Isnin, 19 Februari 2018

KESALAHAN-KESALAHAN BAHASA SEMASA PELAJAR MENGARANG YANG MERUNTUN JIWA SEORANG GURU BAHASA

INSYA ALLAH SAYA AKAN CUMA MENGULAS  KESALAHAN-KESALAHAN PELAJAR SEMASA MENGARANG SUPAYA PELAJAR AKAN DAPAT MEMAHAMI KENAPA MEREKA MELAKUKAN KESALAHAN TERSEBUT

'BETAPA DUKANYA HATI  SEORANG  GURU BAHASA APABILA PELAJAR MELAKUKAN KESALAHAN BERIKUT SEMASA MENGARANG'

EJAAN, 
TATABAHASA, 
BINAAN AYAT, 
LARAS BAHASA,
BUNGA-BUNGA BAHASA ( PERIBAHASA)
 UNSUR KOHENSIF IAITU KESEPADUAN AYAT DARI SEGI HUBUNGAN ANTARA AYAT DALAM SESEBUAH WACANA TIDAK MANTAP,
UNSUR KOHERAN IAITU  KESINAMBUNGAN IDEA DALAM SESEBUAH WACANA TIDAK JELAS,
UNSUR KBAT,
UNSUR KEMATANGAN APABILA UNSUR-UNSUR DI ATAS DAPAT DIGARAPKAN SEMASA MENGARANG.



SEBAGAI PANDUAN DAN INGATAN,
“KARANGAN YANG BAIK IBARAT ALIRAN AIR SUNGAI 
AIRNYA MENGALIR TANPA CEMAR,

 ALIRANNYA TANPA SEKATAN,
KEBERADAANNYA SENTIASA MENDAMAIKAN MATA MEMANDANG
LAHIRNYA KEPUASAN KEPADA INSAN"




RUJUKAN:-
  1. Setiap ejaan merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. Setiap sistem tata bahasa Melayu merujuk kepada Buku Tatabahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. Laras bahasa- merujuk kepada kesesuaian binaan ayat, atau pemilihan kosa kata semasa memperihal wacana iaitu kesatuan buah fikiran sama ada membicarakan perkara berkaitan soal ekonomi, soal sosial atau kemasyarakatan, soal pendidikan, soal perubatan, soal politik dan sebagainya. Dalam erti kata lain, perbincangan laras bahasa dalam penulisan karangan untuk soalan kertas satu Bahasa Melayu 1103/1, bukan sahaja berdasarkan pelajar perlu tahu skop soalan ketas bahasa Melayu 1 tetapi juga perlu merujuk dimensi soalan yang terbahagi kepada lima dimensi, iaitu dimensi diri, dimensi keluarga atau masyarakat, dimensi negara, dimensi antarabangsa, serta dimensi KOMSAS ( Komponen Sastera) serta tema soalan. Maksudnya, pelajar perlu faham sekiranyanya, fokus dimensi berkaitan tema sosial laras bahasa menjurus kepada laras bahasa sosial, begitu juga dengan dimensi yang lain, jika tema atau fokus soalan berkaitan dengan kesihatan, laras bahasanya menjurus kepada laras bahasa kesihatan dan istilah atau kata yang perlu diilih perlu berkaitan kesihatan. Kesimpulannya, laras bahasa memerlukan pelajar banyak membaca untuk memastikan istilah atau kosa kata pelajar luas untuk menggarap perbincangan agar sesuai dengan tema atau isu yang diperkatakan. Sekiranya istilah atau kosa kata pelajar dangkal semasa memperkatakan sesuatu isu atau tema sudah pasti karangan pelajar akan lemah dari segi memperihal wacana semasa menghasilkan karangan.
  4. Unsur Kohensif boleh dirujuk dalam Buku Teks Bahasa Melayu Ting. 5, muka surat 94, yang mengatakan kohensif merujuk kepada kesepaduan ayat dari segi hubungan antara ayat dalam sesebuah wacana. Hubungan ini boleh dilihat dari segi penggunaan kata ganti nama diri, penggantian, elipsi, kata hubung dan ciri leksikal.
  5. Unsur koheran pula boleh dirujuk dalam Buku Teks Bahasa Melayu Ting. 5, muka surat 96, yang mengatakan koheran merujuk kepada kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana seperti antara ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan atau bab demi bab.
          Paling mudah untuk memperkatakan soal di atas, pelajar perlu menguasai kemahiran menulis ejaan yang betul sebagaimana kemahiran yang diperlukan untuk menjawab soalan 3 (c) soalan kertas bahasa Melayu 2, kemahiran menulis ayat gramatis iaitu ayat yang betul susunan katanya seperti ayat yang lengkap perlu ada subjek dan prediket, jika tidak ayat tersebut dianggap ayat tergantung, jenis-jenis ayat seperti ayat penyata, ayat soal, ayat perintah ( ayat larangan, ayat suruhan, ayat silaan), dan ayat seru, , ayat tunggal, ayat majmuk, ragam ayat iaitu ayat aktif dan pasif dan sebagainya. Kajian ayat atau sintaksis ini banyak diperkatakan apabila membicarakan soalan kertas bahasa Melayu 2, iaitu pada skop soalan 3 (b), cuma pelajar tidak dapat mengaplikasinya semasa menulis karangan.
          Begitu juga kemahiran tatabahasa merujuk soalan 3 (d) bahagian soalan kertas 2, Bahasa Melayu dan kemahiran ini amat luas. Pada pemerhatian saya, pelajar seperti mengabaikan sistem atau tatabahasa ini semasa menulis karangan atau pelajar sendiri tidak faham atau tidak menguasai tatabahasa.
              Dalam pada itu, isu atau unsur kohensif dan koheran amat berkait rapat dengan penggunaan kata hubung dan penanda wacana dan binaan ayat sebelum dan selepas agar wacana yang dihasilkan mempunyai perkaitan atau pertautan. Untuk melihat cara penulisan yang baik, pelajar boleh merujuk hasilan karangan pelajar terbaik yang telah saya lampirkan sebelum ini. Cuba lihat aliran atau kesinambungan idea, kesepaduan ayat dengan ayat yang dihasilkan pelajar, sangat menarik dan mendamaikan sesiapa sahaja membaca karangan berkenaan. Sebaliknya, karangan pelajar yang kurang mantap, sebaliknya berlaku. Selain itu, dalam dunia pendidikan alaf baru penekanan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) juga diutamakan, justeru, pelajar masih kurang mahir menyelitkan unsur KBAT semasa mengarang. Sedangkan, unsur ini amat mudah diselitkan dengan cara mengaitkan apa yang akan berlaku selepas pelajar mengutara  isi dan serta huraiannya dan jika unsur ini dinyatakan itulah unsur KBAT dalam karangan.
             Pada masa yang sama, saya ingin tegaskan kelemahan pelajar paling ketara, pelajar kurang mahir menyelit atau mengaitkan isi atau huraian isi dengan peribahasa atau kata-kata pemimpin dan apa sahaja kenyataan agama sama ada hadis atau ayat Al Quran semasa mengarang. Sedangkan pada skop soalan 3 (e) kertas Bahasa Melayu 2, kemahiran peribahasa merupakan soalan wajib dijawab oleh pelajar.
         Saya akan cuba paparkan kelemahan pelajar semasa mengarang selepas ini. Memang amat mendukacitakan  seorang guru semasa menyemak karangan pelajar yang kurang mantap, dan tugasan guru bertambah berat untuk meningkatkan kemahiran mengarang pelajar berkenaan. Usaha tangga kejayaan, insya Allah pelajar-pelajar berkenaan akan terus dibantu.


DOAKAN SAYA DIBERI KEKUATAN DAN DIBERIKAN KESIHATAN YANG BAIK UNTUK MEMBICARAKAN PERKARA DI ATAS. INSYA ALLAH.

Tiada ulasan: