Golongan orang Kurang Upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada kelompok masyarakat yang perlu menerima layanan yang adil saksama. Huraikan langkah yang dapat membantu OKU supaya kehiduoan mereka menjadi lebih baik.
Bulan Mei 2020 yang lalu menjadi tarikh keramat
dalam Dewan Negara apabila Yang Berhormat Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi
dilantik sebagai senator bagi mewakili golongan tersebut. Malah, penyanyi
berbakat besar seperti Azmi Saat vokalis Caliph Buskers yang merupakan golongan
kurang upaya juga menjadi ikon kepada golongan ini. Nasib mereka terpinggir
kerana masih tiada yang membela malah semakin lama semakin terabai dalam
masyarakat. Oleh itu, kita perlu meneliti setiap masalah yang dihadapi agar
dapat mencari jalan keluar daripada kemelut yang sering melanda mereka.
Persoalan yang sering menerjah kotak pemikiran kita ialah, apakah langkah
bestari yang dapat membantu golongan kurang upaya?
Antara langkah awal yang perlu dilakukan kepada
golongan Orang Kurang Upaya (OKU) ialah pihak berwajib menganjurkan Program
Bina Semangat yang bertujuan untuk mengenal pasti potensi diri yang ada pada
diri mereka walaupun dalam keadaan yang kurang sempurna sesuai dengan
peribahasa yang menyebut hanya jauhari yang mengenal manikam. Tindakan ini
bertujuan untuk melahirkan lebih ramai lagi golongan OKU yang cerdik pandai
dalam bidang akademik dan golongan OKU yang berbakat dalam bidang sukan kerana
mereka juga seperti sebutir permata yang belum digilap. Secara tidak langsung
keprihatinan kerajaan dalam memberi mereka ruang dan peluang akan memberi
keyakinan kepada untuk berdikari seperti orang normal.
Dari sudut
yang lain pula, untuk membantu OKU, kerajaan hendaklah menyediakan kemudahan
khusus kepada mereka. Hal ini bertujuan agar dapat mereka berdikari tanpa perlu
mendapatkan bantuan daripada orang lain apabila melakukan sebarang aktiviti
atau pekerjaaan. Sebagai contoh, pihak berkuasa tempatan hendaklah menyediakan
persekitaran bebas halangan bagi golongan OKU agar mereka dapat bergerak dengan
mudah. Malah kerajaan juga perlu memberi syarat khas kepada syarikat pembinaan
agar setiap bangunan pejabat dan rumah kediaman yang hendak didirikan mestilah
dilengkapi dengan kemudahan yang mesra golongan OKU. Oleh itu, kerajaan
haruslah memastikan agar kemudahan tersebut sentiasa tersedia dan terjaga
dengan penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada agar golongan OKU terbela.
Bukan itu
sahaja, kerajaan dan sektor swasta perlu bersikap terbuka agar dapat menerima
pekerja daripada golongan OKU. Tindakan mereka ini akan menggalakkan
pengambilan pekerja daripada golongan OKU dalam semua sektor pekerjaan. Pada
masa yang sama mereka hendaklah menjalani kursus latihan dengan diberi elaun
belajar serta kemudahan asrama agar mereka dapat merasai dunia pekerjaan
sebenar yang perlu ditempuhi oleh mereka kerana berakit-rakit ke hulu,
berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang- senang kemudian.
Dengan cara ini, golongan OKU dapat menjalani kehidupan bekerja dengan penuh
yakin serta memiliki jati diri yang kuat.
Langkah membantu OKU yang terakhir ialah
mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU. Walaupun kita berada pada
alaf milinium, tanggapan masyarakat masih tidak berubah. Mereka masih
mengganggap golongan OKU sebagai golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan
daripada orang ramai. Keadaan ini menyebabkan masyarakat memandang sinis
terhadap golongan ini yang sering dikaitkan dengan aktiviti mengutip derma dan
menjual tisu. Masyarakat perlu menerima mereka dalam kelompok sosial dan bukan
meminggirkan mereka serta ahli keluarga.
“Bukanku pinta lahir ke dunia, bukan kupinta
cacat begini” merupakan sebaris lirik lagu yang mengungkapkan perasaan golongan
OKU dan secara keseluruhannya, golongan OKU merupakan sebahagian daripada
kelompok masyarakat yang perlu diberi layanan yang adil dan saksama agar mereka
mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain agar dirasai
kehadiran mereka dalam masyarakat supaya mereka tidak rasa terpinggir seperti
melukut di tepi gantang, masuk tak lebih, keluar tak kurang. Dengan cara ini
masyarakat OKU akan lebih dihargai oleh generasi masa kini sehingga ke akhir
zaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan