SETIAP AHLI KELUARGA MEMAINKAN PERANAN PENTING KE ARAH
MELAHIRKAN GAYA HIDUP SIHAT.
JELASKAN
PERANAN IBU BAPA DALAM USAHA MEMUPUK AMALAN GAYA HIDUP SIHAT.
Amalan gaya hidup sihat merupakan
cara hidup yang boleh mengurangkan pelbagai risiko penyakit pada masa hadapan.
Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan,
tidak aktif dalam rutin harian dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan
rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi
seperti menggemari makanan yang mengandungi kadar kolesterol tinggi, tidak
melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan
risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi,
kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia bertanggungjawab terhadap pembangunan
negara perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini
sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta
menjaga mereka sejak kecil lagi. Sekiranya ibu bapa terus alpa tanpa memberi
berat terhadap tumbesaran dan kesihatan anak-anak, sudah pasti anak-anak mudah
mengalami obesiti dan masalah berkaitan nutrisi. Persoalannya, apakah peranan
ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan
anak-anak mereka?
Sudah terang lagi bersuluh
peri pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam
kalangan anak-anak. Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup
sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak
mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang bermaksud pemakanan
yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu
karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa
perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrien kepada
anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana
makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang
makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam
dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka
apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman
berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa
kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar
untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa
perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk
amalan gaya hidup sihat. Sekiranya, ibu bapa tidak peka dengan penyediaan pemakanan
yang sihat dalam kalangan anak-anak sudah pasti, mereka mudah menghadapi
masalah kesihatan seperti obesiti dan masalah penyakit berkaitan nutrisi
makanan. Tegasnya, peranan ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam
kalangan anak-anak sangat penting dan perlu menjadi keutamaan kerana sudah
terhantuk baru terngadah sudah tidak berguna lagi dan mencegah lebih baik
daripada mengubati.
Selain
itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama
anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan
antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam
mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu
melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak
mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti
senaman perlulah dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali
seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik,
berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Oleh sebab ramai golongan
ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada
waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam
dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan
mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Jika ibu bapa mengabaikan
aktiviti bersenam pada waktu senggang serta membudayakan aktiviti riadah sebagai
aktiviti harian keluarga sudah pasti anak-anak akan mudah menghadapi masalah obesiti
serta serangan penyakit tiga serangkai amat ditakuti masyarakat kini iaitu
serangan jantung, kegagalan fungsi buah pinggang dan kecing manis. Tegasnya,
ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak
supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga
perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara
berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk
membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan
sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana
mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan
pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah,
mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali
tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan
yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka
tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan
doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang
dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi
nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Sekiranya, ibu
bapa lalai dan lebih mengutamakan kerjaya daripada kesihatan anak-anak, mereka
akan menyesali seumur hidup jika ada dalam kalangan anak-anak mereka menderitai
penyakit kronik akibat kealpaan mereka. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara
berkala amat penting untuk mewujudkan
gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak.
Ibu bapa juga
perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan
diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang
penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih,
waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian.
Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah
mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti
mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar
tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang
bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan
aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah kerana malang tidak berbau. Jika
amalan hidup hidup sihat ini dibudayakan dalam kalangan anak-anak, sudah pasti
anak terelak daripada mengalami serangan virus seperti penyakit kaki, tangan
dan mulut (HFMD) yang sering menjadi isu polemik dan meresahkan masyarakat
kini. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri
anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka
dewasa kelak. Tegasnya, mengajar dan melatih anak-anak mereka
mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka
terhindar daripada sebarang penyakit
Pada masa yang sama,
selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga
seyogia mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan
persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan
gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa
menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu
untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh
membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan
membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa
bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa
penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan
nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat
takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian,
ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak
mereka sekali gus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai
penyakit. Jika ibu bapa gagal membudayakan anak-anak dengan budaya menjaga
kebersihan persekitaran mereka, mereka akan mudah diserang penyakit cirit birit,
denggi, kencing tikus, penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD). Sebaliknya, dengan membudayakan anak-anak menjaga kebersihan diri, ibu bapa tidak perlu khuatir kesihatan anak-anak mereka. Tegasnya, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak menjaga kebersihan persekitaran mereka agar kesihatan mereka terpelihara.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan
aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan
bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna
kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka
menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa
digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama
anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya
dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh
gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara
berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga
serta mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak
psikologi yang positif. Sekiranya, ibu bapa tidak mengambil berat aspek
psikologi dan sosial dalam kalangan anak-anak kemungkinan anak-anak akan mengalami
masalah stress dan kemurungan yang akan merencat pertumbuhan minda mereka. Malah
pada tahap yang kronik, anak-anak akan mengambil keputusan lari daripada rumah
dan paling ditakuti ada dalam kalangan anak-anak mengambil keputusan membunuh
diri yang ditegah oleh agama. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa juga perlu
mengambil berat aspek psikologi dan sosial agar kehidupan anak-anak kondusif
tanpa menghadapi masalah psikologi dan hubungan dengan masyarakat sekitar.
Pada masa yang
sama memiliki sikap atau mentaliti positif penting untuk menangani
tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan
seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya
dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama
tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif
daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan
hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun
rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami
boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera,
menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin
positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang
mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik
dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif untuk menangani
cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka
dewasa. Sekiranya, ibu bapa dapat mewujudkan mentality yang positif dalam
kalangan anak-anak sudah pasti mereka sebagai nahkoda dan kepala rumah tangga
akan dapat mewujudkan institusi keluarga mithali dan mewujudkan “Rumahku, Syurgaku”
Tambahan pula, untuk memupuk
amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka
menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun
rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika
ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga
akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak
seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan
merugikan diri kerana perkara ini adalah sesuatu amalan yang mulia. Apabila
kita menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat
melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri
pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung. Perbuatan menziarahi
orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib
orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur kerana Tuhan
mengurniakan badan dan ahli keluarga yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan
bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan
dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit kerana peribahasa Melayu ada
menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sekiranya, ibu bapa dapat mewujudkan sikap
ambil tahu dan simpati dalam kalangan anak-anak terhadap ahli masyarakat yang mengalami musibah sudah
pasti anak-anak akan mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan kesihatan yang
sempurna kepada ahli keluarga mereka. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang
sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat
dan mewujudkan masyarakat yang harmoni.
Akhir sekali, bagi menjalani
amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat
rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan
dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan
mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan
sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai
anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam
walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan
berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran
anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan
semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah
menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah
dipatuhi dengan sepenuhnya. Sekiranya ibu bapa dapat memastikan anak-anak
mendapat tidur yang cukup sudah pasti anak-anak akan dapat menjalankan tugasan
mereka dengan baik sama ada di sekolah atau di tempat kerja. Tegasnya, untuk
memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat
rehat yang secukupnya.
Jika mendaki menuju ke
puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang bersangkut isu
peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan perbincangan
di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini
adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini
sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah
diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata
pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia
haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis,
obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam
jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain, segala kelemahan perlu
ditangani sebelum padi di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban disambar
helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita
laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata
pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
3 ulasan:
Good
Too nice
wow hebat-Gusion
Catat Ulasan