Isnin, 14 Januari 2019

PERSEDIAAN PEMBENTANGAN KOMSAS ANTOLOGI TING. 4 SAINS PADA MINGGU HADAPAN UNTUK KELAS 4 SAINS


Di bawah saya lampirkan nota Puisi Tradisonal Syair Bidasari ( Jamilah Hj. Ahmad) untuk pelajar Tingkatan 4 Sains sebagai persediaan pembentangan pada hari Rabu (23 Januari 2019). Pelajar disarankan mencari nota dari sumber lain sebagai nota sebelum pembentangan.

                                               SYAIR BIDASARI

A. MAKSUD RANGKAP
Rangkap 1

          Dengarkan tuan suatu riwayat
          Raja di desa Negeri Kembayat
          Dikarang fakir dijadikan hikayat
          Supaya menjadi tamsil ibarat

Pengenalan kisah seorang raja yang memerintah Negeri Kembayat. Pengarangnya hanya mahu dikenali sebagai fakir sebagai tanda merendah diri. Tujuan hikayat supaya menjadi contoh dan perbandingan kepada pembaca.

Rangkap 2

          Ada raja suatu negeri,
          Sultan halifah akas bestari,
          Asalnya baginda raja yang bahari,
          Melimpah ngadil dagang senteri.

Di sebuah negeri terdapat seorang pemerintah, iaitu sultan yang gagah perkasa lagi bijaksana. Baginda raja dahulukala yang cemerlang (pada peringkat awal sebelum dilanggar geroda). Keadilan baginda telah menggamit kedatangan para pedagang dan orang soleh (pelajar ilmu agama yang merantau).

Rangkap 3

           Hairan orang empunya temasya,
           Baginda itulah raja perkasa,
           Sangat tiada merasai susah,
           Entah pada esok dan lusa.

Kegagahan dan kelangsungan pemerintahan baginda memang mengkagumkan. Sesaat pun baginda tidak mengalami kesusahan. Namun, tiada sesiapa yang tahu sama ada keadaan itu akan berkekalan atau sebaliknya.

Rangkap 4

          Seri sultan raja bestari,
          Setelah ia sudah beristeri,
          Beberapa bulan beberapa hari,
          Hamillah puteri permaisuri.

Sultan yang bijaksana bertambah berseri apabila menempuh alam perkahwinan. Selang beberapa bulan, permaisuri pun hamil.

Rangkap 5

          Beberapa lamanya dalam kerajaan,
          Baginda duduk bersuka-sukaan,
          Datanglah beroleh kedukaan,
          Baginda meninggalkan takhta kerajaan.

Setelah beberapa tahun memerintah negara dengan bahagia dan aman sentosa, dugaan mala petaka datang melanda. Baginda terpaksa berundur dari istana.

Rangkap 6

          Datanglah kepada suatu masa,
          Melayanglah unggas dari angkasa,
          Unggas gurda sangat perkasa,
          Menjadi negeri rosak binasa.

Tiba-tiba pada suatu hari muncul seekor burung raksasa melayang di ruang angkasa negeri Kembayat. Geroda, iaitu helang besar (seperti dalam epik Hindu, Visynu: dalam syair dieja sebagai gurda) melanggar Kembayat sehingga menimbulkan huru-hara dan kemusnahan.

Rangkap 7

          Datanglah menyambar suaranya bahana,
          Gemparlah sekalian mulia dan hina,
          Seisi negeri gundah-gelana,
          Membawa diri ke mana-mana.

Geroda melakukan serangan dengan suara yang bergema luar biasa. Sekalian rakyat negeri Kembayat berada dalam keadaan huru-hara dan kekalutan. Seluruh negeri dilanda duka lara dan lesu, serta rakyat bercempera tanpa arah tujuan.

Rangkap 8

          Baginda pun sedang dihadap orang,
          Mendengar gempar seperti perang,
          Bertitah baginda raja yang garang,
          "Gempar ini apakah kurang."


Ketika itu baginda sedang bersemayam di singgahsana sambil menerima menghadap pembesar dan rakyat jelata. Keadaan huru-hara bagaikan di medan peperangan jelas kedengaran. Baginda bertitah dengan nada yang tegas tentang perkara cemas apa pula yang berlaku.

B.   Tema

Menceritakan Raja Kembayat Negara dan Permaisurinya yang sedang melarikan diri telah tiba di sebuah hutan. Mereka telah tiba di sebuah kampung dan permaisuri yang sarat mengandung telah tiba waktu untuk bersalin.Mereka mencari tempat persinggahan yang sesuai yang berhampiran dengan sungai.

C. Persoalan

1.    Persoalan  perjalanan yang penuh rintangan dalam usaha mencari kehidupan yang lebih terjamin.
2.    Persoalan pengorbanan yang perlu ditanggung demi orang yang tersayang.
3.    Persoalan kasih sayang seorang suami terhadap isteri.
4.  Persoalaan kebijaksanaan memimpin sebuah kerajaan.
5. Persoalan tanggungjawab seorang pemimpin.
6. Persoalan kasih sayang terhadap ahli keluarga 
7. Persoalan keadilan dan kesaksamaaan seorang pemerintah.
8. Persoalan musibah yang tidak boleh diramal.


C.  Bentuk

1.    Terdiri daripada 8 rangkap.
2.    Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
3.    Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 5 patah kata.
4.    Semua baris adalah maksud.
5.  Rima akhir aaaa kecuali rangkap ketiga aaba


D.  Gaya Bahasa

1.    Asonansi -Pengulangan huruf vokal -  Dengarkan tuan suatu riwayat (a)
2.    Aliterasi -  Seri sultan raja bestari (s)
3.    Bahasa  klasik-  akas, ngadil, halifah, takhta
4.    Bahasa istana - baginda, permaisuri, takhta
5.  Bahasa Arab -halifah
6.  Epifora- pengulangan dia akhir ayat, contoh; beberapa lamanya dalam kerajaan  baginda meninggalkan takhta kerajaan
7. Imej alam; unggas


E.  Nilai

1.    Nilai ketaatan
Rakyat Kembayat taat kepada sultan pemerintah. 

2.    Nilai tanggungjawab
Raja negeri Kembayat bertanggungjawab mentadbir negeri.

3.    Nilai keprihatin seorang pemimpin
Seseorang perlu prihatin dengan kesusahan yang ditanggung oleh orang lain.

4.    Nilai kasih-sayang
Raja yang menyayangi rakyat dan isterinya.


5. Kebijaksaan 
    Raja Negeri Kembayat bijak dan cekap memimpin kerajaan

6. Keadilan 
       Raja Negeri Kembayat memberikan layanan yang adil dan saksama kepada rakyat termasuklah kepada para pedagang senteri


F.  Pengajaran

1.    Kita hendaklah bersabar dalam mengharungi ranjau kehidupan agar hidup lebih bermakna.
2.    Kita hendaklah berkorban demi orang yang kita kasihi agar mereka beroleh kebahagiaan  .
3.    Kita hendaklah prihatin dengan kesusahan yang tanggung oleh orang lain.
4.    Kita hendaklah bersyukur kepada Tuhan kerana negara kita sentiasa aman dan makmur.
5.    Kita mestilah berani menghadapi cabaran masa depan.
6.    Kita mestilah bijaksana mentadbir negara untuk kebaikan bersama.
7. Kita mestilah taat dan patuh akan perintah ketua atau pemimpin demi keharmonian organisasi.
8. Kita haruslah bersedia setiap masa menghadapi sebarang ancaman musuh atau malapetaka yang tidak dijangka.

     Soalan Latihan:


Soalan Latihan:
1)  Berikan dua sifat raja yang terkandung dalam rangkap kedua syair tersebut.
       Dua sifat raja yang terkandung dalam rangkap kedua syair  tersebut ialah seorang yang   bijaksana dan adil

2) Pada pendapat anda, apakah tiga kelebihan yang akan diperoleh seseorang yang berakhlak mulia  dan berhemah tinggi?
     Pada pendapat saya tiga kelebihan orang yang diperoleh seseorang yang berakhlak mulia dan berhemah tinggi ialah dipandang mulia, disayangi,dihormati dan dikasihi.

3) Jelaskan dua persoalan yang terkandung dalam syair ini.
     Dua persoalan yang terkandung dalam syair ini ialah perjalanan yang penuh rintangan dalam usaha mencari kehidupan yang lebih terjamin dan pengorbanan yang perlu ditanggung demi orang yang tersayang.