Selasa, 4 April 2017

PENGESANAN TAHAP KEMAHIRAN MENGARANG PELAJAR 5 SAINS SMK SERI LONDANG PADA HARI INI

AKTIVITI KELAS 5S 
PENGESANAN TAHAP KEMAHIRAN MENGARANG
           CONTOH KARANGAN PERTAMA:-


Ulasan tambahan:-

Ulasan Umum:-
Merujuk kepada ulasan saya di bahagian akhir karangan, karangan di atas menepati tajuk. Bahasa yang digunakan gramatis tetapi terdapat kesalahan kecil, dan penggunaan tanda baca betul dan tepat, ejaan baik dan tiada kesalahan ejaan dikesan, penggunaan kosa kata luas dan tepat dan wacana lengkap dan idea relevan. Kesimpulannya, karangan ini tergolong dalam likungan Cemerlang Atas
 ( 28 - 30 ). Tetapi mengapa karangan ini hanya 26 markah, kategori Cemerlang Bawah. Jawapannya kerana beberapa kesalahan kecil dilakukan pelajar. Untuk penjelasan, rujuk ulasan perenggan.

Perenggan Peengenalan
Kesalahan pengolahan ayat keempat:-
Dalam kes ini, membaca perkara yang bermanfaat, bukannya membaca perkara yang melalaikan.
( Ayat di atas tidak salah, tetapi boleh diperbaiki pengolahannya. Elakkan penggunaan kata yang sama dalam binaan ayat)
Ayat ini boleh diolah seperti di bawah:-
Dalam kes ini, membaca perkara yang bermanfaat dan boleh dijadikan sebagai hobi ketika pada waktu senggang.

Perenggan Kedua:-
Kesalahan ayat kelima:-
Golongan ilmuan bertambah ia akan memberi impak yang besar yang besar contohnya masa depan masyarakat tersebut sudah terjamin. Binaan ayat agak kurang menarik dan berlaku kesalahan penggunaan kata ganti nama diri pertama ia (dia ) untuk pertambahan golongan ilmuan.
Cadangan ayat:-
Golongan ilmuan bertambah dan sudah pastikan akan memberi impak yang besar kepada kesejahteraan rakyat dan menjamin kehidupan yang lebih bermakna kepada mereka.

Perenggan ketiga:-
Tiada kesalahan besar dikesan.

Perenggan keempat:-
Kesalahan dikesan iaitu penggunaan kata pemeri ia ( ganti dengan karya tersebut ) dan kedua kesalahan imbuhan untuk minat ( berminat ).

Perenggan penutup:-
Ayat tergantung - Akhir kalam, amalan membaca mempunyai 1001 manfaat yang dapat kita olahkan............... (tambah frasa dalam kalangan masyarakat ).
Kesalahan penggunaan kata pemeri adalah, sepatutnya ialah kerana ia atau dia lebih sesuai digunakan untuk manusia.

Konklusinya, kesalahan-kesalahan kecil di atas telah mempengaruhi saya untuk tidak memberi markah Cemerlang Atas untuk karangan pertama di atas.

Sebagai penjelasan tentang penggunaan ialah dan adalah saya selitkan nota berkenaan sebagai panduan pelajar. ( Elakkan melakukan kesalahan penggunaan kata pemeri)

Cadangan, jika ada masa tambah satu isi tambahan yang tidak disenaraikan untuk mengambarkan anda pelajar bertaraf A+.


NOTA BERKAITAN KATA PEMERI SEBAGAI PANDUAN PELAJAR

Ialah

1. Kata pemeri 'ialah' hadir di hadapan frasa nama.


2. Kata pemeri ialah berfungsi menghubungkan subjek dan predikat yang 
    mempunyai makna  yang sama, oleh itu subjek dan  predikat boleh bertukar tempat.

3. Kata pemeri 'ialah' boleh digunakan di hadapan kata komplemen 'bahawa'.

4. Kata pemeri 'ialah' boleh digunakan di hadapan kata hubung 'yang' yang berfungsi 
    sebagai frasa nama.

6. Kata pemeri 'ialah' juga boleh digunakan di hadapan frasa kerja yang berfungsi sebagai 
    frasa nama. 

Adalah

1.  Kata pemeri 'adalah' hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

2.  Kata pemeri ini menghubungkan subjek ayat dan predikat ayat dengan memberi huraian
     lanjut berkenaan subjek yang disebut sebelum itu.

3.  Kata pemeri 'adalah' menunjukkan penerangan.

4.  Kata pemeri 'adalah' tidak boleh diikuti oleh kata kerja.

Nota:
Kata pemeri 'ialah' dan 'adalah' tidak boleh digunakan bersama kata nafikecuali dalam bentuk 'adalah+ kata nafi 'tidak'+ frasa adjektif.'

Penggunaan kata pemeri amat terhad dan kurang digalakkan dalam pembentukan ayat. Malah dalam sesetengah ayat ia boleh digugurkan tanpa menjejaskan maksud ayat itu.

Contoh:

Bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.(Tidak tepat)
Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia. (Tepat)
Salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia ialah Bahasa Melayu. (Tepat)

Angin adalah udara yang bergerak. (Tidak tepat)
Angin ialah udara yang bergerak. (Tepat)
Udara yang bergerak ialah angin. (Tepat)


Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan. (Tepat)

Berita itu adalah benar.(Tepat)

Arahan itu adalah daripada ketua pengarah.(Tepat)

Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.(Tidak tepat)
Dengan ini diberitahu sekolah akan ditutup esok.(Tepat)

Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Haji jatuh pada hari Rabu.(Tidak tepat)
Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Haji jatuh pada hari Rabu. (Tepat)

Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu. (Tidak tepat)
Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.(Tepat)

Lembu yang akan disembelih esok ialah yang bertanduk runcing itu. (Tepat)

Perlakuan anaknya yang sering menimbulkan kemarahannya ialah bercakap bohong.(Tepat)

Adalah dimaklumkan anda berjaya dalam temu duga itu. (Tidak tepat)
Dengan sukacitanya dimaklumkan anda berjaya dalam temu duga itu.(Tepat)

Setiap penyertaan adalah tertakluk pada kelulusan pihak sekolah. (Tidak tepat)
Setiap penyertaan adalah tertakluk pada kelulusan pihak sekolah. (Tepat)

Kelayakan akademik ialah/adalah bukan syarat utama jawatan itu.(Tidak tepat)
Kelayakan akademik ialah/adalah bukan syarat utama jawatan itu.(Tepat)

Kehadiran kamu ke mari adalah tidak sesuai pada masa ini.(Tepat)


Contoh karangan.
Wahyu pertama yang diturunkan Allah  kepada Nabi Muhammad S.A.W ialah Surah "Iqra'" yang berarti, "bacalah". Allah menyebutkan kata Iqra' berulang kali dalam Surah surah  tersebut. ". Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa  membaca amat penting dan ditegaskan oleh Allah bukan sahaja kepada Rasulullah tetapi juga kepada umat Islam. Justeru, pelajar dan remaja  sebagai golongan pelapis dan pengganti generasi pemimpin sekarang perlu membudayakan hobi membaca ketika waktu senggang. Remaja yang cemerlang akan menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara.  Hal ini bertepatan dengan ungkapan “ Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ”. Oleh sebab itu, amat beruntung sekiranya pelajar menggunakan masa senggang mereka dengan membudayakan hobi membaca dalam kehidupannya. Persoalannya kenapa membaca amat penting dalam kalangan masyarakat terutama kepada golongan pelajar?

Mari kita selongkari isi pertama perbincangan iaitu “ Membaca dapat mencetus idea baru“ dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama. Pada era negara menuju ke arah negara maju, membaca amat penting dalam kalangan masyarakat mahupun pelajar. Hal ini kerana. dengan membaca masyarakat terutama golongan pelajar akan menerima idea-idea baru yang akan mematangkan pemikiran mereka terutama semasa menjawab soalan berunsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diselitkan dalam soalan peperiksaan awam khasnya, terutama Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dalam era dunia bermaklumat kini, pelajar boleh mendapat info terkini dengan mudah tanpa berfokus kepada media cetak untuk mendapat maklumat. Tegasnya,  dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari. Pelajar boleh memperoleh apa sahaja bahan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja mereka berada, samada info tersebut melibatkan mata pelajaran mahupun informasi berkaitan peristiwa terkini berlaku dalam dan luar negara. Info-info terkini berkenaan akan memberi impak kepada kematangan pelajar terutama menghasilkan karangan cemerlang dan menjawab soalan berunsur KBAT. Tegasnya, membaca amat penting untuk mencetus idea baru yang akan mematangkan pelajar untuk menjadi pelajar berminda kelas pertama.

Selain itu, dengan membaca pelajar juga akan dapat meningkat kemahiran berbahasa, samada dalam bentuk penulisan atau pertuturan. Hal ini kerana pelajar yang banyak membaca  atau ulat buku akan dapat memperkaya kosa kata mereka, di samping dapat meningkatkan kemahiran membina ayat untuk menghasilkan karangan cemerlang. Jauh perjalanan, luas pemandangan, begitulah situasinya  pelajar yang minat membaca. Selain berjaya dalam bidang akademik, pelajar yang membudayakan membaca dalam kehidupan mereka, akan mudah terpilih sebagai wakil sekolah dalam pertandingan yang melibatkan aktiviti kokurikulum seperti perbahasan, pidato dan sebagainya. Bahkan juga, mereka juga akan dilantik sebagai pemimpin sekolah bukan sahaja kerana mereka mempunyai akhlak terpuji tetapi laras bahasa mereka juga menunjukkan mereka dalam kalangan pelajar intelektual dan dihormati pelajar-pelajar lain. Selain itu, pelajar sedemikian merupakan bakal pelapis dan menjadi pengganti pemimpin yang ada sekarang. Sudah terang lagi bersuluh, pelajar yang minat membaca dapat meningkat kemahiran berbahasa, samada dalam bentuk penulisan atau pertuturan.

Seterusnya, kita selusuri perbincangan dengan berbicara berkaitan isi ketiga iaitu, membaca dapat meningkatkan pengetahuan. Masyarakat dan pelajar yang minat membaca akan menggunakan masa senggang mereka dengan melayari laman sesawang menggunakan gadjet atau peranti digital seperti komputer riba dan paling terkini menggunakan telefon pintar untuk mendapatkan maklumat terutama untuk mengukuhkan isi atau hujahan samada semasa mengarang atau untuk mengukuhkan hujahan semasa pertandingan  kokurikulum akademik seperti pertandingan perbahasan atau pertandingan pidato. Pelajar kurang membaca boleh diibaratkan seperti katak di bawah tempurung, miskin informasi dan terpinggir dalam kalangan pelajar sebaya mereka. Bahkan juga, prestasi akademik mereka juga dalam kalangan pelajar tercorot,berbanding kalangan pelajar minat membaca, mereka akan sentiasa ke hadapan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Konklusinya, pelajar yang minat membaca akan dapat meningkatkan pengetahuan mereka dan akan menjadi pelajar berjaya serta dapat bersaing dalam apa jua bidang samada kurikulum mahupun kokurikulum. Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya.

Di samping itu, budaya membaca akan dapat membantu memajukan negara. Hal ini demikian kerana tokoh-tokoh dunia yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu sudah pasti membuat kajian dalam bentuk penulisan hasil kejayaan mereka memajukan negara mereka. Justeru dengan membaca artikel-artikel berkenaan bijak pandai kita dapat mengunakan contoh kejayaan tersebut untuk membantu meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat membangun dengan pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan banyak ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, Negara Jepun yang maju dalam bidang sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan yang berfungsi secara automatik. Oleh sebab itu, dengan membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita dan ilmu-ilmu yang diperoleh ini bolehlah digunakan dalam memajukan sektor-sektor tertentu seperti sektor pelancongan. Apabila sektor-sektor tersebut dibangunkan, ekonomi negara kita akan pesat membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju yang lain, bak kata pepatah duduk sama rendah,  berdiri sama tinggi dengan negara maju dunia. Oleh itu, kita hendaklah rajin membaca supaya tanah air kita dapat dibangunkan dan dimajukan setaraf dengan negara maju seperti Amerika, Jepun Kanada, Britain dan lain-lain negara maju.

Kesimpulannya, budaya membaca banyak mendatangkan faedah kepada individu, pelajar, masyarakat, mahupun negara. Melalui membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca. Hal ini disebabkan budaya membaca perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa juga bertanggungjawab menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan banyak membaca buku. Selain itu, pihak kerajaan perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, warga negara Malaysia perlu menyokong sebarang program kerajaaan dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar usaha melahirkan golongan celik ilmu tercapai.

Tambah lagi satu isi. Cuba, dan aplikasi penggunaan kaedah deduktif, dengan membina ayat judul, ayat huraian, ayat contoh, ayat KBAT, ayat penegas.
Aplikasi acuan penggunaan kaedah deduktif, dengan membina ayat judul, ayat huraian, ayat contoh, ayat KBAT, ayat penegas untuk menghasilkan karangan Cemerlang A+. Selitkan kaedah menulis aksesori mengindahkan bahasa dalam acuan kaedah deduktif.

Saya telah membuat penambahbaikan karangan di atas kerana mengesan beberapa kesalah terutama binaan ayat kerana penghasilan karangan ini dilakukan lewat malam. Harap maklum.






Tiada ulasan: