Rabu, 22 Ogos 2018

KARANGAN UMUM DIMENSI KELUARGA - IBU BAPA SENTIASA MENGHARAPKAN ANAK-ANAK MEREKA MENJADI INSAN YANG BERGUNA. BINCANGKAN USAHA-USAHA YANG WAJAR DILAKUKAN OLEH IBU BAPA UNTUK MEMASTIKAN HARAPAN MEREKA UNTUK KE ARAH MELAHIRKAN ANAK-ANAK SEBAGAI INSAN BERGUNA TERCAPAI.


KARANGAN UMUM DIMENSI KELUARGA

Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.

Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka untuk ke arah melahirkan anak-anak sebagai insan berguna  tercapai.

Ibu mengandung sembilan bulan,
Lebih dan kurang tak ditentukan,
Melahirkan dikau berapa kesakitan,
Berpatang pula minum dan makan,

Setelah kamu sudahlah ada,
Siang dan malam ibumu jaga,
Tidurpun tidak barang seketika,
Makan dan minum tidak terasa.

Kasihnya ayah, rela berkorban,

Badan dan nyawa jadi taruhan

          Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam kehidupan. Berdasarkan sedutan lagu Roslan Madun bertajuk “Nazam Ibu dan ayah”, senikatanya amat   menusuk kalbu pendengar kerana keseluruhan lagu berkenaan mengambarkan kasih sayang ibu bapa terhadap anak kesayangan merekaTidak ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anak mereka. Mereka sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak mereka sentiasa selamat dan sihat, serta membesar dalam suasana kondusif.. Bagi ibu bapa, tiada detik yang paling menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak mereka membesar sebagai seorang insan yang berguna dan berjaya dalam pendidikan. Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita  dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka  merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa,”Tiada anugerah yang lebih berharga yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-naknyanya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia”. Sekiranya ibu bapa berjaya menjadi nahkhoda rumah tangga dan berjaya mendidik anak-anak mereka sudah pasti ibu bapa orang yang paling gembira melihatkan kejayaan anak-anak mereka. Sebaliknya, jika anak-anak gagal dalam pendidikan sudah pasti ibu bapa menangisi kegagalan mereka mendidik anak-anak tercinta. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran?

        Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna adalah dengan mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. Ibu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan seterunya kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan. Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak-anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik dan mementingkan kerjaya mereka sahaja. Sebagai contohnya, banyak kalangan ibu bapa pada zaman mileneum ini  menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara negatif seperti berpoya-poya, merokok, menyertai golongan rakan-rakan yang buruk ahklaknya. Tambahan pula pada saat ini anak-anak peringkat remaja sering mengalami sindrom kecelaruan personaliti untuk menempatkan diri mereka  dalam kalangan masyarakat terutama dalam kalangan rakan sebaya. Sekiranya, ibu bapa gagal membantu anak-anak menempatkan diri mereka dalam kalangan rakan-rakan atau tidak memantau pergaulan anak-anak mereka, alamatnya anak-anak mereka akan terjerumus ke dalam kancah aktiviti remaja yang tidak bermoral kerana apabila nasi telah menjadi bubur tidak berguna lagi.Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika lahirnya keluarga yang saling berkasih sayang kerana “Rumahku, Syurgaku”.

            Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan pertelingkahan dan pertengkaran di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah. Amalan melepak ini sebati dengan diri anak-anak akan mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya. Sebaliknya, kegagalan ibu bapa menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku,Syurgaku” sudah pasti situasi berkenaan akan menyebabkan anak-anak tidak selesa berada di rumah dan sebagai langkah pelarian atau alternatifnya, mereka akan keluar rumah untuk mencari ketenangan yang mempunyai kesan negatif apabila terjebak dengan kalangan rakan-rakn runtuh akhlaknya. Tegasnya, ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi keselesaan anak-anak.

            Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan  baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik kerana kalau asal benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau, dilontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.  Jika ibu bapa mempunyai pegangan dan didikan agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya. Sekiranya, ibu bapa memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi sudah pasti kehidupan anak-anak mereka akan sempurna dan mereka akan menjadi insan yang amat diperlukan dalam kalangan masyarakat. Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.

            Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu “bapa borek anak rintik” sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Sebagai contohnya, jika anak-anak melihat ibu bapanya mendirikan solat dan mengamalkan sikap suka membaca, anak-anak sudah pasti akan mencontohi setiap perbuatan dan perlakuan ibu bapa mereka.  Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Sekiranya, ibu bapa menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak  sudah pasti kehidupan anak-anak akan sentisa sempurna dan dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.

            Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah “menjaga tepi kain orang lain” dalam masyarakat  adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Ibu bapa janganlah mudah melenting apabila terdapat jiran-jiran atau guru-guru memberitahu tentang perangai anak-anak kita kerana sebagai manusia yang bukan bersifat sempurna, kadang-kadang kita sendiri sebagai ibu bapa tidak pernah mengambil tahu kekurangan dan kelemahan anak-anak kita. Hal ini demikian kerana kita sibuk dengan urusan dan kerjaya masing-masing. Oleh itu, kita perlu menganggap setiap kritikan  yang diterima sebagai satu teguran yang membina. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Sekiranya ibu bapa sentiasa sensitif dan peka dengan teguran ahli masyarakat sudah pasti natijahnya teguran berkenaan sebagai kunci untuk pembentukan sebuah keluarga cemerlang, gemilang dan terbilang, Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” atau “sudah terhantuk baru terngadah” sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka untuk melahirkan keluarga sakinah, mawadah, wa rahmah.

            Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Sekiranya ibu bapa sering mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada aspek kurikulum, kokurikulum, dan sahsiah anak-anak natijahnya pembentukan diri anak-anak akan menjurus ke arah kesempurnaan. Tuntasnya,ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.

            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran ibu bapa kerana  tugasan berkenaan bukan mudah seperti disangkakan. Antaranya, ibu bapa perlu mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang, menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku, memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak dan ibu bapa juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqomah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan maruah keluarga kita.


3 ulasan:

afif berkata...

assalamualaikum...mohon dikongsi bersama dengan murid - murid ye cikgu..terima kasih banyak - banyak

unknown berkata...

Saya copy , terima kasih

Unknown berkata...

ok