KARANGAN UMUM DIMENSI
KELUARGA
Ibu
bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Bincangkan
usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka untuk ke arah melahirkan anak-anak sebagai insan berguna tercapai.
Ibu mengandung sembilan
bulan,
Lebih dan kurang tak
ditentukan,
Melahirkan dikau berapa
kesakitan,
Berpatang pula minum dan
makan,
Setelah kamu sudahlah
ada,
Siang dan malam ibumu
jaga,
Tidurpun tidak barang
seketika,
Makan dan minum tidak
terasa.
Kasihnya ayah, rela
berkorban,
Badan dan nyawa jadi
taruhan
Setiap ibu bapa
mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam kehidupan. Berdasarkan
sedutan lagu Roslan Madun bertajuk “Nazam Ibu dan ayah”, senikatanya amat
menusuk kalbu pendengar kerana keseluruhan lagu berkenaan mengambarkan
kasih sayang ibu bapa terhadap anak kesayangan mereka. Tidak ada
ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anak mereka. Mereka sanggup
berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak mereka sentiasa selamat dan
sihat, serta membesar dalam suasana kondusif.. Bagi ibu bapa, tiada detik yang
paling menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak mereka membesar
sebagai seorang insan yang berguna dan berjaya dalam pendidikan. Sesungguhnya,
ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita dan membesarkan kita dengan penuh kasih
sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka
merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup
kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa,”Tiada anugerah yang lebih
berharga yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-naknyanya kecuali tunjuk ajar
dan budi pekerti yang mulia”. Sekiranya ibu bapa berjaya menjadi nahkhoda rumah
tangga dan berjaya mendidik anak-anak mereka sudah pasti ibu bapa orang yang
paling gembira melihatkan kejayaan anak-anak mereka. Sebaliknya, jika anak-anak
gagal dalam pendidikan sudah pasti ibu bapa menangisi kegagalan mereka mendidik
anak-anak tercinta. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil ibu
bapa untuk memastikan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran?
Usaha paling asas yang
wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan
yang berguna adalah dengan mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih
sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan
kasih sayang mereka. Ibu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk
luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa
diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa
haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan
hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat
keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif
daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta
motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan seterunya kerana
pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan. Kajian menunjukkan bahawa
punca kebanyakan anak-anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan
rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik
dan mementingkan kerjaya mereka sahaja. Sebagai contohnya, banyak kalangan ibu
bapa pada zaman mileneum ini menyerahkan
bulat-bulat tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya.
Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan
perkara-perkara negatif seperti berpoya-poya, merokok, menyertai golongan
rakan-rakan yang buruk ahklaknya. Tambahan pula pada saat ini anak-anak
peringkat remaja sering mengalami sindrom kecelaruan personaliti untuk menempatkan
diri mereka dalam kalangan masyarakat
terutama dalam kalangan rakan sebaya. Sekiranya, ibu bapa gagal membantu
anak-anak menempatkan diri mereka dalam kalangan rakan-rakan atau tidak
memantau pergaulan anak-anak mereka, alamatnya anak-anak mereka akan terjerumus
ke dalam kancah aktiviti remaja yang tidak bermoral kerana apabila nasi telah
menjadi bubur tidak berguna lagi.Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang
berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika lahirnya keluarga
yang saling berkasih sayang kerana “Rumahku, Syurgaku”.
Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang
berguna juga, ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku
Syurgaku” demi keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga
yang aman dan damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah.
Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan pertelingkahan dan pertengkaran di hadapan
anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar
anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi
mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan
kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang
mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton
televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang tinggal
di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak
pulang ke rumah. Amalan melepak ini sebati dengan diri anak-anak akan mendedahkan
anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah
dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di
kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan
kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan
anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya. Sebaliknya,
kegagalan ibu bapa menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku,Syurgaku”
sudah pasti situasi berkenaan akan menyebabkan anak-anak tidak selesa berada di
rumah dan sebagai langkah pelarian atau alternatifnya, mereka akan keluar rumah
untuk mencari ketenangan yang mempunyai kesan negatif apabila terjebak dengan
kalangan rakan-rakn runtuh akhlaknya. Tegasnya, ibu bapa perlu menyediakan
kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi keselesaan anak-anak.
Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan
yang berguna, setiap ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna
kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau
hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari
rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia
kepada anak-anak di samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul.
Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-anak
membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga
tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik
kerana kalau asal benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau, dilontar ke
udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Jika ibu bapa mempunyai pegangan dan didikan
agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik
kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan
begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal
diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya.
Sekiranya, ibu bapa memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak
sejak mereka kecil lagi sudah pasti kehidupan anak-anak mereka akan sempurna
dan mereka akan menjadi insan yang amat diperlukan dalam kalangan masyarakat. Tegasnya,
didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki
anak-anak yang berguna.
Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang
berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak,
bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi
seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak
menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik
kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan.
Peribahasa Melayu “bapa borek anak rintik” sudah jelas membuktikan bahawa
segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana
anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang
membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik
akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Sebagai contohnya, jika
anak-anak melihat ibu bapanya mendirikan solat dan mengamalkan sikap suka
membaca, anak-anak sudah pasti akan mencontohi setiap perbuatan dan perlakuan
ibu bapa mereka. Oleh itu, ,ibu bapa
haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang
kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu
bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Sekiranya, ibu
bapa menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak sudah pasti kehidupan anak-anak akan sentisa
sempurna dan dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat. Jelasnya, ibu
bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi
insan yang baik dan berguna.
Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima
sebarang teguran daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak
mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin
membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya
menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian
kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka
tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam
konteks ini, falsafah “menjaga tepi kain orang lain” dalam masyarakat adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa
perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu
bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka
berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan
yang sama. Ibu bapa janganlah mudah melenting apabila terdapat jiran-jiran atau
guru-guru memberitahu tentang perangai anak-anak kita kerana sebagai manusia
yang bukan bersifat sempurna, kadang-kadang kita sendiri sebagai ibu bapa tidak
pernah mengambil tahu kekurangan dan kelemahan anak-anak kita. Hal ini demikian
kerana kita sibuk dengan urusan dan kerjaya masing-masing. Oleh itu, kita perlu
menganggap setiap kritikan yang diterima
sebagai satu teguran yang membina. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang
berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang lain dengan hati
yang terbuka. Sekiranya ibu bapa sentiasa sensitif dan peka dengan teguran ahli
masyarakat sudah pasti natijahnya teguran berkenaan sebagai kunci untuk pembentukan
sebuah keluarga cemerlang, gemilang dan terbilang, Peribahasa “sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” atau “sudah terhantuk baru terngadah”
sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa. Sudah terang lagi bersuluh, ibu
bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain
berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka untuk
melahirkan keluarga sakinah, mawadah, wa rahmah.
Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti
perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum
dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan
anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa,
anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek
kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga
memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu
menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin,
guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke
sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran
dan berbincang dengan guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap
anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku
anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga
perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang
lewat. Sekiranya ibu bapa sering mengikuti perkembangan pendidikan
anak-anak sama ada aspek kurikulum, kokurikulum, dan sahsiah anak-anak
natijahnya pembentukan diri anak-anak akan menjurus ke arah kesempurnaan. Tuntasnya,ibu
bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka
jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan
bahawa usaha untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan
pengorbanan dan kesabaran ibu bapa kerana tugasan berkenaan bukan mudah seperti disangkakan. Antaranya, ibu bapa perlu mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang, menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku, memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak dan ibu bapa juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Semua ini perlu dilakukan
melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh
itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa
secara istiqomah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.Setiap ibu
bapa juga mengharapkan anak mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat
dan negara serta mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang
mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja
tidak memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa
masalah serta menjatuhkan maruah keluarga kita.
3 ulasan:
assalamualaikum...mohon dikongsi bersama dengan murid - murid ye cikgu..terima kasih banyak - banyak
Saya copy , terima kasih
ok
Catat Ulasan