Karangan dimensi masyarakat.
Karangan dimensi masyarakat berbeza dengan karangan dimensi diri kerana
fokusnya lebih luas dan berbeza sedikit dengan dimensi keluarga kerana skopnya
lebih luas. Sekiranya karangan tersebut jenis dimensi keluarga, penglibatan ahli keluarga
sahaja yang dikaitkan dengan penulisan seperti penulisannya mungkin melibatkan
anak-anak yang terdiri daripada abang, kakak, atau adik serta ibu dan bapa.
Karangan dimensi masyarakatnya skopnya lebih luas mungkin melibatkan
keluarga, pertubuhan belia, guru-guru serta sekolah, badan-badan swasta atau kerajaan, media masa, dan
juga agensi kerajaan. Oleh sebab itu, pelajar perlu mempunyai kemahiran menulis
karangan jenis ini dan bijak memilih isi agar sesuai dengan kehendak soalan. Di
bawah, saya lampirkan contoh karangan dimensi masyarakat dengan kata kunci peranan
pelbagai pihak untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja.
Soalan karangan:-
Amalan
membaca belum dihayati sepenuhnya dalam kalangan remaja pada hari ini.
Jelaskan peranan
pelbagai pihak untuk memupuk amalan
membaca dalam kalangan remaja.
Apabila seseorang itu cuba
mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah
Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca ialah suatu
kewajipan yang penting. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap
kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan
umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun
demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat
Malaysia khususnya kalangan pelajar dan golongan remaja amat liat untuk
membaca. Isu sikap negatif ini berlaku dalam semua peringkat masyarakat umum
hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun
pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil
yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan matlamat
membangunkan insan berminda kelas pertama melalui amalan membaca, nescaya seluruh adiwangsa memainkan peranan
aktif untuk memupuk semula amalan membaca khususnya dalam kalangan remaja. Persoalannya,
apakan peranan pelbagai pihak dalam kalangan masyarakat untuk memumupuk minat
membaca dalam kalangan remaja?
Kelompok sasar yang pertama diharap untuk merancakkan budaya membaca dalam kalangan remaja ialah
ibu bapa. Peribahasa Melayu ada menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdunya dan begitu juga
di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi menunjukkan bahawa segala tingkah
laku yang baik daripada ibu bapa akan
menjadi turutan anak-anak kerana ibu bapa ialah idola mereka. Al hasilnya, sikap
yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang
baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan
melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat positif dalam kalangan anak-anak
seperti sifat gemar meneroka dan mencari maklumat baru dengan cara membaca kerana bapa borek, anak rintik.
Membaca juga boleh dijadikan sebagai aktiviti penerokaan minda yang
membolehkan anak-anak menjadi lebih matang daripada usia mereka. Sindrom
‘mabuk’ gajet yang tidak boleh lekang dengan budaya Whatsapp, Facebook, Twiter
dan Instagram yang mula menyerap ke dalam gaya hidup ibu bapa haruslah
dikurangkan. Sesungguhnya, inilah virus yang sedang bergerak aktif untuk
meletakkan manusia pascamilenium terperap dalam kepompong kebodohan ciptaan
sendiri. Namun, sekiranya ibu bapa gagal gagal menjalankan tanggung jawap
mendidik anak-anak membaca ibarat seperti ketam mengajar anaknya berjalan
lurus, sudah pasti anak-anak akan ketinggalan di belakang rakan-rakan mereka terutama dalam pendidikan.
Tegasnya, ibu bapa perlu dan berperanan merancakkan budaya membaca dalam
kalangan anak-anak atau remaja.
Seterusnya para cendikiawan
bergelar pendidik perlu membudayakan
amalan membaca dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana guru sebagai
pendidik sering mengungguli kecemerlangan pelajar serta menyerlahkan kejayaan institusi
alma mater sebagai pusat kemenjadian manusia yang telah terserlah fungsinya
sejak zaman-berzaman. Di sinilah insan mula membina sahsiah, ilmu dan akal
budi. Oleh sebab itu, guru berperanan penting untuk melahirkan warga pelajar
yang cinta akan ilmu melalui kalam membaca. Selain itu, guru seharusnya
membudaya dan menyuburkan amalan membaca
dalam kalangan pelajar di alma mater agar mereka dapat meneroka gaya berfikir
seperti orang-orang bijaksana menggunakan semua medium peranti elektronik terkini,
contohnya penggunaan komputer riba. Dalam wacana ilmu moden yang semakin
bekembang, para guru seharusnya tidak terperap dalam gaya lama, semasa proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sebaliknya berani keluar daripada
kepompong katak di bawah tempurung. Jika guru kerap mengaplikasi pengajaran
dengan menggunakan peranti elektronik, pelajar akan tertarik dan mudah memahami
pengajaran guru. Pada masa, yang sama pelajar akan berminat menggunakan paranti
elektronik tersebut untuk melayari laman web mendapatkan bahan bacaan dan
mendapatkan sumber maklumat kerana maklumat di hujung jari. Tambahan pula, guru boleh memperkasakan kemahiran pelajar atau remaja mencari maklumat dengan mendidik mereka cara mencari bahan bacaan menggunakan enjin carian di internet seperti menggunakan enjin carian "google", Alta Vista, " Opera", "Yahoo", "Excite", dan sebagainya. Sekiranya guru sendiri tidak menggunakan peranti elektronik dan ghairah mengggunakan kaedah tradisional semasa proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan papan hitam dan kapur , sudah pasti guru ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Tegasnya, guru
sebagai pendidik perlu membudayakan
amalan membaca dalam kalangan remaja.
Masyarakat
massa termasuk rakan sebaya hendaklah menjadi rakan penggalak agar budaya
membaca terus diperkasakan. Belakangan ini kita amat kecewa apabila pelbagai
pegaruh negatif begitu aktif menguasai minda dan sikap anak-anak muda. Gejala
membuang masa seperti berhibur, bergelandangan dan merempit yang menjadi
kegilaan anak-anak muda hari ini akan membawa kecelakaan kepada negara pada
masa hadapan. Oleh sebab itu, masyarakat hendaklah menggempur habis-habisan
gejala pagan ini daripada terus menular dalam kalangan pelajar dan remaja
adalah dengan mengamalkan peribahasa Melayu menjaga tepi kain kain orang lain.
Sebarang bentuk tindakan sama ada melalui nasihat dan kaunseling mahupun
penguatkuasaan undang-undang perlulah dilakukan dengan segera kerana sebelum
terhantuk baru terngadah sudah tidak berguna lagi. Sementara itu, anak-anak
muda yang sedang memenuhi ujana ilmu hendaklah kembali kepada matlamat asal
yakni untuk membentuk insan kamil yang berbudaya dan berilmu. Carilah rakan
sebaya yang sealiran dan saling menyokong sebagai usaha melahirkan generasi
cendekia. Sesungguhnya, rakan yang baik itu ibarat cahaya sepanjang kehidupan.
Sekiranya, masyarakat dan rakan sebaya bersikap tidak ambil peduli budaya negatif rakan
remaja mereka , sudah pasti budaya membaca dalam kalangan remaja akan tetap berada ditakuk lama . Tegasnya, Masyarakat massa
termasuk rakan sebaya hendaklah menjadi rakan penggalak agar budaya membaca
terus diperkasakan.
Agensi kerajaan dan swasta
merupakan institusi masyarakat yang terpenting berperanan untuk menyemarakkan
budaya membaca sebagai suatu tingkah laku positif. Apabila agensi-agensi
berpengaruh ini mula menggerakkan inisiatif pardana amalan membaca, justeru masyarakat massa dengan sendirinya akan
membentuk jati diri membaca. Sudah tiba masanya agensi seperti Jabatan
Penerangan, Imigresen, hospital dan jabatan-jabatan lain menyediakan brosur dan
bahan bacaan berkala yang menarik untuk dibaca oleh pengunjung pada setiap kali
menanti giliran ketika berurusan dengan agensi berkenaan. Sementara itu, agensi
swasta terutama gedung-gedung perniagaan utama berpada-padalah menyajikan
pengunjung dengan sumber-sumber hiburan yang bermula daripada awal pagi hingga
lewat malam. Langkah mundur ke belakang seumpama itu hanya mengumpan masyarakat
untuk menjadi warga hedonistik yang pada akhirnya kokok berderai ekor
bergelumang tahi. Agensi kerajaan dan swasta perlu mengambil contoh daripada
kehidupan masyarakat Jepun dan Eropah yang menggunakan masa senggang mereka
dengan mengamalkan budaya membaca tidak kira di mana mereka berada.Sekiranya, inisiatif
diambil oleh agensi kerajaan dengan menyediakan bahan bacaan di kaunter premis
kerajaan, sudah pasti budaya membaca akan menjadi amalan remaja. Sementara
langkah gedung-gedung perniagaan mengurang atau meniadakan sajian hiburan di
premis perniagaan mereka akan mengurangkan budaya hedonistik dan mengutamakan
budaya membaca sekiranya mereka mempunyai waktu senggang. Tegasnya, agensi
kerajaan dan swasta merupakan institusi masyarakat yang terpenting berperanan
untuk menyemarakkan budaya membaca
Tuntasnya, insan yang
membaca ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam.
Membaca umpama kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan
bijaksana melalui aksara dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu,
masyarakat yang sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai masyarakat yang sedang
mengembara ke seluruh polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli
masyarakat dengan amalan membaca kerana membaca jambatan ilmu dan bangsa
membaca bangsa yang berjaya. Semoga remaja Malaysia menjadi insan yang berjaya
di dunia dan akhirat ibarat benih yang
baik dicampak ke laut menjadi pulau, dan dilontar ke langit menjadi kejora.
2 ulasan:
Salam cikgu. perkataan yang betul kebelakangan ini ataupun belakangan ini?
Kedua-dua perkataan berkenaan membawa maksud yang sama. Anda boleh menggunakan kedua perkataan berekenaan untuk perkara yang sama.
Catat Ulasan