Selasa, 31 Januari 2023

SOALAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN BAHASA MELAYU KERTAS 2 , SPM NEGERI TERENGGANU TAHUN 2022, SOALAN NO.1 : MORFOLOGI (SISTEM DAN APLIKASI BAHASA)

                            BAHAGIAN A : SISTEM DAN APLIKASI BAHASA

[35 markah]

 1 Baca petikan di bawah dengan teliti. Kenal pasti dan senaraikan empat kata bantu. Kemudian bina satu ayat anda sendiri daripada setiap kata bantu tersebut untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menggunakan perkataan tersebut sebagai peribahasa atau kata nama khas.

       Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini sudah memasuki tahun kedua diraikan dalam suasana pandemik. Masyarakat di negara kita berada dalam kegelisahan ekoran gejala COVID19 yang masih menular. Sebelum ini, usaha-usaha untuk mencapai kemerdekaan telah menyebabkan rakyat melalui pelbagai keperitan dan kesengsaraan dalam perjuangan bagi menentang penjajah. Terdapat rakyat yang berjuang dengan mengangkat senjata dan ada yang menggunakan ketajaman mata pena kerana mahu membebaskan negara daripada penjajah. Oleh itu, kita harus mempertahankan kemerdekaan demi generasi masa depan.

Dipetik dan diubah suai daripada

 ‘Warnai Kemerdekaan dengan Semangat Perjuangan’

oleh Shafry Salim

Utusan Online 27 Ogos 2021 [

8 markah]

Nota : Kata Bantu

 



Kata Bantu Aspek

Perbezaan masa perbuatan dilakukan. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata bantu ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama, iaitu menimbulkan makna-makna tambahan dari segi aspek waktu / ragam.

Kata Bantu boleh dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kata bantu aspek dan kata bentuk ragam.

i) Kata Bantu Aspek
Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata bantu aspek memberitahu sama ada perbuatan itu sudah, sedang atau belum dibuat. Kata bantu aspek menimbulkan suasana perbezaan masa iaitu sama ada lampau, kini atau masa hadapan. Bentuk-bentuk kata bantu ialah telah, baru, pernah, sedang, masih, akan dan belum.

ii) Kata Bantu Ragam.
Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata bantu ragam ialah bentuk kata yang menyatakan atau menerangkan ragam perasaan yang berkait dengan perbuatan yang dilakukan seperti hendak, mahu, harus, mesti, boleh dan dapat.

Berdasarkan Tatabahasa Dewan edisi Baharu, kata bantu ragam menerangkan perasaan dan pendapat orang yang melakukan perbuatan ini.

 


       Jawapannya: kata bantu yang terdapat dalam petikan dihitamkan perkataannya. 
       Anda boleh memilih empat daripada lima kata bantu yang disenaraikan.
  
        i)   sudah

       ii)   masih

      iii)   telah

      iv)   mahu

       v)   harus

     Anda perlu membina empat ayat menggunakan kata bantu yang telah anda pilih.

     i)  Ayah sudah berhenti  sebagai seorang anggota keselamatan dua tahun yang lepas.

    ii)  Siti masih belum menerima pinangan pemuda itu untuk menjadi isterinya.

   iii)  Razak telah meninggal dunia dua tahun yang lepas.

   iv)  Emak mahu Siti menerima tawaran kemasukan ke sekolah berasrama penuh yang ditawarkan
          oleh pihak kerajaan.


Tiada ulasan: