PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET
Marcapada,
internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan dalam masa yang
sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana
hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara
meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu
mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu
penyalahgunaan internet bukanlah suatu isu baharu. Terdapat manusia sanggup
melakukan penyalahgunaan internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan
diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka
tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging.
Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara
mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini
handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu,
sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara
khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’
internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari
internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam
memanfaatkan penggunaan internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada hari ini?
Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar
diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan
cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Memetik
kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu
mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan
pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Hal ini dikatakan
demikian kerana agama merupakan benteng yang paling ampuh untuk menangkis
anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi serta
konsep langit terbuka. Anak-anak yang diasuh dan dibesarkan dengan didikan
agama yang mantap dapat membezakan dosa dan pahala ketika melayari laman
sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan melayari laman sesawang yang
mengandungi unsur pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali gus mampu
mendorong meruntuhkan akhlak anak-anak yang masih separa matang. Bukan itu
sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan internet untuk menjejaskan keamanan
dan keharmonian dalam masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan
menggunakan internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya
anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah
insan yang berguna iaitu insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila
benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka dapat menggunakan
internet dengan baik dan bijak. Tegasnya, langkah awal wajar diambil oleh ibu
bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan
dan memberikan didikan agama yang sempurna
Peranan lain yang harus
dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak untuk memanfaatkan internet
pada masa ini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat
berkaitan dengan internet. Hal ini disebabkan anak-anak perlu diberitahu
mengenai baik buruk penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara
menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar
dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam
menggunakan kemudahan internet pada masa-masa akan datang bak kata
pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur
buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa
bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan kepada anak-anak mengenai
penggunaan internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan
masyarakat moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat
berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan
oleh ibu bapa. Seyogia, ibu bapa perlu faham, bijak dan memahami fungsi
internet dalam kehidupan. Sekiranya, ibu bapa sendiri faham dan cakna fungsi
internet dalam kehidupan sudah pasti anak-anak akan faham dan tidak terjebak perbuatan
salah laku semasa menggunakan internet. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa perlu
mendidik anak-anak untuk memanfaatkan internet pada masa ini termasuklah mendedahkan
anak-anak dengan segala maklumat berkaitan dengan internet.
Selain
itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan
kemudahan internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu internet ini
mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan
anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi,
mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media,
mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Seyogia, ibu bapa perlu tahu bahawa setiap
enjin carian seperti google, alta vista, firefox, mempunyai simpanan carian
yang memboleh mereka mengawal kegiatan internet anak-anak. Oleh itu, ibu bapa
akan tahu sejarah dan cara-cara anak-anak melayari laman di internet. Oleh sebab
itu, ibu bapa yang tahu ruangan “history”akan tahu kecenderungan anak-anak, sama
ada mereka melayari internet untuk tujuan mencari hiburan, maklumat pelajaran
atau melayari internet untuk melihat gambar atau video yang boleh merosakkan
akhlak mereka. Sekiranya, ibu bapa mempunyai kemahiran berkaitan perisian yang
terdapat di dalam komputer, sudah pasti kecenderungan anak-anak sepanjang mengakses internet akan dapat
dikawal. Impaknya sangat efisien, anak-anak akan dapat menggunakan masa senggang dengan lebih baik kerana ibu bapa dapat mengesan segala aktiviti mereka semasa melayari laman sesawang di internet. Tegasnya, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak
semasa menggunakan kemudahan internet
Jika
dikaji dari aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan
internet oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal internet dengan menyekat
laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan
pengguna internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang sama digunakan
pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik kerajaan.
Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan internet
anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang
berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di
rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan internet dengan
lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada mengetahui mahupun
mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif seperti yang
kebiasaanya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa ini. Anak
ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata
peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang
perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang
tidak berdosa. Sekiranya ibu bapa bijak dan mampu mengawal internet dengan menyekat laman sesawang berunsur negatif sudah pasti anak-anak dapat diselamatkan daripada terjebak dengan laman-laman yang merosakkan zaman remaja anak-anak. Impaknya, kita akan dapat menyekat masalah kejatuhan moral remaja yang sangat berleluasa ketika ini. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya mengawal
penggunaan internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan
internet secara lebih bijak.
Akhir
sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak
menggunakan internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka
dengan medium-medium pembelajaran menerusi internet. Seperti yang ditegaskan,
internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi
pendidikan. Hari ini, kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan teknologi
seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti
ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh hal yang
demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau
aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari,
sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran
menggunakan kemudahan internet, namun malangnya kurang laman sesawang ini
kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna internet masa kini.
Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangya
mereka akan mula memanfaatkan penggunaan internet serta bijak menggunakannya.
Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan
melayari internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya
peranti-peranti di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang
berguna kepada anak-anak. Sekiranya, ibu bapa mengambil tindakan dengan
memperkenalkan medium-medium pembelajaran berkenaan melalui internet kepada anak-anak, mereka merupakan insan yang akan mendapat manfaat daripada penggunaan internet.
Tegasnya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak
menggunakan internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka
dengan medium-medium pembelajaran menerusi internet.
Secara
tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengasuh
anak-anak memanafaatkan penggunaan internet. Perkhidmatan internet sememangnya
memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada
keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri,
sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan
internet dalam kehidupan seharian. Walaupun demikian, kita tidak seharusnya
mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan
berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam
memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama
ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat penting
kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat
menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan
akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan pihak yang lain tidak
turut turun padang dalam membantu kerajaan melahirkan generasi yang celik IT
dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat,
sememangnya jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah-masalah
penyalahgunaan internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan
mudah dicantas, dan secara tidak langsung, negara kita akan dipenuhi dengan
generasi-generasi yang berguna dan berfikiran hadapan.
7 ulasan:
Bagus 👍👍👍👍👍
Terbaik
Cikgu ade pape tips x until bust karangan yang bagus
Terima kasih banyak yer...spm #2019
Bagus
Izin kan sye ambil isis
Ok
Catat Ulasan