Rabu, 22 Ogos 2018

KARANGAN UMUM DIMENSI KELUARGA IBU BAPA MEMAINKAN PERANAN PENTING UNTUK MENCORAKKAN MASA DEPAN SESEORANG. PADA PENDAPAT ANDA, APAKAH PERANAN IBU BAPA UNTUK MEMBANTU ANAK-ANAK MENCAPAI KEJAYAAN YANG CEMERLANG DALAM PELAJARAN.


Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang.                          
Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

PETALING JAYA, Selasa - Kejayaan luar biasa seorang pelajar di Kolej Mara Banting (KMB) Muhammad Ihsan Thaqif Bahter Nasir (gambar) yang berusia 18 tahun menjadi bualan netizen apabila dia bukan sahaja meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan minggu lepas, malah turut cemerlang dalam ujian semester di kolejnya.

Berita di atas amat mengembirakan kedua-dua ibu bapa pelajar berkenaan. Memang sudah menjadi lumrah kehidupan, kajayaan seorang anak dalam pendidikan akan mengembirakan insan yang banyak mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit tidak kira sama ada mereka daripada golongan berwang apatah lagi mereka yang berpendapatan kecil. Sebagai anak, mereka memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga. Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan  gejala sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?

            Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi  yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi.  Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap “rumahku syurgaku”. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat. Sekiranya, ibu bapa dapat mewujudkan situasi aman bahagia dalam kehidupan rumahtangga mereka sudah pasti kejayaan dan kecemerlangan anak-anaknya yang menjadi impian keluarga akan menjadi kenyataa, Sebalikya, kegagalan ibu bapa membina keluarga bahagia, anak-anak akan menerima natijahnya kerana anak-anak gagal menyediakan diri untuk berjaya dalam pendidikan akibat kebejatan rumahtangga. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi  mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

            Selain itu, ibu bapa  juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran.  Sekiranya, ibu bapa tidak alpa dan sering memantau pergerakan dan perkembangan dan pergaulan anak-anak sudah pasti anak-anak akan sentiasa dipeduli dan mereka akan berjaya memilih rakan yang boleh membantu kejayaan mereka dalam setiap aspek sama ada pendidikan dan pembinaan personaliti mereka agar kecelaruan personality tidak berlaku. Sebaliknya,  kegagalan ibu bapa mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak mereka dengan rakan sebaya, sudah pasti anak-anak mudah terjebak dengan pengaruh negatif rakan sebaya yang mengarahkan mereka melakukan aktiviti tidak bermoral.  Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.

            Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku dalam kalangan anak-anak. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk sebelum bertindak melakukan setiap perbuatan. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang cukup  ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Sekiranya, ibu bapa gagal memastikan anak-anak mendapat didikan agama dan moral yang  secukupnya, dikuatiri anak-anak akan salah membuat keputusan dan mereka mudah terjebak dengan kegiatan tidak bermoral akibat pengaruh rakan sebaya. Lambat laun dikuatiri kehidupan anak-anak akan musnah. Sebelum kudis menjadi tokak, ibu bapa sebagai orang yang paling hampir dengan anak-anak perlu bijak mengatasi masalah berkenaan. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

            Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar di rumah supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Seyogia, ibu bapa perlu menyediakan bilik khas untuk anak-anak mengulangkaji pelajaran serta menyediakan rak-rak untuk tempat simpanan buku, majalah, dan surat khabar. Selain itu, jika ibu bapa berkemampuan, bilik khas untuk anak-anak belajar perlu disediakan alat pendingin hawa agar anak-anak boleh belajar secara kondusif. Bahkan juga, ibu bapa boleh melanggan majalah-majalah seperti Dewan Pelajar, Dewan Siswa, serta akhbar-akhbar tempatan yang ada menyisipkan ruangan pendidikan seperti TUTOR oleh Surat Khabar Utusan Melayu dan Akhbar  Didik untuk akhbar Berita Harian. Tambahan pula, akhbar-akhbar tempatan ini menyediakan ruangan nota dan latihan setiap mata pelajaran untuk membantu anak-anak membuat latihan dan membaca nota sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan sama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan (PT3) serta Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bahkan juga, ibu bapa boleh membelikan komputer bimbit untuk diletakkan di rungan kerana gajet ini amat penting untuk membantu anak-anak membuat rujukan atas talian sama ada untuk mendapatkan maklumat berkaitan pelajaran, untuk meluaskan kosa kata terutama  untuk mendapat maksud istilah atau istilah sama maksud melalui Pusat Rujukan Bahasa Melayu atas talian yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Anak-anak juga boleh melayari pelbagai kemaslahatan pelajaran di laman sesawang seperti “blogger” yang disediakan oleh guru-guru berpengalaman mata pelajaran secara percuma, mendapatkan kertas soalan peperiksaan sebenar, atau kertas peperiksaan percubaan negeri-negeri untuk sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan kerana maklumat di hujung jari dan langit terbuka. Sekiranya, ibu bapa dapat menyediakan kemudahan sedemikian rupa, anak-anak akan dapat belajar secara kondusif, Cuma ibu bapa perlu membuat pemantauan agar anak-anak tidak menyalahgunakan gajet berkenaan untuk tujuan hiburan berlebihan dan melayari laman-laman porno yang boleh merosakkan moral mereka. Tegasnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar di rumah supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran.

Selain itu, ibu bapa yang berkemampuan mereka boleh menghantar anak-anak mereka mengikuti kelas tambahan atau tuisyen yang tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sebagaimana kita sedia maklum pusat-pusat tuisyen menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman, tenaga pengajar yang terlibat dengan pemeriksaan kertas peperiksaan yang pakar untuk membantu pelajar menjawab soalan peperiksaan dengan tepat dengan kehendak skema pemarkahan jawapan. Tambahan pula, bilangan pelajar yang kecil di pusat tuisyen memudahkan interaksi pelajar dengan guru sama ada untuk bertanya hal ehwal pelajaran yang masih kabur dan selalunya semakan guru di pusat tuisyen berkualiti dan cepat. Sedangkan bilangan pelajar di sekolah biasa agak banyak menyebabkan proses pembelajaran dan pengajaran agak kurang sempurna. Seyogia, pelajar yang mendapat didikan di pusat tuisyen selalunya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam. Selain itu, ruangan yang belajar yang kondusif dengan adanya pendingin hawa akan memberi keselesaan kepada pelajar untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran guru. Sekiranya, ibu bapa dapat menghatar anak-anak mengikuti kelas tuisyen, anak-anak akan mendapat bimbingan yang lebih efisien dan anak-anak akan mudah menghadapi dan menjawap soalan peperiksaan dengan baik untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Tegasnya, ibu bapa yang berkemampuan boleh menghantar anak-anak mereka mengikuti kelas tambahan atau tuisyen untuk mendapat bimbingan yang lebih efisien.

Sebagai ibu bapa mithali, mereka juga perlu menjadi idola atau model terbaik kepada anak-anak untuk membudayakan amalan membaca dalam kehidupan bermula dari saat mereka setahun jagung kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Seyogia, ibu bapa hendaklah sentiasa membaca buku pabila ada masa senggang di hadapan anak-anak kerana setiap gerak geri dan perbuatan ibu bapa menjadi perhatian serta mereka menjadi contoh kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah juga kuihnya. Di samping itu, sikap mengarah anak-anak membaca pada waktu senggang sedangkan ibu bapa tidak melakukannya ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus dan akibat sampai bila-bila budaya membaca tidak akan lekat di hati anak-anak.  Selain itu, ibu bapa bertanggungjawab  perlu cakna dan membantu  aktiviti Nadi Ilmu  Amalan Membaca (NILAM) yang wajib dijalankan di setiap sekolah agar anak sentiasa membaca dan mencatat setiap buku yang dibaca oleh mereka ke dalam buku NILAM. Situasi ini boleh menimbulkan persaingan bersih dalam diri anak-anak untuk meningkatkan bilangan buku yang dibaca pada setiap masa. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dan maslahat membaca untuk mereka mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Di samping itu, ibu bapa perlu memberi kata-kata positif atau pujian setiap kali anak-anak menerima sijil nilam sama ada gangsa, perak, emas dan sijl NILAM agar usaha mereka berkenaan dihargai. Bahkan juga ibu bapa yang perihatin terhadap budaya membaca boleh membawa anak-anak mereka ke perpustakaan daerah mahu pun perpustakaan negeri sekali sekala sekirannya mereka mempunyai masa senggang terutama pada hujung minggu cuti persekolahan. Sekiranya, aktiviti ini menjadi kebiasaan, anak-anak juga akan sentiasa mengunjungi pusat sumber sekolah untuk membaca buku-buku, majalah dan akhbar pada waktu senggang kerana pusat sumber Gedung ilmu. Sudah terang lagi bersuluh, sebagai ibu bapa mithali, mereka perlu menjadi idola atau model terbaik kepada anak-anak untuk membudayakan amalan membaca dalam kehidupan mereka.

            Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat  dengan guru-guru tentang perkembangan pendidikan anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja.  Ibu bapa mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan  menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Tambahan pula pada tahap umur remaja, anak-anak mudah menghadapi kecelaruan personaliti dan jika tidak ditangani secara bijak oleh ibu bapa masalah ini akan menghantui psikologi mereka.  Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

            Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tambahan pula, anak-anak pada lingkungan umur remaja memang mudah menghadapi sindrom kecelaruan personaliti dan memerlukan pertolongan serta bimbingan daripada ibu bapa untuk memastikan mereka dapat menentukan tingkah laku dan cara berfikir mereka. Kegagalan ibu bapa menyelesaikan masalah kecelaruan personaliti ini akan memudahkan anak-anak terjebak dengan perlakuan negatif akibat pengaruh rakan sebaya Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan dan pelajaran mereka.



2 ulasan:

Unknown berkata...

Terlalu oanjang

Unknown berkata...

karangan terbaik dan perfect x boring👍👍