Jumaat, 5 Februari 2021

KARANGAN BERTAJUK KEPENTINGAN MEMELIHARA DAN MEMULIHARA MONUMEN BERSEJARAH (HASIL KARANGAN PUTERI NURANISYA AQILA BT. ALAN )

 KARANGAN PUTERI NURANISYA AQILA BT. ALAN

KEPENTINGAN MEMELIHARA DAN MEMULIHARA MONUMEN BERSEJARAH

         Mengikut definasi yang diberikan oleh Aristotle, sejarah merupakan satu sistem yang meneliti suatu kejadian sejak awal dan tersusun dalam bentuk kronologi. Pada masa yang sama, menurut beliau juga sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang konkrit. Oleh sebab itu, sejarah sangat penting kepada negara bangsa kerana dengan mengingati dan menghayati sejarah pemimpin negara bangsa dan masyarakat mampu menilai setiap tindak tanduk untuk membuat keputusan agar keputusan mereka tidak merosakkan sejarah bangsa. Tambahan pula, pelancong asing sentiasa haus dan ingin menikmati sejarah negara kita kerana suatu masa dulu kita pernah dijajah oleh negara mereka. Sebagai rakyat Malaysia kita harus berbangga kerana banyak monumen bersejarah di negara kita masih dapat dihayati. Seyogia monumen bersejarah yang masih kukuh berdiri megah perlu diperlihara dan dipulihara agar generasi akan datang boleh mengingati sejarah negara mereka agar mengelak berlakunya pisang berbuah dua kali. Persoalannya, apakah kelebihan memelihara dan memulihara bangunan bersejarah di negara kita?


          Berdasarkan minda pelajar kelas pertama, bangunan bersejarah perlu dipelihara dan dipulihara kerana monumen ini menyimpan khazanah dan maklumat penting berkenaan negara kita. Umum sedia maklum, setiap bangunan bersejarah di negara kita mempunyai cerita dan sejarah yang tertentu disebalik pembinaan dan kewujudannnya, bersesuaian dengan ungkapan peribahasa Melayu, tiada  angin, masakan pohonnya bergoyang. Maka, monumen ini haruslah dipelihara agar cerita dan kronologi yang tersirat ini sentiasa kekal dalam lipatan sejaran agar menjadi pendoman generasi yang mendatang menatapnya. Tambahan pula sejarah yang telah diterbitkan  melalui pembukuan, perfileman dan fakta  mempunyai risiko pengubah suaian , hiperbola dan ketulenan sejarah tersebut. Situasi ini pernah berlaku apabila penjajah Inggeris membuat tafsiran pejuang negara seperti Tok Gajah, Sipuntum, Dol Said,dan Dato Bahaman dianggap sebagai penentang kerajaan demi memenuhi niat jahat mereka menjajah negara. Oleh itu, sebagai warganegara Malaysia kita perlu menjadi manusia yang celik akal fikiran dengan mendapatkan maklumat sebenar daripada sumber yang betul dengan cara melawat  bangunan bersejarah  dan tempat monumen itu tersendiri sekali gus menghindari keadaan indah khabar dari rupa dan berlaku fitnah merupakan racun yang mengalir dalam masyarakat dan mampu membunuh kewarasan akal manusia. Melalui pencerapan secara terus di bangunan bersejarah, masyarakat berpeluang memperoleh fakta yang tulen dan benar seperti kronologi, tarikh  dan tempat yang sebenar. Sekiranya,  masyarakat lebih berat sebelah dengan cara mempercayai setiap fakta melalui internet, sudah pasti masyarakat tertipu dengan strategi penjajah yang menganggap pejuang bangsa sebagai musuh negara. Jangan kita menjadi duri dalam daging dengan percaya maklumat yang tidak tepat terhadap pejuang bangsa kerana jasa mereka negara kita merdeka. Maka tegaslah bahawa monumen menyimpan maklumat yang penting berkenaan negara Malaysia.

       Meninjau dari dimensi antarabangsa, bangunan bersejarah penting bertujuan bagi menarik minat pelancong.  Umum mengetahui bahawa Malaysia atau Tanah Melayu telah dijajah selama 434 tahun, bermula dari penjajahan Portugis sebagai pembuka tirai penjajahan dan diakhiri dengan penjajah British. Rentetan daripada itu, ramai pelancong asing terutama daripada negara yang pernah menjajah Tanah Melayu ingin melihat dengan mata dan kepala mereka sendiri, sejarah yang pernah diukir oleh nenek moyang mereka terdahulu. Di samping itu, nama Malaysia dapat diangkat sebagai tempat bersejarah di dunia, sekali gus meningkatkan pendapatan negara . Hal ini bertepatan dengan peribahasa, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan dan sambil menyelam minum air kerana di samping mempromosikan sejarah Tanah Melayu, pendapatan negara turut meningkat melalui kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Jika monumen bersejarah di Malaysia tidak diperlihara, pasti kelak segala sejarah negara yang tidak ternilai harga akan pupus di telan zaman, sekali gus kita sebagai warganegara menganggap pejuang bangsa sebagai musuh negara kerana mengikut telunjuk Inggeris yang mementingkan kuasa penjajah mereka. Tambahan pula kehilangan monumen bersejarah akan menyebabkan sektor pelancongan juga akan merudum kerana monumen bersejarah sudah tidak menjadi tarikan dan menggamit kedatangan mereka negara tercinta. Oleh itu, bangunan bersejarah sewajarnya dipelihara dan dipulihara bagai menatang minyak yang penuh, kerana bimbang jika  nasi menjadi bubur pastinya Malaysia menjadi negara yang haus dengan sejarah yang tersendiri. 

        Jika kita lihat dari perspektif berbeza, bangunan bersejarah sewajarnya dipelihara dan dipulihara kerana monumen ini mampu menjadi jalan pintas bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Kunjungan rakyat  Malaysia ke tempat bersejarah ini memberi peluang kepada mereka untuk membuka minda tentang betapa sukarnya usaha pejuang dan pahlawan terdahulu bagi mengecapi kemerdekaan yang dinikmati sekarang. Tambahan pula, sifat rakyat Malaysia longgar sendat lapang bertukul terhadap menghargai kemerdekaan dapat dikikis. Berat  mata   menandang, berat lagi bahu  yang memikul, maka rakyat Malaysia haruslah menyelami pengorbanan pahlawan terdahulu yang  menggadai nyawa  semata-mata untuk  mengecapi kemerdekaan sehingga kini. Kunjungan secara terus ke tempat bersejarah membolehkan rakyat Malaysia melihat dengan mata hati  betapa daifnya rakyat Tanah Melayu  terdahulu tentang sejarah bangsa kerana menganggap pejuang bangsa sebagai musuh negara. Kita harus bersyukur kerana bijak pandai sejarah telah sedar akan kepintaran Inggeris dan mengubah fakta sebenar. Sejarah yang berjaya meresapi sanubari  rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum ini bersifat bagai aur dengan tebing bagi mengekalkan keamanan ini seterusnya semangat patriotisme pasti hadir dalam diri rakyat Malaysia.   Jika tiada kunjungan ke tempat bersejarah, nescaya sejarah yang telah diselami dalam setiap diri rakyat Malaysia hanyalah bersifat bagai mencurah air ke daun keladi dan tidak diselami dengan sepenuh hati.Tegaslah bahawa bangunan bersejarah seharusnya dipelihara bagi memupuk semangat patriotisme dalam diri rakyat Malaysia.


       Selain itu, masyarakat yang berpengetahuan tinggi terhadap sejarah  dapat dibentuk melalui pemeliharaan dan pemuliharaan monumen bersejarah. Lawatan ke monumen bersejarah mendedahkan lagi masyarakat dengan ilmu berkenaan sejarah secara lansung. Hal ini amatlah penting kerana melalui sejarah, pemerintahan suatu negara dapat dilicinkan. Tambahan pula, Tunku Abdul Rahman menyatakan, " orang yang tidak mempelajari sejarah mempunyai risiko untuk mengulangi kesilapannya kelak". Islam amat menekankan ilmu dalam setiap umatnya dan menganggap bahawa ilmu merupakan cahaya menerangi kehidupan. Oleh sebab itu, sejarah haruslah dipelajari dan dihayati kerana Sejarah merupakan salah satu ilmu yang mampu memperbetulkan sesuatu fakta mengikut kebenaran.  Pelbagai ilmu yang mampu diperoleh melalui  sejarah misalnya dengan cara mengambil iktibar tentang cara  meredakan peperangan  dengan musuh dan strategik perang yang berkesan, Jelaslah sejarah merupakan ilmu yang diibaratkan bagai ketam mengajar anaknya berjalan kerana menyuluh jalan masyarakat kini bagi membina negara bangsa yang sejahtera. Melalui  ilmu  sejarah yang diperoleh, kita berupaya menjadi insan yang tidak mudah diperdaya dan insan yang cemerlang dalam menyusun atur kehidupannya hasil daripada  iktibar ilmu sejarah yang dipelajari kerana sejarah mengajar kita mengatur kewujudan negara bangsa yang berjaya kerana sudah terhantuk baru tergadah sudah tidak berguna lagi. Sekiranya masyarakat Malaysia memandang enteng terhadap kepentingan ilmu sejarah, sudah pasti generasi mendatang berisiko mengulangi kesilapan pemimpin dan segelintir warganegara terdahulu yang meruntuhkan negara bangsa yang terkenal suatu ketika dulu sebagai sebuah pelabuhan terkemuka semasa Kerajaan Melayu Melaka dan bahasa Melayu ketika itu menjadi bahasa antara bangsa atau Lingua Franca. Jangan kita sebagai warganegara  seperti katak di  bawah tempurung. Tegaslah monumen sewajarnya dipelihara untuk melahirkan masyarakat yang berpengetahuan tinggi. 

           Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa bangunan bersejarah sewajibnya dipelihara dan dipulihara selama mana kewujudannya di Malaysia. Kekhilafan rakyat Malaysia memandang enteng sejarah bermakna kita tidak menghargai kerja buat pemimpin dan perjuangan negara bangsa terdahulu kerana Sejarah mematangkan kita untuk sentiasa melakukan yang terbaik antara yang terbaik dan sudah pasti untuk tidak mengulangi kesilapan terdahulu. Wajarlah monumen bersejarah untuk dipelihara dan dipulihara sebagai lambang negara yang sudah merdeka. Hal ini demikian kerana setiap sejarah merupakan kisah perit jerih pemimin dan pejuang bangsa demi menuntut kemerdekaan, bertepatan dengan peribahasa Melayu, berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit- sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Keberadaan monumen, menjadi bukti bahawa Malaysia merupakan negara yang merdeka dan sebagai rakyat Malaysia kita haruslah berbangga dengan segala peninggalan sejarah ini kerana dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung. Pelbagai monumen yang boleh dilawati di Malaysia, misalnya Kellie's Castle di Perak, Batu Bersurat di Pangkor, A'famosa di Melaka dan Dataran Merdeka. Besarlah harapan saya supaya segala monumen dan bangunan bersejarah ini dikekalkan keasliannya dan sentiasa menjadi kebanggaan rakyat Malaysia buat selama-lamanya.

Markah : 27/30. Tahniah Puteri kerana karangan anda bertaraf Cemerlang Atas.

PASTIKAN ANDA MAMPU MENULIS KARANGAN INI BERDASARKAN MASA YANG DITETAPKAN DALAM PEPERIKSAAN.  SEBAGAI PANDUAN, MASA YANG DICADANGKAN UNTUK MENULIS KARANGAN RANSANGAN IALAH  45 MINIT. ANDA JUGA PERLU BERWASPADA DALAM PEPERIKSAAN ANDA PERLU JUGA MENJAWAB SOALAN DIMENSI  DAN MASA YANG DICADANGKAN IALAH 1 JAM 30 MINIT. OLEH SEBAB KARANGAN DIMENSI MEMPERUNTUKKAN 100 MARKAH, ANDA PERLU MENJAWAB SOALAN DIMENSI TERLEBIH DAHULU, BAKINYA ANDA BOLEH MENULIS KARANGAN RANGSANGAN YANG MEMPERUNTUKKAN 30 MARKAH. GUNAKAN KEBIJAKSANAAN ANDA MEMBAHAGIKAN MASA MENULIS KEDUA-DUA KARANGAN. SEMOGA ANDA BERJAYA.

Tiada ulasan: