NOTA PROSA TRADISIONAL : BURUNG
TERBANG DIPIPISKAN LADA ( ANTOLOGI SEJARAH RINDU TINGKATAN 5)
SINOPSIS
Raja Siam mendapat tahu tentang negeri Melaka sebagai
sebuah negara yang kuat dan tidak pernah dikalahkan oleh sesiapa. Raja Siam
iaitu Bubunnya menghantar wakil berjumpa Sultan Muzaffar Syah meminta
supaya Melaka menyembah (membayar ufti) kepada raja Siam. Sultan Muzaffar
menolaknya. Raja Siam marah dan menghantar hulubalangnya iaitu Awi Cakri untuk menyerang
Melaka.
Berita Siam hendak menyerang Melaka diketahui oleh Sultan
Muzaffar. Baginda menitahkan semua rakyat lelaki dihimpunkan di Melaka. Tun
Perak dari Kelang mengumpulkan orang lelaki dari Kelang bersama-sama
dengan keluarga mereka. Tujuannya supaya mereka berperang dengan
bersungguh-sungguh demi menyelamatkan keluarga mereka. Tentera Siam dapat
dikalahkan. Kebijaksanaan Tun Perak mendapat perhatian sultan dan diminta
tinggal di Melaka serta dilantik sebagai bentara.
Ada seorang orang Kelang iri hati kepada
Tun Perak dan mengadu kepada Sultan bahawa Tun Perak menganiayainya. Sultan
menitahkan Tun Perak supaya mengadap. Tun Perak berkata dia bertugas untuk
negara dan tahu tanggungjawabnya untuk menjaga negeri. Tun Perak meminta sultan
memecatnya jika percaya akan fitnah orang Kelang itu. Sultan sangat gembira
dengan jawaban Tun Perak lalu melantiknya sebagai Perdana Menteri dengan
gelaran Paduka Raja.Kedudukan Tun Perak setaraf dengan seorang lagi
pegawai iaitu Seri Nara Diraja di balai perjumpaan.
Apabila ada dua orang pembesar, rakyat Melaka berpecah
dua. Sebahagian berpihak kepada Paduka Raja dan sebahagian berpihak kepada
Seri Nara Diraja. Mereka berdua saling berselisih faham dan tidak bermuafakat
hingga boleh membinasakan negara. Sultan berdukacita dan bercadang mendamaikan
mereka berdua.
Sultan telah menceraikan isterinya Tun Kudu iaitu
anak bendahara Seri Wak Raja iaitu saudara Paduka Raja supaya dapat
dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Tun Kudu pernah dipelihara oleh Paduka
Raja dengan tanggungan sultan. Sejak dikahwinkan, hubungan Paduka Raja dengan
Seri Nara Diraja menjadi erat. Seri Nara Diraja turut menyokong Paduka
Rajamenjadi Bendahara.
Pada waktu itu terdapat tiga pembesar yang bijaksana di
wilayah tersebut iaitu Paduka Raja dan Seri Nara Diraja di
Melaka, Patih Aria Gajah Mada di Majapahit dan Orang Kaya Kanayan di
Pasai.
Siam menyerang Melaka sekali lagi di bawah
pimpinan Awi Dicu. Paduka Raja mengetuai pertahanan Melaka untuk menentang
Siam. Seri Bija Diraja telah mengetuai tentera Melaka untuk menyerang
Siam yang sudah sampai berhampiran Batu Pahat. Tun Umar yang menaiki
perahu bertindak melanggar banyak perahu Siam hingga Siam kalah. Tindakan Tun
Umar itu menyebabkan tentera Siam berasa sangat hairan.
Pada waktu malam, Paduka Raja memerintahkan supaya
dinyalakan api pada pokok kayu bakau, nyirih dan tumpu api-api. Cahaya
api itu menggambarkan seolah-olah terlalu ramai tentera Melaka sedang berkawal
di tepi pantai. Askar Siam ketakutan melihat banyaknya askar Melaka lalu mereka
balik ke Siam dan tidak jadi menyerang Melaka.
Sultan Muzaffar merayakan kemenangan askar
Melaka dengan hadiah persalinan baru. Di Siam, Paduka Bubunnya sangat
marah. Anaknya Cau Pandan bermohon untuk untuk menyerang Melaka dan
dilengkapkan dengan pelbagai kelengkapan serta perahu yang sangat banyak
bilangannya.
Apabila mendengar berita itu, Sultan Muzaffar
memerintahkan seorang yang warak (kuat ugama) iaitu Tuan Sidi Arab menggunakan
kesaktiannya. Tuan Sidi Arab menghalakan panahnya ke Siam sambil
mengatakan Cau Pandan akan mati. Di Siam, Cau Pandan berasa sakit dada kemudian
muntah darah lalu mati. Sultan menghadiahkan Tuan Sidi Arab dengan pelbagai
anugerah.
Selepas 42 tahun memerintah, Sultan Muzaffar mangkat dan
digantikan oleh anakanda baginda iaitu Sultan Mansur Syah yang
berusia 27 tahun. Baginda berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam iaitu
anak Seri Nara Diraja.
B. TEMA:
Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah dihadapi.
Contoh : Tun Perak menyuruh orang lelaki dari Kelang membawa isteri dan
anak-anak mereka supaya mereka berperang dengan bermati-matian untuk
mengalahkan Siam.
C. PERSOALAN:
PERSOALAN
|
PERISTIWA
|
Kebijaksanaan
menggunakan akal dan strategi untuk menyelesaikan masalah
|
Sultan
Muzaffar menggunakan strategi mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu
untuk mendamaikan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja.
|
Perpecahan
dalam kalangan pemimpin akan membinasakan negara
|
Perbalahan
antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja menyebabkan orang Melayu berpecah
dua dan Melaka dalam keadaan bahaya.
|
Bersiap siaga
dengan ancaman musuh
|
Paduka Raja
sentiasa bersiap sedia dengan strategi awal yang bijak untuk mengalahkan
askar Siam.
|
Kepentingan
ilmu dalam kehidupan
|
Tun Sidi Arab
memiliki ilmu yang tinggi hingga boleh membunuh Cau Pandan di Siam hanya
dengan menggunakan panahnya dari Melaka.
|
Keberanian
menghadapi cabaran
|
Tun Perak
tidak takut apabila dipanggil sultan setelah orang Kelang menuduhnya
menganiaya sultan sebaliknya beliau berani memberi jawapan yang baik hingga
sultan melantiknya sebagai perdana menteri.
|
Taat setia
kepada pemimpin
|
Rakyat Melaka
setia dan memberikan daulat kepada sultan Muzaffar hingga menjadikan Melaka
sebuah negeri yang kuat dan maju.
|
D. WATAK DAN PERWATAKAN:
WATAK
|
PERWATAKAN
|
PERISTIWA
|
Tun Perak
|
bijaksana
|
mengarahkan lelaki Kelang membawa anak isteri ketika
menentang Siam
|
baik hati
|
menjaga Tun Kudu yang telah diceraikan sultan sebelum
Tun Kudu berkahwin semula.
|
|
berani
|
memimpin askar Melaka menentang askar Siam yang hendak
menyerang Melaka.
|
|
berpengaruh
|
beliau mempunyai pengikut yang menyokongnya ketika
bersengketa dengan Seri Nara diraja.
|
|
SULTAN MUZAFFAR SYAH
|
mementingkan keharmonian Melaka
|
berusaha mendamaikan Paduka Raja dengan Seri Nara
Diraja untuk memakmurkan Melaka.
|
prihatin
|
meraikan askarnya yang menang dengan pemberian hadiah
pakaian persalinan.
|
|
bijaksana
|
mendamaikan pembesarnya dengan mengahwinkan Seri Nara
Diraja dengan Tun Kudu.
|
|
tidak terburu-buru
|
tidak menghukum Tun Perak setelah Tun Perak difitnah
sebaliknya memanggil Tun Perak untuk menceritakan keadaan yang sebenarnya.
|
|
menghargai rakyatnya
|
memberi anugerah dan pujian kepada Tun Sidi Arab yang
telah membunuh Cau Pandan.
|
E. LATAR:
1. Latar tempat:
- Melaka - cerita berkisar di negeri
Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.
- Muar - askar Siam di bawah
pimpinan Awi Dicu berada di Muar selepas menyerang Melaka.
- Batu
Pahat - askar Siam berada di Batu Pahat untuk menyerang Melaka di bawah Awi
Dicu.
- Kelang - tempat tinggal Tun Perak
sebelum dilantik menjadi bendahara Melaka.
- Siam - tempat tinggal Paduka
Babunnya.
2. Latar masa:
- Zaman
Pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka - semasa Melaka sedang maju dan kuat.
- Zaman
pemerintahan Sultan Muzaffar Syah - Sultan Muzaffar memerintah Melaka selama 42
tahun dan Melaka menjadi negeri yang makmur.
- Zaman
Tun Perak menjadi bendahara Melaka - Tun Perak dilantik menjadi bendahara
dengan gelaran Paduka Raja. Ketika itu Melaka sangat kuat.
F. NILAI:
NILAI
|
PERISTIWA
|
kebijaksanaan
|
Tun Perak bijaksana apabila mengikat puntung api pada
pokok kayu bakau, nyirih dan tumpu api-api pada waktu malam hingga cahaya api
itu menggambarkan askar Melaka yang ramai sehingga menakutkan askar Siam.
|
baik hati
|
Sultan Muzaffar memberikan askarnya yang menang
peperangan dengan sepasang persalinan.
|
bersatu padu
|
Semua lelaki Kelang berkumpul dan bersatu untuk
menentang askar Siam.
|
keikhlasan
|
Seri Nara Diraja sepakat menyokong Paduka Raja dengan
ikhlas untuk menjadi bendahara supaya rakyat Melaka bersatu padu dan kuat.
|
keberanian
|
Tun Perak berani menentang askar Siam yang ramai
jumlahnya hingga dua kali percubaan Siam menyerang Melaka menemui kegagalan
|
pengorbanan
|
Sultan Muzaffar berkorban menceraikan Tun Kudu demi
mendamaikan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja.
|
berilmu pengetahuan
|
Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi
sehingga mampu membunuh Cau Pandan yang ingin menyerang Melaka dengan hanya
menghalakan panahnya ke Siam.
|
G. PENGAJARAN:
Pengajaran
|
Peristiwa
|
Kita mestilah
berani menghadapi ancaman musuh demi negara.
|
Tun Perak dan
tentera-tenteranya berani menentang tentera Siam.
|
Kita mestilah
bijak menggunakan strategi untuk menyelesaikan masalah.
|
Sultan Muzaffar
Syah bijaksana dalam menyelesaikan konflik antara Seri Nara Diraja dengan
Padka Raja. Tindakan baginda mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu,
iaitu saudara Tun Perak telah berjaya menyelesaikan perbalahan antara dua
pembesar dan membawa kepada keharmonian neger Melaka.
|
Kita mestilah
ikhlas apabila melakukan sesuatu perbuatan.
|
Seri Nara Diraja
ikhlas menyokong pelantikan Paduka Raja sebgai Bendahara Melaka.
|
Kita mestilah
sanggup bekorban untuk memperoleh kebaikan.
|
Sultan Muzaffar
sanggup berkorban dengan menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk dikahwinkan
dengan Seri Nara Diraja. Tindakan tersebut dilakukan supaya Seri Nara Diraja
berbaik-baik dengan Tun Perak.
|
Kita mestilah
bersatu padu supaya negara menjadi kuat dan maju.
|
Seri Nara Diraja
dan Bendahara Paduka Raja hidup bermuafakat dengan bersatu padu sehingga
membolehkan Melaka menghadapi ancaman Siam.
|
Kita mestilah
menghargai jasa dan usaha yang telah dilakukan oleh orang lain kepada kita.
|
Sultan Muzaffar
memberikan askarnya yang menang peperangan dengan sepasang persalinan.
|
Kita hendaklah
menggunakan ilmu pengetahuan untuk melakukan tindakan yang betul.
|
Tuan Sidi Arab
menggunakan ilmu pengetahuannya yang tinggi untuk membunuh Cau Pandan yang
ingin menyerang Melaka dari jauh demi memastikan keamanan Melaka tidak
tergugat.
|
Soalan 2 (c) – Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya, terlalu berani, kelakuannya gila-gila bahasa. Maka disuruh oleh Bendahara Paduka Raja suluh perahu Siam itu. Maka Tun Umar pun pergilah dengan sebuah perahunya olang-oleng. Telah bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, maka dilanggarnya sekali, dua tiga buah perahu Siam alah, lalu ia terus ke sebelah; maka ia berbalik, dlanggarnya pula yang lain, itu pun dua tiga buah perahu Siam alah. Maka Tun Umar pun kembalilah. Maka orang Siam terlalu hairan melihat kelakuan Tun Umar itu. Telah hari malam, maka Awi Dicu pun datanglah. Maka oleh Bendahara Paduka Raja segala pohon kayu bakau dan nyirih dan tumpu api-api itu sekaliannya disuruhnya tambati puntung api. Telah dipandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya, maka kata hulubalang Siam, “Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tiada terbilang lagi. Jikalau ia datang apa hal kita? Sedang sebuah perahunya tadi lagi tiada terlawan oleh kita.”
Maka kata Awi Dicu. “Benarlah seperti kata kamu itu; marilah kita kembali sementara belum siang ini.”
Maka segala orang Siam pun kembalilah.
Dipetik daripada “Burung Terbang Dipipiskan Lada”
Dalam antologi Sejadah Rindu,
Kementerian Pendidikan Malaysia
(i) Apakah peristiwa yang menimbulkan perasaan hairan orang Siam terhadap Tun
Umar? [2 markah]
(ii) Mengapakah Awi Dicu membatalkan hasratnya untuk menyerang Melaka?
[3 markah]
(iii)Pada pendapat anda, apakah rasionalnya Tun Umar melanggar perahu orang Siam
tersebut? [3 markah]
Skema Jawapan Soalan 2 ( c) – Petikan Prosa Tradisional
(i) Peristiwa yang menimbulkan perasaan hairan orang Siam terhadap Tun Omar:
- Tun Umar menyerang perahu-perahu Siam secara sendirian
- Semua perahu Siam kalah
[2 markah]
(ii) Awi Dicu membatalkan hasratnya untuk menyerang Melaka kerana:
- Mendengar pendapat hulubalang Siam bahawa terlalu banyak askar Melaka
- Sebuah perahu yang dibawa oleh Tun Umar telah berjaya menewaskan beberapa
perahu Siam
- Perahu Melaka yang dipenuhi dengan pelbagai kelengkapan, menyukarkan mereka
menewaskannya. [3 markah]
(iii) Rasionalnya Tun Umar melanggar perahu orang Siam:
- Untuk menakut-nakutkan orang Siam
- Untuk menunjukkan keberanian orang Melaka.
- Untuk memastikan orang Siam tidak menyerang Melaka.
[3 markah]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan