Aktiviti masa lapang seperti bersukan, menyertai aktiviti kemasyarakatan, dan menyertai perkhemahan memberikan manfaat kepada remaja.
Jelaskan manfaat-manfaat yang anda peroleh daripada aktiviti tersebut.
Dalam Surah al-Asr, Allah SWT berfirman bahawa, “Demi Masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian.” Hal ini membuktikan bahawa masa itu amat penting dalam kehidupan manusia sesuai dengan peribahasa Melayu yang berbunyi, masa itu emas. Oleh hal yang demikian, remaja sering diingatkan agar memanfaatkan masa lapang dengan melakukan aktiviti yang berfaedah seperti bersukan, menyertai aktiviti kemasyarakatan mahupun menyertai perkhemahan kerana aktiviti ini membawa pelbagai manfaat. Kendatipun demikian, remaja marcapada lebih gemar menghabiskan masa lapang dengan melayari laman sosial, berpelesiran di kompleks beli-belah atau berlumba haram. Sebenarnya, hal ini telah mendorong mereka terlibat dalam kancah masalah sosial seperti pergaulan bebas, merokok gengsterisme dan vandalisme. Sesungguhnya, gejala yang tidak sihat ini disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya yang negatif lantaran usia remaja yang setahun jagung, darah setampuk pinang. Tambahan pula, golongan remaja mengalami tekanan emosi bagi mencapai kejayaan dalam akademik sehingga menganggap masa lapang perlu dipenuhi oleh aktiviti yang menyeronokkan dan tidak membebani fikiran. Sekiranya saya dapat memanfaat masa lapang dengan sebaik-baiknya, sudah pasti saya mampu mengelakkan aktiviti sosial kurang sihat, dan mengelakkan diri saya terjebak dengan kegiatan remaja seangkatan yang tidak bermoral. Sebaliknya, jika saya alpa, saya mungkin akan mencoreng arang ke muka ibu bapa saya yang telah bersusah paya mendidik saya menjadi insan berguna semenjak saya kecil lagi. Persoalannya, apakah manfaat yang saya peroleh apabila melakukan aktiviti masa lapang seperti bersukan, menyertai aktiviti kemasyarakatan, dan menyertai perkhemahan?
Pada waktu lapang seperti waktu petang, saya gemar bersukan. Antara sukan yang saya gemari ialah sukan bola sepak, badminton atau berbasikal. Sungguhpun begitu, tidak ramai remaja yang gemar bersukan kerana mereka lebih gemar menghabiskan masa dengan tidur di rumah dan menghabiskan masa senggang dengan bermain “game” di gajet seperti yang terdapat dalam perisian telefon pintar dan “play store”sahaja. Bukan itu sahaja, alasan bersukan akan menyebabkan badan berbau busuk dan tidak selesa kerana berpeluh juga sering didengari menyebabkan remaja menjauhi aktiviti riadah berkenaan. Sebenarnya, bersukan dapat menyihatkan tubuh badan saya. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti sukan seperti bermain bola sepak dan badminton menyebabkan pergerakan badan yang aktif. Oleh itu, aktiviti ini akan menyebabkan saya mengeluarkan peluh yang menyingkirkan toksin dalam tubuh. Penyingkiran ini juga menyebabkan asid laktik dikeluarkan hingga menyebabkan saya tidak berasa lesu dan lebih cergas kerana badan sihat, otak cerdas. Pada masa yang sama, kolesterol dalam tubuh saya dapat dibakar jika berbasikal hingga menyebabkan masalah obesiti dapat dicegah. Dalam jangka masa yang panjang, saya dapat melancarkan pengaliran darah seterusnya mengelakkan penyakit kronik seperti serangan jantung dan strok. Hal ini dapat dikaitkan dengan peribahasa yang berbunyi mencegah lebih baik daripada mengubati kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sekiranya saya dapat menjalani aktviti senggang yang bermanfaat berkenaan, saya mampu menjadi seorang pelajar aktif, cergas dan dapat menjalankan tugasan saya sebagai seorang pelajar di sekolah. Pendek kata, aktiviti bersukan dapat menyihatkan tubuh badan saya dan dapat menjalankan tugasan saya sebagai pelajar yang proaktif dalam atau di luar kelas.
Di samping itu, pada masa lapang seperti musim cuti sekolah juga saya gemar menyertai aktiviti kemasyarakatan. Antara aktiviti kemasyarakatan yang pernah saya sertai ialah aktiviti ke rumah warga emas, menemui gelandangan sekitar ibu kota Kuala Lumpur dan melawat ke rumah anak yatim. Semasa tiba di tempat terbabit, saya mendengar kisah warga tua yang dipinggirkan oleh anak-anak, mengedarkan makanan kepada warga geladangan, dan bergotong-royong membersihkan dan menceriakan rumah anak yatim. Oleh hal yang demikian, aktiviti ini dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri saya. Misalnya, aktiviti mendengar kisah orang tua yang ditinggalkan oleh anak-anak dapat memberikan nilai keinsafan dan kasih sayang kepada saya kerana lebih menyayangi dan membalas jasa kedua-dua ibu bapa yang telah membesarkan saya seterusnya mengelakkan diri saya daripada menjadi seorang anak yang tidak mengenang jasa kedua-dua penjaga saya seperti kacang melupakan kulitnya. Aktiviti memberikan makan kepada gelandangan pula dapat menyemai nilai keprihatinan dan tanggungjawab terhadap orang yang kurang bernasib baik. Aktiviti melawat anak-anak yatim pula dapat memupuk nilai kerjasama kerana saya membersihkan kawasan rumah anak-anak yatim bersama-sama selain dapat memupuk nilai kebersihan. Jika saya dapat melibatkan diri serta menyertai aktiviti kemasyarakat, aktiviti senggang saya dapat saya isi dengan aktiviti bermanfaat, di samping saya dapat menyelami kesusahan masyarakat serta bersyukur kerana saya masih ada orang yang menyanyagi diri saya di dunia yang fana ini. Sesungguhnya, menyertai aktiviti kemasyarakatan dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri saya.
Selain bersukan dan menyertai aktiviti kemasyarakatan, saya juga gemar menghabiskan musim cuti sekolah dengan berkhemah. Saya gemar melakukan aktiviti perkhemahan di hutan lipur seperti Hutan Simpan Belum di Perak atau Hutan Lipur Sungai Tua di Selangor. Pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan semasa saya berkhemah seperti mendirikan khemah, menyediakan hidangan, mencari kayu api, mengambil air atau meneroka hutan. Oleh sebab itu, saya akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Apabila saya terlibat dalam pendirian khemah, saya akan dapat menambahkan ilmu dari segi pembinaan struktur khemah dan ikatan yang paling sesuai. Manakala apabila saya meneroka hutan, saya dapat menambahkan ilmu tentang spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan liar yang boleh dimakan atau beracun. Daripada aktiviti ini juga, saya dapat mengetahui cara keluar dari hutan jika tersesat, iaitu dengan mengikut arah air sungai mengalir ke hilir. Impaknya, saya dapat mengaplikasikan ilmu tersebut dalam kehidupan sehari-hari. Tambahan pula, saya dapat menggunakan ilmu tersebut sebagai panduan dalam hidup sesuai dengan peribahasa, ilmu itu pelita hati. Secara tidak langsung, saya dapat mengelakkan diri daripada dikatakan seperti katak di bawah tempurung. Jika saya tidak menyertai aktiviti mencabar dan penuh dugaan ini sudah pasti saya akan sukar melayari kehidupan pada zaman mencabar yang penuh ranjau dan duri. Secara ringkasnya, dengan menyertai aktiviti berkhemah saya dapat menambahkan ilmu pengetahuan yang cetek di dada serta saya bersedia menongkah arus yang penuh dengan cabaran dan halangan untuk merealisasikan kemenjadian diri saya sebagai insan berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan negara.
Bahkan juga, aktiviti riadah, aktiviti kemasyarakat dan perkhemahan berkenaan banyak kemaslahatannya kepada kepada saya sebagai seorang pelajar dan remaja. Hal ini demikan kerana sepanjang aktiviti berkenaan diadakan saya dapat mengenali dan berkolaboratif dengan pelbagai golongan pelajar berfikiran positif, dan golongan pelajar yang mempunyai misi dan misi ke arah pembentukan masyarakat ideal yang diiltizamkan oleh setiap kerajaan dunia. Saya berkata demikian kerana dengan aktiviti-aktiviti riadah dan kemasyarakatan berkenaan saya akan bertemu dengan pelbagai golongan remaja sama ada pemimpin belia, golongan remaja yang mempunyai visi dan untuk pembentukan masyarakat belia dan ketika ini saya mampu berkongsi maklumat berkaitan program yang perlu diberi penekanan serta bekerjasama secara langsung dengan organisasi kemasyarakatan yang mereka anggotai. Sebagai contoh, saya boleh merancang aktiviti pertukaran belia dan pada masa yang sama setiap anggota daripada organisasi belia ini akan dapat bertukar-tukar pandangan untuk memantapkan pergerakan organisasi belia masing-masing kerana bak kata peribahasa Melayu, jauh perjalanan luas pandangan. Jika saya dapat melakukan perkara sedemikian rupa saya pasti pelbagai inisiatif baru akan dapat saya panjangkan kepada organisasi belia yang saya anggotai dan sudah pasti tindakan saya itu mampu mewujudkan organisasi belia yang mampu untuk membantu kerajaan melahirkan insan remaja proaktif yang boleh membantu kerajaan melahirkan lebih ramai kepimpinan negara dalam kalangan belia untuk menggantikan kepipimpinan negara pada masa akan datang bak kata peribahasa patah tumbuh, hilang berganti. Tegasnya, banyak maslahat yang dapat saya peroleh dengan menyertai ativiti sukan, aktiviti kemasyarakatan dan perkhemahan.
Bahkan juga, aktiviti riadah, aktiviti kemasyarakat dan perkhemahan berkenaan banyak kemaslahatannya kepada kepada saya sebagai seorang pelajar dan remaja. Hal ini demikan kerana sepanjang aktiviti berkenaan diadakan saya dapat mengenali dan berkolaboratif dengan pelbagai golongan pelajar berfikiran positif, dan golongan pelajar yang mempunyai misi dan misi ke arah pembentukan masyarakat ideal yang diiltizamkan oleh setiap kerajaan dunia. Saya berkata demikian kerana dengan aktiviti-aktiviti riadah dan kemasyarakatan berkenaan saya akan bertemu dengan pelbagai golongan remaja sama ada pemimpin belia, golongan remaja yang mempunyai visi dan untuk pembentukan masyarakat belia dan ketika ini saya mampu berkongsi maklumat berkaitan program yang perlu diberi penekanan serta bekerjasama secara langsung dengan organisasi kemasyarakatan yang mereka anggotai. Sebagai contoh, saya boleh merancang aktiviti pertukaran belia dan pada masa yang sama setiap anggota daripada organisasi belia ini akan dapat bertukar-tukar pandangan untuk memantapkan pergerakan organisasi belia masing-masing kerana bak kata peribahasa Melayu, jauh perjalanan luas pandangan. Jika saya dapat melakukan perkara sedemikian rupa saya pasti pelbagai inisiatif baru akan dapat saya panjangkan kepada organisasi belia yang saya anggotai dan sudah pasti tindakan saya itu mampu mewujudkan organisasi belia yang mampu untuk membantu kerajaan melahirkan insan remaja proaktif yang boleh membantu kerajaan melahirkan lebih ramai kepimpinan negara dalam kalangan belia untuk menggantikan kepipimpinan negara pada masa akan datang bak kata peribahasa patah tumbuh, hilang berganti. Tegasnya, banyak maslahat yang dapat saya peroleh dengan menyertai ativiti sukan, aktiviti kemasyarakatan dan perkhemahan.
Intihanya, terdapat seribu satu manfaat yang boleh saya peroleh daripada aktiviti seperti bersukan, menyertai aktiviti kemasyarakatan, dan menyertai perkhemahan semasa masa lapang. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam meletakkan tanggungjawab ini di atas bahu masing-masing kerana peribahasa ada menyatakan bahawa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Benarlah seperti yang dinukilkan Saidina Ali, “Masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka pedang itu akan memotong kita”. Oleh itu, pihak sekolah perlulah menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan pada musim cuti sekolah seperti perkhemahan unit beruniform dan mengadakan lawatan ke rumah orang tua. Dalam pada itu, kerajaan hendaklah memperbanyakkan penganjuran karnival untuk remaja terutamanya pada masa cuti sekolah demi mengisi masa lapang remaja daripada terlibat dalam masalah sosial. Ibu bapa juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab kerana mereka boleh mendidik anak-anak sejak kecil dengan melakukan aktiviti yang berfaedah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Moga-moga dengan usaha yang bersepadu ini, impian kudus untuk melahirkan generasi yang bijak memanfaatkan masa lapang dapat direalisasikan dengan jayanya. Akhir kata, tepuk tanya tanya selera kerana tanpa kesedaran dalam diri, segala usaha yang direncanakan akan menjadi angan-angan Mat Jenin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan