UNSUR-UNSUR KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI
(KBAT) DALAM MENGHASILKAN KARANGAN BERMUTU ATAU KARANGAN ARAS CEMERLANG A+
Saya pasti apabila saya memperkatakan ayat KBAT, pelajar akan kata susah, tidak faham tetapi adakalanya pelajar sendiri sudah menggunakan KBAT
dalam menghasilkan karangan contonhya apabila menggunakan data atau stastitik
semasa mengolah atau menghuraikan isi. Berbalik kepada komen saya semasa
pelajar menghasilkan karangan sebelumnya, pelajar kurang membaca dan tidak ada
maklumat berkaitan tajuk karangan, contohnya karangan berkaitan
kepentingan membaca, factor-factor menyebabkan berlakunya kemalangan jalan
raya, punca masalah jenayah dalam kalangan pelajar dan sebagainya pelajar tidak
mempunyai maklumat kukuh atau fakta untuk menulis karangan berkaitan perkara
tersebut. Malah kata-kata pemimpin berkaitan sesuatu isu merupakan unsur KBAT
yang boleh pelajar gunakan untuk mengukuh isi karangan, kemudiannya
menghuraikan kata-kata pemimpin tersebut untuk mengukuhkan hujah.
Apa itu unsur-unsur KBAT
dan bagaimana pelajar menggunakan KBAT untuk menghasilkan karangan? KBAT akan
berlaku sekiranya pelajar mengaplikasi,
menganalisa, mensintesis dan menilai suatu maklumat samada statistik,
data, berita, kata pemimpin dan anda menghuraikannya semasa mengarang. Mungkin
istilah menganalisis, mensintesis dan menilai sesuatu maklumat membebankan
fikiran pelajar tetapi mudahnya apabila pelajar menghurai, memberi penjelasan
berkaitan fakta samada statistik, kata-kata pemimpin, maklumat daripada berita,
kajian sains, serta mengaitkan kesan dan akibat berdasarkan data-data tersebut
juga merupakan unsur KBAT dalam menghasilkan karangan. Pelajar yang bijak akan
menggunakan unsur KBAT di permulaan karangan lagi. Justeru, saya masukkan usur
KBAT dalam kaedah deduktif yang saya jelaskan dalam komen saya sebelumnya.
Contoh karangan
Cemerlang A+ seperti jadual pengembangan isi di bawah:-
Ayat
|
Huraian
|
Ayat Judul
|
Mari kita selongkari isi pertama
perbincangan iaitu “ Membaca dapat mencetus idea baru“ dengan menggunakan minda
pelajar kelas pertama.
|
Ayat Huraian 1
|
Pada era negara menuju ke arah
negara maju, membaca amat penting dalam kalangan masyarakat mahupun pelajar.
|
Ayat Huraian 2
|
Hal ini kerana. dengan membaca
masyarakat terutama golongan pelajar akan menerima idea-idea baru yang akan
mematangkan pemikiran mereka terutama semasa menjawab soalan berunsur
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diselitkan dalam soalan peperiksaan
awam khasnya, terutama Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
|
Ayat Huraian 3
|
Pada zaman era dunia bermaklumat
kini, pelajar boleh mendapat info terkini dengan mudah tanpa berfokus kepada
media cetak untuk mendapat maklumat yang diperlukan samada data berbentuk stastistik, kata-kata pemimpin, berita terkini berkaitan sesuatu isu dan banyak lagi maklumat yang terhidang di depan mata.
|
Menyelitkan Unsur Keindahan Bahasa
|
Tegasnya, dunia tanpa
sempadan dan maklumat di hujung jari.
|
Ayat Contoh
|
Tambahan pula, pelajar boleh memperoleh apa
sahaja bahan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja mereka berada,
samada info tersebut melibatkan mata pelajaran mahupun informasi
berkaitan peristiwa terkini berlaku dalam dan luar negara.
|
Ayat Huraian
|
Info-info terkini berkenaan akan
memberi impak kepada kematangan pelajar terutama menghasilkan karangan
cemerlang dan menjawab soalan berunsur KBAT berdasarkan kehendak soalan peperiksaan.
|
Ayat KBAT
|
Sekiranya, membaca menjadi
budaya dalam kalangan pelajar, sudah pasti bilangan pelajar yang akan
mendapat keputusan cemerlang akan meningkat setiap tahun apabila keputusan
peperiksaan diumumkan.
|
Ayat Penegas
|
Tegasnya, membaca amat penting
untuk mencetus idea baru yang akan mematangkan pelajar untuk melahirkan
pelajar berminda kelas pertama.
|
Kenapa saya mengulang semula
ulasan berkaitan ayat KBAT dalam menghasilkan karangan? Jawapannya, untuk
memastikan pelajar faham apa itu ayat KBAT yang saya maksudkan. Mungkin pelajar
bertanya, adakah ayat KBAT berada pada ayat keempat, jawapan tidak, ayat KBAT
boleh ditulis di mana-mana sahaja asalkan selepas anda menulis ayat atau fakta
seperti statistik, kata-kata pemimpin, maklumat
daripada berita, kajian sains semasa mengarang.
Selain itu,
pelajar boleh memasukkan ayat KBAT di awal-awal mengarang iaitu semasa pelajar
menulis pengenalan karangan contohnya berdasarkan jenis pengenalan umum saya
tulis sebelum ini, contohnya:-
1. Pengenalan
Jenis Umum
Di negara kita, kemalangan jalan raya
dikatakan berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah
langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi kes kemalangan jalan raya.
Hampir setiap hari media masa sama ada
media elektronik mahupun media cetak menyiarkan berita tentang kemalangan jalan
raya. ( AR1) Pada musim-musim perayaan terutamanya, banyak pengguna jalan raya
kehilangan nyawa atau mengalami kecacatan anggota akibat terlibat dalam
kemalangan. (AR2) Dari segi stastik pula, kadar kemalangan jalan raya di
negara kita kadar kemalangan yang tertinggi di dunia. (AR3) Menurut stastitik bagi tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri 2015,
sebanyak 20,458 kemalangan yang melibatkan 330 kematian telah direkodkan oleh
Polis Di Raja Malaysia (Stastitik). Justeru, stastitik
berkenaan merupakan kejutan yang menakutkan kita sebagai masyarakat Malaysia. (
Ayat KBAT) Oleh
itu, pihak berkuasa seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu
mengambil langkah drastik dan berkesan untuk mengatasi masalah ini. (AA).
Pelajar juga boleh memasukkan ayat KBAT semasa menulis karangan penutup,
misalnya menghuraikan maksud peribahasa dan menulis sebab dan akibatnya berdasarkan
tajuk karangan yang anda jawap. KBAT boleh berlaku di mana-masa sahaja
terpulang kepada kebijaksanaan anda untuk mengaitkannya semasa mengarang.
InsyaAllah saya akan kemaskini penulisan
berkaitan unsur KBAT semasa menghasilkan karangan. Paling sedihnya, apabila menyemak
karangan pelajar, huraian pelajar hambar, umum, tambahan pula binaan ayat tidak
gramatis, berlakunya kesalahan ejaan pada perkataan yang mudah, tiada aksesori
keindahan Bahasa semasa pelajar mengarang. Saya ulang balik, kenapa situasi
berkenaan berlaku, semuanya berlakunya kerana pelajar kurang membaca, kurang
membuat latihan, dan tidak menyemak karangan selepas mengarang.
Saya yakin pelajar 5 sains mampu menghasilkan karangan bermutu, kerana selama seminggu saya berada di SMK Seri Londang saya dapat mengesan kelebihan dan kelemahan pelajar dan saya mohon kepada pelajar kelas 5 Sains membantu saya semasa proses pengajaran dan pembelajaran, dan insyaAllah saya akan cuba membantu anda untuk menghasilkan karangan Cemerlang A+. Aamiin.
Peringatan: Usaha tangga
kejayaan, bermaksud untuk menghasilkan karangan cemerlang pelajar perlu rajin
membuat latihan dan sentiasa menghantar karangan untuk semakan guru. Di samping
itu, pelajar perlu memperbaik karangan jika hasilan karangan banyak kesalahan
atau tidak berada dalam kalangan karangan cemerlang A+. Guru akan sentiasa
membantu anda untuk tujuan berkenaan. InsyaAllah.
9 ulasan:
Penjelasan cukup bagus! Masalahnya, anak-anak didik dewasa ini bersikap endah tak endah; memperlekehkan kemahiran penulisan karangan. Sebagai guru yang berdedikasi, kita hendaklah umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi hidup anak-anak didik. Sekian.
Untuk mendapatkan bahan P&P BMSPM yang berbentuk POWERPOINT MP4, sila ke saluran YOUTUBE, yakni Munsyi K'Seven. Semoga sumbangan saya ini dapat membantu para pelajar meraih A+ BMSPM. Sekian.
Terima kasih Munsyi K'Seven atas komen bermakna dan juga terima kasih atas perkongsian ilmu berkenaan. Semoga usaha murni yang kita lakukan akan memartabatkan bahasa Kebangsaan serta meningkatkan kemahiran berbahasa anak bangsa.
Untuk makluman tuan, sekarang saya telah memperkasakan kaedah membantu pelajar untuk menghasilkan karangan A+ dengan menggunakan Jadual Pengembangan Idea Perenggan Pengenalan, Perenggan Isi, dan Perenggan Penutup. Saya dapati dengan Jadual Pengembangan Idea Perenggan berkenaan memang dapat memandu pelajar menghasilkan karangan bertaraf A+. Cuma permasalahan pelajar yang saya kesan, mereka sukar untuk membina perenggan yang panjang akibat masalah budaya meeka menghasilkan karangan sebelumnya agak kurang jelas kepada mereka.
Sebelum ini saya bertugas sebagai Pen. PPD Kurikulum Bahasa di daerah saya, malangnya saya mengalami kanser usus dan bercuti selama 5 bulan atas rawatan kanser yang saya hadapi. Untuk menyelesaikan bebanan tugas pegawai PPD bahasa yang lain, sebagai seorang pejawat hakiki atas jawatan saya menulis surat untuk turun ke sekolah mengajar sebagai guru bahasa. Saya telah bertukar ke sekolah saya sekarang pada hunjung bulan 3 tahun ini. Saya telah diberi tugasan sebagai guru pembantu kepada PK1 saya mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kelas 5 Sains, walaupun Tuan PPD dan Timbalan telah memaklumkan kepada Tuan Pengetua supaya tidak membebankan saya dengan kelas peperiksaan atas keprihatinan mereka kerana kanser usus yang saya alami.
Namun bagi saya, jika saya tidak diberi kelas peperiksaan, saya akan merana kerana saya sebelum bertugas di PPD, saya bertugas di SMKA Sultan Azlan Shah selama 12 tahun sebagai guru mata pelajaran kelas peperiksaan. Sebagai makluman Tuan,sekolah ini sekolah berasrama harian tetapi pelajarnya memang pelajar terpilih maksudnya pelajar sekolah ini kebanyakan diambil dan ditapis ke sekolah ini dalam kalangan pelajar 5A UPSR.
Saya bersyukur, setelah hampir 3 bulan mengajar PK1 saya menyerahkan sepenuhnya kelas berkenaan untuk saya kendalikan. Memang kepakaran saya lebih kepada kertas BM2, tetapi sejak di SMKASAS saya telah menggunakan kaedah pengembangan idea dan apabila unsur KBAT mulai diberi penekanan, saya menambah lagi satu unsur baru dalam binaan ayat menggunakan kaedah mengembangkan idea menggunakan Jadual Pengembangan Idea. Hasilnya amat menakjubkan, cuma masalahnya seperti saya maklumkan tadi mereka sukar menulis perenggan ayat bertaraf A+.
Memang saya maklumkan kepada pelajar sebelum ini supaya mereka menulis 4 isi sahaja jika tidak mampu membina 5 isi seperti saya tekankan sebelum ini. Apabila saya melihat video Tuan, saya pasti dengan 4 isi jika idea diolah dengan baik, bahasa cemerlang dengan kepelbagaian istilah, frasa menarik, serta menyelitka kata-kata pemimpin dan bijak pandai dan binaan ayat gramatis, tema tepat dengan tugasan, memang mereka boleh memperoleh A+. Sebagai cabaran kepada saya kerana dalam masa 5 bulan saya sudah nampak aliran pemikiran mereka sudah mula ke arah menghasilkan karangan bertaraf A+ tersebut.
Dengan Program Pecutan Akhir SPM yang diberi penekanan pihak pentadbiran sekolah, saya cuba menekankan fokus kepada konsep mensifarkan kesalahan ejaan, frasa, dan binaan ayat gramatis serta kemahiran mereka menyelitkan istilah, frasa menarik dan kata-kata pemimpin dan jika mereka mampu data stastitik, atau maklumat mantap diperoleh daripada keratan akhbar berkaitan isu atau tema yang dipilih. Bahkan juga, paling saya takjub, mereka sudah menguasai kemahiran tatabahasa, kemahiran menjawab rumusan, dan pemahaman teks, serta novel. Matlamat saya, saya mahu mereka pakar semasa menjawab kedua-dua kertas agar lebih mudah untuk memperoleh A+. Saya sebagai bekas pemeriksa kertas 2, selama 10 tahun tetapi selama 3 tahun saya di PPD saya terpaksa menarik diri dari terus menjadi pemeriksa kertas atas kekangan tugasan yang agak banyak tetapi kepakaran menyemak kertas dua telah sebati dengan diri saya.
Sekarang banyak sekolah yang meminta saya meberi teknik menjawab kertas dua, walaupun saya masih dalam rawatan kanser di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan terbaru saya akan ke Pusat Kanser Negara, syukur kini kesihatan saya semakin baik dan semua saya lakukan termasuk mengendalikan blog,membina sistem pengesan penguasaan kemahiran pelajar setiap item kertas BM 1 dan BM 2 menggunakan Exceel, PdP saya semakin mantap sebagai guru mata pelajaran BM. Apabila Tuan membuat komen terhadap blog saya, saya berasa bangga dan akan memantapkan blog saya untuk pelajar sekolah saya sebenarnya, terutama pelajar kelas 5 Sains tetapi saya dapati banyak pelajar daripada luar mengikuti blog saya. Saya akan memperkasakan blog saya dan saya memang perlu diberi tunjuk ajar agar blog saya mampu membantu pelajar menguasai kemahiran menjawab kertas BM 1 dan BM2. Terima kasih Tuan atas keprihatinan Tuan terhadap blog saya dan menjadi salah seorang bukan pengunjung tetapi lebih saya menganggap keberadaan Tuan lebih sebagai pembimbing saya. Semoga dengan perkongsian ilmu ini akan membantu kita memperkasakan bahasa Kebangsaan kita. Terima kasih sekali lagi Tuan. Jumpa lagi.
Maaf Tuan Munsyi K'Seven, saya terpaksa memasukkan tulisan saya ini berperingkat kerana sistem blogger tidak dapat menghantar coretan lebih dari 4,000 askara. Terima kasih.
mohon ,kongsi dan salin ilmu cikgu,terima kasih
Silakan, semoga bahan berkenaan dapat membantu. InysaAllah. Semoga berjaya dalam SPM 2017. Aamiin.
Terima kasih cikgu
Catat Ulasan