mengurangkan bebanan kewangan rakyat. Hal ini demikian kerana, kenaikan harga barang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. Aktiviti pelaburan juga memberi keuntungan kepada negara. Melabur seperti rumah, hartanah, saham dan sebagainya dapat memberi keuntungan lumayan. Pelaburan dapat meningkatkan pembangunan infrastruktur negara kerana teknologi dari luar negara serta kepakaran tenaga kerja dibawa masuk ke negara kita. Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan teknologi makumat dan komunikasi terkini kepada masyarakat yang merupakan nadi utama untuk mempergiat pembangunan negara. Pelaburan merupakan pemangkin pembangunan ekonomi negara. Pelaburan dapat mengatasi kemelesetan ekonomi serta dapat meningkatkan taraf hidup rakyat. Kesimpulannya, pelaburan amat penting bagi memenuhi tujuan dan aspirasi negara. Pelaburan awal akan memberi keuntungan untuk masa depan kita. Oleh itu, amalan melabur wajar diterapkan dalam kalangan masyarakat hari ini agar masa depan lebih terjamin.

Dipetik dan diubah suai daripada ‘Manfaat Pelaburan
Kepada Masyarakat’ Oleh Nazmy Shah Sannusi,
Dewan Masyarakat Januari 2013

Soalan 2(a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i)              Berikan maksud rangkai kata menimbulkan keresahan.                            [2 markah]

(ii)       Pengarang menyatakan bahawa kadar pengangguran yang tinggi boleh mengundang
pelbagai kesan negatif.
Kemukakan kesan-kesan negatif tersebut.                                                 [3 markah]

      (iii)     Aktiviti pelaburan dapat memberikan keuntungan yang besar kepada masyarakat dan
         negara.
        Jelaskan pendapat anda tentang peranan pihak kerajaan dalam menggalakkan generasi
        muda hari ini melibatkan diri dalam aktiviti pelaburan.                                [4 markah]

Skema jawapan akan disisipkan kemudian.

Tiada ulasan: