Saya telah mengarahkan pelajar Kelas 5 Sains menulis karangan berfokus Soalan Kertas SPM Sebenar Tahun 2017. Penghantaran karangan masih kurang memberangsangkan, dan pada hari Selasa saya mohon pelajar yang masih belum melaksanakan tanggungjawab menghantar karangan perlu menghantar karangan. Insya-Allah, saya akan mencatat penghantaran karangan ke dalam borang semakan penghantaran karangan untuk mengesan pelajar yang masih belum melaksanakan tanggungjawab mereka. Ingat, masa untuk bersenang dan bertenang perlu dikurangkan dan tumpukan perhatian kepada persediaaan untuk memperkasakan item yang masih belum ada kuasai.
TAJUK KARANGAN UMUM KERTAS SPM OKTOBER 2017 YANG TELAH SAYA EDARKAN MINGGU LEPAS. PELAJAR DIMINTA MEMILIH SATU KARANGAN DIMENSI SEBAGAI TUGASAN.
Karangan pertama berfokus dimensi diri. Pastikan sepanjang penulisan karangan anda, anda menggunakan kata ganti nama diri pertama "Saya".
Contoh karangan pertama yang boleh menjadi contoh kepada pelajar:-
Ibu mengandung sembilan bulan,
Lebih dan kurang tak ditentukan,
Melahirkan dikau berapa kesakitan,
Berpatang pula minum dan makan,
Setelah kamu sudahlah ada,
Siang dan malam ibumu jaga,
Tidurpun tidak barang seketika,
Makan dan minum tidak terasa.
Kasihnya ayah, rela berkorban,
Badan dan nyawa jadi taruhan
Hayati Lagu Roslan Madun "Nazam Ayah dan Ibu" serta kesannya dalam sanubari dan perasaan kita sebagai seorang anak.
Berdasarkan
sedutan lagu Roslan Madun bertajuk Nazam Ibu dan ayah, senikatanya amat menusuk kalbu pendengar kerana keseluruhan lagu berkenaan mengambarkan kasih sayang ibu bapa terhadap anak kesayangan mereka. Tidak
ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anak mereka. Mereka sanggup
berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat, serta membesar dalam suasana kondusif.
Ibu bapa juga sanggup berkorban dan bersengkang mata berjaga siang dan malam semata-mata
untuk menjaga saya sebagai seorang anak terutama apabil asaya menghadapi kesakitan. Bagi ibu bapa, tiada detik
yang paling menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak mereka membesar
sebagai seorang insan yang berguna dan berjaya dalam kehidupan di dunia. Sebagai seorang anak yang
bertanggungjawab, saya perlu sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa saya dan sebaik mungkin saya akan cuba membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan
daripada saya sebagai seorang anak. Sebagai seorang anak, saya juga bertanggungjawab menggembirakan kehidupan ibu
bapa saya dan akan sentiasa menjaga nama baik mereka kerana saya sedar tanpa ibu
bapa, saya tidak akan berada di dunia ini. Seyogia, sebagai seorang anak saya akan berusaha membalas jasa mereka dan memastikan mereka sentiasa berbangga mempunyai anak seperti saya. Namun, saya sedar jasa mereka tidak boleh dibayar walaupun harta saya berjuta. Sekiranya saya gagal menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang anak penyesalannya akan saya rasai sepanjang kehidupan saya terutama jika ayah dan ibu sudah tiada di alam nyata. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus saya
lakukan untuk memastikan mereka bangga saya sebagai anak mereka.
Langkah utama yang akan saya lakukan untuk memastikan ibu bapa saya bangga saya sebagai anak mereka adalah dengan belajar bersungguh-sungguh
sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang. Ibu bapa saya pasti akan gembira
apabila saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dalaman
sekolah atau dalam peperiksaan awam. Untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan , saya
akan menumpukan sepenuh perhatian saya semasa guru sedang mengajar. Sekiranya
saya tidak memahami sesuatu tajuk dalam pelajaran tertentu, saya tidak akan
malu bertanya kepada guru saya kerana pepatah menyatakan bahawa malas
berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Selain itu , saya akan
mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan bersama-sama rakan sekelas ketika
ada masa yang terluang. Saya juga akan menyediakan jadual belajar secara
sistematik dan efisyen. Semua kerja rumah yang diberikan oleh guru akan saya
siapkan mengikut ketetapan masa yang
diberi oleh guru. Saya juga akan sentiasa membuat persediaan lebih awal dengan
mengulangkaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan yang sebenar kerana
pepatah menyatakan sediakan payung sebelum hujan. Kejayaan yang akan
saya peroleh hasil usaha saya yang bersungguh-sungguh ini dan sudah tentulah saya akan
menaikkan nama baik ibu bapa saya dan saya akan menjadi kebanggaan mereka. Bahkan juga reputasi ibu bapa saya akan dihargai dan menjadi contoh dalam
kalangan masyarakat. Jika saya gagal menjadi seorang insan yang berjaya pabila saya dewasa, sudah pasti ibu bapa saya akan sedih dan beranggapan diri mereka gagal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang penjaga mendidik saya sebagai seorang anak. Jelasnya, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang
cemerlang untuk menjaga nama baik ibu bapa saya.
Selain itu, untuk memastikan ibu bapa saya bangga saya sebagai seorang anak mereka adalah dengan bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang baik dan dapat
membimbing saya menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat apabila
dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, saya akan memastikan diri saya tidak
terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah yang boleh mempengaruhi saya
terjebak dalam kancah gejala sosial seperti merempit, melepak , ponteng sekolah
,melakukan vandalime dan mempengaruhi melibatkan diri dalam aktiviti penagihan najis dadah. Saya
akan sentiasa berpegang pada kata bijak pandai Islam yang menyatakan bahawa “jika kita
berkawan dengan seorang tukang besi, baju kita akan tercarik kerana terkena
percikan api, tetapi jika kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi,
tubuh badan kita akan turut berbau harum”. Saya juga akan membezakan
antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik. Saya akan berkawan dengan rakan-rakan yang
mengutamakan pelajaran agar saya dapat bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan
mereka. Hal ini penting bagi menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya,
agar saya mempunyai semangat dan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa
saya pasti bersyukur sekiranya sebagai seorang anak saya tidak melakukan
sesuatu yang boleh menconteng arang ke muka mereka. Apabila saya dan rakan-rakan berjaya dalam pendidikan bukan sahaja ibu bapa saya dan ibu bapa rakan-rakan saya sahaja gembira tetapi masyarakarak setempat juga tutur gembira dan beranggapan kami sebagai model dan idola kepada anak-anak mereka. Jelasnya , jika saya bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia dan mempunyai visi dan misi berjaya dalam pelajaran akan memandu kami berjaya di dunia dan akhirat sebagaimana yang diharapkan setiap ibu bapa.
Di samping itu , bagi memastikan saya menjadi anak kebanggan mereka, saya akan menjaga akhlak dan tingkah laku saya sendiri agar tidak
mencemarkan maruah ibu bapa saya. Setiap ibu bapa pasti berasa bangga
seandainya anak-anak yang lahir mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi
bahasa dalam kehidupan. Kecemerlangan yang dicapai oleh anak-anak dalam bidang akademik
bukan jaminan untuk ibu bapa gembira sekiranya anak-anak yang cemerlang ini
tidak memiliki akhlak yang terpuji dan berbudi bahasa. Sebagai seorang anak,
saya akan sentiasa menghormati ibu bapa dan bercakap dengan lemah lembut
terhadap mereka. Saya juga akan sentiasa mendengar nasihat mereka dan tidak
sekali-kali menjadi anak derhaka seperti cerita si Tanggang. Akhlak akan
seiring dengan kejayaan yang saya miliki . Sebagai seorang murid sekolah pula,
saya akan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya
akan mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng
kelas , tidak menghormati guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya sedar
sekiranya saya melanggar peraturan sekolah dan terlibat dengan salah laku di
sekolah, ibu bapa saya akan di panggil dan mereka akan berasa malu akibat
perbuatan saya ini. Oleh itu, saya akan sentiasa menghormati guru-guru di sekolah
dan menghormati orang yang lebih tua daripada saya apabila berjumpa dengan
mereka di mana-mana sahaja. Hal ini demikian kerana masyarakat pasti bertanya “Anak
siapakah yang berbudi bahasa itu?” Secara tidak langsung, ibu bapa saya
akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mendidik anaknya dengan baik.
Hadis Riwayat Al-Tarmizi menyatakan bahawa ibu bapa yang baik terdiri daripada
ibu bapa yang melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia. Sekiranya saya bersikap hidung tinggi, kasar budi bahasa sudah pasti ibu bapa saya dipandang serong kerana tidak pandai mendidik saya sebagai insan mulia. Sudah terang lagi bersuluh tanggungjawab saya menjaga akhlak dan tingkah laku saya sendiri agar tidak mencemarkan maruah ibu bapa saya.
Tambahan lagi , saya akan mamastikan ibu bapa saya bangga saya sebagai seorang anak adalah dengan manjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga ,
jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sebagai seorang anak yang baik, saya
sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli keluarga dan saudara mara yang jauh
dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di sebelah bapa walaupun mereka telah
meninggal dunia. Saya akan meneruskan jalinan kasih sayang dengan ibu bapa
saudara dan sepupu-sepupu saya termasuklah mereka yang mempunyai hubungan bau-bau
bacang dengan saya. Hubungan yang terjalin ini dapat mengeratkan ikatan
kekeluaargaan dan tali persaudaraan yang mungkin hampir terputus kerana tinggal
berjauhan serta tidak mengenali antara satu sama lain. Sebagai contohnya, saya
akan membawa ibu bapa saya menziarahi sanak saudara dan kaum kerabat saya pada
musim perayaan atau majlis kenduri-kendara. Saya yakin hubungan saya ini dapat menjaga
nama baik ibu bapa saya kerana menjalinkan hubungan baik dalam kalangan
keluarga. Selain itu, saya juga akan menjaga hubungan baik dengan jiran
tetangga seperti selalu bertegur sapa dengan mereka, menziarahi mereka
sekiranya mereka sakit , membantu mereka apabila mereka memerlukan bantuan dan mengunjungi rumah mereka pada hari
perayaan. Sebagai seorang anggota masyarakat, saya akan menyertai setiap
program kemasyarakatan yang dianjukan oleh masyarakat di kawasan tempat tinggal
saya. Ibu bapa saya pasti gembira apabila saya melibatkan diri dalam program
kemasyarakatan kerana mereka tidak perlu berasa bimbang sekiranya saya akan
bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik. Penglibatan saya dalam program
kemasyarakatan juga membuktikan saya menjadi lebih matang dan berminda terbuka
dan tidaklah seperti katak di bawah tempurung. Jika saya gagal menjalin hubungan baik dan berkomunikasi dengan masyarakat sudah pasti saya dianggap sebagai sampah masyarakat. Tegasnya, nama baik ibu
bapa dapat dijaga dan dapat dipelihara sekiranya saya menjalinkan hubungan yang
baik dengan masyarakat setempat. Bak kata pepatah, “hidup kayu biar berbuah, hidup manusia
biar berjasa.”
Akhir sekali, saya akan sentiasa berpegang
teguh pada ajaran agama demi arag mereka bangga saya sebagai anak mereka. Sebagai anak yang
baik, saya akan sentiasa mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan saya agar
saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh serta dapat mengelakkan
diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh perkara-perkara yang tidak baik.
Sekiranya saya berpegang teguh pada ajaran agama, saya dapat membezakan perkara
yang salah dan benar. Hal ini amat penting untuk menentukan kejayaan saya pada
masa hadapan. Saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan tidak
menghampakan harapan mereka terhadap saya , kerana saya sedar, “siapalah
saya tanpa ibu bapa”. Saya akan mempraktikkan didikan agama yang saya
terima agar saya mempunyai matlamat hidup yang jelas. Saya sedar akan
kepentingan masa hadapan saya. Untuk meningkatkan nilai kerohanian dalam diri ,
saya akan menghadiri kelas-kelas agama atau kelas fardhu ain serta
majlis-majlis ilmu agar dapat membentuk jiwa saya ke arah melakukan
perkara-perkara baik. Hal ini penting untuk melawan serangan pemikiran yang
boleh menjerumuskan saya untuk melakukan perkara yang tidak baik kerana agama merupakan pendinding diri saya daripada melakukan kemungkaran yang ditegah agama. Jika saya tidak mempunyai pengetahuan agama yang jitu, sudah pasti saya akan hampir dengan aktiviti kemungkaran yang dicela agama dan masyarakat. Tegasnya,
didikan agama yang saya terima hasil asuhan ibu bapa akan saya praktikkan dalam
kehidupan saya supaya saya dapat
membentuk keperibadian yang baik dalam diri saya sekali gus dapat menjaga nama
baik ibu bapa saya.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan saya menjadi faktor utama untuk memastikan saya sebagai anak kebanggan mereka. Hal ini demikian kerana menjaga nama baik ibu bapa
atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab sebagai seorang anak. Oleh itu, saya ingin menyeru
agar semua remaja dan anak-anak sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan
jangan sesekali melukakan perasaan ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang
boleh menjatuhkan imej mereka. Kita perlu ingat bahawa harta benda boleh
dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Tegasnya, berbuat baiklah
kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih ada dan sebelum terlambat kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Komen dan ulasa guru:-
Tahniah, Shuhada kerana karangan yang anda hasilkan sangat menarik. Anda berjaya mengolah perenggan pengenalan, perenggan isi dan perenggan penutup dengan baik. Namun pastikan anda dapat memantapkan kemahiran tatabahasa terutama penggunaan kata pemeri adalah. Kata pemeri adalah, mahupun ialah tidak boleh bertemu dengan kata kerja, tetapi boleh digunakan dengan menambah kata sendi nama seperti, untuk dan tentang agar penggunaannya gramatis. Selain itu, anda boleh menulis lapisan ayat kedua KBAT, contoh penggunaan kata pemeri namun jika tidak dilakukan apakah natijah yang akan berlaku.
Semoga, Shuhada mampu menghasilkan karangan yang lebih baik kerana saya yakin, kesungguhan Shuhada untuk menghasilkan karangan cemerlang memang tidak saya sangkalkan. Diharapkan rakan-rakan yang lain mampu mengikut kreativiti Shuhada menghasilkan karangan cemerlang.
FUNGSI DAN PENGGUNAAN KATA PEMERI IALAH DAN ADALAH DALAM
BINAAN AYAT YANG GRAMATIS
1 ulasan:
salam cikgu, minta izin salin karangan ini sebagai rujukan. Halalkan ya. terima kasih
Catat Ulasan