Isnin, 24 April 2017

FOKUS KARANGAN ESOK BERFOKUS NEGARA

KARANGAN BERFOKUS NEGARA
SOALAN PERCUBAAN SPM  SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP)  2016

Aktiviti pemerdagangan manusia di peringkat global sangat membimbangkan dan mendatangkan kesan negatif kepada negara yang terlibat. Bincangkan.

Perbincangan anda boleh berfokus kepada negara sendiri atau negara luar. Cadangan saya, baik fokus negara sendiri kerana lebih mudah dan bahan boleh dirujuk melalui sumber daripada negara sendiri.

Isi saya cadangkan berkaitan kesan negatif  aktiviti pemerdagangan manusia kepada negara :-


  1. berlakunya penyebaran penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat akibat kemasukan imigran asing.
  2. berlakunya pengaliran keluar wang negara kerana setiap bulan jutaan ringgit dihantar kepada keluarga pekerja asing yang tinggal di negara asal mereka.
  3. kehadiran pekerja asing akan meningkatkan kadar jenayah terutama di kawasan bandar dan juga di luar bandar.
  4. mengutamakan pekerja asing ini memberi impak negatif kepada masyarakat negara kita kerana peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat tempatan terutama golongan muda terhad.
  5. berlakunya kejutan budaya yang di bawa oleh golongan imgran di kawasan penempatan masyarakat tempatan.
  6. mendatangkan masalah perumahan terutamanya wujudnya penempatan setinggan di kawasan bandar.
  7. kesulitan yang dihadapi oleh agensi penguatkuasan kerajaan seperti polis, tentera, Jabatan Imigresen, untuk membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin ini.
  8. kos untuk memberi makan dan minum yang tinggi imigran haram di penjara meningkatkan kos perbelanjaan negara.

Cuba cari maklumat berkaitan data atau stastitik berkaitan bilangan imigran asing di Malaysia, data atau maklumat daripada Kementerian Kesihatan mengenai bilangan imigran yang dikesan membawa penyakit berjangkit, cari maklumat kos yang ditanggung kerajaan untuk menjaga kebajikan imigran yang ditangkap sebelum dihantar ke negara asal, bilangan perumahan haram dikesan pihak berkuasa tempatan di bina oleh imigran haram dan sebagainya. Pastikan maklumat berkenaan akan dapat membantu perbincangan esok. Harap maklum dan mohon tindakan kepada pelajar yang berkemampuan terutama mereka yang mempunyai internet dan dibenarkan oleh ibu bapa untuk mendapatkan maklumat. Jika boleh print bahan yang anda temui untuk dibincangkan di dalam kumpulan.


CONTOH KARANGAN
Contoh Pengenalan Pertama:-

Aktiviti pemerdagangan manusia di peringkat global sangat membimbangkan dan mendatangkan kesan negatif kepada negara yang terlibat. Bincangkan.

Aktiviti pemerdagangan manusia mendatangkan kesan negatif yang signifikan kepada negara kita Malaysia. YAB. Dato Seri Mohd Najib Tun Abd Razak Perdana Menteri Malaysia, semasa berucap dalam majlis Hubungan Malaysia-AS, anjuran bersama CSIS dan Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Washington pada 16 April 2010 ucapannya berkisar berkaitan impak negatif modus operandi pihak menjalankan perbuatan terkutuk tersebut. Inti pati ucapannya mengambarkan impak negatif isu pemerdagangan manusia kepada keselamatan dunia umumnya dan khususnya negara Malaysia. Menurut beliau lagi, stastitik menunjukkan kira-kira 2.7 orang menjadi mangsa modus operandi pihak tidak berhati perut memperdagangkan manusia di seluruh dunia. Oleh sebab itu, beliau menyarankan usaha ke arah membanteras aktiviti pemerdagangan manusia perlu dilakukan segera kerana aktiviti tidak bermoral ini memberi impak negatif kepada ekonomi, budaya, keselamatan, penularan penyakit berjangkit, isu pekerjaan, isu perumahan dan sebagainya dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sebagai masyarakat madani, faham akan impak negatif isu berkenaan, kita perlu beminda kelas pertama untuk membantu pihak berkuasa mengekang gejala negatif tersebut daripada menular dan meracuni minda masyarakat terutama dalam kalangan remaja. Jelasnya, aktiviti pemerdagangan manusia memang memberi kesan negatif yang signifikan kepada negara. Mencegah lebih baik dari mengubati sebelum  isu ini menjadi barah dan nanah dalam kalangan masyarakat negara kita.

Contoh Pengenalan Kedua:-


Isu pemerdagangan manusia bukanlah suatu isu yang baru timbul di negara ini. Kegiatan pemerdagangan manusia bukan sahaja bersalahan dengan ideologi negara Malaysia, malahan modus operandi pihak tidak bertanggungjawab tersebut bertentangan dengan norma-norma masyarakat antarabangsa, juga undang-undang Islam dan prinsip Syariah. Kegiatan haram ini berlaku di kebanyakan negara maju. Malaysia juga tidak terkecuali daripada aktiviti 'perhambaan alaf baru' ini yang tidak jauh bezanya dengan bentuk perhambaan yang berlaku di zaman Arab Jahiliyah. Fenomena ini dilihat kian berleluasa dan menjadi polemik sekaligus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat negara Malaysia sendiri. Malahan, fenomena ini secara tidak langsung memberikan perspektif negatif orang ramai terhadap kawalan keselamatan di pintu-pintu sempadan oleh pihak berkuasa berkaitan. Seterusnya, masyarakat tempatan sering resah apabila keselamatan mereka mudah tergugat dengan kehadiran imigran asing kehidupan mereka ibarat makan tak kenyang, mandi tak basah impak daripada masalah tersebut. Tegasnya, aktiviti pemerdagangan manusia memang memberi kesan negatif yang signifikan kepada negara. Mencegah lebih baik dari mengubati sebelum  isu ini menjadi barah dan nanah dalam kalangan masyarakat negara kita.

Perenggan kedua isi pertama:-


Mari kita bersama-sama berbicara menggunakan menggunakan minda pelajar kelas pertama, menghuraikan impak negatif  pertama iaitu penyebaran penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat akibat kemasukan imigran asing kesan modus operandi pihak tidak bermoral yang mengutama keuntungan dan tidak mengutamakan erti kemanusian. Ancaman ini berlaku disebabkan golongan imigran yang masuk dibawa pihak memperdagangkan manusia kebiasaannya datang daripada negara yang mundur dan kurang menitikberatkan aspek kesihatan. Oleh sebab itu, kemungkinan mereka tidak menjalani ujian kesihatan sebelum dibawa masuk secara haram ke negara ini adalah sangat tinggi memandangkan proses untuk menjalani ujian kesihatan bukan sahaja memakan masa, malahan melibatkan kos yang tidak mungkin ingin ditanggung oleh pihak yang merekrut atau pihak yang menguruskan penyeludupan masuk mereka ke negara ini. Keadaan ini mengakibatkan penanggungan risiko yang tinggi terhadap rakyat tempatan untuk dijangkiti penyakit berbahaya dan berjangkit seperti HIV. Hal ini dapat dibuktikan melalui perangkaan kerajaan yang mengumumkan bahawa sebanyak 30 peratus daripada 337 ribu pekerja asing telah dijangkiti HIV pada tahun 1992. Di samping itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah mendedahkan bahawa 80 peratus pekerja asing di sektor perladangan telah dikesan sebagai pembawa virus HIV berdasarkan kepada analisis dan pemerhatian yang dilakukan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Sudah terang lagi bersuluh, penyebaran penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat berlaku akibat kemasukan imigran asing kesan modus operandi pihak tidak bermoral yang lebih mengutamakan keuntungan dan tidak mengutamakan erti kemanusian.

Perenggan Ketiga Isi Kedua:-

Seterusnya, kita selusuri perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama membicarakan kehadiran pekerja asing akan meningkatkan kadar jenayah terutama di kawasan bandar dan juga luar bandar. Kehadiran pendatang asing tanpa izin yang membanjiri tanah air dengan cara yang tidak sah membawa kepada pelbagai masalah terutama dari sudut ancamannya terhadap kesejahteraan dan kepentingan awam di negara ini. Hal ini demikian kerana golongan ini dilihat terlibat dan menjurus kepada aktiviti atau kegiatan yang membahayakan penduduk tempatan dengan meningkatnya kadar jenayah seperti merompak, membunuh, pecah rumah dan pelbagai jenayah lain yang semestinya menjadikan penduduk tempatan di negara ini sebagai sasaran utamanya. Hal ini dapat dibuktikan melalui statistik  yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri sendiri iaitu sebanyak 14 809 daripada 37 446 banduan di Malaysia merupakan pendatang asing yang kebanyakannya terdiri daripada Pendatang Asing Tanpa Izin ( PATI). Sudah terang lagi bersuluh kehadiran pandatang asing mencari rezeki di negara ini dan menjalankan aktiviti sampingan atau aktiviti khusus aktiviti membahayakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk tempatan boleh diibaratkan madu diberi tuba dibalas. Konklusinya, memang jelas bahawa kehadiran pekerja asing akan meningkatkan kadar jenayah terutama di kawasan bandar.

Perenggan Keempat Isi Ketiga:-


Bahkan juga, kehadiran imigran asing ini menyebabkan berlakunya pengaliran keluar wang negara ke negara asal imigran kerana setiap bulan jutaan ringgit dihantar kepada keluarga pekerja asing yang tinggal di negara asal mereka. Kebanjiran buruh asing di negara kita juga bermakna pengaliran wang ke luar negara turut meningkat. Pekerja asing terutamanya yang berasal dari Indonesia, Filipina, dan Myanmar yang bekerja di negara kita akan mengirimkan sebahagian besar gaji yang diterimanya ke kampung halaman untuk menampung kehidupan keluarga mereka yang hidup dalam serba kekurangan. Pengaliran keluar mata wang negara pada kadar yang banyak pada setiap bulan bakal merugikan negara dari segi tukaran wang asing dan menguntungkan negara asal pekerja asing ini. Sistem transaksi canggih di bank-bank negara kita menyumbang kepada proses pertukaran wang dapat dilakukan dengan mudah dan cepat serta perkhidmatan yang murah. Menurut statistik, sebanyak RM 9.124 juta telah dihantar ke negara asal pekerja asing antara bulan Januari hingga Jun setiap tahun.  Hal ini akan membebankan kewangan negara. Bukan itu sahaja, sebanyak RM1.169 juta digunakan sehari oleh kerajaan sebagai kos untuk penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI ) amat merugikan negara sekali gus mengganggu gugat  kerancakan ekonomi di negara kita. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan merugikan negara. Hal ini demikian kerana jika nilai pendapatan faktor ke luar negara adalah lebih besar daripada nilai pendapatan faktor dari luar negara akan menyebabkan pendapatan faktor bersih luar negara(PFBLN) bernilai negatif. PFBLN yang bernilai negatif seterusnya akan membawa kepada berlakunya kurangan dalam imbangan pembayaran. Kurangan yang berlaku dalam imbangan pembayaran akan menyebabkan berlakunya kemerosotan dalam tingkat pendapatan negara secara keseluruhannya. Kesimpulannya, kehadiran imigran asing ini menyebabkan berlakunya pengaliran keluar wang negara ke negara asal imigran dan merugi dan merencat ekonomi negara.

Perenggan Kelima Isi Keempat:-

Akhirnya, mari kita selongkari permasalahan seterusnya dengan menggunakan kata kunci mengutamakan pekerja asing  memberi impak negatif kepada masyarakat negara kita kerana peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat tempatan terutama golongan muda terhad. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kemasukan pekerja asing menyebabkan peluang pekerjaan penduduk tempatan tersekat  berikutan dengan sikap majikan di negara ini yang gemar mengupah pekerja asing kerana kadar upah mereka jauh lebih murah berbanding mengupah pekerja-pekerja tempatan yang lebih mahal. Sikap tidak memilih pekerjaan haruslah wujud dalam peribadi pekerja tempatan kerana sikap negatif ini akan memberi impak kepada pertambahan isu pengganguran di negara kita. Jika mentaliti sedemikian diteruskan tanpa mengubah sebarang persepsi, hidup penduduk tempatan tersepit.  Sikap majikan yang ibarat peribahasa “kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan” akan memberi impak negatif kepada rakyat tempatan.  Buktinya, hampir 2.1 juta rakyat tempatan hilang peluang pekerjaan dan kadar pengangguran semakin meningkat dalam kalangan pekerja tempatan. tuntasnya,mengutamakan pekerja asing  memberi impak negatif kepada masyarakat negara kita kerana peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat tempatan terutama golongan muda terhad seterusnya objektif kerajaan untuk sifar pengganguran tidak akan menjadi kenyataan.

Perenggan Keenam Penutup:-

Tuntas bicara, walaupun kedatangan pekerja asing ini ada kebaikannya namun, pihak kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial demi kesejahteraan dan pembangunan negara kita selaras dengan wawasan 2020. Tanggungjawab ini bukan sahaja terletak pada bahu pihak kerajaan semata-mata sebaliknya menuntut kerjasama dan sokongan semua pihak. Sesungguhnya, peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni wajar diamalkan oleh semua pihak waima pihak kerajaan, majikan mahupun rakyat negara ini yang mempunyai peranannya yang tersendiri. Hal ini sangat penting bagi memastikan implikasi negatif akibat kemasukan pekerjaan asing secara berleluasa ke negara kita dapat diatasi melalui pelbagai langkah yang dirancang dan diimplementasikan secara bijak dan berkesan sekali gus dapat mencapai matlamatnya. Sungguh terang lagi bersuluh, kehadiran imigran asing hasil modus operandi pihak-pihak tidak bertanggungjawab memberi tamparan hebat kepada kesejahteraan dan kebajikan masyarakat tempatan. Kita mengharapkan  agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat tempatan tidak alpa berkaitan isu ini supaya natijah disebabkan nila setitik habis rosak susu sebelanga.


Saya sedang berusaha untuk membantu anda mengarang peringkat perengan demi peranggan. Di atas, contoh pengenalan karangan menggunakan kata-kata pemimpin negara kita. Jangan tiru bulat-bulat, perbuatan tersebut menciplak bahan orang lain, dan jadikan contoh pengenalan itu sebagai panduan. Perenggan isi seterusnya, buat sendiri dan cari maklumat di internet kerana maklumat dihujung jari. Usaha tangga kejayaan.

Tiada ulasan: