Sabtu, 26 Januari 2019

NOTA PERSEDIAAN PEMBENTANGAN SAJAK SEJARAH RINDU TINGKATAN 5K1 (30/1/2019)


SAJAK  SEJADAH  RINDU
Mohd. HaikalAminuddin

SAJAK
MAKSUD
Terkedu aku
di sejadah rindu mengungkap kalimah syahdu
bait bicara tersentuh kalbu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang dahulu

Penyajak termenung di atas sejadah sewaktu mengungkapkan kalimah syahdu/ sedih hingga menyentuh hatinya dan menjadikan dia menginsafi akan dosa-dosanya yang lalu.
Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan

Dengan rasa rendah diri, penyajak memohon kepada Tuhan agar diberi keampunan sebelum beliau meninggal dunia seperti yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti

Dengan iringan air mata dan hati yang ikhlas sebagai bukti, penyajad sujud dan melafazkan taubat dalam keadaan yang sebak/ sedih dan dalam keadaan yang hening/ sunyi dan sepi.
Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh

Hati penyajak sedih/ luluh dan jiwanya tersentuh dengan ayat-ayat cinta kepada Tuhan yang disusun dengan rapi sewaktu memohon keampunan kepada Tuhan serta berasa amat gemuruh.
Ungkapan doa pada yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.
Penyajak berdoa kepada Tuhan agar menerima dan mengizinkan dirinya menjadi manusia yang sentiasa taat akan perintah Tuhan. Dia juga sedar bahawa dunia ini hanyalah sementara.

TEMA:
– bertemakan ketuhanan dan ketaatan kepada perintah agama. Contohnya, penyajak insaf akan dosa-dosanya dan memohon keampunan kepada Tuhan. Beliau bertaubat untuk tidak mengulangi dosanya dan memohon agar Tuhan menunjukkan jalan yang benar kepadanya.
PERSOALAN:
1.    keinsafan atas dosa-dosa lalu yang menghantui kehidupannya. Contohnya, penyajak berasa sedih dan bertaubat atas dosa yang telah dilakukannya dahulu.

2.    pengharapan keampunan manusia kepada Tuhannya sebelum dia meninggal dunia. Contohnya, penyajak memohon keampunan kepada Tuhan atas segala dosanya sebelum dia meninggal dunia nanti.

3.    keikhlasan dalam memohon keampunan kepada Tuhan.  Contohnya, penyajak memohon keampunan atas dosanya kepada Tuhan dengan linangan air mata dan penuh keikhlasan.

4.    taubat yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Contohnya, Penyajak bertaubat memohon keampunan hingga menitiskan air mata.

5.    berserah dan memohon keampunan hanyalah kepada Tuhan yang Esa. Contohnya, penyajak memohon keampunan dan berdoa kepada Tuhan agar kesalahannya diampunkan.

6.    dunia hanya bersifat sementara. Contohnya, penyajak menyedari bahawa dunia ini hanya sementara dan tidak kekal untuk selama-lamanya.

GAYA BAHASA
1. Inversi – susunan ayat terbalik : Contohnya, “Terkedu aku, moga terbuka ruang keampunan
2. Personafikasi – unsur perorangan: Contohnya, “air mata menjadi saksi”
3. Metafora – perbandingan: Contohnya, “sejadah rindu, nafas kehidupan”
4. Bahasa Arab: Contohnya, “kalimah, Ilahi, taubat”
PENGAJARAN:
Kita hendaklah/ haruslah/ mestilah……
1.            segera insaf akan dosa dan kesalahan yang lalu supaya kita tidak menjadi manusia yang rugi di akhirat kelak.

2.            berusaha dengan gigih serta tidak berputus asa untuk mendapatkan keampunan daripada Tuhan.

3.            memohon keampunan dengan penuh keikhlasan agar dosa-dosa yang lalu akan diampunkan oleh Tuhan.

4.            taat kepada pencipta supaya kita sentiasa sedar diri dan berusaha mendapatkan keampunan daripada Allah.

5.            sedar bahawa dunia ini hanya sementara supaya kita sedar dan tidak melakukan dosa semasa hidup kita.

6.            menyedari kesalahan kita dan kembali semula ke jalan yang diredai Tuhan.

NILAI:
1.    keinsafan – penyajak menginsafi segala dosa-dosanya yang lalu.

2.    kegigihan – penyajak bersungguh-sungguh dan gigih memohon keampunan kepada Tuhan.
3.    keikhlasan – penyajak bertaubat dengan penuh ikhlas hingga menitiskan air mata.

4.    ketaatan – penyajak taat kepada Pencipta dan hanya memohon keampunan daripada-Nya.

5.    Kesedaran – penyajak sedar akan dosa-dosanya yang lalu serta menyedari bahawa dunia ini hanya sementara.



Soalan 2(d) – Sajak
Baca petikan sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sejadah Rindu
Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
bait bicara tersentuh kalbu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu.
Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.
Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.
Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh.
Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.
Kalam Pertama, 2013
Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Berdasarkan sajak tersebut, nyatakan cara-cara penyajak menzahirkan keinsafan atas dosa-dosa yang lalu kepada Tuhannya.
                                                                                                          [2 markah]
(ii) Dalam 2 baris terakhir sajak , penyajak menyatakan harapan agar dirinya tidak lupa bahawa dunia ini bersifat sementara.

     Pada pandangan anda, apakah kesan-kesannya jika seseorang manusia itu sedar
     bahawa dunia ini bersifat sementara ?
                                                                                                 [3 markah]

(iii) Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam sajak ini.
                                                                                                 [4 markah]


Tiada ulasan: