Jumaat, 10 Ogos 2018

PROGRAM MENYALIN KARANGAN MINGGU INI DAN MENGESAN APLIKASI BINAAN AYAT BERDASARKAN KAEDAH PENGEMBANGAN IDEA KARANGAN DALAM PERENGGAN PENGENALAN, PERENGGAN ISI DAN PERENGGAN PENUTUP PERMAINAN TRADISIONAL SEMAKIN DIPINGGIRKAN OLEH GENERASI MUDA. JELASKAN USAHA-USAHA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN BAGI MEMARTABATKAN PERMAINAN TRADISIONAL DI NEGARA KITA.


PROGRAM MENYALIN KARANGAN MINGGU INI. PELAJAR DIHARAPKAN DAPAT MENGESAN SETIAP BINAAN AYAT YANG SEPATUTNYA ADA MENGIKUT KAEDAH PENGEMBANGAN IDEA KARANGAN, SEPERTI AYAT TEMA(AT) AYAT RANSANGAN (AR), AYAT HURAIAN (AH), FRASA MENARIK, (FM) AYAT KBAT,  (A.KBAT) ) AYAT CONTOH (AC),  AYAT ARAHAN, (A.A) AYAT PENEGAS, (AP) DAN ISTILAH MENARIK (IM). PELAJAR BOLEH MELIHAT CONTOH PENGESANAN UNSUR AYAT YANG PERLU ADA DALAM PERENGGAN PENGENALAN DAN PERENGGAN ISI, ATAU RUJUK JADUAL PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN-PERENGGAN KARANGAN YANG DIPAPARKAN SEBELUM INI.

SEBARANG PENAMBAIKAN DIBENAR UNTUK MEMANTAPKAN LAGI KARANGAN.

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.

Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan  tradisional di negara kita.    

            Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. ( A.R1) Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. ( A.R 2 )Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.  ( A.R 3 & FM) Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya. (  A.C  ) Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda.  ( A.R 3) Tambahan pula senario perkembangan industri digital kini yang semakin membarah dan digilai  gologan muda yang diharapkan sebagai pelapis mempertahankan permainan warisan, menyebabkan permainan tradisional semakin parah dan disisih kalangan generasi muda. (A.R 4) Sekiranya, tidak ada usaha pemimpin masyarakat dan pihak berwajib untuk mempertahankan permainan tradisional ini, ditakuti pada masa hadapan permainan ini hanya dapat dilihat dikulit-kulit buku, dan rencana pengarang sebagai bahan sejarah. (   A.KBAT  ) Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?
 ( A.A  )

            Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap  permainan tradisional.   (  A.T ) Remaja pada masa ini  banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. ( A.H 1 ) Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman.  (  A.H2  ) Oleh itu, sebagai  generasi muda, saya harus sedar bahawa saya  berperanan  memartabatkan permainan tradisional. (  A.H 3   ) Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. (    A.H 4    ) Saya akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di negara kita.  (A.H 5)Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenaan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. (A.H 6 ) Secara tidak langsung usaha saya untuk memupuk minat terhadap permainan, akan mewujud kesedaran dalam diri saya sendiri untuk memartabatkan  permainan tradisional bagi menyaingi permainan moden yang terdapat di dalam gajet  seperti telefon pintar serta boleh dimuat turun melalui peranti “play store” atau alat permainan “playStation” yang semakin popular dalam kalangan remaja. (  A.C    ) Sebaliknya, jika saya terus hanyut dengan keghairahan rakan remaja bermain permainan berkenaan , sudah pasti permainan tradisional akan lenyap ditelan zaman. (A.KBAT & FM) Tegasnya, Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap  permainan tradisional (A.P)

            Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan  adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara  permainan tradisional tersebut dimainkan bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya secara santai. Seyogia, inisiatif ( IM )ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Sekiranya, permainan digital bertapak di minda golongan remaja, bukan sahaja permainan tradisional tidak menjadi budaya dan dimainkan pada waktu senggang malah hubungan sosial malah komunikasi (IM) antara rakan sebaya akan tepinggir dan masing-masing bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sebaliknya, jika  saya  dapat mengisi masa lapang dengan bermain permainan tradisional bersama rakan-rakan sudah pasti usaha kami mengekalkan permainan tradisional, malah ukhwah dan hubungan antara kami akan lebih akrab . Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak  kebaikan kepada generasi muda masa ini.

            Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional,  saya sebagai pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah.  Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya  juga akan  menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkak dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat pepatah Melayu ada mengatakan, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional sudah pastilah minat terhadap permainan berkenaan akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional warisan nenek moyang kekal abadi menongkah zaman. Tegasnya, bagi memartabatkan permainan tradisional,  saya sebagai pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum.

            Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama permainan tradisional.  Hal ini adalah  kerana, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sebaliknya, jika saya meminggirkan permainan tradisonal, sudah pasti nasib permainan tradisional ibarat bangkai bernyawa. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara.

            Sebagai pencinta permainan tradisional, saya akan membina blog khas untuk menguar-uarkan info berkaitan permaianan tradisional kepada golongan belia dan masyarakat. Sebagai mengukuhkan lagi peranan blog saya sebagai pencentus minat belia dan masyarakat terhadap blog saya, saya akan membina ruangan khas dengan memautkan blog saya dengan laman web Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memaparkan aktiviti kebudayaan masyarakat yang dianjurkan oleh kementerian berkenaan. Sekurang-kurangnya, info berkenaan akan sampai kepada sasaran iaitu kalangan belia dan seterusnya pencinta permainan tradisonal agar mereka turut serta atau mengunjungi sebarang aktiviti seperti pertandingan sepak takraw, pertandingan congkak, pertandingan galah panjang, pertandingan wau dan sebagainya. Sebagai memantapkan lagi peranan blog ini, saya juga akan membina ruangan khas untuk pengujung yang berminat dengan permainan tradisional memberi pandangan serta cadangan supaya idea dan pandangan mereka agar dapat menjana inovatif baru untuk memastikan permainan tradisional mendapat tempat di hati golongan muda. Sekiranya, laman blog saya ini menjadi kenyataan sudah pasti permainan tradisional akan dapat meneruskan peranannya seperti zaman kegemilangannya sebagai aktiviti yang dapat mengeratkan semangat kejiranan, merapatkan ukhwah, dan perpaduan kaum terutama kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Sudah terang lagi bersuluh blog khas yang akan saya bina mampu untuk menguar-uarkan info berkaitan permainan tradisional kepada golongan belia dan masyarakat.

            Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah warisan bangsa ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sekiranya, usaha murni ini tidak dilakukan, ditakuti generasi muda akan datang tidak mengenali permainan tradisional sebagai permainan warisan bangsa dan nenek moyang kita.

Objektif program menyalin karangan mingguan, diharapkan:-

  1. Wujudnya unsur pembelajaran semasa pelajar menyalin karangan dan pada masa yang sama pelajar perlu mengesan unsur ayat yang perlu ditulis berdasarkan acuan Jadual Pengembangan Idea Karangan Perenggan Pengenalan, Perenggan isi, dan Perenggan Penutup.
  2. Pelajar bukan sekadar menyalin karangan, malah pelajar boleh membuat penambahbaikan, sekiranya perlu sama ada menyelit istilah menarik (IM), menyelit frasa menarik (FM), mengolah binaan ayat sekiranya perlu.
  3. Setiap minggu, pelajar boleh melihat contoh kepelbagaian karangan dimensi diri, dimensi keluarga, dan dimensi masyarakat dan diselang selikan dengan karangan berpandu.
  4. Pada masa yang sama, setiap kali latihan mengarang, pelajar boleh menyalin karangan rakan terbaik dan pada masa yang sama pelajar boleh merujuk kelebihan karangan terbaik rakan-rakan yang lain.
  5. Pada masa yang sama juga, karangan pelajar terpilih, pelajar berkenaan boleh merujuk kelebihan dan kekurangan karangan mereka di samping membuat pemebtulan kesalahan-kesalahan yang ada.
Kesimpulannya, saya sentiasa mengharapkan pelajar dapat mengambil kesempatan untuk sentiasa meningkatkan dan menghasilkan karangan cemerlang kerana alah bisa tegal biasa dan  usaha tangga kejayaan

Tiada ulasan: