Ibu
bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang.
Pada
pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
PETALING
JAYA, Selasa - Kejayaan
luar biasa seorang pelajar di Kolej Mara Banting (KMB) Muhammad Ihsan Thaqif
Bahter Nasir (gambar) yang berusia 18 tahun menjadi
bualan netizen apabila dia bukan sahaja meraih keputusan cemerlang dalam Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan minggu lepas, malah turut cemerlang
dalam ujian semester di kolejnya.
Berita
di atas amat mengembirakan kedua-dua ibu bapa pelajar berkenaan. Memang sudah
menjadi lumrah kehidupan, kajayaan seorang anak dalam pendidikan akan
mengembirakan insan yang banyak mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit tidak
kira sama ada mereka daripada golongan berwang apatah lagi mereka yang
berpendapatan kecil. Sebagai anak, mereka memerlukan bantuan dan
sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang
amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga. Sekiranya, ibu bapa sering
mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan
melibatkan diri dalam kegiatan gejala
sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah
bertanggungjawab dan memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran.
Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk
membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?
Peranan pertama yang
dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang
cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam
situasi yang aman dan bahagia.Anak kunci
keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih
sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi.
Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar
dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan
membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu
bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu
kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting
dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap
“rumahku syurgaku”. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh
tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa
ada tekanan yang berat. Sekiranya, ibu bapa dapat mewujudkan situasi aman bahagia
dalam kehidupan rumahtangga mereka sudah pasti kejayaan dan kecemerlangan
anak-anaknya yang menjadi impian keluarga akan menjadi kenyataa, Sebalikya, kegagalan
ibu bapa membina keluarga bahagia, anak-anak akan menerima natijahnya kerana
anak-anak gagal menyediakan diri untuk berjaya dalam pendidikan akibat
kebejatan rumahtangga. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak
membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran.
Selain itu, ibu
bapa juga perlulah bertanggungjawab
mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan
anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan
harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah
dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja
mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Anak-anak lebih
mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk
membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak
bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap
rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk
belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang
setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku
kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih
awal, bak kata pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana
anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan terhadap
kecemerlangan dalam pelajaran. Sekiranya, ibu bapa tidak alpa dan sering
memantau pergerakan dan perkembangan dan pergaulan anak-anak sudah pasti
anak-anak akan sentiasa dipeduli dan mereka akan berjaya memilih rakan yang
boleh membantu kejayaan mereka dalam setiap aspek sama ada pendidikan dan
pembinaan personaliti mereka agar kecelaruan personality tidak berlaku.
Sebaliknya, kegagalan ibu bapa mengawasi
perkembangan dan pergaulan anak-anak mereka dengan rakan sebaya, sudah pasti
anak-anak mudah terjebak dengan pengaruh negatif rakan sebaya yang mengarahkan
mereka melakukan aktiviti tidak bermoral. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi
perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan
anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.
Di samping itu, ibu
bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral
yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil
lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak
ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain
tersebut. Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu
menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku dalam kalangan anak-anak.
Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk sebelum
bertindak melakukan setiap perbuatan. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang
lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan
tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang
cukup ini dapat membantu anak-anak untuk
memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Sekiranya, ibu bapa gagal
memastikan anak-anak mendapat didikan agama dan moral yang secukupnya, dikuatiri anak-anak akan salah
membuat keputusan dan mereka mudah terjebak dengan kegiatan tidak bermoral akibat pengaruh rakan sebaya. Lambat laun dikuatiri kehidupan anak-anak akan musnah. Sebelum kudis menjadi tokak, ibu bapa sebagai orang yang paling hampir dengan anak-anak perlu bijak mengatasi masalah berkenaan. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan
didikan agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran.
Seterusnya, ibu bapa
juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar di
rumah supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Seyogia, ibu
bapa perlu menyediakan bilik khas untuk anak-anak mengulangkaji pelajaran serta
menyediakan rak-rak untuk tempat simpanan buku, majalah, dan surat khabar. Selain
itu, jika ibu bapa berkemampuan, bilik khas untuk anak-anak belajar perlu
disediakan alat pendingin hawa agar anak-anak boleh belajar secara kondusif.
Bahkan juga, ibu bapa boleh melanggan majalah-majalah seperti Dewan Pelajar,
Dewan Siswa, serta akhbar-akhbar tempatan yang ada menyisipkan ruangan
pendidikan seperti TUTOR oleh Surat Khabar Utusan Melayu dan Akhbar Didik untuk akhbar Berita Harian. Tambahan
pula, akhbar-akhbar tempatan ini menyediakan ruangan nota dan latihan setiap
mata pelajaran untuk membantu anak-anak membuat latihan dan membaca nota sebagai
persediaan untuk menghadapi peperiksaan sama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),
Pentaksiran Tingkatan (PT3) serta Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bahkan juga, ibu bapa boleh membelikan komputer bimbit untuk diletakkan di
rungan kerana gajet ini amat penting untuk membantu anak-anak membuat rujukan
atas talian sama ada untuk mendapatkan maklumat berkaitan pelajaran, untuk meluaskan
kosa kata terutama untuk mendapat maksud
istilah atau istilah sama maksud melalui Pusat Rujukan Bahasa Melayu atas
talian yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Anak-anak juga boleh
melayari pelbagai kemaslahatan pelajaran di laman sesawang seperti “blogger”
yang disediakan oleh guru-guru berpengalaman mata pelajaran secara percuma,
mendapatkan kertas soalan peperiksaan sebenar, atau kertas peperiksaan
percubaan negeri-negeri untuk sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan
kerana maklumat di hujung jari dan langit terbuka. Sekiranya, ibu bapa dapat
menyediakan kemudahan sedemikian rupa, anak-anak akan dapat belajar secara
kondusif, Cuma ibu bapa perlu membuat pemantauan agar anak-anak tidak
menyalahgunakan gajet berkenaan untuk tujuan hiburan berlebihan dan melayari
laman-laman porno yang boleh merosakkan moral mereka. Tegasnya, ibu bapa juga
perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar di rumah supaya
anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran.
Selain itu, ibu bapa yang berkemampuan mereka
boleh menghantar anak-anak mereka mengikuti kelas tambahan atau tuisyen yang tumbuh
bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sebagaimana kita sedia maklum
pusat-pusat tuisyen menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman, tenaga
pengajar yang terlibat dengan pemeriksaan kertas peperiksaan yang pakar untuk
membantu pelajar menjawab soalan peperiksaan dengan tepat dengan kehendak skema
pemarkahan jawapan. Tambahan pula, bilangan pelajar yang kecil di pusat tuisyen
memudahkan interaksi pelajar dengan guru sama ada untuk bertanya hal ehwal
pelajaran yang masih kabur dan selalunya semakan guru di pusat tuisyen berkualiti
dan cepat. Sedangkan bilangan pelajar di sekolah biasa agak banyak menyebabkan
proses pembelajaran dan pengajaran agak kurang sempurna. Seyogia, pelajar yang
mendapat didikan di pusat tuisyen selalunya mendapat keputusan cemerlang dalam
peperiksaan awam. Selain itu, ruangan yang belajar yang kondusif dengan adanya
pendingin hawa akan memberi keselesaan kepada pelajar untuk mengikuti
pengajaran dan pembelajaran guru. Sekiranya, ibu bapa dapat menghatar anak-anak
mengikuti kelas tuisyen, anak-anak akan mendapat bimbingan yang lebih efisien
dan anak-anak akan mudah menghadapi dan menjawap soalan peperiksaan dengan baik
untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Tegasnya, ibu bapa yang berkemampuan
boleh menghantar anak-anak mereka mengikuti kelas tambahan atau tuisyen untuk
mendapat bimbingan yang lebih efisien.
Sebagai ibu bapa mithali, mereka juga perlu
menjadi idola atau model terbaik kepada anak-anak untuk membudayakan amalan
membaca dalam kehidupan bermula dari saat mereka setahun jagung kerana melentur
buluh biarlah daripada rebungnya. Seyogia, ibu bapa hendaklah sentiasa membaca
buku pabila ada masa senggang di hadapan anak-anak kerana setiap gerak geri dan
perbuatan ibu bapa menjadi perhatian serta mereka menjadi contoh kepada anak-anak
kerana bagaimana acuan begitulah juga kuihnya. Di samping itu, sikap mengarah
anak-anak membaca pada waktu senggang sedangkan ibu bapa tidak melakukannya
ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus dan akibat sampai bila-bila budaya
membaca tidak akan lekat di hati anak-anak. Selain itu, ibu bapa bertanggungjawab perlu cakna dan membantu aktiviti Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang wajib dijalankan
di setiap sekolah agar anak sentiasa membaca dan mencatat setiap buku yang
dibaca oleh mereka ke dalam buku NILAM. Situasi ini boleh menimbulkan
persaingan bersih dalam diri anak-anak untuk meningkatkan bilangan buku yang dibaca
pada setiap masa. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan
betapa pentingnya pengetahuan dan maslahat membaca untuk mereka mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Di samping itu, ibu bapa perlu memberi
kata-kata positif atau pujian setiap kali anak-anak menerima sijil nilam sama
ada gangsa, perak, emas dan sijl NILAM agar usaha mereka berkenaan dihargai. Bahkan
juga ibu bapa yang perihatin terhadap budaya membaca boleh membawa anak-anak
mereka ke perpustakaan daerah mahu pun perpustakaan negeri sekali sekala
sekirannya mereka mempunyai masa senggang terutama pada hujung minggu cuti
persekolahan. Sekiranya, aktiviti ini menjadi kebiasaan, anak-anak juga akan
sentiasa mengunjungi pusat sumber sekolah untuk membaca buku-buku, majalah dan
akhbar pada waktu senggang kerana pusat sumber Gedung ilmu. Sudah terang lagi
bersuluh, sebagai ibu bapa mithali, mereka perlu menjadi idola atau model
terbaik kepada anak-anak untuk membudayakan amalan membaca dalam kehidupan
mereka.
Tambahan lagi, ibu bapa
juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta
bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru
tentang perkembangan pendidikan anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan
pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa
berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini
penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah
disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut.
Dalam hal ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh
rakan sebaya yang tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa
mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam
kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah
bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak
meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi
bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak.
Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan
perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran.
Tambahan pula pada tahap umur remaja, anak-anak mudah menghadapi kecelaruan
personaliti dan jika tidak ditangani secara bijak oleh ibu bapa masalah ini
akan menghantui psikologi mereka. Oleh
itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak
mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar
anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai
kecemerlangan dalam pelajaran.
Daripada perbincangan
di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting
untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu
bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi
menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa
depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan
mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tambahan pula, anak-anak pada lingkungan umur remaja memang mudah menghadapi sindrom kecelaruan personaliti dan memerlukan pertolongan serta bimbingan daripada ibu bapa untuk memastikan mereka dapat menentukan tingkah laku dan cara berfikir mereka. Kegagalan ibu bapa menyelesaikan masalah kecelaruan personaliti ini akan memudahkan anak-anak terjebak dengan perlakuan negatif akibat pengaruh rakan sebaya Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan
anak-anak khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan dan pelajaran mereka.
2 ulasan:
Terlalu oanjang
karangan terbaik dan perfect x boring👍👍
Catat Ulasan