Rabu, 27 Mac 2019

KERTAS PEPERIKSAAN AWAL TAHUN (PAWAT) BAHASA MELAYU 2 (1103/2) SMK SERI LONDANG TAHUN 2019

SULIT
1103/2









 SMK SERI LONDANG, 32600 BOTA, PERAK




PEPERIKSAAN AWAL TAHUN 2019
1103/2
TINGKATAN 5

BAHASA MELAYU

Kertas 2

Mac

2 ½ jam
Dua jam tiga puluh minit






JANGAN BUKA KERTAS PEPERIKSAAN INI SEHINGGA DIBERITAHU


1.      Kertas peperiksaan ini mengandungi empat soalan.

2.      Jawab semua soalan.

3.      Jawapan bagi Soalan 2(b), Soalan 2(c), Soalan 2(d) dan Soalan 4 berdasarkan teks Komponen Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

4.    Jawapan boleh ditulis dalam tulisan Rumi atau Jawi














Kertas soalan ini mengandungi 8  halaman bercetak

[Lihat halaman sebelah

1103/2 © 2019  Hak Cipta Panitia Bahasa Melayu                                                                                                                     SULIT


Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan disiplin dalam kalangan murid dan cabaran untuk mendisiplinkan murid. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
        Disiplin ialah kemahuan untuk mentaati atau menghormati peraturan baik dalam keagamaan, etika sosial mahu pun dalam sesebuah organisasi. Seseorang yang berdisiplin apabila melakukan pelanggaran terhadap disiplin, walaupun sedikit, tetapi dia tetap akan berasa bersalah kerana mengkhianati diri sendiri yang menjatuhkan maruah dirinya. Pelanggaran terhadap disiplin juga boleh menjejaskan hubungan antara individu berkenaan dengan orang-orang di sekelilingnya.
        Dalam konteks sekolah, disiplin adalah satu peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah untuk memastikan murid bertingkah laku baik. Perlakuan murid yang baik mencerminkan tahap disiplin sesebuah sekolah. Sekolah yang terkawal disiplinnya menjadi pilihan ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak mereka. Selain itu, murid dapat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Penerapan nilai murni dalam diri murid akan memberi persepsi positif dalam kalangan ibu bapa terhadap tingkah laku anak-anak mereka. Murid yang berdisiplin kelihatan berkeperibadian tinggi dan berketerampilan. Seorang murid yang mempunyai personaliti yang baik lazimnya bersedia untuk belajar. Disiplin yang dikenakan juga dapat mengawal murid daripada melakukan perkara-perkara negatif. Murid akan dikawal daripada merosakkan harta benda sekolah dan terlibat dalam pergaduhan di kawasan sekolah.
       Seandainya seseorang murid berdisiplin, maka murid boleh mengawal diri di dalam kelas semasa proses pembelajaran dan pengajaran sedang berlangsung. Murid dapat belajar dengan tenang dan selesa kerana tiada gangguan semasa guru sedang mengajar. Lantaran itu, murid dapat memahami kandungan pembelajaran dengan mudah dan berkesan. Pada masa yang sama, murid tidak mudah terjebak dalam sebarang masalah disiplin di sekolah seperti ponteng kelas atau lewat masuk ke kelas. Hal ini akan memudahkan pihak sekolah melaksanakan semua program sekolah dengan lancar. Faktor disiplin juga memainkan peranan utama menentukan kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Hal ini terbukti apabila keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia  diumumkan, murid yang mempunyai tahap disiplin tinggi dapat menempa kejayaan cemerlang.
      Murid haruslah mengetepikan permasalahan peribadi agar mudah memperoleh ilmu yang disampaikan oleh guru. Murid yang berdisiplin dapat menjamin keberkesanan dalam pembelajaran. Oleh itu, hubungan yang baik dan harmonis antara guru dengan murid sangat penting dalam mewujudkan suasana kondusif di sekolah. Tanpa disiplin, murid tidak akan ke mana-mana dan sukar untuk beroleh kejayaan.
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Disiplin Perisai Kawalan Diri’
oleh Izani Hj. Daud,
Wadah Siswa, Januari 2013








Soalan 2: Pemahaman
[35 markah]

Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)        Berikan maksud rangkai kata persepsi positif berdasarkan petikan.              
                                                                                                                              [2 markah]

(ii)       Pengarang menyatakan beberapa kesan jika para murid tidak berdisiplin.
Nyatakan kesan-kesan tersebut.                                                                     
            [3 markah]

(iii)      Ibu bapa berperanan penting dalam membentuk disiplin anak-anak agar menjadi insan yang berakhlak mulia dan bersahsiah baik.

Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk
mendisiplinkan anak-anak?                                                                             [4 markah]

Soalan 2 (b) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

            Sejak dahulu, dia sering mendengar pidato, “Tuan-tuan dan puan-puan, sebahagian besar bahan makanan rakyat kita ialah bahan makanan yang diimport, sedangkan kita ada ratusan ribu ekar yang terbiar kosong  dan tidak produktif. Mengapakah kita bergantung pada beras, ikan, daging,ayam dan sayur-sayuran import? Keadaan ini akan membahayakan kita kalau terjadi sesuatu bencana. Kerajaan mengutamakan bidang pengeluaran makanan kerana ini soal keselamatan Negara.”
            Pemimpin tertinggi sendiri pernah berkata, “Rakyat mesti membuka mata dan melihat potensi yang ada dalam bidang pertanian. Saya menyeru kepada rakyat sekalian agar merebut peluang ini, terutama ribuan siswazah Melayu yang masih menganggur.Kerajaan menyediakan banyak peluang terutama kepada keistimewaan dalam Dasar Ekonomi Baru. Ada pelbagai bantuan dan skim pembiayaan untuk projek pertanian yang dikendalikan oleh sebuah bank khusus. Nah semuanya ada di hadapan anda! Yang diperlukan sekarang ialah kesanggupan anda untuk bekerja kuat. Ingat slogan ini, “Pertanian adalah Perniagaan”
            Hakim telah mendengar dengan penuh minat. Segala kata itu membakar semangatnya untuk memajukan tanah yang ditebusnya. Dia juga berharap kejayaannya nanti akan menjadi contoh teladan kepada orang yang seketurunan dengannya yang mendapat         kelebihan daripada Dasar Ekonomi Baru dan pelbagai projek pembangunan sebuah kerajaan yang prihatin.

Dipetik daripada cerpen “Kaduk, Ayam Dan Raja”
oleh Zurinah Hassan
dalam antalogi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Kementerian Pendidikan Malaysia.


(i)                 Berdasarkan petikan cerpen, apakah maksud kata-kata pemimpin, Rakyat mesti membuka mata dan melihat potensi yang ada dalam bidang pertanian?
                                                                                                                [2 markah]

(ii)              Kerajaan telah menyediakan banyak peluang dalam bidang pertanian namun masih kurang mendapat sambutan sehingga kerajaan terpaksa mengimport terutamanya  bahan- bahan makanan.
                                    
Pada pandangan anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan orang ramai tidak berminat dalam pertanian?                                                                        [3 markah]

(iii)            Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan dan satu latar masyarakat lain daripada keseluruhan cerpen yang tidak terdapat dalam petikan.
[ 4 markah ]



Soalan 2 (c) - Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti , kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka kedengaranlah ke Melaka, Cau Pandan, anak Bubunnya, akan dititahkan menyerang Melaka. Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab Namanya disebut orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana tuan itu pergi, panah itu dibawanya. Maka tatkala itu Tuan Sidi Arab itu pun ada menghadap Sultan Muzaffar Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau, Cau Pandan”.

            Maka Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab itu, “Jikalau sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah tuan keramat”.

            Adapun Cau Pandan itu, lagi di benua Siam, maka berasa kepada dadanya seperti kena panah, maka Cau Pandan pun sakit muntahkan darah lalu mati. Maka tidaklah jadi Siam menyerang Melaka, sebab mati Cau Pandan itu. Maka itulah diperbuatkan orang nyanyi :


Cau Pandan anak Bubunnya,
Hendak menyerang ke Melaka;
Ada cincin berisi bunga,
Bunga berladung si air mata.

            Dipetik daripada ‘ Burung Terbang Dipipiskan Lada’
dalam antologi Sejadah Rindu,
Kementerian Pendidikan Malaysia


(i)                 Berikan maksud rangkai kata dewal orang berzikir.                               [2 markah]

(ii)              Apakah tindakan Sidi Arab apabila mendengar khabar Cau Pandan hendak menyerang Melaka?
 [3 markah]

(iii)            Sekiranya anda Sultan Muzaffar Syah, apakah tindakan yang anda lakukan untuk membalas jasa Sidi Arab yang telah berjaya membunuh Cau Pandan?
 [3 markah]




Soalan 2(d) - Puisi Tradisional

Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SYAIR BIDASARI
1
Dengankan tuan suatu riwayat,                 1
Raja di desa Negeri Kembayat,
Dikarang fakir jadikan hikayat,
Supaya menjadi  tamsil ibarat.

Ada raja suatu negeri,                                2
Sultan halifah akas bestari,
Asalnya baginda raja yang bahari,
Melimpah ngadil dagang senteri.

Hairan orang empunya temasya,               3
Baginda itulah raja perkasa.
Sangat tiada merasai susah,
Entah pada esok dan lusa.

Seri sultan raja bestari,                             4
Setelah ia sudah beristeri,
Beberapa bulan beberapa hari,
Hamillah puteri permaisuri.

Beberapa lamanya dalam kerajaan,          5
Baginda duduk bersuka-sukaan,
Datanglah beroleh kedukaan,
Baginda meninggalkan tahta kerajaan.


Datanglah kepada suatu hari,                     6
Melayanglah unggas dari angkasa,
Unggas gurda sangat perkasa,
Menjadi negeri rosak binasa

Datanglah menyambar suaranya bahana,   7
Gemparlah sekalian mulia dan hina,
Seisi negeri gundah –gulana,
Membawa diri ke mana- mana.

Bagindapun sedang dihadap orang,           8
Mendengar gempar seperti perang,
Bertitah baginda raja yang garang,
“Gempar ini apakah kurang.”

Jamilah Hj. Ahmad (Penyelenggara)
Syair Bidasari, 1989.
Antologi Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul
Dewan Bahasa dan Pustaka.







(i)         Berikan maksud Seisi negeri gundah-gulana.                                                    
  [ 2 markah ]

(ii)        Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang  perlu diambil oleh seorang raja   
 bagi  menjaga keamanan   negerinya daripada  ancaman  musuh?                     
             Berikan dua langkah.
                                                                                                                                 [ 3 markah ]

(iii)       Nyatakan dua gaya bahasa dalam syair  ini beserta contohnya.                     
          [ 4 markah ]


Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Berbahasa
[30 markah]

Jawab semua soalan

(a)   Bina dua ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas

i)                   gamat
ii)                 hangat
iii)               bidang
[6 markah]

(b)   Nyatakan pola ayat bagi ayat-ayat di bawah ini sama ada ayat tersebut berpolakan Frasa Nama + Frasa Nama (FN +FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN +FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN +FA), Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN +FSN).

i)                   Hutan sekitarnya segar-bugar bagaikan hamparan hijau.
ii)                 Basikal merah itu untuk adik saya.
iii)               Kebudayaan nasional lambang identiti  negara.
iv)               Beberapa orang pakar bedah sedang melakukan pembedahan tersebut.
v)                  Reka bentuk Perbadanan Putrajaya merupakan ilham Tun Dr. Mahathir Mohammad.
vi)               Atlet-atlet yang akan ke luar negara sedang menjalani latihan di Kompleks Sukan Negara.
           [ 6 markah]







(c)            Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

i)                   Kemajuan industri pelancongan memerlukan tenaga profesional dan buruh yang banyak samada yang terlibat dengan kerja binaan mahupun pengurusan.

ii)                 Kerja-kerja mendalami Sungai Muda telah dijalankan untuk  mengatasi masaalah banjir kilat yang sering berlaku di Bandar Seri Setia.

iii)               Kerajaan Malaysia telah menghadkan kemasukan buruh asing demi kesejahteraan rakyat di negara ini.
         [ 6 markah]


(d)            Dalam petikan di bawah, terdapat tiga kesalahan penggunaan kata atau istilah dan tiga kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan penggunaan kata atau istilah dan tiga kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.

Bumi umpama sebagai rumah besar bagi segala benda yang merangkumi manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Walau bagaimanapun, hanya manusia yang dianugerahi akal dan kebijaksanaan untuk menguruskan bumi ini. Namun begitu, akal dan kebijaksanaan itu sering disalahertikan termasuklah tindakan manusia melupuskan alam dan melakukan pembaziran dengan sewenangnya. Perkara ini jelas menunjukkan yang tindakan tersebut dilakukan tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya.
                                                                                                                                  [ 6 markah]

(e)   Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian kemukakan peribahasa yang sesuai dengan  ayat-ayat  tersebut.

i)                   Permainan tradisional seperti permainan gasing, wau dan congkak merupakan permainan yang ____________________, perlu dipertahankan untuk mengekalkan tradisi Melayu.

ii)                 Hanya disebabkan perangainya yang suka mencuri, habis satu keluarganya turut dituduh, bak kata peribahasa ____________________________.

iii)               Apabila kita berada di tempat orang, kita hendaklah mematuhi peraturan mereka seperti kata pepatah ______________________________________.

                                                                                                                                  [ 6 markah]

Soalan 4 : Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:


(i)                 Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib
(ii)              Di Sebalik Dinara karya Dayang Nor      
(iii)            Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin                     
(iv)             Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v)               Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip
(vi)             Tirani karya Beb Sabariah
(vii)          Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop
(viii)        Silir Daksina karya Nizar Parman

(a)   Berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji, jelaskan dua perwatakan watak utama dalam novel tersebut.                                                                                  [7 markah]


(b)   Berdasarkan  dua buah novel yang telah anda pelajari, nyatakan perasaan anda setelah membaca novel tersebut. Berikan alasan anda.                                                                                                                                                                          [8 markah]


                                                                                   





KERTAS SOALAN TAMAT



Tiada ulasan: