Ahad, 24 Mac 2019

ULASAN SAMPEL JAWAPAN SOALAN KARANGAN BERPANDU, SOALAN 1 KERTAS BAHASA MELAYU 1 (1103/1) SPM 2017 OLEH LEMBAGA PEPERIKSAAN MALAYSIA (LPM)




PANDUAN KARANGAN CEMERLANG KERTAS KARANGAN RANGSANGAN ATAU BERPANDU BERDASARKAN (KUPASAN MUTU JAWAPAN SPM 2017 YANG DITERBITKAN OLEH LEMBAGA PEPERIKSAAN MALAYSIA (LPM)

Ramai kalangan pelajar dan guru tidak jelas berkaitan bilangan patah perkataan yang perlu ditulis oleh pelajar semasa menjawab kertas Bahasa Melayu Kertas 1, soalan 1.  Ada yang berpandangan pelajar perlu menulis mengikut bilangan patah perkataan berdasarkan arahan soalan iaitu 200 hingga 250 patah perkataan. Sebagai jawapannya, saya lampirkan bersama sama coretan pada malam ini kupasan Lembaga Peperiksaan Malaysia terhadap sampel karangan pelajar SPM 2017 serta dengan ulasannya sekali untuk mengambarkan status karangan cemerlang. Semoga dengan adanya contoh karangan berkenaan, pelajar dan guru akan faham status karangan cemerlang serta kepanjangannya.

Contoh Pengenalan Karangan Cemerlang 1 ( Kupasan Lembaga Peperiksaan Malaysia )

        Dalam meniti arus kemodenan ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling menjadi satu keperluan dan kewajiban di setiap sekolah. Unit Bimbingan dan Kaunseling ialah satu unit yang terdapat di sekolah yang terdiri daripada beberapa orang guru yang mempunyai kelulusan dalam bidang tersebut. Pada zaman dahulu, Unit Bimbingan dan Kauseling tidak wujud di sekolah untuk membantu pentadbiran. Di sekolah pada zaman dahulu hanya mempunyai guru-guru yang bertanggungjawab menjaga, mendidik, dan mengawasi pelajarnya.  Jika seorang pelajar mempunyai masalah dalamaspek akademik, kokurikulum dan lain, mereka akan meyelesaikan masalah tersebut dengan sendiri tanpa meminta orang lain tidak kira guru-guru, ibu bapa atau rakan-rakan-rakan. Sikap mereka ini menjadikan mereka seorang yang matang dan berfikiran jauh. Kini, Unit Bimbingan dan Kaunseling diperkenalkan dan para pelajar berpeluang untuk menyelesaikan masalah dan para pelajar berpeluang untuk menyelesaikan masalah dengan pertolongan Guru Bimbingan dan Kauseling. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid pernah berkata bahawa guru-guru harusah membantu pelajar supaya menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Namun, apakah peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah?

Ulasan:-
Pada bahagian pengenalan pelajar dapat memahami tugasan tentang peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.

Pertama, Unit  Bimbingan dan Kaunseling berperanan memberikan bimbingan kerjaya kepada para pelajar di sekolah. Hal ini amat penting kerana majoriti pelajar sekolah masih belum menentapkan hala tuju kehidupan mereka kerana kurangnya bimbingan. Oleh sebab itu, bimbingan kerjaya yang disumbangkan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling dapat membantu murid melakukan pilihan kerjaya yang diingini mereka selaras dengan minat dan kekuatan serta kebolehan mereka. Bimbingan kerjaya yang diberikan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling bukan sahaja mendedahkan pelajar kepada jenis-jenis pekerjaan dan peluang kerjaya malah turt membantu pelajar yang bakal meninggalkan alam persekolahan untuk memilih jurusan yang ditawarkan di institut pengajian tinggi sama ada dalam dan luar negeri. Unit bimbingan dan Kaunseling bukan sahaja memberikan bimbingan secara individu tetapi turut mengadakan program-program seperti ceramah, bengkel, dan Hari Kerjaya di sekolah. Sebagai contoh contohnya, pelajar tingkatan lima yang bakal menghabiskan pembelajaran mereka di sekolah sering dibantu oleh kaunselor untuk menentukan bidang yang bakal mereka ceburi di universiti. Hakikatnya, peranan unit tersebut dalam bimbingan kerjaya merupakan satu khidmat yang percuma daripada segi kerjaya, tetapi tidak ternilai daripada segi manfaatnya. Tegasnya, Unit  Bimbingan dan Kaunseling berperanan memberikan bimbingan kerjaya kepada para pelajar di sekolah.

Selain itu, Unit  Bimbingan dan Kaunseling juga berperanan meningkatkan motivasi murid dengan menganjurkan program-program seperti ceramah dan kem motivasi yang mampu menyuntik kembali semangat dan jati diri murid sebagai seorang pelajar. Di samping itu, Unit  Bimbingan dan Kaunseling juga turut memberikan motivasi dalam bentuk kesedaran kepada pelajar yang lena dibuai mimpi.  Peningkatan motivasi yang dilakukan oleh unit ini juga merupakan satu inisatif untuk melahirkan sebuah masayarakat yang optimistik dan produktif. Sebagai contoh, seorang pelajar yang berputus asa dalam pelajaran akan dapat motivasi yang akhirnya akan merealisasikan anjakan paradigma dalam diri mereka, khususnya persepsi mereka selama ini terhadap kegagalan. Izharnya, Unit  Bimbingan dan Kaunseling merupakan pemangkin bagi murid meningkatkan motivasi mereka.
Ulasan:-
Pada bahagian huraian idea, kedua-dua idea yang dihuraikan oleh calon iaitu memberikan bimbingan kerjaya, dan meningkatkan motivasi telah dihuraikan dengan jelas dan matang serta mengemukakan contoh-contoh yang sesuai. Calon dapat mengemukakan contoh yang sesuai. Calon dapat menghuraikan peranan  Unit  Bimbingan dan Kaunseling melalui bimbingan kaunselor iaitu memastikan murid dapat melakukan pilihan kerjaya yang diingini selaras dengan minat dan kebolehan yang mereka miliki. Selain itu, pihak Unit  Bimbingan dan Kaunseling membantu murid untuk memilih pusat pengajian tinggi disediakan sama ada dalam negara atau luar negara. Program yang diadakan seperti ceramah dan kem motivasi mampu menyuntik semangat dalam diri pelajar.

Calon juga menulis dengan menggunakan pellbagai jenis ayat yang gramatis. Terdapat unsur bahasa yang bervariasi. Laras yang digunakan sesuai dengan tugasan yang diberikan. Kosa kata yang digunakan luas dan tepat. Contohnya, transformasi pendidikan, anjakan paradigma dan pemangkin. Calon juga menulis frasa menarik seperti membentuk modal insan berketrampilan, pelajar masih lena dibuai mimpi, murid perlulah bersikap proaktif, memberi komitmen sepenuhnya.

Pemerengganan seimbang dan menimbulkan kesan kepada pembaca. Calon dapat menggunakan penanda wacana dengan tepat. Contoh penanda wacana yang digunakan seperti selain itu, dan di samping itu.  Sementara calon juga dapat mengemukakan idea yang bernas dan perenggan diolah dengan sesesuai.

Berdasarkan hurain-huraian tersebut, dapatlah saya simpulkan bahawa sekolah yang lengkap perlu mempunyai Unit  Bimbingan dan Kaunseling. Hal ini demikian kerana Unit  Bimbingan dan Kaunseling berupaya untuk melahirkan generasi muda yang berwawasan tinggi serta cemerlang duniawi dan ukhrawi. Perkara ini sejajar dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang bermatlamat untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang, terbilang, dan gemilang. Kesimpulannya, semua pihak khususnya pihak sekolah perlu membantu Unit Bimbingan dan Kaunseling agar dapat meningkatkan imej sekolah serta negara di persada dunia.

Ulasan:-
Pada bahagian perenggan isi penutup, pelajar dapat menulis kesimpulan dengan mantap, iaitu menggunakan pelbagai jenis ayat gramatis dan penanda wacana yang sesuai.

Sila rujuk Kupasan Mutu Jawapan Kertas Bahasa Melayu 1 (1103/1) yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Karangan yang mantap