SOALAN PERCUBAAN NEGERI PULAU PINANG 2018
Bahagian A
[30 markah]
[Masa dicadangkan : 45 minit]
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan amalan menabung dalam kalangan masyarakat. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
KEBAIKAN AMALAN MENABUNG DALAM KALANGAN MASYARAKAT
Dapat digunakan semasa Dapat membantu keluarga
kecemasan ditimpa kesusahan
Mengamalkan sikap berjimat- Dapat membeli apa-apa yang
cermat diingini
Pada zaman globalisasi kini, masyarakat lebih bersifat materialistik dan individualistik kerana menganggap wang sebagai punca kebahagiaan dalam kehidupan mereka. Walaubagaimanapun, sebagai manusia kita perlu akur dengan ketentuan Tuhan kerana Allah menentukan segala-galanya. Peribahasa Melayu ada mengatakan "malang tidak berbau”, dan sediakan payung sebelum hujan, mengambarkan peri penting wang sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada kita, dan keluarga seperti kemalangan, melanjutkan pelajaran, mahupun untuk membeli sesuatu keperluan untuk seseorang meneruskan kelangsungan kehidupannya dengan sempurna. Namun perlu kita beringat bahawa jauhkan sifat fasiq dengan beranggapan wang sebagai raja dan dengan wang kita mampu memperoleh segala-galanya. Ada kalanya qada dan qadar Tuhan mengatasi segala-galanya kerana kesihatan, kematian, untung baik dan untung jahat hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Namun sebagai insan yang sentiasa bersedia dengan ketentuan Tuhan realitinya kita memerlukan wang untuk memastikan kehidupan kita akan sentiasa sempurna. Sekiranya, budaya menabung menjadi keutamaan dalam kehidupan sudah pasti individu mahupun keluarga mampu menghadapi sebarang musibah yang mungkin menimpa mereka. Persoalannya, apakah kemaslahatanya amalan menabung dalam kehidupan kita sebagai manusia.
Marcapada dunia globalisasi tanpa limitasi memberikan pelbagai cabaran dan manusia tidak lari daripada menghadapi duri ranjau untuk mengecapi sempurnaan hidup yang azali. Oleh sebab itu, untuk meneruskan kehidupan yang mendatang dengan lebih sempurna, kita perlu menabung wang daripada awal kehidupan demi masa depan yang lebih cemerlang. Apabila kita mendisiplinkan diri dengan menabung, prinsip “sedikit-sedikt, lama-lama menjadi bukit” sudah kehidupan kita pada masa depan akan lebih cerah. Bahkan juga, menabung mampu membudayakan amalan berjimat cermat dan mengelakkan kita daripada sikap boros berbelanja kerana boros amalan syaitan. Sekiranya, amalan menabung diamalkan dalam kehidupan, kita mampu memperoleh kejayaan cemerlang pada masa hadapan. Sebaliknya, jika amalan menabung tidak menjadi amalan kita semasa muda sudah pasti kehidupan tua kita akan sengsara. Sebagai contoh, seorang penoreh getah, Abdul Rahman Omar, 60 berasal dari Kampung Sawa Besar, Pendang Kedah berjaya menunaikan haji hanya dengan menabung hasil jualan getahnya. Namun, bukan semua orang berharta dapat mengerjakan tuntutan agama kelima ini. Banyak lagi kejayaan manusia atas dasar menabung pada masa muda. Tegasnya, dengan menabung kita mampu mengotakan impian sesiapa sahaja pada masa mereka tua.
Walakin begitu, amalan menabung amat dituntut agama apabila manusia dapat mengapresiasikan usaha mencari wang untuk keperluan keluarga. Ibu bapa kita berkerja daripada mentari menjalankan tugasannya pada siang hari dan menamatkan tugasannya apabila tiba waktu senja ”bagaikan lebah mengumpul madu’ demi menampung kos sara hidup yang semakin menghimpit. Wang hasil titik peluh mereka ini akan disimpan sebagai tabungan sebagai persediaan untuk menghadapi waktu kecemasan atau pada ketika ahli keluarga menagih pertolongan kerana hari tidak semestinya sentiasa cerah. Apabila berlaku kecemasan, terutama pada hujung bulan, wang tabungan menjadi sandaran untuk mereka menyelesaikan permasalahan ahli keluarga sama ada ketika berlaku kecemasan seperti kemalangan dan ahli keluarga sakit yang memerlukan kewangan untuk mengatasi masalah mereka. Sekiranya, ibu bapa tidak menabung sudah pasti mereka akan pasrah tanpa dapat melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ahli keluarga mereka kecuali ada pihak yang prihatin membantu sama ada daripada pertolongan ahli keluarga terdekat atau pertolongan masyarakat. Sebaliknya, jika ibu bapa mempunyai wang tabungan, mereka akan mampu mengatasi sebarang masalah dengan segera. Tegasnya, amalan menabung amat dituntut agama apabila manusia dapat mengapresiasikan usaha mencari wang untuk keperluan keluarga kerana setiap sen disimpan setiap sen merupakan hasil titik peluh dan keringat yang bermakna.
Bahkan juga, amalan menabung mampu membantu kita membeli barangan dan keperluan yang kita hajatkan. Sebagaimana kita sedia maklum, ibu bapa membanting tulang dari pagi ke petang untuk mencari nafkah untuk ahli keluarga. Adakala dan waktunya, anak-anak sukar untuk memperoleh apa yang mereka perlukan terutama sekiranya ketika itu ibu bapa menghadapi masalah kewangan. Walaupun ibu bapa mampu memperoleh barangan yang kita hajati tetapi dengan menggunakan wang yang kita ditabung, sekurang-kurangnya wang yang kita tabung itu mampu untuk mengurangkan sedikit tanggungan ibu bapa. Pada masa yang sama, anak-anak perlu faham dan cakna barangan yang dibeli perlu berdasarkan kepentingannya. Contoh, pastikan barangan yang dibeli mestilah barangan keperluan sahaja dan barangan berkenaan mendatangkan manfaat kepada mereka seperti buku, beg sekolah, dan peralatan tulis. Hal ini kerana ada kalangan anak-anak yang membeli barangan tidak penting dan menguntungkan mereka seperti membeli telefon bimbit dan majalah yang tidak sesuai dibaca kerana budaya hedonisma ini merugikan kita dan keluarga. Sudah pasti membeli barangan berkenaan meyemai sikap boros berbelanja, terutama barangan yang menyubang kepada keruntuhan akhlak remaja. Sekiranya, anak-anak membeli barangan keperluan sahaja dengan wang tabungan mereka, sudah pasti mereka dapat mengelakkan amalan boros semasa berbelanja. Perlu diingat amalan boros berbelanja amalan syaitan. Sudah terang lagi bersuluh, amalan menabung mampu membantu kita membeli barangan dan keperluan yang kita hajatkan tanpa menyusahkan ibu bapa yang selama ini menyara kita sekeluarga.
Selain itu, dengan amalan menabung juga anak-anak boleh meringankan bebanan ibu bapa apabila salah seorang ahli keluarga menghadapi masalah. Langit tidak selalunya cerah, begitu juga dengan ibu bapa kita, adakalanya diri mereka terbeban apabila ada ahli keluarga yang memerlukan bantuan kewangan secara mendesak. Hal ini juga mungkin berlaku contohnya apabila anak-anak ada menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti atau ke sekolah berasrama penuh. Sekiranya anak-anak menabung semenjak kecil lagi, wang tabungan boleh digunakan untuk tujuan meringankan bebanan ibu bapa untuk persediaan berkenaan. Sebagai seorang anak yang baik biarlah kita menjadi benih yang baik dicampak ke langit menjadi kejora, dicampak ke laut menjadi pulau, dan dicampak ke daratan menjadi penawar. Namun pada zahirnya, ibu bapa tidak akan tergamak menyusahkan anak-anak mereka tetapi memang tugas seorang anak yang baik tidak membebankan ibu bapa mereka. Sekiranya, anak-anak membudayakan amalan menabung daripada kecil lagi, banyak maslahat yang mereka terima. Sebaliknya, anak-anak yang tidak menabung mereka mungkin sedikit sebanyak akan membebankan ibu bapa mereka. Kesimpulannya, jelas engan menabung juga anak-anak boleh meringankan bebanan ibu bapa apabila salah seorang ahli keluarga menghadapi masalah.
Walhasil, sebagai anak bangsa yang bakal dibentuk menjadi modal insan kepada nusa tercinta, kita sewajarnya menjadikan amalan menabung sebagai rutin kehidupan. “Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” merupakan kata-kata mutiara yang mesti kita hayati. Dengan menabung, kualiti kehidupan yang lebih baik akan dapat kita nikmati. Wang yang ditabung boleh menjadi modal melanjutkan pelajaran demi memberi pulangan kehidupan yang lebih baik kepada ayahanda dan bonda tercinta. Pulangan yang lumayan daripada amalan menabung dapat dirasai bukan sahaja untuk diri justeru kepada seantero jagatraya terutama semasa keadaan mendesak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan