Karangan Contoh:
Sejak 1990-an lagi, Malaysia sudah pun berjaya menganjurkan kempen Tahun Melawat Malaysia. Kejayaan ini diteruskan sekali demi sekali sehingga kini. Tahun 2007 sekali lagi dikenali sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan slogan "Malaysia Truly Asia" Keaslian Malaysia sebagai negara Asia yang termaktub dalam lagu tema kempen ini sekali gus membuka mata dan minda seantero dunia. Walau bagaimanapun, banyak pihak berpendapat bahawa langkah yang diambil untuk memajukan industri pelancongan sebelum ini belum sampai tahap berprestij dan kurang efektif. Oleh hal yang demikian, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai lengan. Persoalannya, apakah usaha kerajaan dan warganegara Malaysia untuk memastikan sektor pelancongan negara maju setaraf dengan negara maju dunia bak kata peribahasa Melayu agar negara kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju dunia.
Kempen dan usaha mempromosikan Malaysia di persada dunia merupakan rencah utama yang dapat meningkatkan imej negara Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini. Hal ini demikian kerana promosi dan kempen dapat mempercepat langkah kerajaan menguar-uarkan aktiviti Tahun melawat Malaysia ke seluruh pelosok jagatraya. Melalui media massa dan jerayawara (aktiviti "road show"), saya yakin Malaysia dapat menarik perhatian pendarmawisata dari segenap sudut dunia. Hal ini memang mirip dengan lirik lagu "Malaysia Asia Sebenar" yang dimainkan di corong-corong radio. Justifikasinya, saya yakin bahawa kempen Tahun Melawat Malaysia akan sukses. Sekiranya, pihak kerajaan dan warganegara Malaysia berkolaborasi untuk memajukan sektor pelancongan negara, sudah pasti sektor berkenaan akan mampu memberikan pulangan yang baik untuk meningkatkan pendapatan negara. Tegasnya, Kempen dan usaha mempromosikan Malaysia di persada dunia merupakan rencah utama yang dapat meningkatkan imej negara Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Mengikut kajian yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab, sistem pengangkutan yang efisien di sesebuah negara memainkan peranan penting untuk menjana perkembangan industri pelancongan. Malaysia yang masih kekurangan dari segi kemudahan pengangkutan yang sistematik perlu ukur baju di badan sendiri sekali gus membuat anjakan paradigma dalam soal pengangkutan awam. Rungutan dan luahan ketidakpuasan hati pelancong mestilah diambil kira. Oleh sebab itu, kerajaan mestilah menyusun strategi pembangunan dengan menyediakan kemudahan pengangkutan bertaraf lima bintang sebagai pemangkin usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi persinggahan pelancong dari seluruh dunia yang mendambakan keunikan alam semula jadinya. Namun usaha kerajaan untuk menaiktarafkan sistem pengangkutan awam seperti membina perkhidmatan monorel, pengangkutan kereta api elektrik (ETS), aliran kereta api transit ringan (LRT), Transit Aliran Masa (MRT), pengenalan Grab Car, Grab Teksi amat dipuji kerana merancakkan perkhidmatan pengangkutan awam negara. Sekiranya usaha ini berterusan, sudah pasti biasnya akan memberi impak kepada sektor pelancongan kerana pelancong akan mudah untuk pergi ke destinasi pelancongan negara dengan mudah. Sudah terang lagi bersuluh, sistem pengangkutan yang efisien di sesebuah negara memainkan peranan penting untuk menjana perkembangan industri pelancongan.
Malaysia sememangnya nusa bertuah kerana iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun. Kehidupan flora dan fauna yang terpulihara menjadikan Malaysia kaya dengan destinasi ekopelancongan utama dunia. Penaiktarafan kawasan pelancongan di seluruh negara dengan chalet, hotel dan kemudahan penginapan lain dapat memberi bonus kepada Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan pelancong. Aspek kebersihan di kawasan pelancongan janganlah dipandang enteng kerana industri pelancongan menyediakan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan. Oleh itu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Malaysia pasti boleh! Oleh sebab itu, sebagai warganegara Malaysia kita perlu bersyukur kerana Allah memberikan iklim yang sesuai dengan pertumbuhan flora dan fauna yang menjadikan negara kita cukup istimewa yang tiada bandingan berbanding destinasi pelancongan negara luar. Kesimpulannya, sebagai warganegara bertuah kita perlu beryukur kerana iklim di Malaysia sesuai dan unik untuk menyediakan destinasi pelancongan yang menarik dengan hutan yang berumur berjuta-juta tahun dengan kepelbagaian flora dan faunanya menggamit kehadiran pelancong asing.
Kesimpulannya, Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam usaha memperkembangkan industri pelancongannya. Yang paling penting, rakyat dan kerajaan perlulah mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelancong. Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah yang sesuai seperti dinyatakan di atas untuk merealisasikan aspirasi negara untuk mencapai pembangunan dalam bidang pelancongan yang bertaraf dunia. Sebenarnya, genggam bara api, biarlah sampai jadi abu. Kita mestilah berusaha sehingga nama Malaysia tersohor di seluruh dunia.
Sumber Blog. Dr. Tan CL. Terima kasih Dr. dan mohon perkongsiaan ilmu ini. Karangan ini telah dibuat penambahbaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan