Isnin, 23 April 2018

CONTOH KARANGAN DIMENSI NEGARA - KERJA RUMAH MURID KELAS 5 SAINS SMK SERI LONDANG


Aktiviti manusia telah menyebabkan bekalan air berlaku di beberapa tempat di negara kita sehingga mendatangkan pelbagai kesusahan kepada banyak pihak.Berikan komen anda.

Kebanyakan murid kelas 5 Sains mengeluh kerana soalan yang saya berikan sukar. Sememangnya soalan di atas sukar sekiranya muird tidak meneroka alam siber untuk mencari maklumat. Maklumat yang saya paparkan merupakan di atas  hanya fakta asas, dan pelajar perlu mencari banyak lagi untuk menghasilkan karangan yang bermutu.

Penulisan karangan di atas, mengkehendaki anda menyatakan aktiviti manusia menyebabkan bekalan air berlaku di beberapa tempat di negara kita sehingga mendatangkan pelbagai kesusahan kepada banyak pihak.


SILA RUJUK BAHAN MAKLUMAT PADA CORETAN SEBELUMNYA

CONTOH PENGENALAN BERDASARKAN KATA-KATA PEMIMPIN 

PERKARA
PENERANGAN
PENGENALAN JENIS KATA-KATA PEMIMPIN
"Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya." Kata-kata Mahatma Gandhi.
AYAT RANGSANGAN  1
Berdasarkan kata-kata Mahatma Gandhi di atas, jelas menunjukkan alam sekitar amat penting kepada generasi akan datang terutama kelestarian sungai sebagai sumber air minuman dan sumber makanan kepada masyarakat.
AYAT RANGSANGAN  2
Namun, akibat daripada sikap manusia yang mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing mengakibatkan pencemaran sungai yang berfungsi sebagai sumber air bersih untuk minuman berlaku dengan berluas-luasa.
AYAT RANGSANGAN  3
Seyogia, sebagai insan yang mempunyai akal fikiran dan faham akan kepentingan sungai seharusnya bertanggungjawab menjaga khazanah alam semulajadi kurniaan Tuhan.
FRASA MENARIK
Sudah terhantuk baru tergadah, begitulah situasinya akan berlaku sekiranya sungai-sungai di negara kita tercemar kerana untuk mengembalikan kelestariannya amat sukar malah memerlukan kos yang tinggi.
UNSUR KBAT
Sekiranya sikap dan budaya masyarakat yang cakna akan kepentingan sungai tidak tersemat di jiwa, sudah pasti sungai-sungai  di Malaysia akan terus tercemar.
AYAT ARAHAN
Persoalannya, apakah aktiviti manusia menyebabkan berlakunya masalah bekalan air sehingga menyebabkan berlakunya kesusahan kepada banyak pihak?


MODUL OPERANDI JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI  PERTAMA:-


TEMA KECIL/ KATA KUNCI ISI
Sebagai permulaan, saya ingin menyelongkar permasalahan pembuangan sampah sarap dalam kalangan penghuni di bandar-bandar besar sebagai punca utama masalah bekalan air sehingga menyusahkan pihak tertentu.
AYAT HURAIAN 1
Mengikut kajian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan setiap individu membuang sisa pepejal 1 kilogram setiap hari (Jaringan Kerajaan Tempatan,1999) Jika semua sampah yang dihasilkan oleh seluruh penduduk dikumpulkan selama 1 bulan sahaja, sampah berkenaan akan memenuhi kira-kira empat buah Menara Kuala Lumpur! 
AYAT HURAIAN 2
Oleh sebab itu, kenyataan di atas amat memeranjat dan menakutkan, masyarakat, sedangkan sampah buangan berkenaan  dikendalikan oleh pihak kementerian yang bertanggungjawab belum lagi sampah yang dibuang warganegara tanpa rasa bertanggungjawab  ke dalam sungai.
AYAT CONTOH 1
Sebagai contoh, antara sungai yang paling tercemar di Malaysia ialah Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang, Sungai Klang, dan Sungai Pencala di Kuala Lumpur serta Sungai Segget di Johor.
AYAT CONTOH 2
Begitu juga pencemaran terkini yang berlaku di Sungai Semenyih menyebakan bekalan air di negeri Selangor bermasalah sehingga menyebabkan bekalan air untuk pengguna di sekitar negeri berkenaan tergendala.
AYAT HURAIAN 3
Selain itu, akibat permasalahan air di Selangor yang berlaku baru-baru ini bukan sahaja memberi impak kepada isi rumah tetapi juga menjejaskan operasi premis penjualan makanan, dan kilang yang yang amat bergantung kepada sumber air untuk meneruskan operasi mereka.
UNSUR KBAT
Sekiranya, masalah pembuangan sisa buangan manusia dapat dikawal sudah pasti masalah pencemaran sungai di Malaysia dapat dikawal dan bekalan air minuman terawat tidak akan berlaku serta premis yang bergantung kepada air sebagai sumber operasi mereka tidak akan terjejas.
FRASA MENARIK
Peribahasa Melayu ada mengatakan,   "Oleh sebab nila setitik habis susu sebelanga," begitulah keadaannya dengan permasalahan air yang berlaku di negara kita.
AYAT  PENEGAS
Sudah terang lagi bersuluh, antara punca pemasalahan air di negara kita berlaku adalah kerana pembuangan sampah sarap dalam kalangan penghuni di bandar-bandar besar tanpa kawalan sehingga mencemarkan sungai.


MODUL OPERANDI JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI  KEDUA:-


TEMA KECIL/ KATA KUNCI ISI
Selanjutnya, saya akan mengulas dan memberi pendapat berkenaan permasalahan bekalan air berlaku di beberapa tempat di negara kita sehingga menyusahkan pelbagai pihak dengan kata kunci sikap tidak  bertanggungjawab pengusaha perindustrian sebagai faktor permasalahan bekalan air.
AYAT HURAIAN 1
Sebagai sebuah negara maju, setiap pengusaha perindustrian domestik mengambil kesempatan untuk menjalankan operasi mereka dan pada masa yang sama mereka berusaha mengaut keuntungan tanpa mengendahkan kelestarian sungai.
AYAT HURAIAN 2
Hal ini demikian berlaku kerana sikap pengusaha berkenaan untuk mendapatkan keuntungan berlipat ganda dalam menjalankan operasi mereka sehingga meninggalkan tanggungjawab sosial
AYAT HURAIAN 3
Berbalik semula kepada Sungai Semenyih yang didakwa sering tercemar dan perkara ini bukan sahaja berlaku pada tahun 2017 tetapi berlaku pada tahun 1980-an apabila didapati sumber air sungai berkenaan menjadi tempat pembuangan najis khinzir.
AYAT HURAIAN 4
Oleh sebab pembangunan negara, kini pencemaran terkini akibat daripada ledakan kemajuan industri, Sungai Semenyih dicemari dengan bahan buangan industri seperti minyak, gris, hasil buangan pepejal industri sehingga menyebabkan loji penapisan air terpaksa ditutup.
AYAT CONTOH
Akibat penutupan loji penapisan air berkenaan lebih kurang 450 kawasan terjejas kerana tidak mendapat bekalan air, contohnya melibatkan Daerah Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan,  Daerah Hulu Langat di Bangi,  Bandar Bukit Mahlota, Kajang Semenyih,  dan juga Kawasan sekitar Daerah Kuala Langat.
UNSUR KBAT
Jika, masalah pencemaran berkenaan tidak dapat dielakkan sudah pasti krisis air di sekitar kawasan yang dinyatakan di atas akan berterusan dan akan melibatkan kesusahan kepada penduduk  serta akan merugikan negara apabila operasi perindustrian di kawasan berkenaan terjejas.
FRASA MENARIK
Oleh sebab itu penguatkuasaan undang-undang dan penyitaan industri yang tidak menjalankan operasi secara bertanggungjawab perlu dilakukan kerana sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
AYAT  ARAHAN
Tegasnya, sikap tidak bertanggungjawab pihak pengusaha perindustrian merupakan faktor berlakunya masalah penyaluran bekalan air kepada pengguna.

MODUL OPERANDI JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI  KETIGA:-


TEMA KECIL/ KATA KUNCI ISI
Seterusnya, saya akan terus menyelongkar faktor  permasalahan bekalan air dengan kata kunci pembalakan secara tidak terkawal antara punca masalah penyaluran air kepada pengguna.
AYAT HURAIAN 1
Sebagaimana kita sedia maklum, hutan  berfungsi sebagai ekologi kerana fungsinya sebagai “Peparu Bumi” kerana peranannya  sebagai tadahan air hujan.

AYAT HURAIAN 2
Oleh sebab itu, aktiviti pembalakan tanpa kawalan dan pembalakan haram akan membinasakan hutan semulajadi anugerah Tuhan dan menyebabkan kehilangan sumber air yang banyak .

AYAT HURAIAN 3
Seyogia, pembalakan yang dijalankan di kawasan berhampiran dengan sungai yang menjadi sumber bekalan air utama perlu dibanteras kerana impaknya boleh menyebabkan kuantiti air akan berkurangan.
AYAT HURAIAN 4
Tambahan pula dengan pertambahan penduduk yang semakin ketara dan mengikut  Bancian Penduduk pada tahun 2017 jumlah penduduk Malaysia seramai 32 juta memerlukan pihak kerajaan mencari sumber bekalan air baru untuk kegunaan generasi pada masa akan datang.
AYAT CONTOH
Sebagai contoh negara dikejutkan dengan aktiviti pembalakan haram dan pembalakan tidak terkawal seperti di Sungai Benus di Hutan Lipur Lentang, Pahang, Kampung Binjai Manis, Terengganu, dan juga Kawasan hutan di Kuala Krai, Kelantan.
UNSUR KBAT
Jika pembalakan tidak terkawal dan pembalakan haram terus-menerus menelanjangi muka bumi negara serta pertambahan penduduk semakin meningkat, sudah pasti kawasan tadahan hujan dan empangan air yang menampung bekalan air negara akan terancam.
FRASA MENARIK
Sudah pasti, peristiwa krisis air yang berlaku di Klang pada tahun 1998 dan di Durian Tunggal Melaka pada tahun 1991 menjadi pengajaran kerana apabila nasi sudah menjadi bubur sudah pasti tidak ada berguna lagi.
AYAT PENEGAS
Sudah terang lagi bersuluh, pembalakan secara tidak terkawal antara punca masalah penyaluran air kepada pengguna.


MODUL OPERANDI JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI  KEEMPAT:-

TEMA KECIL/ KATA KUNCI ISI
Tidak dapat disangkal, vandalisme yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab juga merupakan punca bekalan air terawat tidak dapat disalurkan kepada pihak pengguna.
AYAT HURAIAN 1
Sebagaimana kita sedia maklum, kawasan punca air bersih, dan kawasan empangan air merupakan kawasan larangan kerana kawasan berkenaan penyumbang utama air bersih untuk rawatan di loji pembersihan air sebelum disalurkan kepada pengguna.
AYAT HURAIAN 2
Pihak pengedalian pembersihan air terawat seperti  Syarikat Bekalan Air Selangor  Sdn. Bhd (Syabas ) menyatakan vandalisme antara punca bekalan air bersih terawat gagal disalurkan kepada orang ramai.
AYAT CONTOH
Sebagai contoh pada tahun 2013, loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 dan LRA Rantau Panjang terpaksa ditutup kerana pencemaran akibat tumpahan minyak diesel.
AYAT HURAIAN 3
Selain itu, penutupan LRA juga berlaku akibat kecurian dan vandalisme injap pam rawatan air dan juga komponen peralatan penting loji rawatan air.
AYAT HURAIAN 2
Sebagai langkah berjaga-jaga pihak syarikat air berkenaan terpaksa memasang Sistem Pemantauan Air Mentah untuk mengelak pencemaran berulang pada masa akan datang.
UNSUR KBAT
Sekiranya, pihak pengendalian air terawat berkenaan tidak cakna dan gagal mengesan pencemaran dan perbuatan tidak bertanggungjawab mencemarkan loji rawatan sudah pasti bukan sahaja syarikat berkenaan mengalami kerugian besar malah masyarakat pengguna air juga akan menerima impaknya di samping kerugian kepada pengusaha industri yang bergantung harap kepada bekalan air terawat.
FRASA MENARIK
Oleh sebab itu, kerjasama yang erat bagai aur dengan tebing amat perlu dalam kalangan pekerja syarikat air berkenaan serta bantuan masyarakat setempat untuk mengatasi masalah vandalisme.
AYAT PENEGAS
Kesimpulannya, vandalisme yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab juga merupakan punca bekalan air terawat tidak dapat disalurkan kepada pihak pengguna.

MODUL OPERANDI JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI  KELIMA:-

TEMA KECIL/ KATA KUNCI ISI
Namun begitu, masalah bekalan air juga tertakluk kepada kejadian alam terutama faktor kemarau berpanjangan.
AYAT HURAIAN 1
Sebagaimana kita sedia maklum, keadaan cuaca negara akibat tempias musim panas berkait rapat pembawaan fenomena El Nino yang berlaku di beberapa negara Asia.
AYAT HURAIAN 2
Walaupun tempias fenomena El Nino tidak kritikal tetapi bahang kepanasan tetap dirasai akibat kehadiran monson barat daya yang membawa bahang kepanasan.
AYAT CONTOH
Paling terkesan dengan bahan kepanasan dan penggunaan air pada tahap puncak sudah pasti kawasan padat penduduk seperti di Lembah Klang.
AYAT HURAIAN 3
Selain menerima penggunaan air yang maksima dalam kalangan isi rumah, permintaan air yang tinggi dalam sektor industri pembuatan, dan pembangunan industri pembinaan telah meningkatkan kuantiti penggunaan air berganda setiap hari.
UNSUR KBAT
Sekiranya, pembekalan air tidak dilakukan secara sistematik, dan pihak pengguna air tidak cakna dengan sikap berjimat cermat menggunakan air semasa waktu puncak, sudah pasti krisis bekalan air berlaku seperti berlaku di Lembah Klang pada tahun 1998 sertakrisis air di Durian Tunggal Melaka pada tahun 1991.
FRASA MENARIK
Permasalahan air ini perlu diselesaikan secara kolaborasi pelbagai pihak sama ada pembekal air, pengguna air terdiri daripada isi rumah dan sektor perindustrian bagaikan menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berterabur.
AYAT PENEGAS
Tegasnya, masalah bekalan air juga tertakluk kepada kejadian alam terutama faktor kemarau berpanjangan.

JADUAL PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN PENUTUP KARANGAN 

Ayat Penyimpul
Sebelum saya mengakhiri penulisan saya ini, saya ingin menegaskan aktiviti manusia merupakan penyumbang utama permasalahan pembekalan air kepada pengguna sehingga menimbulkan menimbulkan pelbagai masalah kepada pelbagai banyak pihak.
Ayat cadangan
Sebagaimana saya perkatakan di atas, tangan-tangan nakal masyarakat seperti pembuangan sampah sarap dalam kalangan penghuni di bandar-bandar besar, masalah sikap tidak  bertanggungjawab pengusaha perindustrian, sikap pembalakan secara tidak terkawal, masalah vandalisme yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab, dan tidak boleh disangkal faktor  cuaca iaitu kemarau berpanjangan juga antara faktor berlakunya masalah pembekalan air kepada kepada pengguna sehingga menimbulkan menimbulkan pelbagai masalah kepada pelbagai banyak pihak.
Ayat huraian cadangan
Berdasarkan faktor-faktor di atas, masalah pembekalan air akan berlaku secara berterusan selagi sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat tidak diubah.
Ayat huraian mengapa
Cadangan diutarakan
Oleh sebab itu, usaha berterusan bermula daripada akar umbi iaitu institusi keluarga, diikuti kalangan masyarakat, badan-badan bukan kerajaan, serta pihak kerajaan untuk menyedarkan segelintir masyarakat yang lebih mengutamakan nilai indvidualistik sebagai keutamaan mereka.
Ayat cadangan tambahan jika ada.
Selain itu, saya juga ingin menyatakan punca masalah pembekalan air berlaku bukan sahaja  faktor di atas, malah juga masalah kecurian air oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dan  masalah pertambahan penduduk juga merupakan antara penyebab masalah berkenaan berlaku.
Unsur KBAT
Jika masalah yang diperkatakan di atas tidak diambil peduli, sudah pasti masalah pembekalan air terawat kepada pengguna yang terdiri daripada isi rumah dan serta sektor industri tidak alan berlaku.
Frasa menarik
Kita harus sedar masalah pembekalan air terawat bukan menjadi isu setempat malah telah menjadi isu nasional dan perlu diambil tindakan serta keutamaan kerajaan untuk menyelesaikannya ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak bertarabur.
Ayat Harapan
Konklusinya, sebagai warganegara yang prihatin, kita perlu melakukan usaha berterusan untuk menangani masalah bekalan air terawat dengan berkolaborasi dengan pihak berkuasa agar masalah berkenaan tidak terus berleluasa.

ALHAMDULILLAH KARANGAN DI ATAS SUDAH SAYA LENGKAPKAN.
KESIMPULANNYA, UNTUK MENULIS KARANGAN DIMENSI NEGARA
MEMERLUKAN PELAJAR BANYAK MEMBACA DAN BIJAK MEMBINA AYAT YANG GRAMATIS. KEMUNGKINAN AYAT YANG SAYA BINA PANJANG TETAPI
PELAJAR TIDAK PERLU MENULIS AYAT SEPANJANG AYAT SAYA. CUMA, SAYA MENGHARAPKAN PELAJAR DAPAT MELIHAT BAGAIMANA CARA PENGOLAHAN DAN PENGEMBANGAN IDEA DAN HURAIAN SERTA KEMATANGAN SEMASA MENGARANG.  PELAJAR PERLU BINJAK MENGARANG MENGGUNAKAN KREATIVITI MASING-MASING.

INSYA-ALLAH, SELEPAS INI SAYA AKAN CUBA BERBICARA  LAGI CARA
MENGARANG KARANGAN DIMENSI NEGARA.

Tiada ulasan: