Soalan1 :Rumusan ( PP SPM NEGERI SARAWAK 2016)
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan sekolah
dalam mentransformasikan pendidikan negara dan langkah-langkah untuk menggalakkan murid cinta akan sekolah. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sekolah ialah institusi yang paling penting dalam usaha kita untuk menjayakan transformasi pendidikan negara. Aspek utama yang diambil kira dalam usaha ini antaranya adalah seperti budaya sekolah, peranan guru, disiplin murid, aktiviti kokurikulum dan aspek kepemimpinan. Perkara-perkara ini bertepatan dengan peranan sekolah untuk meningkatkan pencapaian semua murid. Perkara paling utama yang perlu dilakukan adalah untuk melahirkan golongan murid yang mempunyai minat membaca yang tinggi kerana membaca menjadikan minda murid berkembang serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Selain pencapaian akademik, pencapaian dalam bidang kokurikulum juga penting kerana kejayaan dalam bidang ini juga dapat mengangkat status quo sekolah.
Bagi mencapai matlamat ini, pihak sekolah juga harus menyediakan kelengkapan fizikal yang selesa, ceria dan kondusif yang dapat menggalakkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, etika kerja cemerlang dalam kalangan warga sekolah perlu ditekankan. Hal ini dikatakan demikian kerana segala kejayaan dan kegagalan murid bergantung kepada pihak sekolah, iaitu pengetua dan guru-guru. Kepemimpinan pengetua dikenal pasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali dalam mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial sekolah juga mempengaruhi dan menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik murid antara sekolah di negara kita.
Sekolah juga harus sentiasa bersedia untuk melakukan setiap perubahan yang dapat memberikan nafas baharu dalam proses pengajaran dan pembelajaran, selain banyak memberikan ruang kepada guru untuk berinovasi dalam pengajaran. Dalam masa yang sama, sekolah juga perlu berusaha untuk mengasah bakat kepemimpinan murid melalui aktiviti kokurikulum yang terbahagi kepada tiga cabang utama, iaitu unit beruniform, kelab dan persatuan. Bakat kepemimpinan ini dapat diterapkan melalui jawatan yang dipegang oleh murid-murid seperti pengerusi, setiausaha, bendahari mahupun sekadar ahli jawatankuasa.
Selain melibatkan warga sekolah, pihak sekolah juga perlu mencari jalan untuk meningkatkan kerjasama dengan ibu bapa kerana perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan akademik dan pendidikan moral perlu dilakukan bersama-sama oleh kedua-dua pihak bagi menjamin keberkesanan hasilnya. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menggalakkan penglibatan pihak luar yang berilmu dalam aktiviti sekolah supaya usaha yang dilakukan dapat dikembangkan dari semasa ke semasa sejajar dengan keperluan dalam masyarakat dan negara. Walaupun kemungkinan besar akan menghadapi beberapa cabaran, prinsip “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” boleh diaplikasikan oleh semua pihak.
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Peranan Sekolah dalam Mentransformasikan Pendidikan Negara’
oleh Zaitul Azma Zainon Hamzah,
Pelita Bahasa, Bil. 9/2014
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan2 (a)– Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata transformasi pendidikan. [2 markah]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa faktor yang mempengaruhi perbezaan dalam
pencapaian akademik murid antara sekolah di negara kita.
Nyatakan faktor-faktor tersebut. [3 markah]
Jawapan ada dalam teks, cari dua isi sekurang-kurangnya, dan jika dapat tambah satu isi lagi]
sebagai isi sokongan.
Jawapan ada dalam teks, cari dua isi sekurang-kurangnya, dan jika dapat tambah satu isi lagi]
sebagai isi sokongan.
(iii) Pada pendapat anda, selain mengaplikasikan prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing’, apakah usaha-usaha lain yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk meningkatkan
prestasi sekolah? [4 markah]Jawapan tidak ada dalam teks, dan anda perlu menulis pendapat sendiri.
Cadangan jawapan soalan pemahaman:-
1. Rangkai kata transformasi pendidikan bermaksud perubahan sistem pelajaran.
Mulakan jawapan dengan " Rangkai kata............. untuk mengelakkkan pengunaan kata pemeri
ialah atau adalah.
2. Pengarang mengemukakan faktor kepipimpinan pengetua, proses dalaman dan persekitaran sekolah mempengaruhi perbezaan dalam pencapaian akademik murid antara sekolah di negara
kita.
3. Pada pendapat saya selain mengaplikasikan prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing’, usaha-usaha lain yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk meningkatkan
prestasi sekolah adalah seperti :-Pilih tiga daripada usaha yang dicadangkan di bawah:-
1. Aktif dalam program PIBG dan menyumbangkan buah fikiran demi kecemerlangan akademik
sekolah
2. Memberi sumbangan wang ringgit supaya pihak sekolah mempunyai peruntukan yang cukup
untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang
3. Membantu dan menyumbangkan kepakaran individu dalam meningkatkan kokurikulum sekolah
4. Memberikan kerjasama kepada pihak sekolah dengan memantau disiplin anak-anak di rumah
untuk meningkatkan disiplin pelajar di sekolah.
SEMOGA CORETAN ULANGAN INI DAPAT MEMBANTU ANDA MENJAWAP
SOALAN UJIAN AWAL TAHUN 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan