Sabtu, 6 Februari 2021

CONTOH KARANGAN CEMERLANG DIMENSI DIRI

 1.    Dalam menghadapi dunia semakin mencabar ini ilmu pengetahuan dalam pelbagai        bidang  penting dalam kehidupan seseorang. 

             Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menambahkan ilmu                      pengetahuan.
      ** Karangan di atas merupakan karangan dimensi diri dan ada perlu menulis karangan di atas mengunakan ganti nama diri pertama iaitu saya.

   

                         "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad" dan " Ilmu Jambatan Hidup" . Itulah antara dua kata-kata yang membuktikan bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan saya sebagai manusia yang ingin berjaya dalam kehidupan. Marcapada, jika saya  tidak mempunyai ilmu, saya akan ketinggalan dan  akan mengalami kesusahan dalam kehidupan ketika saya dewasa nanti. Jika saya tidak berilmu, saya boleh diibaratkan seperti katak di bawah tempurung akan sentiasa ketinggalan dalam pelbagai aspek dalam kehidupan sama ada aspek sosioekonomi, mahupun sosiobudaya. . Untuk mendalami ilmu, saya perlu berusaha dengan gigih kerana ilmu tidak datang sendiri melainkan dengan usaha yang berterusan. Bak kata peribahasa Melayu, yang bulat tidak datang menggolek dan yang pipih tidak datang melayang. Menurut Hadis, Rasululah pernah meriwayatkan tuntutlah ilmu sehingga ke nagara China. Berdasarkan kenyataan di atas, sudah terang lagi bersuluh, ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan dan saya perlu berusaha untuk menggapainya, bak kata peribahasa Melayu genggam api biarlah jadi arangmenjeluk perkasam biarlah sampai ke pangkal lengan, begitulah konsep sepatutnya menjadi pegangan saya lakukan untuk mengembangkan ilmu di dada. Bahkan juga, ilmu pengetahuan mampu mengubah kehidupan keluarga saya terutama untuk memecah kepompong kemiskinan keluarga yang sering menghantui keluarga saya mayapada. Sekiranya saya tidak mengambil kesempatan mengubah kehidupan keluarga saya dengan meningkatkan ilmu pengetahuan, sudah pasti kehidupan keluarga saya tidak akan berubah dan berada pada takuk yang lama. Persoalannya, bagaimanakah saya mampu untuk menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang demi menyediakan kehidupan saya dan keluarga cemerlang pada masa akan datang.

             Mari kita bersama-sama mengupas isi pertama saya iaitu cara saya memperoleh ilmu pengetahuan iaitu melalui pembacaan. Hal ini kerana ayat pertama yang diturunkan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad ialah surah Al-Alaq...Wahyu tersebut disampaikan oleh Malaikat Jibrail dengan berkata, 'Bacalah wahai Muhammad! ' Beliau bersabda: "Aku tidak pandai membaca."  Sabda Rasulullah lagi, lalu malaikat memegang dan memelukku erat-erat, ketika aku merasakan kepayahan ia pun melepasku. Sudah terang lagi bersuluh betapa dalam Islam konsep membaca amat diutamakan selaras dengan Surah Al-Alaq di atas, Malaikat Jibrail meminta Rasululah membaca walaupun beberapa kali Rasulullah menyatakan bahawa beliau tidak tahu membaca. Oleh sebab itu, sebagai khalifah di muka bumi saya sebagai generasi yang sedar akan peri pentingnya ilmu dalam kehidupan seharusnya membudaya membaca dalam kehidupan seharian saya. Sebagai khalifah pada zaman moden pelbagai cara membolehkan saya memperoleh ilmu dengan membaca kerana membaca gedung ilmu . Kita boleh membaca secara konvensional dengan membaca buku pelbagai aspek ilmuan seperti bahasa, matematik, sains dan sebagainya. Seyogia, pada zaman moden ini, maklumat di hujung jari, dan dunia tanpa sempadan kerana saya boleh melayari pelbagai sumber ilmu menggunakan pelbagai peranti sama ada dengan komputer riba atau gadjet terkini telefon pintar, dan cara pembacaan ini bukan sahaja pantas dan murah tetapi bahan pembacaan boleh diperoleh dengan pelbagai pendekatan sama ada melalui video dengan melayari laman sesawang Youtube, atau melalui bahan berbentuk bahan bertulis sam ada berbentuk powerpoint, atau melalui teks. Sekiranya saya cakna dengan maklumat berkenaan sudah pasti saya menjadi orang berilmu kerana orang berilmu diperlukan dalam kalangan masyarakat kotemporori dan saya akan dihormati. Kesimpulannya, ilmu pengetahuan membolehkan saya meningkatkan ilmu pengetahuan terutama melalui pembacaan sama ada secara konvensional iatu yang boleh saya dapati daripada buku, mahupun menggunakan teknologi terkini menggunakan telefon pintar arau komputer riba.


              Mari kita selusuri perbincangan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dengan kata kunci isi kedua iaitu cara saya menuntut ilmu pengetahuan dengan memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru ibarat lilin membakar diri untuk menerangi kehidupan pelajar, justeru adalah sangat malang jika saya tidak mengambil pusing dengan tidak menumpu perhatian kepada proses pengajaran guru. Selain itu, amalkan bertanya sekiranya kita tidak memahami penerangan guru kerana malu bertanya sesat jalan dan malu biarlah bertempat. Oleh sebab itu, saya sebagai pelajar yang proaktif memerlukan saya sentiasa melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana dengan langkah sedemikian rupa saya akan menjadi  pelajar yang berjaya dan disayangi guru. Selalunya pelajar dalam kategori ini akan sentiasa mengungguli tempat pertama dalam peperiksaan, sama dijalankan oleh pihak sekolah atau peperiksaan umum yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia . Bahkan konsep mencatat setiap penerangan guru juga merupakan amalan terpuji kerana adakalanya penerangan guru tidak ada dalam nota tetapi keluar secara spontan semasa pengajaran guru kerana proses mengunakan deria telinga untuk mendengar, deria mata untuk melihat dan angota tangan dan jari jemari mencatat akan memudahkan proses memantapkan ingatan saya semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru semasa di dalam kelas. Menurut seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “ lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Selain itu, saya juga  perlu mengelakkan diri saya daripada melakukan perbuatan yang menimbul kemarahan guru seperti bersembang, dan mengganggu proses guru semasa beliau mengajar kerana konsentrasi guru akan hilang semasa mengajar apabila situasi berkenaan berlaku, dan selalunya pelajar dalam kategori ini akan berada di belakang pelajar yang berjaya. Kesimpulannya, Jika saya tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan menjadi lalat yang membusukkan ikan.” Maksud peribahasa berkenaan ialah kita harus tidak menimbulkan masalah kepada orang lain kerana sifat berkenaan amat merugikan. Jika saya selalu fokus pengajaran guru di dalam kelas dan sentiasa menjaga hubungan dengan guru sudah pasti saya akan berjaya dalam pelajaran. Tegasnya, sebagai seorang pelajar yang ingin berjaya, saya perlu 
memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas dan menjaga hubungan baik saya dengan guru.

                       Seterusnya saya akan membincangkan isi ketiga di bawah kata kunci membentuk kumpulan belajar mampu meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang saya tidak kuasai. Sebagai seorang pelajar yang mendambakan kecemerlangan saya perlu memilih anggota kumpulan yang akan membatu saya menguasai  mata pelajaran yang sukar untuk saya kuasai kerana berkawan biarlah ramai, musuh jangan dicari. Antara faktor pemilihan rakan untuk menjadi ahli kumpulan belajar saya ialah mereka perlu sealiran dengan jiwa saya, supaya saya boleh berbincang dengan mereka dengan kondusif, maksudnya biarlah rakan  kumpulan studi saya ini terdiri daripada rakan yang boleh membantu saya berbincang berkaitan pelajaran di luar waktu persekolahan. Seterusnya, rakan yang saya pilih perlu bervariasi kemahiran kerana impaknya kami boleh saling membantu untuk menguasai setiap mata pelajaran yang tidak kami kuasai. Apabila semua faktor pemilihan berkenaan diambil kira, sudah pasti proses pembelajaran berkumpulan kami akan memberi impak maksima. Contohnya rakan pertama saya mahir dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, dan saya pula mahir mata pelajaran Bahasa Melayu, rakan kedua saya pula mahir mata pelajaran matematik, sementara rakan ketiga saya mahir mata pelajaran matematik tambahan, dan rakan kelima mahir mata pelajaran Biologi. Tepuk dada tanya selera, jika semua faktor pemilihan di atas lengkap sudah pasti aktiviti pembelajaran saya secara kumpulan akan ceria, di samping perkongsian ilmu akan berkonsep menang menang dan semua ahli kumpulan akan menerima kesan terutama untuk menguasai pelbagai mata pelajaran. Peribahasa Melayu ada mengatakan "Kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar dicari.Sekiranya saya mampu membentuk kumpulan belajar yang ideal seperti saya nyatakan di atas, saya akan mampu berjaya dalam pelajaran. Konklusinya, saya akan cuba membentuk kumpulan belajar sealiran dengan jiwa saya agar mampu meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang saya tidak kuasai.


            Seterusnya, saya akan membicarakan isi keempat saya di bawah tajuk pemilihan buku hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk saya meraih pengalaman mereka menggapai kecemerlangan dalam kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh ilmu pengetahuan dalam kehidupan. Hali ini kerana mereka telah menerbitkan karya ilmiah yang mampu meningkatkan minat dan kesungguhan pembaca untuk mengumpulkan ilmu pengetahuan untuk menerangi kehidupan serta kesejahteraan masyarakat serata alam. Antara nama pengarang tersohor Islam yang perlu kita contohi seperti  Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Syed Muhammad Abduh, Syed Tahir Jalaluddin, HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik bin Syeikh Abdul Karim bin Syeikh Muhammad AmarullahKetekunan ilmuan tersohor ini untuk menuntut ilmu perlu perlu saya jadikan budaya dalam kehidupan sayaa. Contohnya Ibnu Sina seorang ulama tersohor Islam malah pakar dalam bidang perubatan sehingga hasil karya beliau diterjemahkan dalam bahasa latin, Hebrew dan bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, bak kata pepatah Melayu, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Antara hasil penemuan Ibnu Sina dalam ilmu perubatan ialah beliau telah menemui  pengaruh kuman dalam penyakit seperti  penyakit rubella, alahan, cacar, penyakit jiwa, dan menghasilkan ubatan dan preskripsi ubat yang mujarab untuk digunakan sebagai penyembuhan pelbagai jenis penyakit. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, begitulah jasa ilmuan tersohor Islam yang menguasai pelbagai ilmu untuk kegunaan manusia sehingga ke zaman moden ini. Intihanya, pemilihan buku bacaan terutama hasil karya ilmuan Islam tersohor mampu meningkat usaha saya untuk menghasilkan penemuan baru dalam apa juga bidang ilmu terutama untuk kejahteraan masyarakat negara malah untuk masyarakat dunia amnya.


                    Selanjutnya, perbicaraan saya menjurus kepada membicarakan isi kelima iaitu untuk menambah ilmu pengetahuan saya perlu mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah. Sebagaimana kita sedia maklum, pusat tuisyen boleh menjadi medan untuk saya meningkatkan pengetahuan ke arah menjadikan seorang pelajar berjaya dalam pelajaran. Setiap tahun, pusat tuisyen tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan di situ saya boleh menimba pelbagai ilmu tambahan terutama untuk meningkatkan kemahiran saya terhadap mata pelajaran tertentu yang sukar saya fahami. Kenapa situasi ini berlaku? Antaranya, ibu bapa dan pelajar sedia maklum, tenaga pengajar yang mengajar di pusat tuisyen adalah dalam kalangan guru-guru berpengalaman mengajar dan kebanyakan mereka menjadi penyemak kertas peperiksaan berdasarkan bidang ilmu mereka, justeru ibu bapa berusaha untuk melaburkan duit mereka untuk kecemerlangan anak-anak mereka dengan menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen. Tindakan ibu bapa ini umpama di mana ada gula, di situ ada semut. Kebiasaannya guru-guru berpengalaman di pusat tuisyen akan mempermudah dan mendedahkan cara-cara untuk saya menjawab soalan, terutama item-item soalan sukar untuk saya fahami. Oleh sebab itu, kebanyakan pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang adalah dalam kalangan pelajar yang mengikuti kelas tuisyen. Selain itu, budaya sekolah cemerlang, sentiasa mengadakan program kecemerlangan dengan menjemput guru-guru cemerlang, sama ada dalam daerah malah ada yang menjemput guru-guru cemerlang dari luar daerah dan antara kriteria guru-guru yang dipilih untuk menjadi tenaga penceramah berkenaan adalah kalangan guru berpengalaman terutama menjadi penyemak kertas mata pelajaran berkenaan. Dalam kalangan ibu bapa pula, mereka sentiasa menyokong sebarang usaha pihak pentadbir sekolah untuk mengadakan program kecemerlangan untuk anak-anak mereka. Sokongan ibarat aur dengan tebing, antara pihak sekolah dengan ibu bapa serta bantuan Persatuan Ibu Bapa Guru, apatah lagi jika ada usaha secara kolaborasi dengan Ahli Dewan Undangan Negeri setempat sudah pasti usaha tersebut akan membuahkan impak yang maksimun. Kesimpulannya, untuk menambah ilmu pengetahuan saya akan sedaya upaya akan mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah untuk kecemerlangan saya dalam pelajaran.


                 Kesimpulannya, pelbagai kaedah, pendekatan boleh saya lakukan untuk menambahkan ilmu  pengetahuan. Sebagai mana perbicaraan di atas, ilmu pengetahuan boleh diperkembangkan antaranya saya perlu membudayakan membaca dalam kehidupan seharian saya, di samping itu, saya perlumemberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas, membentuk kumpulan belajar yang mampu meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang saya tidak kuasai,  pemilihan buku hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk saya meraih pengalaman mereka menggapai kecemerlangan dalam kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh kejayaan dengan ilmu pengetahuan, dan untuk menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar, saya perlu mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah. Sudah terang lagi bersuluh, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek, menjolok pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan untuk menggapai kecemerlangan ilmu pengetahuan, justeru untuk menambah ilmu pengetahuan saya perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana usaha tangga kejayaan.

Tiada ulasan: