NOTA TATABAHASA
BERKAITAN KATA KERJA TRANSITIF (KKT) DAN KATA KERJA TAK TRANSITIF
Kesilapan menulis ayat
menggunakan kata kerja dengan betul sering berlaku dalam kalangan
pelajar, sama semasa mengarang dan juga untuk menentukan kesalahan kata kerja
dalam binaan ayat.Insya-Allah pada minggu hadapan saya akan menyentuh
tatabahasa berkaitan kata kerja dalam bahasa Melayu. Diharapkan pelajar dapat
membaca nota di bawah dan fahamkan sebelum PdPC berlangsung. ( Untuk pelajar
Ting 4 Sains dan 5K1)
KATA KERJA
Kata kerja merupakan
salah satu golongan kata yang digunakan untuk menunjukkan sesuatu perbuatan
atau keadaan melakukan sesuatu. Kata kerja terbahagi kepada dua:
v Kata
kerja transitif
v Kata
kerja tak transitif
KATA KERJA TRANSITIF (KKT)
Kata kerja yang
memerlukan objek atau penyambut yang terdiri
daripada kata nama untuk melengkapkan maksud ayat.
KKT boleh dikenal pasti dengan imbuhannya iaitu:
(minum, makan) – tiada imbuhan
meN-... -
(mencangkul, menebang, memukul)
meN-...-I -
(menjalani, menghadiahi, menghadapi)
meN-...-kan - (melarikan,
memasukkan, menjalankan)
memper-...
- (memperbesar,
mempercantik, mempersuami, memperisteri)
memper-...-kan
- (mempertingkatkan,
mempertunjukkan)
memper-...-i
-
(memperdengari, memperingati)
KKT boleh dipasifkan. Contoh:
AYAT AKTIF |
AYAT PASIF |
Ah Moi sedang membasuh kain di dalam bilik air. |
Kain sedang dibasuh oleh Ah Moi di
dalam bilik air. |
Pekerja-pekerja sedang memperlebar jalan raya. |
Jalan raya sedang diperlebar oleh
pekerja-pekerja. |
Ibu menidurkan adik di dalam kamar. |
Adik ditidurkan oleh ibu di dalam kamar. |
Kami makan kentang goreng itu. |
Kentang goreng itu kami makan. |
Tuan Hakim menjatuhi pengedar
dadah itu hukuman mati mandatori. |
Pengedar dadah itu dijatuhi
hukuman mati mandatori oleh Tuan Hakim. |
KATA KERJA TAK TRANSITIF (KKTT)
Kata kerja tak
transitif (intransitif) ialah kata kerja yang sudah sempurna maknanya dan dapat
berdiri sendiri dalam ayat. Oleh itu, KKTT tidak memerlukan objek atau
penyambut untuk menyempurnakan maksudnya. KKTT tidak boleh dipasifkan.
KKTT boleh dikenal pasti melalui imbuhannya, contohnya adalah
seperti yang di bawah ini.
Tanpa imbuhan (pulang, pergi, duduk, mati, tidur,
balik)
v meN-... (mengalir,
meletup, menangis, membisu)
v ber-... (berbicara,
bercadang, berbincang, berkereta)
v ter-... (terkeluar,
terjatuh, terpelosok, tertarik)
v ber-...-an (berguguran,
bergandingan, berkibaran, bertaburan)
v ber-...-kan (berselimutkan,
bersuamikan, beristerikan, berbantalkan)
KKTT terbahagi kepada dua iaitu;
i. KKTT
tanpa pelengkap
ii. KKTT
berpelengkap
KKTT Tanpa Pelengkap -kata kerja yang
boleh berdiri sendiri tanpa pelengkap.
Contoh:
Gadis itu asyik termenung.
Ayah dan ibu sedang berbicara.
Lori yang sarat dengan muatan batu itu terhumban.
KKTT di atas boleh diikuti oleh unsur keterangan yang berfungsi
memberikan keterangan lanjut tentang ayat tersebut.
Contoh:
1. Si Dara itu asyik termenung di dalam kamar.
2. Hanif dan Nazimah sedang berbicara tentang
pilihan raya.
3. Lori yang sarat dengan muatan batu itu terhumban ke
dalam gaung yang dalam.
KKTT Berpelengkap
Kata kerja yang mesti
diikuti oleh pelengkap (terdiri daripada kata nama, kata
adjektif dan kata sendi nama) untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap
tidak sama dengan objek atau penyambut kerana objek atau penyambut hadir
selepas Kata Kerja Transitif yang boleh mengalami proses pasif. Ayat yang
mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan.
Contoh:
1. Keadaan banjir sudah beransur surut.
2. Pasaran saham di Malaysia sudah bertambah baik.
3. Pengemis itu tidur berbantalkan lengan.
4. Ying Ying bercita-cita untuk menjadi arkitek.
5. Cikgu Zakiah tinggal di Kepala Batas.
6. Hampir lima tahun Mak Limah menetap di
kampung ini.
Daripada perbincangan
di atas, dapatlah kita rumuskan bahawa KKTT dan KKT mempunyai fungsi yang
berbeza. Perbezaan ini dapat dilihat dengan jelas melalui frasa kerja
tak transitif dan frasa kerja transitif.
Struktur Frasa Kerja Tak Transitif
Kata bantu |
KKTT |
Kata Sendi /adjektif |
Kata Nama |
sedang |
bekerja |
di |
pejabat |
ingin |
berbincang |
tentang |
perkara |
telah |
terlupa |
akan |
nama rakannya |
sudah |
bertambah |
kukuh |
- |
sudah |
beransur |
sembuh |
- |
telah |
bersuamikan |
- |
orang kaya |
telah |
berpayungkan |
- |
daun pisang |
Struktur Frasa Kerja Transitif
Kata Bantu |
KKT |
Objek atau Penyambut |
telah |
membincangkan |
perkara |
akan |
memperbesar |
rumah |
sedang |
menggilap |
kasut |
hendak |
menunggang |
motosikal |
Kesalahan-kesalahan Kata Kerja.
1. Penggunaan KKT tanpa imbuhan. Contoh ayat:
Haji Naseer sedang pandang lukisan
itu (X)
Haji Naseer sedang memandang lukisan
itu. (√)
2. Penggunaan kata sendi nama selepas KKT. Contoh ayat:
Sharifah memahami akan kehendak
adiknya. (X)
Sharifah memahami kehendak
adiknya. (√)
3. Penggunaan Kata Adjektif selepas KKT. Contoh ayat:
Ahmad telah menendang kuat-kuat
bola itu. (X)
Ahmad telah menendang bola itu
kuat-kuat. (√)
4. Penggunaan Kata sendi nama selepas KKTT. Contoh ayat:
Cik Min akan berjumpa Cikgu Zue.
(X)
Cik Min akan berjumpa dengan
Cikgu Zue. (√)
5. Penggunaan Kata sendi nama selepas KKTT berimbuhan ber-...-kan.
Contoh ayat:
Penculik itu bersenjatakan dengan
sebilah pisau. (X)
Penculik itu bersenjatakan sebilah
pisau. (√)
6 . Tidak meletakkan kata sendi nama selepas KKTT tanpa imbuhan.
Contoh ayat:
Ayah tidak akan pulang rumah
tengah hari ini. (X)
Ayah tidak akan pulang ke rumah
tengah hari ini. (√)
5 ulasan:
Saya faham tentang kata kerja dan nota di atas
Alhamdulillah Nora diatas ni mudah difahami Dan lengkap
Sangat bermanfaat. Terbaik tuan. Mohon share. Syukran.
tolong betulkan contoh ayat pasif dan ayat aktif dlm jadual tu..tertukar tu
Terima kasih atas teguran berkenaan dan saya telah memperbetul kesalahan berkenaan. Saya juga memohon maaf kerana kesilapan contoh ayat aktif dan ayat pasif berkenaan telah berlaku pada tahun Januari 2019.
Catat Ulasan