Kebaikan Amalan Rumah
Terbuka
Amalan
rumah terbuka sudah menjadi lumrah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Apabila tiba sahaja musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Hari Krismas, masyarakat Malaysia akan mengambil kesempatan untuk mengunjungi rumah terbuka yang diadakan oleh jiran tetangga, pihak kerajaan tempatan, mahupun mengunjungi rumah terbuka yang diadakan di peringkat negara atau peringkat kebangsaan. Bermula pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan kaum utama di Malaysia dianggap sebagai perayaan
utama dan akan disambut sebagai perayaan peringkat nasional iaitu Sambutan Hari Raya Aidil Fitri, Perayaan Tahun Baru Cina,
Perayaan Hari Krismas, Perayaan Deepavali, Perayaan Hari Gawai dan juga Perayaan
Hari keamatan. Oleh sebab itu, semenjak tarikh berkenaan perayaan-perayaan kaum utama masyarakat berkenaan diraikan pada peringkat
kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri pada setiap tahun. Sekiranya,
amalan menyambut perayaan-perayaan berkenaan berterusan sudah pasti keharmonian
masyarakat berbilang kaum di Malaysia akan terus mampan. Menyedari
kesungguhan kerajaan menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional sudah pasti sambutan perayaan berkenaan ada kemaslahatannya kepada negara dan masyarakat. Persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita
ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?
Sebenarnya,
amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kemaslahatan terutamanya
dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota
masyarakat di negara kita. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat
memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka
memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai perpaduan yang harus
wujud untuk mengelakkan sebarang unsur prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan ini
juga dilihat sebagai salah satu pertemuan masyarakat yang melupakan pertentangan pendapat,
perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik
sama ada pembangkang atau kerajaan. Pada sambutan hari perayaan utama berkenaan semua masyarakat Malysia tidak kira warna kulit, agama, dan kaum akan mengambil kesempatan Keadaan ini persis peribahasa buang
yang keruh, ambil yang jernih. Oleh sebab itu, setiap kaum seperti Melayu, India,
Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa
sebarang kekangan yang perlu dibimbangi. Sekiranya, amalan murni ini tetap
kukuh dalam kalangan masyarakat Malaysia, sudah pasti ukhuwah dalam kalangan masyarakat Malaysia akan kekal akrab. Kesannya, perasaan muhibah antara satu sama
lain dapat mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih harmoni dan dapat mengelakkan polemik yang mampu mencentus perbalahan antara kaum. Tegasnya, konsep
penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.
Dari
perspektif yang lain , amalan rumah terbuka dapat membantu rakyat
Malaysia memahami budaya kaum lain. Mereka akan
merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang,
budaya dan agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah
kaum-kaum lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang
rakan-rakan mereka sendiri. Maklumlah tak kenal, maka tak cinta.
Sebagai contoh, orang-orang India, Cina, Iban dan Kadazan merayakan sambutan
Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga
sebaliknya. Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya kaum lain,
malah budaya sihat ini juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat
berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan
tersemai dalam kalangan generasi sekarang. Sebaliknya, jika amalan rumah
terbuka ini pudar, sudah pasti hubungan antara masyarakat yang terdiri daripada
pellbagai kaum akan terhakis. Impaknya, usaha kerajaan untuk mengekalkan
keharmonina masyarakat mungkin terhakis. Tuntasnya, budaya dan adat resam kaum
lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini dan masyarakat Malaysia akan
memahami budaya kaum lain melalui amalan kunjung mengunjung semasa rumah
terbuka diadakan peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.
Dari
kaca mata yang berbeza, penganjuran rumah terbuka juga merupakan daya
tarikan kepada pelancong asing yang melancong di negara
kita. Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati
keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan menghayati sendiri
keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan
kaum masing-masing. Keadaan ini bertepatan dengan kata mutiara jauh
perjalanan, luas pemandangan. Dalam konteks ini, kerajaan
melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan
kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah
terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan,
Hari Gawai, Deepavali dan Krismas. Pengalaman pelancong asing meraikan
perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia
sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka sekembalinya mereka ke negara asal
mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri pelancongan negara. Sekiranya
situasi ini berlaku, sudah pasti budaya dan keharmonian masyarakat negara akan
disanjung oleh masyarakat global dan akan meningkatkan minat pelancong asing
untuk melancong ke negara kita. Izharnya, konsep rumah terbuka dapat memberikan
persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang
berbilang kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian.
Amalan
rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam
hubungan kekeluargaan. Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya
amalan rumah terbuka merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk
memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini
amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh
dan padu, bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan
silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya
akan lesap dalam kehidupan generasi akan datang yang semakin tidak mengenali
sanak-saudara mereka. Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah
mesra dan dapat melepaskan kerinduan di samping mendapat
perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali
mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga
ini. Situasi ini dapat mencerminkan yang tua dihormati, yang muda
disayangi. Jika amalan rumah terbuka di peringkat keluarga diadakan, sudah
pasti setiap unit keluarga asas dan keluarag terbuka akan terpahat. Hal ini
akan mempertautkan hubungan keluarga daripada pelbagai lapisan generasi. Ringkasnya,
hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika
amalan rumah terbuka dibudayakan pada hari perayaan.
Tempias daripada amalan
rumah terbuka ini menyebabkan suburnya hubungan silaturahim dalam
masyarakat. Kesibukan bekerja dan mencari nafkah menyebabkan rapuhnya
institusi kejiranan yang dahulunya kukuh. Namun ikatan hubungan ini dapat kembali
disuburkan melalui amalan rumah terbuka. Rumah terbuka menyediakan ruang serta
peluang bagi masyarakat untuk mengenali jiran tetangga. Ghalibnya,
masyarakat setempat akan dijemput menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan oleh
pihak tertentu. Jiran tetangga yang sebelumnya tidak dikenali atau jarang
bertemu dapat berkumpul dan berbual-bual bagi mengukuhkan hubungan yang
renggang. Segala salah faham dapat diredakan melalui pertemuan serta
perbincangan semasa amalan rumah terbuka. Menurut Saidina Abu Bakar,
‘Hiduplah seperti pohon kayu lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar
orang dengan batu, tetapi dibalasnya dengan buah’. Malahan, hubungan
antara pemimpin dan rakyat juga menjadi lebih erat apabila mereka menganjurkan
majlis rumah terbuka pada sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2018 seperti yang
dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Tun Dr. Mahathir Mohammad Perdana
Menteri Malaysia ke-8. Jelaslah bahawa amalan rumah terbuka mampu mengukuhkan
hubungan silaturahim dalam kalangan anggota masyarakat.
Selain itu, amalan rumah terbuka juga merupakan metodologi lain bagi melihat
serta merasai kepelbagaian masakan masyarakat Malaysia. Rumah terbuka yang
dianjurkan di negara kita telah memberikan kelebihan kepada masyarakat
peribuminya. Setiap perayaan mempunyai corak atau cara sambutan yang
berbeza-beza, maka heterogen adat dan tradisi mula diketengahkan menyebabkan
masyarakat kini mampu mengenalinya secara dekat. Keunikan adat dan tradisi yang
diamalkan telah menjadi faktor penarik bagi masyarakat lain untuk mula
menyesuaikan diri serta merasai kepelbagaian juadah yang disajikan. Sebagai
contoh, rumah terbuka bagi masyarakat Iban biasanya menyajikan sagu, manakala
masyarakat India pula mementingkan manisan. Tetamu yang menghadirinya pasti
teruja apabila mereka dapat merasai juadah yang berbeza dan pelbagai, justeru
tradisi dapat terus dipertahankan, bak kata aforisme Melayu, biar mati
anak, jangan mati adat. Berakar umbi daripada amalan inilah masyarakat
dapat melihat serta merasai kepelbagaian aneka masakan daripada latar
masyarakat yang berbeza. Hal ini menyebabkan tradisi bangsa terus kukuh. Sekiranya amalan ini seperti ini berterusan pada setiap tahun, natijah positifnya bukan sahaja keakraban masyarakat pelbagai kaum terjalin malah masyarakat Malaysia dapat menikmati kepelbagaian juadah makanan kaum lain. Sudah terang lagi berusuluh amalan rumah terbuka juga merupakan metodologi lain bagi melihat serta merasai kepelbagaian masakan
Pada kaca mata berbeza, pendapatan
negara semakin meningkat apabila industri pelancongan di negara kita semakin
maju. Pelancong asing akan bertandang ke negara kita kerana mereka
teruja akan cara-cara masyarakat majmuk menyambut rumah terbuka. Jabatan
Perangkaaan Negara juga menjelaskan bahawa hasil terimaan pelancong meningkat
sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2011 dan dijangka akan terus meningkat saban
tahun. Rumah terbuka dapat menjadi salah satu platform dalam meningkatkan
industri pelancongan Malaysia. Selain itu, sikap toleransi dan persefahaman
multi etnik yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sudah menjadi salah satu daya
tarikan yang kuat dalam kalangan pelancong asing kerana konsep yang berat sama
dipikul, yang ringan sama dijinjing telah lama sebati dan menjadi pegangan utuh
masyarakat kita. Pelancong juga sudah tentu teringin melihat kebudayaan yang
sebelum ini belum pernah dilihat. Hal ini disebabkan segala kebudayaan yang
unik ini dipersembahkan dalam bentuk yang asli. Tuan rumah dan tetamu yang
hadir mengenakan pakaian tradisi masing-masing. Juadah yang dihidangkan juga
mengutamakan hidangan tradisi, maka masyarakat Malaysia mahupun masyarakat
antarabangsa dapat menyelami budaya semua kaum di negara ini dengan lebih
dekat. Hasilnya, kesemua keunikan ini telah menjadi magnet tarikan kepada
pelancong. Jika rakyat Malaysia tidak mengambil kesempatan dengan keunikan dan kepelbagaian etnik luar biasa yang hanya boleh ditemui di negara kita, sudah pasti kita juga yang akan rugi. Natijahnya, pelancong asing akan teruja dengan kepelbagaian budaya dan jenis makanan yang disajikan dan akan terus mengunjungi negara sebagai destinasi pelancongan utama mereka. Tegasnya, pendapatan negara semakin meningkat apabila industri pelancongan di negara kita semakin maju.
Malahan, amalan ini juga dilihat telah menyumbang kepada pembentukan identiti Malaysia melalui budaya bangsa nasional. Sebenarnya, rumah terbuka berlandaskan konsep seruan beragama dan adat budaya kaum masing-masing. Namun demikian, perayaan masing-masing telah diasimilasikan sehingga melahirkan budaya bangsa secara nasional. Senario ini bermakna perayaan negara kita telah berkonsep ala-Malaysia. Pertembungan budaya antara dua atau lebih budaya sebenarnya membawa kepentingan kepada semua pihak. Tamsilnya, masyarakat Cina tidak menyediakan hidangan yang tidak boleh dijamah oleh masyarakat Melayu dan begitu juga dengan masyarakat India. Pertembungan budaya ini sebenarnya bertujuan menjaga perasaan sahabat handai pelbagai kaum di Malaysia. Hal ini disebabkan penghormatan itu merupakan asas keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan hidup masyarakat Malsysia. Keindahan, keunikan dan kehalusan budaya ini akan menyebabkan generasi baru berasa bangga dengan warisan yang dimiliki selagi adat ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Sekiranya rumah terbuka pelbagai kaum dikunjungi pelbagai kaum di Malaysia, sudah pasti kebudayaan kebangsaan Malaysia akan diwujudkan dan kebudayaan ini akan menjadi identiti rakyat Malaysia.Kesimpulannya, amalan rumah terbuka
Setelah
menghalusi hujah-hujah di atas, bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka
memang banyak membawa manfaat kepada masyarakat dan
negara. Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh
semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, kemungkinan
amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk
menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap
pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. Jika
amalan murni ini dibudayakan, sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan
1Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat
Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil dalam peta
dunia, namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa
dapat dijadikan teladan kepada negara-negara di dunia.Semoga dengan kekuatan iltizam masyarakat Malaysia, kita akan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain seperti Singapura, Amerika Syarikat, China, Britain dan negara-negara besar dunia yang lain.
45 ulasan:
Molek2
Bagus
Sangat bermanfaat
Best!!!
hmmm good ...glascious..
👍
sangat bags..bant xam saya.
Cun
Good 😎
Karangan ini sangat bermanfaat kepada anak muda yg sedang mencari ilmu untuk membuat karangan ...taniah dah syabas👍🏼👍🏼👍🏼
Sangat bagus
terima kasih..
Like this
Sangat-sangat bermanfaat,isi yang padat dan dapat menambah idea
Terima kasih kerana berkongsi ilmu pengetahuan....Semoga sihat selalu yang berkongsi maklumat
Bagus
Idea yg baru utk membuat krgn
Good
Karangan yg mantap
👍👍👍
Sangat besarlah�� tapi bagus��
🙆
Bagauss
Bagus karangan ni setiap isi dijelaskan dgn smpurna.tq
good baik
terima bagus tu saya tak baca karangan ini. tapi bagus
Saye suke karangan yg ni byk idea yg br blh ambil
Karangan yang berformat
Karangan yang bagus untuk difahami
Good ...anak saya pun sudah pandai buat karangan
Bagos
itu tibe
A+karangan
Karangn yg bagus
✅🙏♥️but Mana kesimpulanya good job keep it up
Good
Tajuk ni lah masuk trial tdi wahhh
Good
Karangan ini bagus.
terimakasih cg ! sangat bermanfaat semoga terus berjaya dan dimurahkan rezeki selalu
Mintak halal , terima kasih.
Terima kasih cikgu, karangan yang bagus.
Cikgu doakan kami batch 03 yg akan menduduki SPM pada hari ini 💛💛💛
👍👍
rugi tak search tajuk ni , masuk dlm ujian bertutur bahasa melayu tadi ��
👏
Catat Ulasan