Ada pertanyaan daripada
pelajar berkaitan penulisan karangan dimensi diri. Sebagai makluman, karangan
dimensi diri memerlukan pelajar menulis karangan dengan memfokuskan penulisan
karangan dengan menggunakan ganti nama diri “saya” semasa menulis karangan.
Elakkan penulisan ganti nama “kita”, atau “pelajar”, apatah lagi masyarakat
kerana pengunaan ganti nama berkenaan lebih sesuai untuk fokus karangan dimensi masyarakat. Penulisan penggunaan selain "saya" untuk karangan dimensi diri akan menyebabkan pelajar tidak menjawab soalan dimensi diri dan akibatnya pelajar gagal mendapat markah cemerlang semasa mengarang. Di bawah
saya berikan contoh karangan dimensi diri yang boleh membantu pelajar
mengarang, semoga pelajar akan faham karangan berfokus dimensi diri.
Latihan (Karangan Dimensi
Diri)
Setiap murid
mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk
mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah
yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Syarikat Penerbangan Air Asia merupakan syarikat penerbangan yang
tidak asing dalam industri penerbangan seantero dunia. Namun, dengan berkat
kesabaran, keihklasan, kewibawaan, Tony Fernandes pengendali syarikat
penerbangan tambang murah berkenaan beliau telah berjaya membawa syarikat
penerbangan ini dikenali ramai dengan strategi mengutamakan kehendak pelanggan
dengan slogan The more you give,
the more you will get” Menuntut ilmu juga
memerlukan strategi dan perancangan yang teliti untuk mencapai kejayaan.
Murid-murid sebagai insan yang masih berdenyut, tidak boleh sekadar
berdiam diri dan hanya memasang impian untuk mendakap kejayaan. Begitu juga
dengan saya, hidup ini mesti dihias dengan harapan, perancangan dan strategi
untuk berjaya mendakap kejayaan. Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil
Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan dipecahkan. Suatu waktu dahulu, ada
calon yang berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu pencapaian yang belum pernah
dicapai. Akan tetapi beberapa tahun kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan
oleh Saudari Nur Amalina yang berjaya memperoleh 17A1. Pada SPM 2008 pula,
Saudara Azli Azlan dapat mencipta rekod dengan memperoleh kesemua 21A1 bagi
subjek yang diambil oleh beliau. Sebagai pelajar yang berwawasan, saya perlu
mempunyai percaturan untuk mencapai kecemerlangan dalam dunia akademik saya.
Persiapan-persiapan awal amatlah mustahak sebagai persediaan untuk mencapai
kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Persoalannya, apakah modus
operandi yang perlu saya lakukan untuk menggapai kejayaan dan kecemerlangan kerana
yang pipih tidak akan akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang
bergolek.
Langkah pertama yang saya ambil ialah sentiasa memberikan
perhatian ketika guru sedang mengajar di kelas. Apabila saya memberi perhatian
ketika seseorang guru sedang mengajar, sudah tentu sesuatu pembelajaran
tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Hal ini persis pendapat seorang pakar psikologi yang pernah mengatakan bahawa
“lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan oleh mereka
memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang
dijalankan”. Ditambah lagi dengan suasana bilik darjah bilik darjah yang ceria
perlu supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan
dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang
saya sebut atau yang saya ulangi. Saya juga menyiapkan segala kerja
rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu
topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya
terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang faham kerana berdasarkan
satu kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan
kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar
yang sentiasa mengemukakan soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk
yang kurang difahami oleh mereka. Sekiranya saya bersikap pasif di dalam kelas,
tidak bertanya jika saya tidak faham dengan pengajaran guru, tidak bersedia
untuk mengikuti pengajaran guru serta tidak melakukan kerja rumah yang
diberikan oleh guru, sudah pasti saya dalam kalangan pelajar yang rugi. Tegasnya
memberi tumpuan ketika guru mengajar dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan
oleh guru merupakan satu langkah dan persediaan yang sedang saya lakukan untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, saya perlu menguruskan masa dengan bijak dan baik.
Saya akan menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan
tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini
demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu
para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa
yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan
bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual
waktu belajar yang telah saya tetapkan apabila peperiksaan sudah tiba,
hal ini diibaratkan nasi sudah menjadi bubur. Saya juga haruslah sediakan
payung sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya
terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala
pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka
membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan
“masa lalu tidak akan kembali”, maka mereka tidak dapat menghabiskan semua
tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan dan ini haruslah dielakkan. Jelasnya,
pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat
persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang
akan saya duduki nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan
bertanya guru di sekolah, barulah saya bertanya kepada guru yang mengajar di
kelas tuisyen tetapi saya juga haruslah menghapuskan perasaan segan bertanya
kepada guru-guru di sekolah bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut”,
“segan bertanya sesat jalan.” Malah, jika saya tidak memahami sesuatu topik
yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada
guru di tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua
kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga boleh mengikuti program di
sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan. Saya akan menyertai segala program yang dianjurkan oleh pihak
sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab
Soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai program yang dianjurkan
oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan
yang kerap ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program
sekolah dan mengikuti kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya
untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik
dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat
apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan
yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya
akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentiasa memikirkan akan masa
depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang
mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta
ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan
membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah
diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan
saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada
rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan
dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai
semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak
akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan
terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung
kepada rakan-rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi
dan menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat
membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan
nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri
dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stres.
Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada
dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan
rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam
membuat sebarang keputusan dalam hidup saya.
Akhir sekali, saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya
dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang-orang tua, “Tuhan
hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa.”
Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak
pengalaman. Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu kerana saya
sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu saya selalu
menasihatkan saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan
berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan
dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya
sekalipun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang
saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya.
Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh
sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang
menentukan segala-galanya. Sekiranya saya mengabaikan nasihat ibu bapa saya dan
saya leka tanpa berdoa kepada Tuhan, sudah pasti saya akan gagal mencapai
kejayaan yang saya harapkan. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya
dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala
pemberiannya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah dan segala perbincangan yang saya rancangkan. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan terutamanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, hidup kita sudah tentu teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan tanpa berputus asa ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.
1 ulasan:
Jika guna kita , ia akan tolak berapa markah?
Catat Ulasan