Jumaat, 5 Februari 2021

KARANGAN DIMENSI MASYARAKAT. PENJELASAN DAN CONTOH KARANGAN.

 Karangan dimensi masyarakat.


Karangan dimensi masyarakat berbeza dengan karangan dimensi diri kerana fokusnya lebih luas dan berbeza sedikit dengan dimensi keluarga kerana skopnya lebih luas. Sekiranya karangan tersebut jenis  dimensi keluarga, penglibatan ahli keluarga sahaja yang dikaitkan dengan penulisan seperti penulisannya mungkin melibatkan anak-anak yang terdiri daripada abang, kakak, atau adik serta  ibu dan bapa.

Karangan dimensi masyarakatnya skopnya lebih luas mungkin melibatkan keluarga, pertubuhan belia, guru-guru serta sekolah, badan-badan swasta atau kerajaan, media masa, dan juga agensi kerajaan. Oleh sebab itu, pelajar perlu mempunyai kemahiran menulis karangan jenis ini dan bijak memilih isi agar sesuai dengan kehendak soalan. Di bawah, saya lampirkan contoh karangan dimensi masyarakat dengan kata kunci peranan pelbagai pihak untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja.

Soalan karangan:-
      Amalan membaca belum dihayati sepenuhnya dalam kalangan remaja pada hari ini.
Jelaskan peranan pelbagai pihak  untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan remaja.

Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca ialah suatu kewajipan yang penting. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya kalangan pelajar dan golongan remaja amat liat untuk membaca. Isu sikap negatif ini berlaku dalam semua peringkat masyarakat umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan matlamat membangunkan insan berminda kelas pertama melalui amalan membaca,  nescaya seluruh adiwangsa memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca khususnya dalam kalangan remaja. Persoalannya, apakan peranan pelbagai pihak dalam kalangan masyarakat untuk memumupuk minat membaca dalam kalangan remaja?

Kelompok sasar yang pertama diharap untuk merancakkan budaya membaca dalam kalangan remaja ialah ibu bapa. Peribahasa Melayu ada menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdunya dan begitu juga di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi menunjukkan bahawa segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa  akan menjadi turutan anak-anak kerana ibu bapa ialah idola mereka. Al hasilnya, sikap yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat positif dalam kalangan anak-anak seperti sifat gemar meneroka dan mencari maklumat baru dengan cara membaca kerana bapa borek, anak rintik. Membaca juga boleh dijadikan sebagai aktiviti penerokaan minda yang membolehkan anak-anak menjadi lebih matang daripada usia mereka. Sindrom ‘mabuk’ gajet yang tidak boleh lekang dengan budaya Whatsapp, Facebook, Twiter dan Instagram yang mula menyerap ke dalam gaya hidup ibu bapa haruslah dikurangkan. Sesungguhnya, inilah virus yang sedang bergerak aktif untuk meletakkan manusia pascamilenium terperap dalam kepompong kebodohan ciptaan sendiri. Namun, sekiranya ibu bapa gagal gagal menjalankan tanggung jawap mendidik anak-anak membaca ibarat seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sudah pasti anak-anak akan ketinggalan di belakang rakan-rakan mereka terutama dalam pendidikan. Tegasnya, ibu bapa perlu dan berperanan merancakkan budaya membaca dalam kalangan anak-anak atau remaja.

Seterusnya para cendikiawan bergelar pendidik  perlu membudayakan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana guru sebagai pendidik sering mengungguli kecemerlangan pelajar serta menyerlahkan kejayaan institusi alma mater sebagai pusat kemenjadian manusia yang telah terserlah fungsinya sejak zaman-berzaman. Di sinilah insan mula membina sahsiah, ilmu dan akal budi. Oleh sebab itu, guru berperanan penting untuk melahirkan warga pelajar yang cinta akan ilmu melalui kalam membaca. Selain itu, guru seharusnya membudaya  dan menyuburkan amalan membaca dalam kalangan pelajar di alma mater agar mereka dapat meneroka gaya berfikir seperti orang-orang bijaksana menggunakan semua medium peranti elektronik terkini, contohnya penggunaan komputer riba. Dalam wacana ilmu moden yang semakin bekembang, para guru seharusnya tidak terperap dalam gaya lama, semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sebaliknya berani keluar daripada kepompong katak di bawah tempurung. Jika guru kerap mengaplikasi pengajaran dengan menggunakan peranti elektronik, pelajar akan tertarik dan mudah memahami pengajaran guru. Pada masa, yang sama pelajar akan berminat menggunakan paranti elektronik tersebut untuk melayari laman web mendapatkan bahan bacaan dan mendapatkan sumber maklumat kerana maklumat di hujung jari. Tambahan pula, guru boleh memperkasakan kemahiran pelajar atau remaja mencari maklumat dengan mendidik mereka cara mencari bahan bacaan menggunakan enjin carian di internet seperti menggunakan enjin carian "google", Alta Vista,  " Opera", "Yahoo", "Excite", dan sebagainya. Sekiranya guru sendiri tidak menggunakan peranti elektronik dan ghairah mengggunakan kaedah tradisional semasa proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan papan hitam dan kapur , sudah pasti guru ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Tegasnya, guru sebagai pendidik  perlu membudayakan amalan membaca dalam kalangan remaja.


 Masyarakat massa termasuk rakan sebaya hendaklah menjadi rakan penggalak agar budaya membaca terus diperkasakan. Belakangan ini kita amat kecewa apabila pelbagai pegaruh negatif begitu aktif menguasai minda dan sikap anak-anak muda. Gejala membuang masa seperti berhibur, bergelandangan dan merempit yang menjadi kegilaan anak-anak muda hari ini akan membawa kecelakaan kepada negara pada masa hadapan. Oleh sebab itu, masyarakat hendaklah menggempur habis-habisan gejala pagan ini daripada terus menular dalam kalangan pelajar dan remaja adalah dengan mengamalkan peribahasa Melayu menjaga tepi kain kain orang lain. Sebarang bentuk tindakan sama ada melalui nasihat dan kaunseling mahupun penguatkuasaan undang-undang perlulah dilakukan dengan segera kerana sebelum terhantuk baru terngadah sudah tidak berguna lagi. Sementara itu, anak-anak muda yang sedang memenuhi ujana ilmu hendaklah kembali kepada matlamat asal yakni untuk membentuk insan kamil yang berbudaya dan berilmu. Carilah rakan sebaya yang sealiran dan saling menyokong sebagai usaha melahirkan generasi cendekia. Sesungguhnya, rakan yang baik itu ibarat cahaya sepanjang kehidupan. Sekiranya, masyarakat dan rakan sebaya bersikap tidak ambil peduli budaya negatif rakan remaja mereka , sudah pasti budaya membaca dalam kalangan remaja akan tetap berada ditakuk lama . Tegasnya, Masyarakat massa termasuk rakan sebaya hendaklah menjadi rakan penggalak agar budaya membaca terus diperkasakan.


Agensi kerajaan dan swasta merupakan institusi masyarakat yang terpenting berperanan untuk menyemarakkan budaya membaca sebagai suatu tingkah laku positif. Apabila agensi-agensi berpengaruh ini mula menggerakkan inisiatif pardana amalan membaca,  justeru masyarakat massa dengan sendirinya akan membentuk jati diri membaca. Sudah tiba masanya agensi seperti Jabatan Penerangan, Imigresen, hospital dan jabatan-jabatan lain menyediakan brosur dan bahan bacaan berkala yang menarik untuk dibaca oleh pengunjung pada setiap kali menanti giliran ketika berurusan dengan agensi berkenaan. Sementara itu, agensi swasta terutama gedung-gedung perniagaan utama berpada-padalah menyajikan pengunjung dengan sumber-sumber hiburan yang bermula daripada awal pagi hingga lewat malam. Langkah mundur ke belakang seumpama itu hanya mengumpan masyarakat untuk menjadi warga hedonistik yang pada akhirnya kokok berderai ekor bergelumang tahi. Agensi kerajaan dan swasta perlu mengambil contoh daripada kehidupan masyarakat Jepun dan Eropah yang menggunakan masa senggang mereka dengan mengamalkan budaya membaca tidak kira di mana mereka berada.Sekiranya, inisiatif diambil oleh agensi kerajaan dengan menyediakan bahan bacaan di kaunter premis kerajaan, sudah pasti budaya membaca akan menjadi amalan remaja. Sementara langkah gedung-gedung perniagaan mengurang atau meniadakan sajian hiburan di premis perniagaan mereka akan mengurangkan budaya hedonistik dan mengutamakan budaya membaca sekiranya mereka mempunyai waktu senggang. Tegasnya, agensi kerajaan dan swasta merupakan institusi masyarakat yang terpenting berperanan untuk menyemarakkan budaya membaca


Tuntasnya, insan yang membaca ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana melalui aksara dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, masyarakat yang sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai masyarakat yang sedang mengembara ke seluruh polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli masyarakat dengan amalan membaca kerana membaca jambatan ilmu dan bangsa membaca bangsa yang berjaya. Semoga remaja Malaysia menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat ibarat  benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau, dan dilontar ke langit menjadi kejora.

Tiada ulasan: