Selasa, 6 Februari 2018

LATIHAN MERUMUS TEKS KELAS 5 SAINS ( 8/2/2018)

Arahan: Soalan berkenaan telah saya edarkan kepada pelajar dan sila selesaikan latihan pada tarikh yang tetapkan kerana saya terlibat membawa pasukan bola baling sekolah ke MSSD Daerah Perak Tengah. Mohon jasa baik Fatihah mengumpulkan buku latihan rumusan dan pemahaman dan letakkan di atas meja saya untuk semakan pada hari Jumaat. Harap maklum.

Soalan1 :Rumusan ( PP SPM NEGERI SARAWAK 2016)

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan sekolah
dalam mentransformasikan pendidikan negara dan langkah-langkah untuk menggalakkan murid cinta akan sekolah. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120  patah perkataan.

Sekolah ialah institusi yang paling penting dalam usaha kita untuk menjayakan transformasi pendidikan negara. Aspek utama yang diambil kira dalam usaha ini antaranya  adalah seperti budaya sekolah, peranan guru, disiplin murid, aktiviti kokurikulum dan aspek kepemimpinan. Perkara-perkara ini bertepatan dengan peranan sekolah untuk meningkatkan pencapaian semua murid. Perkara paling utama yang perlu dilakukan adalah untuk melahirkan golongan murid yang mempunyai minat membaca yang tinggi kerana membaca menjadikan minda murid berkembang serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Selain pencapaian akademik, pencapaian dalam bidang kokurikulum juga penting kerana kejayaan dalam bidang ini juga dapat mengangkat status quo sekolah.

Bagi mencapai matlamat ini, pihak sekolah juga harus menyediakan kelengkapan fizikal yang selesa, ceria dan kondusif yang dapat menggalakkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, etika kerja cemerlang dalam kalangan warga sekolah perlu ditekankan. Hal ini dikatakan demikian kerana segala kejayaan dan kegagalan murid bergantung kepada pihak sekolah, iaitu pengetua dan guru-guru. Kepemimpinan pengetua dikenal pasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali dalam mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial sekolah juga mempengaruhi dan menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik murid antara sekolah di negara kita.

Sekolah juga harus sentiasa bersedia untuk melakukan setiap perubahan yang dapat memberikan nafas baharu dalam proses pengajaran dan pembelajaran, selain banyak memberikan ruang kepada guru untuk berinovasi dalam pengajaran. Dalam masa yang sama, sekolah juga perlu berusaha untuk mengasah bakat kepemimpinan murid melalui aktiviti kokurikulum yang terbahagi kepada tiga cabang utama, iaitu unit beruniform, kelab dan persatuan. Bakat kepemimpinan ini dapat diterapkan melalui jawatan yang dipegang oleh murid-murid seperti pengerusi, setiausaha, bendahari mahupun sekadar ahli jawatankuasa.

Selain melibatkan warga sekolah, pihak sekolah juga perlu mencari jalan untuk meningkatkan kerjasama dengan ibu bapa kerana perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan akademik dan pendidikan moral perlu dilakukan bersama-sama oleh kedua-dua pihak bagi menjamin keberkesanan hasilnya. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menggalakkan penglibatan pihak luar yang berilmu dalam aktiviti sekolah supaya usaha yang dilakukan dapat dikembangkan dari semasa ke semasa sejajar dengan keperluan dalam masyarakat dan negara. Walaupun kemungkinan besar akan menghadapi beberapa cabaran, prinsip “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” boleh diaplikasikan oleh semua pihak.
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Peranan Sekolah dalam Mentransformasikan Pendidikan Negara’
oleh Zaitul Azma Zainon Hamzah,
Pelita Bahasa, Bil. 9/2014


1.  Cadangan Perenggan Pengenalan :-

a)  Petikan  membincangkan tugas/tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh pihak  sekolah dalam
     mentransformasikan pendidikan di negara/ Malaysia                                                       [2 markah]
b)  Rumusan membincangkan tugas yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah dalam                         
      mentransformasikan pendidikan negara dan langkah-langkah untuk menggalakkan murid cinta
      akan sekolah.                                                                                                                     [2 markah]

2.   Isi tersurat diwarnakan pada petikan di atas.

3.   Isi tersirat yang dicadangkan:- ( Langkah-langkah untuk menggalakkan murid cinta akan sekolah)

1. Menanamkan kesedaran yang tinggi tentang kepentingan sekolah
2. Menaikkan nama sekolah agar murid berasa bangga kerana dapat bersekolah di situ
3. Meningkatkan prasarana agar murid-murid memperoleh pelbagai kemudahan di sekolah
4. Melibatkan murid-murid dalam kebanyakan aktiviti yang diadakan di sekolah
5. Mewujudkan suasana belajar di dalam dan di luar sekolah yang menarik dan unik
6. Mewujudkan pelbagai program di sekolah yang dekat dengan hati murid-murid

4.  Cadangan perenggan penutup rumusan.

Kesimpulannya, pihak pengurusan sekolah, guru, dan semua warga sekolah perlu bekerjasama
mentransformasikan pendidikan negara agar dapat melahirkan murid yang cemerlang.      [2 markah]


Soalan 2 : Pemahaman

Soalan2 (a)– Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)     Berikan maksud rangkai kata transformasi pendidikan.                                             [2 markah]
(ii)    Pengarang mengemukakan beberapa faktor yang mempengaruhi perbezaan dalam
         pencapaian akademik murid antara sekolah di negara kita.
         Nyatakan faktor-faktor tersebut.                                                                                [3 markah]
(iii)   Pada pendapat anda, selain mengaplikasikan prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama
         dijinjing’, apakah usaha-usaha lain yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk  meningkatkan  
         prestasi sekolah?                                                                                                        [4 markah]

 Cadangan jawapan soalan pemahaman:-

1.     Rangkai kata transformasi pendidikan bermaksud perubahan sistem pengajaran

2.     Pengarang mengemukan faktor kepipimpinan pengetua, proses dalaman dan persekitaran         
        sekolah mempengaruhi perbezaan dalam pencapaian akademik murid antara sekolah di negara 
        kita.
3.     Pada pendapat saya selain mengaplikasikan prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama
        dijinjing’, usaha-usaha lain yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk  meningkatkan  
        prestasi sekolah adalah seperti :-

        Pilih tiga daripada usaha yang dicadangkan di bawah:-

    1. Aktif dalam program PIBG dan menyumbangkan buah fikiran demi kecemerlangan akademik
        sekolah
    2. Memberi sumbangan wang ringgit supaya pihak sekolah mempunyai peruntukan yang cukup
        untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang
    3. Membantu dan menyumbangkan kepakaran individu dalam meningkatkan  kokurikulum sekolah
    4. Memberikan kerjasama kepada pihak sekolah dengan memantau disiplin anak-anak di rumah
        untuk meningkatkan disiplin pelajar di sekolah

Tiada ulasan: