Isnin, 2 April 2018

NOTA PERSEDIAAN UNTUK PEMBENTANGAN PROSA MODEN CERPEN MUNSYI - TINGKATAN 4K1 DAN 4K2


SINOPSIS CERPEN MUNSYI

 Cerpen ini mengisahkan hasrat Mel,iaitu seorang anak muda kampung untuk berhijrah ke kota tetapi dihalang oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar.  Pada pendapat bondanya, Mel masih belum mantap bahasa ibunda dan jati dirinya.  Hal ini demikian kerana bonda sedar bahawa anaknya masih belum dilengkapi ilmu pengetahuan yang secukupnya. Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa.  Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum.  Mel akur akan permintaan bonda untuk menangguhkan penghijrahannya ke kota. Penduduk kota yang berbilang kaum mengamalkan sikap perjudis dan berprasangka. Mereka amat mengutamakan kepentingan diri masing-masing. Oleh itu, bonda menasihati Mel agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus dihormati dan disegani.  Selain itu, anak-anak muda perlu berani mempertahankan nilai dan kepetingan bahasa sendiri. Bonda mengharapkan agar Mel menghargai jasa nenek moyang yang membebaskan tanah air daripada penjajahan. Sebagai seorang warga yang bersifat patriotik, bonda banyak memiliki kitab atau buku lama yang berkaitan dengan bahasa,dan sejarah.  Buku-buku tersebut selalu dibaca oleh Mel.

Setelah Mel berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan.  Hal ini demikian kerana dia memerlukan kerjaya untuk masa depannya. Hasratnya telah mendapat restu daripada bonda Namun, bonda berpesan agar Mel menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa.  Sebelum berangkat ke kota, bonda mengamanahkan Mel agar memberikan kitab-kitab lama kepada seorang sahabat lamanya yang tinggal di bandar. Sahabatnya itu bernama Munsyi. Menurut bonda, hanya Munsyi yang layak menyimpan khazanah lama itu. Setibanya di kota, Mel Berjaya menjejaki Munsyi. Beliau menetap di perkampungan tradisi di pinggir kota. Mel berpeluang berkenalan dan bermesra dengan Munsyi serta menyerahkan puluhan kitab lama kepadanya.

Pada  pengamatan Mel, Munsyi merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya.   Di bandar, Mel melihat golongan mudanya telah hilang identiti dan jati diri.  Mel mendapat perkhabaran bahawa sebuah syarikat perumahan telah diarahkan untuk merobohkan kawasan perkampungan pinggir kota yang didiami oleh Munsyi bersama-sama  dua puluh buah keluarga yang lain. Bangunan mewan dan hotel bertaraf lima bintang akan didirikan di situ. Kerja-kerja perobohan rumah kediaman dijalankan oleh pihak terbabit. Anggota penguat kuasa pula menghalang demonstrasi penduduk.
Mel terkedu apabila melihat rumah munsyi bersama-sama dengan puluhan buku yang diberikan oleh bondanya diranapkan oleh jentera berat. Kesedihannya semakin bertambah apabila mengenangkan satu-satunya tanah rizab bangsa di pinggir kota itu akan dimiliki oleh saudagar asing yang kaya raya. Tanda tanya berlaku dalam diri mel apabila dia gagal menjejaki orang tua yang bernama Munsyi itu. Akhirnya, rumah Munsyi dirobohkan namun munsyi tidak kelihatan di mana-mana.  orang tua yang merupakan pejuang bahasa itu telah menghilangkan diri.

TEMA:

Semangat cinta akan agama, bangsa, bahasa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warganegara. Bonda meminta anaknya iaitu Mel melengkapkan diri dengan ilmu agama dan kemahiran bahasa agar menjadi benteng yang ampuh daripada pengaruh luar yang begitu kuat melanda negara.


PERSOALAN
1.         Keinginan anak muda berhijrah ke bandar untuk membina kehidupan. Contohnya, ‘saya’ memohon keizinan ibunya untuk berhijrah ke bandar bagi membina kehidupannya seperti kebanyakan remaja yang lain.
2.         Peranan penjajah dalam usaha memecahbelahkan rakyat sesebuah negara. Contohnya,  pihak penjajah telah menjalankan sistem pecah dan perintah agar agihan kekayaan negara tidak berlaku secara adil hingga menimbulkan rusuhan kaum akibat rasa tidak puas hati rakyat.
3.         Kegigihan anak muda mempelajari segala ilmu untuk meneruskan kehidupannya. Contohnya, ‘Saya’ tekun belajar pelbagai ilmu yang berkaitan dengan kehidupan sebelum berhijrah ke bandar.
4.         Ketaatan seorang anak terhadap nasihat ibunya. ‘Saya’ mentaati nasihat ibunya yang tidak membenarkannya berhijrah ke bandar kerana pada pendapat ibunya ‘saya’ masih belum cukup kuat jati diri untuk tinggal di bandar.
5.        Kebimbangan seorang ibu terhadap anaknya. Contohnya, ibu keberatan untuk melepaskan ‘saya’ ke bandar kerana bimbang ‘saya’ terpengaruh akan budaya negatif yang terdapat pada remaja di bandar.

TEKNIK PENCERITAAN
1.         Dialog - “Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya.”
2.         Imbas kembali - Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam empat dekad lampau.
3.         Imbas muka. - Di kota nanti carilah seorang sahabat lama bonda bernama Munsyi.
4.         Pemerian. Salam saya akhirnya dijawab oleh seorang lelaki di usia emas dengan janggut putih menutupi sebahagian muka yang putih bersih.  Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan Melayu.  Di jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik. 
5.         Kejutan. Saya mendengar khabar bahawa syarikat perumahan akan mengambil alih kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.
6.         Saspens. Aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.

WATAK DAN PERWATAKAN
1.         Watak utama - ‘Saya’
·     Seorang yang taat -‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke 
     bandar.
·      Seorang yang amanah. -‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu buku-buku yang 
     sepatutnya diserahkan kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.

·       Seorang yang gemar membaca- ‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat 
      Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya.
·      Seorang yang tidak mudah putus asa -‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila 
    sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.

2.         Watak sampingan
Bonda ‘saya’
·         Seorang yang berpengetahuan luas. -Bonda bercerita kepada ‘saya’ tentang sejarah pahit 
       tanah air.
·         Seorang yang bersifat patriotik. -Bonda menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, 
       bahasa ibunda dan negara.
·         Seorang yang amat memahami -Bonda mengizinkan ‘saya’ berhijrah apabila didapati 
       anaknya itu sudah mantap ilmu dan jati dirinya.

Munsyi
·         Kawan lama bonda.
·         Seorang yang cinta akan budaya Melayu -Munsyi berpakaian tradisi Melayu yang 
       lengkap dengan keris ketika menyambut kedatangan ‘saya’.
·         Seorang yang mengalu-alukan tetamu. -Munsyi tersenyum dan menjemput ‘saya’ masuk 
       ke rumahnya.

LATAR
Latar masa
1.         Zaman pemerintahan penjajah - Penjajah telah memerintah negara menggunakan sistem pecah dan perintah.
2.         Zaman selepas merdeka - Rakyat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa dan agama selepas dijajah.
Latar tempat
1.        Di kampung -Pada mulanya, bonda tidak membenarkan ‘saya’ meninggalkan kampung untuk berhijrah ke kota
2.         Di kota -‘Saya’ berhijrah ke kota untuk membina kehidupan yang lebih sempurna.
3.     Di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota -Munsyi tinggal di sebuah rumah yang terletak di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota.


Latar masyarakat
1.         Masyarakat kampung. -‘Saya’ dan bonda tinggal di kampung.
2.        Masyarakat remaja yang tinggal di bandar. -‘Saya’ dapati masyarakat remaja yang tinggal di bandar kebanyakannya telah hanyut oleh keseronokan hidup.
3.         Masyarakat yang mengamalkan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan. -Penduduk 
      kampung tradisi mengadakan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap pencerobohan tanah milik mereka oleh pihak berkuasa.
4.        Masyarakat yang cekal dan berani. - Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.

GAYA BAHASA
1.         Kata ganda - Zaman- berzaman
2.         Metafora. - Pagar-pagar perkauman, pohon kebenaran, racun perkauman
3.         Peribahasa. -Bahasa jiwa bangsa
4.        Simile - Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan Melayu.
5.         Hiperbola -Namun kerana hasad dengki, khianat, kronisme serta rasuah yang bermaharajalela, kegemilangan yang dibina musnah sekelip mata.

NILAI
1.         Patriotik. Bonda menasihati ‘saya’ agar sentiasa memelihara bahasa ibunda dan agama.
2.         Ketaatan. ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar.
3.      Kegigihan. Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.
4.     Amanah. ‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu menyerahkan buku-buku kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.

PENGAJARAN
1.        Kita hendaklah taat pada perintah dan larangan ayah dan ibu. ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar
2.      Kita hendaklah gigih apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.
3.       Kita hendaklah rajin membaca untuk meningkatkan pengetahuan.‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya.
4.      Kita tidak boleh mudah putus asa apabila menemui kegagalan.‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.

Soalan 2 (b) - Petikan Prosa Moden
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

Dek benih penjajah yang menanamkan racun perkauman melalui sistem pecah dan perintah, bernanahlah segala prasangka buruk sebelum meletusnya tragedi sengketa dan rusuhan antara warga kota yang mewakili bangsa-bangsa yang berbeza fahaman, bahasa dan budaya.
Akibatnya, darah dan korban menjadi saksi kepada sebuah api pergolakan sehingga mencetuskan huru-hara kepada negara yang baru setahun jagung menghirup udara kemerdekaan. Seperti kata bonda kepada saya setiap kali menjengah kalendar Mei pada wajah hari.
“Tanah air ini pernah bernyala api tragedi. Penjajah menabur bara sengketa melalui pengagihan sumber kekayaan bumi ini yang tidak seimbang. Bangsa pertama ditempatkan di bandar-bandar besar sebagai peniaga dan pengusaha lombong bijij timah. Bangsa kedua terbiar daripada arus pembangunan dengan mendiami kampung-kampung tradisional di luar bandar sebagai nelayan dan pesawah. Bangsa ketiga pula terus-menerus melarat dalam kemiskinan di ladang-ladang dan estet yang serba mundur. Masing-masing terpisah oleh tembok dan benteng perkauman yang tebal...”

(Dipetik daripada cerpen ‘Munsyi’
oleh Husna Nazri,
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i)               Mengapakah penjajah dikatakan mengagihkan sumber kekayaan negara kita dengan
             tidak seimbang?    
             Jawapan soalan ini terdapat dalam petikan soalan dan jawapan diwarnakan dengan 
         warna  kuning. Pastikan binaan ayat anda gramatis dan anda menyenaraikan dua isi paling minimum.          
             Contoh jawapan dan binaan ayat yang sesuai dan gramatis:-

     Penjajah dikatakan mengagihkan sumber kekayaan negara kita dengan tidak  seimbang dengan menempatkan bangsa pertama di bandar-bandar besar sebagai peniaga dan pengusaha lombong, bangsa kedua terbiar daripada arus pembangunan dengan mendiami kampung-kampung tradisonal di luar bandar sebagai nelayan dan pesawah serta bangsa ketiga dibiarkan terus-menerus melarat dalam kemiskinan di ladang-ladang dan estet yang serba mundur supaya mengelakkan perpaduan antara kaum.
             
[2 markah]

(ii)               Penjajahan terhadap sesebuah negara meninggalkan kesan yang sangat besar kepada 
              rakyat.
              Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan tersebut?
        Jawapan anda perlu menggunakan Kemahiran Befikir Aras Tinggi (KBAT) dengan pendapat sendiri dengan menyatakan kesan penjajahan kepada masyarakat.
             Contoh, - penjajahan menyebabkan  hubungan antara masyarakat renggang atau tidak 
                             utuh.
                           - penjajahan menyebabkan mayarakat kehilangan orang tersayang akibat 
                             dibunuh 
                           - penjajahan menyebabkan mayarakat cedera dan mengalami luka parah   
                             akibat tembakan atau didera.
                           penjajahan menyebabkan mayarakat kehilangan pekerjaan.
                           penjajahan menyebabkan mayarakat kehilangan rumah dan harta benda.
                           penjajahan menyebabkan mayarakat sukar mendapat bahan makanan.
             Pastikan jawapan dibina dengan ayat gramatis, dan senarai dua isi. Paling baik, senarai tiga isi dan isi ketiga sebagai "backup" sekiranya isi pertama atau kedua salah.
[3 markah]
(iii)             Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan satupersoalan lain
              daripada keseluruhan cerpen tersebut.
              Jawapan soalan ini memerlukan pelajar mencari satu persoalan daripada petikan dan 
          satu lagi persoalan yang tiada dalam petikan teks. Oleh sebab itu, pelajar perlu tahu  persoalan-persoalan yang diutarakan dalam cerpen ini.

[4 markah]

              Pastikan jawapan yang ada tulis mesti dengan binaan ayat yang gramatis, elakan 
              menulis secara  atau dalam bentuk "point". Pastikan jawapan anda bermutu.

                        Sila hubungi saya dalam whataaps kelas 4K1, jika anda tidak faham cara menjawab soalan di atas.

9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa maksud tanah rizab

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Tanah Rizab bermaksud tanah simpanan atau tanah yang dikhaskan untuk sesuatu tujuan atau untuk sesuatu golongan.

Tanpa Nama berkata...

nak tanya.. kalau soalan dia tanya 'apakah kata kata mel yang membuatkan bonda memandang saya dengan pandangan prejudis? ' jawapan dia memang panjamg ke, maksud saya kena tukar kepada ayat pindah ?

Unknown berkata...

Mana ponn boleh asal senaraikan semua yang dikatakan olehh mel

Tanpa Nama berkata...

apa maksud menabur bara sengketa?

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Menabur bara sengketa bermaksud menyemarakkan api pergaduhan.

Unknown berkata...

Apa yang terjadi kepada munsyi apabila kelibatnya tidak ditemui?

Unknown berkata...

Ape maksud api pergolakan

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Api pergolakan bermaksud timbulnya permusuhan atau persengketaan.