Rabu, 18 Julai 2018

NOTA KOMSAS ANTOLOGI- TINGKATAN 5

PUISI(SAJAK)
SAJAK PESAN LELAKI KECIL KEPADA GADIS KAMPUS

Tema :

Nasihat ibu bapa kepada anak-anak gadis  yang akan melanjutkan pelajaran  di Institut Pengajian Tinggi

RANGKAP
SAJAK
MAKSUD

Rangkap 1

Kuhantar  kau mengecapi angin baru
udara lain dari kampung bendang kuningmu
bumantara asing dari yang sering kaumesrai
yang sama sekali berbeza
dengan suasana suntimu
kau nikmatilah angin dan udara ilmu itu
memesrai azimat dan tangkal
dari tangga gading.




Penyajak menghantar anaknya menghirup udara kehidupan yang baharu di Bandar kerana anaknya akan melanjutkan pelajaran di sana.  Oleh sebab suasana dan persekitaran Bandar dan kampung jauh berbeza, penyajak berharap agar anaknya dapat menyesuaikan diri di bandar.  Beliau juga mahu anaknya menimba pengalaman baharu di universiti yang bakal mengubah kehidupan anaknya sebagai mahasiswa di universiti

Rangkap 2

Kulepaskan kau menjadi burung putih
dengan sayap berkembang
menongkah awan perak dan kabut dingin
mengenal kalimat hujan dan bilah petir
menyelit antara sembilu nasib
dan waras akal.







Penyajak sanggup membenarkan anaknya hidup di bandar untuk meluaskan pengalaman kehidupannya.  Hal ini demikian kerana penyajak mahu melatih anaknya agar tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan agar dapat mematangkan diri.  Dengan berbuat demikian, pemikiran anaknya menjadi lebih matang dan bijaksana menghadapi segala cabaran dalam kehidupannya sebagai seorang mahasiswa agar dapat berjasa kepada keluarga, bangsa dan negara pada  masa  hadapan.

Rangkap 3

Di awan kampus yang sarat ilmu
hadir sihir angin bernafas api
di pohon kampus yang tegar status
berceracak selumbar noda mengabur fikir
di padang kampus yang hijau pertimbangan
tumbuh gunung ego menghalau pekerti.




Penyajak beranggapan bahawa universiti ialah tempat yang kaya dengan ilmu pengetahuan untuk ditimba oleh anak gadisnya.Walau bagaimanapun, penyajak beranggapan bahawa banyak pengaruh negatif  juga tersebar luas di sana.  Oleh hal yang demikian, penyajak berharap agar anaknya dapat membuat pertimbangan dan keputusan yang terbaik buat dirinya agar dapat mengelakkan sikap negatif seperti sombong.

Rangkap 4

Pandai-pandailah kau terbang
menongkah awan mulus dan kabus dingin
jangan kau pulang
dengan percikan duka dan balutan luka
di sayapmu yang patah




Penyajak  menasihati anak gadis suntinya agar pandai membawa diri dalam mengharungi kehidupan di universiti. Beliau mengingatkan anak gadis suntinya tidak pulang dengan kekecewaan.





RANGKAP
PERSOALAN
NILAI
PENGAJARAN

Rangkap 1

Perbezaan kehidupan di antara kampung dengan kehidupan di menara gading

Berdikari

Kita mestilah memberikan kebebasan kepada anak-anak kita agar mereka mampu untuk berdikari

Rangkap 2

Keberanian seorang bapa yang melepaskan anak gadis suntinya untuk menuntut ilmu di menara gading

Keberanian

Kita mestilah membenarkan anak-anak kita melanjutkan pelajaran di tempat lain agar mereka dapat menambahkan pengalaman dalam hidup

Rangkap 3

Kehidupan di kampus yang  banyak cabaran

Kecekalan

Kita mestilah cekal menghadapi dugaan hidup

Rangkap 4

Kemampu mengharungi kehidupan yang  sukar.

Harapan ibu bapa untuk melihat kejayaan anak dalam pelajaran

Kerajinan

Kita mestilah rajin belajar


Gaya Bahasa
Sinkope
Kuhantar (aku), Kau (engkau)
Responsi
kau nikmatilah angin dan udara ilmu itu
mengenal kalimat hujan dan bilah petir

Metafora
sembilu nasib      
Inversi       
waras akal sepatutnya akal waras
Dingin kabus sepatutnya kabus dingin

Hiperbola
angin nafas
Kata ganda
pandai-pandailah

NOTA SAJAK KUDUP PERANG
Tema
Kepentingan kewibawaan dan ketokohan pemimpin dalam menerajui sesebuah organisasi

RANGKAP
SAJAK
MAKSUD
PERSOALAN
NILAI
PENGAJARAN
Rangkap 1
Sementara dia bergelar panglima
laskar perang; yang terus-menerus
membajakan kezaliman – sering
mengudupkan putik dendam
kita masih perlu berterima kasih
kepada jari-jemari takdir
kerana membenarkan sepasang mata
untuk berlari dengan tangan bergari
sempat juga menadah sejambak puisi
untuk sehari lagi; sambil bertanya;
siapakah pahlawan yang asli?
Penyajak mengatakan bahawa pemimpin perang yang sedang berkuasa akan sentiasa membuat kezaliman dan menyimpan perasaan dendam. Walau bagaimanapun, penyajak masih bersyukur kerana berpeluang menikmati kehidupan sambil mencari-cari pahlawan sejati.
Keadilan dan kesaksamaan selalu digugat oleh pendustaan
Keadilan
Kita haruslah bersikap adil dan saksama supaya tidak melakukan kezaliman
Rangkap 2
Memang kita tidak sempat menjenguk
ke luar jendela; sewaktu fajar menghembus
ringkik kuda, gemerincing
pedang pusaka
dan darah yang tiba-tiba membuak
di daerah angkara – perciknya
menumbuhkan kelopak rahsia
dalam keliru, tertanya-tanya kita
tangan mana yang memenggal
leher sang pendusta?
Penyajak sedar bahawa kita yang hidup pada zaman ini tidak berpeluang menjadi saksi pertelingkahan antara mereka. Perlbagai kekeliruan tentang kepahlawanan sebenar menyebabkan manusia tertanta-tanya tentang pemimpin sebenar yang benar-benar berkewibawaan mencipta sejarah.
Kekeliruan dalam menyanjung pemimpin sebenar
Rasional
Kita mestilah biajk memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa dalam menerajui sesebuah organisasi
Rangkap 3
Andai namamu Tuah, kita masih
tidak mahu
menyanjungnya pendekar paling gagah
kerana takhta setia terbina
di istana wangsa
bukanlah penjamin kukuhnya
pasak saksama
sesekali turut direntakan daki pendusta
melekatlah selumbar sengsara
di tiang maruah kota
Penyajak tidak mahu menyanjung tuah sebagai pendekar paling gagah kerana kesetiaan tuah yang tidak berbelah bahagi terhadap istana. Oleh itu, Tuah tidak akan bersikap saksama walaupun adanya pendustaan sehingga sanggup membiarkan kesengsaraan berlaku di kota.
Usaha untuk mencari kebenaran tentang pahlawan dan pengkhianat
Keberanian
Kita hendaklah berani untuk mencari jawapan yang sahih agar tidak membuat keputusan yang salah
Rangkap 4
Andai namamu Jebat, kita masih tidak
menggelarnya sebagai pengkhianat
kerana kita masih menangisi
peta keadilan yang tersirat – nun, karam
di lautan kesumat
sedang warga memanggilnya keramat
Penyajak juga tidak menganggap Jebat sebagai sebagai pengkhianat kerana dia masih mengingati perjuangan Jebat mempertahankan keadilan. Namun, pengikut Jebat telah beranggapan  bahawa Jebatlah pemimpin yang sebenar.
keadilan
Rangkap 5
Perang pun melecurkan lidah muslihat
bercabang lalu bertemu bayu palsu;
bertiup dan memindahkan kebenaran pada tempatnya
mewarnakan keindahan pada hodohnya
menjungkitkan amarah pada damainya
teramat lara kita menjahit semula
perca-perca bahagia – seperti perawan
yang dibungkamkan cinta pertama.
Penyajak menginsafi bahawa peperangan penuh dengan muslihat dan berita palsu yang menghapuskan kebenaran dan membenarkan yang salah. Perang juga membangkitkan keganasan dalam kehidupan yang damai. Oleh itu, usaha untuk membangunkan negara amatlah sukar.
Sifat mementingkan diri dalam kalangan pemimpin

Peperangan membawa kesengsaraan hidup
Keinsafan
Kita mestilah insaf bahawa peperangan dan perbalahan tidak akan mendatangkan kebaikan

Kita hendaklah gigih berusaha untuk membina kebahagiaan supaya hidup lebih bermakna
Rangkap 6
Sehingga senja tiba,
kita masih bertengkar
tentang siapa
pahlawan sebenarnya.
Penyajak sedar bahawa sehingga kini masyarakat masih bertengkar untuk menentukan atau pemimpin  sebenar yang benar-benar memiliki ketokohan untuk menerajui sesebuah organisasi

Nada : Patriotik
Gaya Bahasa :
1.      Simile – seperti perawan
2.      Metafora – peta keadilan, putik dendam
3.      Hiperbola – daerah angkara, selumbar sengsara
4.      Sinkof – namamu
5.      Inversi – sesekali turut direntakan daki pendusta


Prosa Tradisional
(Kepimpinan Melalui Teladan)
SINOPSIS

Kisah bermula apabila Seri Betara Majapahit berbincang dengan Patih Gajah Mada untuk menewaskan Melaka setelah kematian penjurit tujuh bersaudara. Ketujuh-tujuh penjurit dibunuh oleh laksamana di Bukit Cina. Justeru, Patih Gajah Mada merancang untuk mengarahkan Kertala Sari membunuh Sultan Melaka dan laksamananya. Kertala Sari bersetuju dengan permintaan Patih Gajah kerana ingin membalas dendam atas kematian ayahnya yang dibunuh oleh laksamana Melaka.
  
Patih Gajah membawa Kertala Sari mengadap Seri Betara dan menerangkan bahawa Kertala Sari merupakan penjurit yang sangat handal. Kehebatan Kertala Sari mengalahkan negeri Daha seorang diri menyebabkan Seri Betara menitahkan Kertala Sari segera ke Melaka untuk membunuh Sultan Melaka dan laksamana Melaka dan menjanjikan jawatan penggawa agung kepadanya.

Ketika berada di Melaka Kertala Sari menyemar sebagai pengikut Patih Kerma Wijaya. Di Melaka Kertala Sari mencuri harta saudagar-saudagar dan orang-orang kaya serta mencabuli isteri-isteri mereka. Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada Sultan Melaka dan menitahkan agar Temenggung serta orangnya menjaga keselamatan dan mengawal keadaan negeri Melaka dari kejadian kecurian. Namun kecurian masih tetap berlaku sehingga melibatkan rumah Bendahara. Hal ini kerana Kertala Sari menggunakan ilmu kesaktian untuk menggelakkan diri daripada ditangkap. Melihat pada keadaan tersebut laksamana menawarkan diri kepada Sultan untuk mengawal istana kerana mengikut firasatnya penjurit akan masuk ke istana pula.

Dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta ilmu yang dimiliki oleh laksamana berjaya mengagalkan rancangan Kertala Sari untuk mencuri harta raja,membakar dan mengamuk serta mengambil isteri-isteri sultan. Kertala Sari berjaya dibunuh oleh laksamana di tengah pasar, manakala kemaluan Kertala Sari dipotong sebagai bukti laksamana membunuhnya. Mayat Kertala Sari telah dikerat-kerat anggota badanya oleh penduduk yang menjumpai mayat tersebut untuk dibuktikan kepada sultan bahawa merekalah yang telah membunuh Kertala Sari. Namun laksamana telah menunjukkan bukti yang lebih kukuh kepada sultan bahawa beliaulah yang telah berjaya membunuh Kertala Sari. Baginda sultan telah memberi anugerah kepada laksamana atas kejayaan membunuh Kertala Sari

Segala hasil curian yang telah disimpan oleh Kertala Sari di Bukit Cina berjaya ditemui dan Sultan telah mengarahkan semua empunya barang untuk menuntut barang-barang tersebut. Baginda sultan telah meminta supaya empunya barang-barang tersebut memberikan dua pertiga bahagian dari barang-barang tersebut kepada laksmana. Namun laksamana hanya bersetuju untuk mengambil satu bahagian sahaja dan barang-barang tersebut kesemuanya telah diagihkan oleh laksamana kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun dari harta tersebut. Akhirnya berita kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh laksamana telah sampai ke pengetahuan Patih Gajah Mada di Majapahit. Patih Gajah Mada tidak putus asa terus mencari orang yang dapat membunuh Sultan dan Laksamana Melaka.
TEMA
Kepahlawanan seorang laksamana mempertahankan negara.
Keberanian dan kegagahanan Laksamana mempertahankan negeri Melaka dari ancaman penjurit tujuh bersaudara serta Kertala Sari dari Majapahit yang membuat hura hara.
PERSOALAN
  1. Persoalan keberanian dalam menegakkan keadilan.
  2. Persoalan pemimpin mestilah seorang yang bijaksana.
  3. Persoalan pemimpin yang mengambil berat kesusahan rakyat.
  4. Persoalan penggunaan ilmu kesaktian dalam kehidupan seseorang.
  5. Persoalan perasaan dendam membawa akibat buruk.
WATAK DAN PERWATAKAN   

  1. Laksamana
    • Seorang yang berani
    • Seorang yang pemurah
    • Seorang yang bijaksana
    • Cinta akan keamanan negara
      • Taat setia kepada pemerintah
      • Pandai dalam ilmu kesaktian
      • Memiliki sifat kepahlawanan
  1. Kertala Sari
    • Anak kepada Petala Bumi
    • Berasal dari Majapahit
    • Seorang pencuri yang handal
    • Seorang yang tamak dan angkuh
    • Seorang pendendam
    • Pandai dalam ilmu kesaktian
    • Suka membuat huru hara
    • Taat kepada pemerintah
  1. Sultan Melaka
    • Seorang yang prihatin
    • Seorang pemimpin yang adil
    • Seorang yang mengenang budi
  1. Patih Gajah Mada
    • Berasal dari Majapahit
    • Seorang pendendam
   
LATAR 
Latar Masyarakat

  1. Masyarakat feudal
             Contoh: Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja .

  1. Masyarakat yang bertanggungjawab
            Contoh : Laksamana menawarkan diri untuk menangkap penjurit yang menyebabkan
            masalah kecurian di negeri Melaka.

3.    Masyarakat yang mengenang budi
      Contoh : Saudagar dan orang-orang kaya yang kehilangan hartanya akibat dicuri oleh  
      Kertala Sari telah memberikan sebahagian harta mereka kepada Laksamana dengan ikhlas   
      serta harta mereka ditemui.

 4.  Masyarakat yang taat pada pemerintah
      Contoh : Ketaatan Laksamana terhadap Sultan dan negerinya.

Latar Tempat

  1. Negeri Melaka
            Contoh: Kartala Sari membuat huru hara dengan mencuri harta sudagar dan orang-orang
            kaya di Melaka
  1. Majapahit
            Contoh: Patih Gajah Mada dan Seri Bentara merancang untuk membalas dendam atas
            kematian penjurit tujuh bersaudara di Bukit Cina.
  1. Di tengah pasar
            Contoh : Tempat Kertala Sari mati dibunuh oleh Laksamana.

Latar Masa

  1. Malam
           Contoh: Kertala Sari masuk mencuri ke rumah saudagar dan orang-orang kaya pada sebelah    
           malam.
  1. Siang
           Contoh: Bendahara melaporkan kepada Sultan bahawa rumahnya telah dimasuki pencuri  
           dan habis segala harta-hartanya.

GAYA BAHASA 

  1. Bahasa istana
           Contoh: sultan, patik, tuanku,
  1. Bahasa pinjaman bahasa Jawa
            Contoh: manira,kula,pakanira
  1. Kata ganda
            Contoh: kaya-kaya, sekuasa-kuasa, menampar-nampar,tikam-menikam,radak-meradak

NILAI

  1. Nilai keberanian
            Contoh:Laksamana berani untuk menentang dan membunuh Kertala Sari.
  1. Nilai tolong-menolong
            Contoh: Laksamana menawarkan diri untuk mengawal keselamatan negeri Melaka.
  1. Nilai kebijaksanaan
            Contoh: Laksamana menggunakan tipu helah untuk mengalahkan Kertala Sari degan
            berpura-pura tidur di tengah-tengah pasar pada waktu malam.
  1. Nilai pemurah
             Contoh: Laksamana membahagi-bahagikan harta yang dihadiahkan oleh saudagar dan 
             orang-orang kaya kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil
             sedikitpun harta itu.

PENGAJARAN 

  1. Kita hendaklah berani menghadapi musuh supaya keselamatan negara akan terjamin.
  2. Kita hendaklah rasional membuat keputusan agar tidak menyesal pada masa akan datang.
  3. Janganlah kita mempunyai perasaan dendam supaya hidup kita sentiasa bahagia. 
  4. Kita hendalah mengamalkan sikap pemurah agar kehidupan kata sentiasa dirahmati tuhan
Soalan:-
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hatta maka hari pun malamlah. Maka Kertala Sari pun masuk mencuri pula sebuah rumah saudagar yang lain. Setelah sudah banyaklah ia beroleh harta, maka ia pun kembali pada tempatnya pula. Dengan demikian habislah segala harta saudagar yang kaya-kaya itu dicurinya. Maka segala saudagar dan orang kaya-kaya itu pun masuk menghadap raja berdatang sembah, “Ya tuanku, patik mohonkan ampun, adapun patik sekalian ini habis kecurian tinggal sehelai sepinggang.”

Setelah baginda mendengar sembah orang itu, maka baginda pun terkejut seraya menampar-nampar pahanya. Maka titah baginda, “Wah , datanglah pula bala atas negeriku! Baiknya ada Laksamana; jikalau Laksamana kuutuskan ke negeri orang, binasalah negeri ini.” Maka baginda pun bertitah kepada Temenggung, “Hai Temenggung, suruh orang berkawal dan segala saudagar berkawal pada kampungnya!” Maka Temenggung pun menyuruhkan orangnya berkisah orang kaya-kaya dan saudagar berkawal pada kampungnya. Setelah hari malam, maka Temenggung pun menyuruh orangnya berkawal, terlalu banyak dengan lembing perisai dan segala saudagar pun masing-masing berkawal pada kampungnya.

Sebermula maka Kertala Sari pun masuk ke dalam. Maka dilihatnya oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu banyak dengan alat senjatanya. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu berjalan di tengah orang banyak itu. Maka ia pun pergi ke rumah seorang kaya. Maka dicurinya harta yang kemas-kemas itu lalu dibawanya kembali dan bini orang kaya-kaya itu dicabulinya. Maka ia pun kembali ke tempatnya.

Dipetik daripada “Kepimpinan Melalui Teladan”
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul
Dewan Bahasa dan Pustaka

(i)  Berikan maksud sehelai sepinggang.
(2 markah)

(ii) Berdasarkan petikan di atas, apakah tindakan yang dilakukan oleh Temenggung selepas    
      mendengar perintah daripada sultan?                                                                         (3 markah)

(iii) Raja segera menitahkan orang-orang Temenggung berkawal sebaik-baik sahaja mengetahui     
       berita tentang kecurian yang berlaku di negeri baginda.
       Pada pendapat anda, mengapakah baginda menitahkan kegiatan kecurian itu diatasi dengan     
      segera?

(3 markah)
 * Sumber :



PROSA TRADISIONAL ( BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA)

SINOPSIS
Raja Siam mendapat tahu tentang negeri Melaka sebagai sebuah negara yang kuat dan tidak pernah dikalahkan oleh sesiapa. Raja Siam iaitu Bubunnya menghantar wakil berjumpa Sultan Muzaffar Syah meminta supaya Melaka menyembah (membayar ufti) kepada raja Siam. Sultan Muzaffar menolaknya. Raja Siam marah dan menghantar hulubalangnya iaitu Awi Cakri untuk menyerang Melaka.

Berita Siam hendak menyerang Melaka diketahui oleh Sultan Muzaffar. Baginda menitahkan semua rakyat lelaki dihimpunkan di Melaka. Tun Perak dari Kelang mengumpulkan orang lelaki dari Kelang bersama-sama dengan keluarga mereka. Tujuannya supaya mereka berperang dengan bersungguh-sungguh demi menyelamatkan keluarga mereka. Tentera Siam dapat dikalahkan. Kebijaksanaan Tun Perak mendapat perhatian sultan dan diminta tinggal di Melaka serta dilantik sebagai bentara.

Ada seorang orang Kelang iri hati kepada Tun Perak dan mengadu kepada Sultan bahawa Tun Perak menganiayainya. Sultan menitahkan Tun Perak supaya mengadap. Tun Perak berkata dia bertugas untuk negara dan tahu tanggungjawabnya untuk menjaga negeri. Tun Perak meminta sultan memecatnya jika percaya akan fitnah orang Kelang itu. Sultan sangat gembira dengan jawaban Tun Perak lalu melantiknya sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja. Kedudukan Tun Perak setaraf dengan seorang lagi pegawai iaitu Seri Nara Diraja di balai perjumpaan.

Apabila ada dua orang pembesar, rakyat Melaka berpecah dua. Sebahagian berpihak kepada Paduka Raja dan sebahagian berpihak kepada Seri Nara Diraja. Mereka berdua saling berselisih faham dan tidak bermuafakat hingga boleh membinasakan negara. Sultan berdukacita dan bercadang mendamaikan mereka berdua
.
Sultan telah menceraikan isterinya Tun Kudu iaitu anak bendahara Seri Wak Raja iaitu saudara Paduka Raja supaya dapat dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Tun Kudu pernah dipelihara oleh Paduka Raja dengan tanggungan sultan. Sejak dikahwinkan, hubungan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja menjadi erat. Seri Nara Diraja turut menyokong Paduka Rajamenjadi Bendahara.

Pada waktu itu terdapat tiga pembesar yang bijaksana di wilayah tersebut iaitu Paduka Raja dan Seri Nara Diraja di Melaka, Patih Aria Gajah Mada di Majapahit dan Orang Kaya Kanayan di Pasai.

Siam menyerang Melaka sekali lagi di bawah pimpinan Awi Dicu. Paduka Raja mengetuai pertahanan Melaka untuk menentang Siam. Seri Bija Diraja telah mengetuai tentera Melaka untuk menyerang Siam yang sudah sampai berhampiran Batu Pahat. Tun Umar yang menaiki perahu bertindak melanggar banyak perahu Siam hingga Siam kalah. Tindakan Tun Umar itu menyebabkan tentera Siam berasa sangat hairan.

Pada waktu malam, Paduka Raja memerintahkan supaya dinyalakan api pada pokok kayu bakau, nyirih dan tumpu api-api. Cahaya api itu menggambarkan seolah-olah terlalu ramai tentera Melaka sedang berkawal di tepi pantai. Askar Siam ketakutan melihat banyaknya askar Melaka lalu mereka balik ke Siam dan tidak jadi menyerang Melaka.

Sultan Muzaffar merayakan kemenangan askar Melaka dengan hadiah persalinan baru. Di Siam, Paduka Bubunnya sangat marah. Anaknya Cau Pandan bermohon untuk untuk menyerang Melaka dan dilengkapkan dengan pelbagai kelengkapan serta perahu yang sangat banyak bilangannya.

Apabila mendengar berita itu, Sultan Muzaffar memerintahkan seorang yang warak (kuat ugama) iaitu Tuan Sidi Arab menggunakan kesaktiannya. Tuan Sidi Arab menghalakan panahnya ke Siam sambil mengatakan Cau Pandan akan mati. Di Siam, Cau Pandan berasa sakit dada kemudian muntah darah lalu mati. Sultan menghadiahkan Tuan Sidi Arab dengan pelbagai anugerah.

Selepas 42 tahun memerintah, Sultan Muzaffar mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda iaitu Sultan Mansur Syah yang berusia 27 tahun. Baginda berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam iaitu anak Seri Nara Diraja.

B.   TEMA:
Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah dihadapi.
Contoh : Tun Perak menyuruh orang lelaki dari Kelang membawa isteri dan anak-anak mereka supaya mereka berperang dengan bermati-matian untuk mengalahkan Siam.

C.   PERSOALAN:
PERSOALAN
PERISTIWA
Kebijaksanaan menggunakan akal dan strategi untuk menyelesaikan masalah
Sultan Muzaffar menggunakan strategi mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu untuk mendamaikan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja.
Perpecahan dalam kalangan pemimpin akan membinasakan negara
Perbalahan antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja menyebabkan orang Melayu berpecah dua dan Melaka dalam keadaan bahaya.
Bersiap siaga dengan ancaman musuh
Paduka Raja sentiasa bersiap sedia dengan strategi awal yang bijak untuk mengalahkan askar Siam.
Kepentingan ilmu dalam kehidupan
Tun Sidi Arab memiliki ilmu yang tinggi hingga boleh membunuh Cau Pandan di Siam hanya dengan menggunakan panahnya dari Melaka.
Keberanian menghadapi cabaran
Tun Perak tidak takut apabila dipanggil sultan setelah orang Kelang menuduhnya menganiaya sultan sebaliknya beliau berani memberi jawapan yang baik hingga sultan melantiknya sebagai perdana menteri.
Taat setia kepada pemimpin
Rakyat Melaka setia dan memberikan daulat kepada sultan Muzaffar hingga menjadikan Melaka sebuah negeri yang kuat dan maju.

D. WATAK DAN PERWATAKAN:

WATAK
PERWATAKAN
PERISTIWA


Tun Perak
bijaksana
mengarahkan lelaki Kelang membawa anak isteri ketika menentang Siam
baik hati
menjaga Tun Kudu yang telah diceraikan sultan sebelum Tun Kudu berkahwin semula.
berani
memimpin askar Melaka menentang askar Siam yang hendak menyerang Melaka.
berpengaruh
beliau mempunyai pengikut yang menyokongnya ketika bersengketa dengan Seri Nara diraja.




SULTAN MUZAFFAR SYAH
mementingkan keharmonian Melaka
berusaha mendamaikan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja untuk memakmurkan Melaka.
prihatin
meraikan askarnya yang menang dengan pemberian hadiah pakaian persalinan.
bijaksana
mendamaikan pembesarnya dengan mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu.
tidak terburu-buru
tidak menghukum Tun Perak setelah Tun Perak difitnah sebaliknya memanggil Tun Perak untuk menceritakan keadaan yang sebenarnya.
menghargai rakyatnya
memberi anugerah dan pujian kepada Tun Sidi Arab yang telah membunuh Cau Pandan.

E. LATAR:
1.   Latar tempat:
v  Melaka - cerita berkisar di negeri Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.
v  Muar - askar Siam di bawah pimpinan Awi Dicu berada di Muar selepas menyerang Melaka.
v  Batu Pahat - askar Siam berada di Batu Pahat untuk menyerang Melaka di bawah Awi Dicu.
v  Kelang - tempat tinggal Tun Perak sebelum dilantik menjadi bendahara Melaka.
v  Siam - tempat tinggal Paduka Babunnya.

 2.   Latar masa:
v  Zaman Pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka - semasa Melaka sedang maju dan kuat.
v  Zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah - Sultan Muzaffar memerintah Melaka selama 42 tahun dan Melaka menjadi negeri yang makmur.
v  Zaman Tun Perak menjadi bendahara Melaka - Tun Perak dilantik menjadi bendahara dengan gelaran Paduka Raja. Ketika itu Melaka sangat kuat.

F. NILAI:

NILAI
PERISTIWA
kebijaksanaan
Tun Perak bijaksana apabila mengikat puntung api pada pokok kayu bakau, nyirih dan tumpu api-api pada waktu malam hingga cahaya api itu menggambarkan askar Melaka yang ramai sehingga menakutkan askar Siam.
baik hati
Sultan Muzaffar memberikan askarnya yang menang peperangan dengan sepasang persalinan.
bersatu padu
Semua lelaki Kelang berkumpul dan bersatu untuk menentang askar Siam.
keikhlasan
Seri Nara Diraja sepakat menyokong Paduka Raja dengan ikhlas untuk menjadi bendahara supaya rakyat Melaka bersatu padu dan kuat.
keberanian
Tun Perak berani menentang askar Siam yang ramai jumlahnya hingga dua kali percubaan Siam menyerang Melaka menemui kegagalan
pengorbanan
Sultan Muzaffar berkorban menceraikan Tun Kudu demi mendamaikan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja.
berilmu pengetahuan
Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi sehingga mampu membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dengan hanya menghalakan panahnya ke Siam.

G. PENGAJARAN:

Pengajaran
Peristiwa
Kita mestilah berani menghadapi ancaman musuh demi negara.
Tun Perak dan tentera-tenteranya berani menentang tentera Siam.
Kita mestilah bijak menggunakan strategi untuk menyelesaikan masalah.
Sultan Muzaffar Syah bijaksana dalam menyelesaikan konflik antara Seri Nara Diraja dengan Padka Raja. Tindakan baginda mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu, iaitu saudara Tun Perak telah berjaya menyelesaikan perbalahan antara dua pembesar dan membawa kepada keharmonian neger Melaka.
Kita mestilah ikhlas apabila melakukan sesuatu perbuatan.
Seri Nara Diraja ikhlas menyokong pelantikan Paduka Raja sebgai Bendahara Melaka.
Kita mestilah sanggup bekorban untuk memperoleh kebaikan.
Sultan Muzaffar sanggup berkorban dengan menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Tindakan tersebut dilakukan supaya Seri Nara Diraja berbaik-baik dengan Tun Perak.
Kita mestilah bersatu padu supaya negara menjadi kuat dan maju.
Seri Nara Diraja dan Bendahara Paduka Raja hidup bermuafakat dengan bersatu padu sehingga membolehkan Melaka menghadapi ancaman Siam.
Kita mestilah menghargai jasa dan usaha yang telah dilakukan oleh orang lain kepada kita.
Sultan Muzaffar memberikan askarnya yang menang peperangan dengan sepasang persalinan.
Kita hendaklah menggunakan ilmu pengetahuan untuk melakukan tindakan yang betul.
Tuan Sidi Arab menggunakan ilmu pengetahuannya yang tinggi untuk membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dari jauh demi memastikan keamanan Melaka tidak tergugat.

           * Sumber:- http://cuit-cuitbahasa.blogspot.com/2016/02/burung-terbangdipipiskan-lada-sinopsis.html



2(c) Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudi­an jawab soalan-soalan yang  berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

      ”Sebab itulah maka segala orang Kelang ini hamba suruh bawa dengan anak isterinya sekali. Nescaya berperang dengan musuh bersunggguh-sungguh hatinya; kurang-kurang ia berlawankan Duli Yang Dipertuan lebih ia berlawan anak isterinya bersungguh-sungguh."

     Maka oleh Seri Amerta kata Tun Perak itu semuanya dipersembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan. Maka baginda pun tersenyum, seraya bertitah, "Benarlah seperti kata Tun Perak itu.”

     Maka diambil baginda sirih dari puan baginda, disuruh berikan kepada Tun Perak. Maka titah baginda kepada Tun Perak, "Bahawa Tun Perak tiada patut diam di Kelang lagi; baiklah Tun Perak diam di negeri.”

     Hatta, maka orang Siam pun datanglah, lalu perang dengan orang Melaka. Ada beberapa lamanya berperang, maka banyaklah rakyat Siam yang mati. Melaka tiada alah. Maka rakyat Siam pun kembalilah, seraya ia pulang segala rotan ikat barang-barangnya semuanya dicampakkannya di hulu Muar. Maka rotan itu pun tumbuh; itulah dinamai orang Rotan Siam, manakala pasungan kayu ara itu pun tumbuh juga, datang sekarang ini di hulu Muar jua, dan tumang Siam tempat bertanak itu pun tumbuh juga, datang sekarang.

(Dipetik daripada prosa tradisional ‘Burung Terbang Dipipiskan Lada’ dalam Antologi Sejadah Rindu)
i.   Berikan maksud datang sekarang dalam petikan di atas.                                                        
                                                                                                             [2 markah]

ii.  Perihalkan perkara yang melibatkan tentera Siam dalam peperangan dengan Melaka.              
                                                                                                                                                                                                                                                   [3 markah] 
iii.  Pada pendapat anda, mengapakah peperangan antara dua buah negara yang 
     bermusuhan mesti  dielakkan?                                                                                                  
                                                                                                              [3 markah] 


GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)

Fikir dan Kata
Kurang fikir, kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.

Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak silang sengketa.

Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.

Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.

Silang Sengketa
Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.

Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.

Ilmu
Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.

Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.

Dunia Pergaulan
Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan.

Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.

Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu.

Sifat-sifat yang Baik
Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang sebagai bonda di taman.

Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.


Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.

Perbuatan yang Baik
Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.

Menolong sesama wajib dan perlu,
Tetapi tolonglah dirimu dahulu.

Sifat-sifat yang Jahat
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.

Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat.
                                                         Kalung Bunga Za’ba, 2008 , Dewan Bahasa dan  Pustaka


Maksud Gurindam GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)
Rangkap 1
Peringatan kepada pembaca sekiranya kurang berfikir dan kurang menyelidik terlebih dahulu, pasti akan menyebabkan hidup menjadi sesat.
Rangkap 2
Saranan agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.
Rangkap 3
Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika dituturkan boleh memudaratkan hidup masyarakat.
Rangkap 4
Sekiranya seseorang berbicara dengan kata-kata yang pedas dan kurang sopan boleh menyebabkan dia mengalami masalah yang besar.
Rangkap 5
Seseorang yang gemar hidup bermusuh akan sentiasa bermasalah
Rangkap 6
Saranan agar pembaca tidak menimbulkan persengketaan tetapi jika perkara itu berlaku perlulah diterima dengan tabah.
Rangkap 7
Ilmu yang tidak dipelajari dengan sempurna kurang lengkap dan kurang sesuai untuk diamalkan.
Rangkap 8
Ilmu pengetahuan dan kemahiran boleh dituntut selagi rajin untuk menuntut ilmu.
Rangkap 9
Saranan agar bijak memilih sahabat dan taulan di dunia yang di dalamnya mengandungi berbagai-bagai kerenah dan sifat manusia.
Rangkap 10
Sifat budi pekerti seseorang boleh dikenal melalui rakan taulan yang didampinginya.
Rangkap 11
Lazimnya, seseorang akan memilih dan mencari kawan yang sama sifat dan fiilnya untuk memudahkan mereka bekerjasama dan bergaul mesra.
Rangkap 12
Seseorang yang bersifat budiman akan sentiasa dipandang dan disanjung tinggi.
Rangkap 13
Seseorang yang bersifat dermawan akan dapat melawan hati orang di sekelilingnya.
Rangkap 14
Seseorang yang bersifat pemurah akan memudahkannya untuk mendapat bantuan dan pertolongan.
Rangkap 15
Nama seseorang yang membuat jasa akan disanjung pada setiap masa.
Rangkap 16
Saranan agar pembaca memperbaik kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menolong sesama manusia
Rangkap 17
Perbuatan mengadu domba dan membuat fitnah boleh menyebabkan hubungan sesama manusia tidak harmoni.
Rangkap 18
Peringatan agar tidak melakukan perbuatan khianat sesama manusia kerana Tuhan pasti akan melaknati orang yang berbiat demikian

Tema
Gurindam “Beberapa Petua Hidup” bertemakan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pegangan dalam kehidupan manusia sehari-hari.  Nilai-nilai murni yang positif serta diamalkan ini nescaya dapat melahirkan insan yang bersahsiah dan berdisiplin.

Persoalan
1.      Kegigihan dalam membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian manusia.
2.      Kesungguhan dalam mengamalkan nilai-nilai murni.
3.      Rasional dalam membuat sebarang tindakan.
4.      Ketekunan dalam menuntut ilmu.
5.      Sanjungan masyarakat terhadap orang yang berjasa dan berhati mulia.
6.      Kerjasama dan budaya tolong-menolong sesama manusia.
7.      Keadilan Tuhan terhadap setiap tindak-tanduk manusia.

Bentuk Gurindam
1.      Gurindam “Beberapa Petua Hidup” ialah puisi terikiat/tidak bebas.
2.      Gurindam ini terdiri daripada lapan belas rangkap.
3.      Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu dua baris serangkap.  Baris pertama ialah syarat dan baris kedua pula ialah jawab.
4.      Bilangan kata dalam setiap baris hampir sama, iaitu antara tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris.
5.      Bilangan suku kata dalam setiap baris terdiri daripada sembilan hingga dua belas suku kata.
6.      Rima akhir gurindam ialah aa.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
1.      Antara unsur gaya bahasa yang terdapat dalam gurindam ”Beberapa Petua Hidup” termasuklah :
a)     Kata arkaik (kata klasik).  Contohnya: upas
b)     Kata pinjaman bahasa Arab.  Contohnya: khianat; laknat
c)     Perulangan atau repetisi.  Contohnya: Kurang fikir, kurang siasat,
d)     Peribahasa.  Contohnya: Telunjuk lurus kelengkeng berkait
e)     Simile.  Contohnya: Ibarat beringin, racun dan upas.
f)       Metafora.  Contohnya: mulut tajam dan kasar; taman pergaulan
g)     Inversi.  Contohnya: Tentu dirimu kelak tersesat.

2.      Antara unsur keindahan bunyi yang digunakan termasuklah:
a)     Asonansi.  Contohnya:
        i.          Perulangan vokal a:  Perkataan tajam jika dilepas
             Dalam contoh ini, terdapat pengulangan bunyi vokal sebanyak tujuh kali.

         ii.          Perulangan vokal iManusia dikenal sifat budinya
               perulangan bunyi vokal sebanyak empat kali.
b)     Aliterasi.  Contohnya:
                                     i.          Perulangan konsonan sSupaya terelak silang sengketa
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan s sebanyak dua kali.
                                    ii.          Perulangan konsonan tTetapi tolonglah dirimu dahulu.
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan t sebanyak dua kali.

Nilai
1.      Nilai kebijaksanaan.  Contohnya, kita perlu bijak dalam memilih sahabt dan taulan di dunia yang diibaratkan sebagai sebuah taman pergaulan.
2.      Nilai rasional.  Contohnya, kita dinasihatkan agar berfikir dahlu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.
3.      Nilai kesopanan.  Contohnya, kita dituntut agar menjaga tutur kata supaya tidak menggores hati orang lain.
4.      Nilai kerajinan.  Contohnya, kita dinasihatkan agar rajin belajar untuk menambahkan ilmu dan kemahiran.
5.      Nilai mengenang jasa.  Contohnya, seseorang yang berjasa akan dikenang sepanjang masa.
6.      Nilai kerjasama.  Contohnya, sifat suka membantu dan menolong sesama insan perlu diamalkan.
7.      Nilai baik hati.  Contohnya, kita dituntut agar sentiasa berbudi sesama manusia.
8.      Nilai setia kawan.  Contohnya, seorang sahabat yang baik akan sentiasa mendorong rakannya ke arah kebaikan.

Pengajaran
1.      Kita hendaklah berfikir secara rasional dan mendalam terlebih dahulu sebelum menuturkan kata-kata untuk mengelakkan salah faham.
2.      Kita mestilah bijak memilih sahabat yang dapat memimpin kita ke jalan yang lurus dan benar.
3.      Kita perlulah menjaga tutur kata apabila berbicara dengan orang lain untuk mengelakkan sengketa. 
4.      Kita mestilah rajin belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menambahkan pengetahuan.
5.      Janganlah kita mengadu domba dan membuat fitnah sehingga boleh menjejaskan hubungan baik sesama manusia.
6.      Janganlah kita berlebih-lebihan menolong orang lain sedangkan pada waktu itu sendiri berada dalam kesusahan.

7.      Kita hendaklah sentiasa berbudi sesama manusia agar dikenang orang.

LATIHAN GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP
(i)                               i.   Berikan maksud datang sekarang dalam petikan di atas.                    [2 markah] 

ii.  Perihalkan perkara yang melibatkan tentera Siam dalam peperangan dengan 
    Melaka.              
                                                                                                                   [3 markah] 
iii.  Pada pendapat anda, mengapakah peperangan antara dua buah negara yang
     bermusuhan mesti  dielakkan?                                                                                                                                                                                                       [3 markah]

* Sumber: http://muinmohsein.blogspot.com/2016/02/gurindam-beberapa-petua-hidup-zaba.html

PROSA MODEN ( CERPEN GERHANA MANUSIA)

SINOPSIS ( Sumbangan Sy. Siti Hajar )

Cerpen ini memaparkan kisah seorang doktor yang mementingkan ganjaran material ketika merawat pesakit sehingga menyebabkan berlakunya pengabaian nilai kemanusiaan. Profesor Doktor Juaidi cuba mempengaruhi kakitangannya agar memastikan semua pek darah yang ada di hospital tersebut hanya diberikan kepada Tuan Besar Musa yang menjadi penyumbang utama kepada jamuan tahunan kelab elit mereka.
     Nusia sedang memberikan rawatan kepada Tuan Besar Musa yang koma dan semakin tenat akibat pengambilan minuman keras selama bertahun-tahun. Nusia memberitahu Doktor Murni berkaitan dengan bank darah yang sudah kehabisan stok tabung darah. Doktor Murni mengarahkan Nusia supaya menngebahkan masalah itu kepada pihak media dengan harapan ada insan yang mahu mendeerma darahnya kepada Tuan Besar Musa.
     Dalam keadaan dirinya yang seddang koma dan tenat itu, Nusia merasakan bahawa Tuan Besar Musa tidak mampu lagi diselamatkan kerana dia hanya hidup bergantung pada alat sokongan hayat. Bagi Nusia, dalam keadaan kritikal tersebut, bacaan surah Yasin dan pengucapan Syahadah lebih diperlukan. Nusia turut mempersoalkan waris Tuan Besar Musa yang tidak kelihatan menjenguknya. Doktor Murni menyatakan bahawa Profesor Doktor Juaidi mahu Tuan Besar Musa hidup. Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi itu. Menurut Nusia, harapan Tuan Besar Musa untuk hidup adalah terlalu nipis dan arahan Profesor Doktor Juaidi supaya dia memasukkan darah ke dalam tubuh Tuan Besar Musa itu dianggap satu pembaziran. Doktor Murni meminta Nusia agar tidak terlalu beremosi dan menurut sahaja arahan itu.
     Di wad Unit Rawatan Rapi terdapat pesakit-pesakit yang sedang koma serta menunggu bantuan darah untuk membolehkan mereka kembali sihat. Solehah tenat dan koma akibat pundi janinnya yang pecah di ovary. Al-Hafiz pula ditimpa kemalangan kereta. Di wad Unit Rawatan Rapi itu juga terdapat bayi buangan yang hampir kekeringan darah, gadis malang yang koma dan tenat akibat didera, dan mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia. Nusia mengatakan bahawa selagi riwayat hidup pesakit di wad itu ditentukan oleh Profesor Doktor Junaidi, maka selama itulah akan berlaku ketidakadilan dalam proses rawatan di situ.
     Profesor Doktor Juaidi mengarahkan Doktor Murni mendapatkan sepuluh pek darah daripada hospital lain dengan segera setelah diberitahu bahawa bank darah di hospital sudah kehabisan. Profesor Doktor Juaidi memberitahu Nusia bahawa Tuan Besar Musa merupakan tokoh korporat dan teknokrat yang banyak menyumbangkan dana kepada kelab elit hospital itu. Sifat dermawannya yang telah menaja majlis makan malam tahunan yang bernilai ratusan ribu menyebabkan Profesor Doktor Juaidi berasa amat terhutang budi dan mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawanya.
     Nusia memberitahu bhawa tekanan darah Solehah semakin rendah. Profesor Doktor Juaidi menyuruh Nusia memberikan gelafundin untuk menggantikan darah disebabkan bekalan darah tidak mencukupi. Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi yang tidak mahu memberikan darah tulen kepada Solehah. Profesor Doktor Juaidi menyoal Nusia mengenai status perempuan yang sedang koma itu jika dibandingkan dengan Tuan Besar Musa. Akhirnya, Nusia akur dengan arahan Profesor Doktor Juaidi dan mengambil sebotol gelafundin lalu dimasukkan ke dalam tubuh Solehah yang sedang koma untuk menggantikan darah.
     Nusia meluahkan rasa kesalnya kepada Doktor Murni mengenai pek-pek darah di dalam bank darah di hospital itu adalah kepunyaan kelab yang boleh dijual. Doktor Murni memujuk Nusia supaya tidak terlalu emosional kerana mereka ialah golongan minoriti di hospital itu. Nusia mengatakan bahawa berlakunya pembaziran darah apabila seratus pek darah diperlukan selama dua hari untuk menyelamatkan Tuan Besar Musa yang koma serta memang tidak boleh diselamatkan. Walhal, hanya empat pek darah diperlukan untuk menyelamatkan mahasiswa yang berpenyakit leukemia itu dan setengah pek darah sahaja diperlukan untuk menghidupkan bayi buangan yang sedang koma.  
     Nusia memberitahu juruteknik makmal darah bahawa hanya lima pek darah diperlukan untuk memberikan peluang kepada empat orang yang sedang koma pulih kembali. Juruteknik makmal darah itu menegaskan bahawa darah itu adalah untuk kegunaan Tuan Besar Musa. Nusia menjelaskan bahawa Tuan Besar Musa sebenarnya sudah mati kerana hanya adrenalin, dopamine, serta atropine yang masih merangsang denyutan jantungnya ketika itu. Juruteknik makmal darah itu termakan pujukan Nusia dan menyerahkan lima pek darah sejuk itu kepadanya. Nusia menjelaskan kepada juruteknik makmal darah itu bahawa dia sanggup menanggung segala risiko atas tindakannya itu.
     Nusia berasa bahawa bantuan darah-darah itu mampu menyelamatkan Solehah, mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia, dan menyembuhkan al-Hafiz yang boleh mengajar beratus-ratus tahfiz kecil. Bagi Nusia, sekiranya lima pek darah itu dimasukkan ke dalam Tuan Besar Musa, nilai pembaziran yang amat besar dilakukan oleh Profesor Doktor Juaidi.
     Profeser Doktor Juaidi berusaha untuk menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa dengan meningkatkan kadar penggunaa adrenalina,dopamine dan atropina . Namun demikian,Tuan Besar Musa yang sedang tenat dan koma itu gagal di selamatkan dan meninggal dunia . Profesor  Doktor Juaidi berasa tertekan kerana kematiannya menyebabkan kelab elit mereka akan kehilangan tajaan sebanyak RM100 ribu .
     Doktor Murni datang dan memberikan surat peletakkan jawatannya sebagai doktor perubatan di hospital itu yang mengetepikan nilai kemanusiaan terhadap pesakit. Keadaan itu menyebabkan Profesor Doktor Juaidi tercengang dengan keputusan Doktor Murni itu . Kemudian, Doktor Murni menggapai tangan Nusia dan mengajaknya ke bank darah supaya mereka dapat menderma darah untuk disalurkan kepada semua pesakit yang sedang koma di wad Unit Rawatan Rapi itu .


PERWATAKAN
NUSIA
1.   Nusia ialah seorang jururawat yang bertugas di Wad Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital .
2.    Dia merupakan seorang yang akur akan perintah ketua.Contohnya,dia menurut arahan Profesor Doktor Juaidi supaya memberikan sebotol gelafundin kepada Solehah untuk menggantikan darah tulen.
3.    Nusia seorang yang penyayang,iaitu dia amat menyanyangi dan mengambil berat terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya.
4.    Nusia seorang yang bertanggungjawab.
Contohnya, dia berusaha untuk memberikan khidmat rawatan terhadap pesakitnya Tuan Besar Musa dengan penuh tanggungjawab .
5.    Dia seorang yang sangat bersimpati.
Contohnya,dia menitiskan air mata apabila melihat penderitaan yang ditanggung oleh Solehah .

   DOKTOR MURNI
1.  Doktor Murni merupakan pegawai perubatan muda di sebuah hospital .
2.  Dia bertugas merawat pesakit di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital itu .
3.  Doktor Murni mementingkan aspek kemanusiaan pesakit. contohnya, dia  
     menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai doctor kerana tidak berpuas hati  
     dengan kaedah rawatan untuk pesakit di hospital itu.
4.  Dia seorang yang prihatin dan bertanggungjawab . Contohnya,dia memaklumkan  
     kepada Profesor Doktor Juadi mengenai bekalan darah di bank hospital itu yang
        telah kehabisan stok .
5.  Dia bersifat tenang ketika merawat pesakit. Contohnya,dia menasihati Nusia agar    
    tidak terlalu emosional ketika merawat Tuan Besar Musa .

   PROFESOR DOKTOR JUAIDI
1.  Profesor Doktor Juaidi merupakan pegawai perubatan senior di sebuah hospital.
2. Dia merupakan ketua jabatan kepada Doktor Murni dan seorang
    jururawat,  Nusia.
3.  Profesor Doktor Juaidi sudah berumur, bermata bulat dan berkening lebat.
4.  Dia amat mementingkan ganjaran material daripada nilai kemanusiaan.
     Contohnya, dia berasa tertekan apabila Tuan Besar Musa meninggal dunia
     kerana kelab elit hospitalnya akan kehilangan tajaan berjumlah RM100 ribu.
5. Dia seorang yang bijak dalam menyelesaikan masalah. Contohnya, dia meminta   
    Doktor Murni menghubungi hospital lain bagi mendapatkan bekalan darah tulen
    untuk mengisi tabung darah di hospitalnya yang kehabisan stok.

  TUAN BESAR MUSA
1.    Tuan Besar Musa merupakan seorang elit korporat dan teknorat yang memiliki
gedung perniagaan yang besar.
2.  Dia merupakan seorang dermawan.
3.  Tuan Besar Musa ialah seorang suami kepada wanita jelita yang tidak setia.
4.  Dia mempunyai sepasang anak yang menjadi penagih dadah berjenis heroin.
5.  Tuan Besar Musa mempunyai perut yang buncit.

  NILAI
1.  Nilai kasih sayang.
  Contohnya, Nusia amat menyayangi dan mengambil berat terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya.
2.  Nilai belas kasihan.
    Contohnya, Nusia menitiskan air mata apabila melihat penderitaan yang ditanggung oleh Solehah.
3.  Nilai tanggungjawab.
   Contohnya, sebagai seorang jururawat, Nusia bertanggungjawab untuk merawat semua pesakitnya tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.
4.  Nilai kebijaksanaan.
   Contohnya, Profesor Doktor Juaidi bijak mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di bank darah, iaitu dengan mengarahkan Doktor Murni mendapatkan bekalan darah tersebut daripada hospital lain dengan segera.
5.  Nilai sayang akan nyawa.
   Contohnya, Nusia mengatakan bahawa hanya lima pek darah diperlukan untuk menyelamatkan empat nyawa pesakit yang sedang koma.

     PENGAJARAN
1.    Kita mestilah bersifat penyayang sesama insan tanpa mengira darjat atau pangkat     seseorang.
        Contohnya, Nusia amat menyayangi dan mengambil berat terhadap kesihatan 
        pesakit-pesakitnya.
2.     Kita hendaklah bersimpati terhadap orang yang bernasib malang.
       Contohnya, Nusia menitiskan air mata apabila melihat penderitaan yang ditanggung   oleh Solehah.
3.               3.     Kita perlulah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberi.
           Contohnya, sebagai seorang jururawat, Nusia bertanggungjawab merawat semua
           pesakitnya tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.
4.  Kita hendaklah bijak berikhtiar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Contohnya, Profesor Doktor Juaidi mengarahkan Doktor Murni menghubungi hospital lain untuk mendapatkan bekalan darah bagi mengisi tabung darah di hospital mereka yang kehabisan.
5.   Kita hendaklah bersedia menderma darah untuk menyelamatkan nyawa pesakit/insan yang memerlukannya.
   Contohnya, Doktor Murni dan Nusia bermurah hati untuk menderma darah bagi menampung bekalan darah yang tidak mencukupi di bank darah hospital.


6 ulasan:

Unknown berkata...

saya dapat banyak manfaat

Unknown berkata...

Terima kasih pada yang sudi berkongsi ilmu

Unknown berkata...

Terima kasih

Tanpa Nama berkata...

sngguh membantu

Tanpa Nama berkata...

terima kasihhhh doakan kami spm batch 2020

Unknown berkata...

Terima Kasih banyak sebab saya dapat lebih banyak manfaat.