Rabu, 12 April 2017

LATIHAN MERUMUS TEKS SEBAGAI KERJA SEMASA SAYA KE KUALA LUMPUR ESOK ( KHAMIS/13-4-2017)

SOALAN PERCUBAAN SBP 2015

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang punca-punca jenayah pemerdagangan manusia dan kesan-kesan daripada permasalahan ini. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pemerdagangan manusia ialah masalah global yang kian meningkat jumlah kesnya sejak seabad yang lepas. Jenayah ini membabitkan perbuatan eksploitasi pada skala yang besar terhadap wanita, lelaki dewasa dan kanak-kanak dalam bentuk perhambaan moden. Mengikut laporan Amnesty International, pada tahun 2004 dianggarkan 700,000 orang diperdagangkan pada setiap tahun. Amat malang sekali kerana Malaysia dilihat sebagai tempat menarik oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan aktiviti mereka. Usaha kerajaan memerangi aktiviti pemerdagangan manusia berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana isu ini merupakan jenayah rentas sempadan. Jenayah ini sukar dikesan kerana melibatkan banyak negara contohnya negara-negara yang berjiran dari segi kedudukan geografinya. Orang yang diperdagangkan direkrut oleh agensi-agensi pekerjaan secara sukarela mahupun secara paksa. Pada mulanya, mereka diperdagangkan kerana telah dijanjikan pekerjaan yang baik di negara yang menjadi destinasi. Mereka juga diyakinkan bahawa aktiviti ini tidak menyalahi peraturan.

Perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh dunia berhijrah ke negara kita. Kebanyakan mereka yang datang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam telah menjadi mangsa selepas dijanjikan pekerjaan dengan bayaran lumayan sedangkan semuanya palsu. Keadaan ini merancakkan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Pada masa yang sama, kewujudan pusat hiburan yang beroperasi secara haram menyebabkan permintaan yang tinggi kepada aktiviti ini. Hal ini ditambah oleh, kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean yang menjadikannya antara lokasi strategik untuk aktiviti pemerdagangan manusia. Menyedari masalah itu, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 telah diluluskan tetapi akta ini masih belum cukup kuat untuk menghalang jenayah ini. Selain itu, modus operandi sindiket yang membawa masuk mangsa sukar dikesan oleh pihak berkuasa disebabkan mereka memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial atau pas pelajar. Bukan hanya wanita, malahan lelaki dewasa turut diperdagangkan terutama untuk tujuan pengeksploitasian buruh. Kanak-kanak dan bayi juga mendapat permintaan yang tinggi bagi aktiviti meminta sedekah.

Selain itu juga, kesedaran dan kefahaman masyarakat Malaysia yang masih rendah tentang isu ini turut menjadi penyebab kepada permasalahan ini. Keuntungan lumayan yang diperoleh oleh sindiket dengan jumlah yang besar hasil daripada aktiviti pemerdagangan manusia juga menyebabkan kegiatan ini terus berleluasa. Kanak-kanak dan bayi diperdagangkan untuk dijadikan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat sendiri. Kemiskinan di negara asal membuatkan mangsa hilang pertimbangan kerana percaya akan janji-janji manis pihak sindiket. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah seperti hukuman yang ringan turut menyebabkan kegiatan yang tidak bermoral ini terus berlaku. Kesimpulannya, sindiket pemerdagangan manusia dilihat semakin meruncing dari hari ke hari dan menggugat hak asasi manusia. Kerjasama masyarakat dunia diharap merupakan jalan terbaik bagi membendung jenayah ini daripada terus menjadi barah kepada masyarakat.
 (Dipetik dan diubah suai daripada rencana,”Globalisasi dan Fenomena Pemerdagangan Manusia”, informasiglobalisasi.blogspot.com, 22 Jun 2015, 9.50pm)



Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 (i)   Berikan maksud rangkai kata skala yang besar.                                               [2 markah]

(ii)   Mengapakah wanita, lelaki dan kanak-kanak diperdagangkan?                       [3 markah]

(iii)  Jelaskan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengawal aktiviti
       pemerdagangan manusia.                                                                                 [4 markah]




Saya berikan skema jawapan soalan merumus teks dan skema jawapan. Mohon, buat dulu

Latihan di atas. Skema sebagai panduan dan boleh dirujuk selepas selesai anda membuat latihan berkenaan.

Mohon jasa baik pelajar yang ada printer, minta kebenaran ibu bapa untuk mencetak soalan berkenaan dan kemudian pagi esok mohon hantar ke kerani pejabat untuk difotostat dengan kebenaran daripada saya. Sila edarkan soalan berkenaan sebagai kerja sekolah dan dilanjutkan sebagai kerja rumah jika kerja berkenaan tidak dapat disiapkan pada masa persekolahan. Sila serahkan jawapan kepada saya pada hari Isnin.

SKEMA JAWAPAN SEBAGAI RUJUKAN JIKA ADA MASALAH SEMASA MEMBUAT LATIHAN.

Pendahuluan [2 markah]
Pendahuluan
Binaan Ayat Pengenalan
Markah
P1
Petikan membincangkan faktor-faktor/sebab-sebab/yang mendorong jenayah pemerdagangan manusia di Malaysia/di negara ini.
2
P2
Rumusan membincangkan faktor-faktor/sebab-sebab/yang mendorong jenayah pemerdagangan manusia dan kesan-kesan daripada permasalahan ini
2
P3
Petikan membincangkan faktor-faktor/punca-punca/yang mendorong jenayah pemerdagangan manusia.
1

Isi Tersirat
Isi Tersurat
Binaan Ayat Isi Tersurat ( Punca-punca)
Markah
S1
Jenayah ini sukar dikesan kerana melibatkan banyak negara
2
S2
perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama
2
S3
kewujudan pusat hiburan yang  beroperasi secara haram
## ( Mesti ayat lengkap)
2
S4
kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean, menjadikannya antara lokasi strategik
2
S5
memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan lawatan sosial atau pas pelajar
2
S6
keuntungan lumayan diperoleh oleh sindiket
## ( Mesti ayat lengkap)
2
S7
kemiskinan di negara asal merupakan salah satu satu punca
2
S8
penguatkuasaan undang-undang lemah
2

Isi Tersirat
Isi Tersirat
Binaan Ayat Isi Tersirat ( Kesan-kesan)
Markah
T1
mencemarkan imej negara di mata dunia
2
T2
mengancam keselamatan dan keamanan negara
2
T3
menjejaskan hubungan diplomatik antara negara
2
T4
peningkatan masalah sosial – penularan penyakit berjangkit dsb
2
T5
masyarakat hidup dalam kerisauan–(risau anak diculik dsb
2


Penutup
Binaan Ayat Penutup
Markah

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama menangani masalah pemerdagangan manusia agar masyarakat dunia/global/sejagat dapat hidup sejahtera/harmonis
2

CADANGAN JAWAPAN MERUMUS TEKS YANG LENGKAP

            Petikan membincangkan faktor-faktor yang mendorong jenayah pemerdagangan manusia di Malaysia.

        Antara faktor penyebab berlakunya jenayah pemerdagangan manusia di Malaysia adalah kerana jenayah ini sukar dikesan kerana melibatkan banyak negara serta perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama modus operandi sindiket tersebut. Selain itu, kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean, menjadikannya antara lokasi strategik aktiviti sindiket, di samping keuntungan yang diperoleh oleh sindiket berkenaan. Bahkan kerana imigran mudah memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan lawatan sosial atau pas pelajar dan penguatkuasaan undang-undang negara lemah meningkatkan aktiviti tersebut.

         Impak daripada aktiviti sindiket berkenaan menyebabkan imej negara di mata dunia tercemar dan berakunya peningkatan  masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

       Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama menangani masalah pemerdagangan manusia agar masyarakat sejagat dapat hidup sejahtera.

                                                                                                 120  patah perkataan.

Tiada ulasan: