Ahad, 22 September 2019

KEMAHIRAN TATABAHASA BERKAITAN POLA AYAT DALAM BAHASA MELAYU ( KEKELIRUAN PEMBENTUKAN POLA AYAT FRASA NAMA (FN) + FRASA ADJEKTIF (FA)


Pengenalpastian pola ayat FN + FA yang mengelirukan pengguna bahasa.
Frasa adjektif (FA) antara pola ayat yang paling mudah dikenal pasti tetapi ada juga antara kita yang tidak dapat mengenal pastinya. Ada beberapa cara untuk mengenal pasti pola FN + FA seperti yang berikut.
(1) Bahagian predikat yang bermula dengan kata penguat sama ada kata penguat depan, belakang, atau bebas. Lihat contoh di bawah.
(i) Kata penguat depan
(a) Baju itu agak longgar. (FN+FA)
(ii) Kata penguat belakang
(b) Baju itu ketat nian. (FN+FA)
(iii) kata penguat bebas
(c) Baju itu sungguh cantik. (FN+FA)
(d) Baju itu cantik sungguh. (FN+FA)
(2) Bahagian predikat yang bermula dengan kata penguat tetapi diikuti kata kerja juga membentuk pola FN + FA kerana kata penguat yang hadir sebelum atau selepas kata kerja itu sudah membentuk frasa adjektif. Lihat contoh di bawah.
(e) Filem itu menyedihkan hati saya. (FN+FK)
(f) FIlem itu amat menyedihkan hati saya. (FN+FA)
(g) Penerbit filem itu mementingkan kualiti. (FN+FK)
(h) Penerbit filem itu memang mementingkan kualiti (FN+FA)
(i) Penerbit filem itu mementingkan kualiti benar. (FN+FA)
(3) Imbuhan ke-...-an yang membentuk frasa adjektif yang terletak pada predikat ayat tetapi tidak dikenali oleh pengguna bahasa. Lihat contoh di bawah.
(j) Langit hari ini kemerah-merahan. (FN+FA)
(k) Pakaian penceramah itu kemelayuan.(FN+FA)
(4) penggunaan imbuhan se- yang disambut kata kerja atau kata adjektif yang berunsur perbandingan. Lihat contoh di bawah.
(l) Imran sepandai abangnya. (FN+FA)
(m) Imran pandai seperti abangnya. (FN+FA)
(5) Predikat yang bermula dengan (kata adjektif + kata adjektif) dan (kata adjektif + kata nama)
[Predikat berbentuk FA+ FA]
( n ) Adik saya riang gembira apabila melihat ibu bapa. (FN+FA)
[Predikat berbentuk FA+ FA]
(o) Baju adik saya merah jambu. (FN+FA)
(p) Lelaki itu muda remaja. (FN+FA)
(6) Frasa adjektif yang membawa maksud kiasan juga berpola FA yang selalu menjadi pengganggu dalam soalan.
(q) Budak lelaki itu panjang tangan.
(r) Wanita dari Pulau Pinang itu lancang mulut.
(7) FA juga mengelirukan calon peperiksaan atau pengguna bahasa jika ayatnya bersusunan songsang.
(s) Nyenak tidurnya. (FN+FA)
(t) Tinggi lampai anak mami itu. (FN+FA)
(8) Predikat yang bermula dengan kata bantu dan diikuti kata adjektif.
(u) Bangunan itu masih kuat. (FN+FA)
(v) Nenek saya belum sihat. (FN+FA)
(9) Kata adjektif yang diikuti kata penguat dalam ayat komplemen.
(w) Wanita itu sedar sungguh bahawa perkahwinannya sudah berakhir. (FN+FA)
(x) Guru saya yakin amat bahawa peperiksaan ini mencabar murid.
(10) Pengguna bahawa harus tahu bahawa frasa adjektif yang terdiri daripada dua kata adjektif boleh disertai oleh kata bantu tetapi tidak boleh disertai kata penguat.
( y ) Kanak-kanak di wad itu masih riang gembira.
(z) Pensyarah yang tersohor itu sudah kaya raya.
Banyak soalan boleh digubal untuk menguji calon peperiksaan tentang pola ayat FN+FA. Oleh sebab itu, rujuklah Tatabahasa Dewan untuk mempertingkatkan aras soalan dan kualiti soalan demi menguji calon peperiksaan. Dengan cara ini, kita dapat membentuk keterampilan berbahasa Melayu dalam kalangan calon peperiksaan yang bakal menjadi pengguna bahasa Melayu.

Perkongsian pintar daripada  Laman http://cikgutancl.blogspot.com/

Tiada ulasan: