Kebanyakan sekolah mengadakan Kedai Koperasi. Apakah faedah kedai koperasi
kepada warga sekolah?
Koperasi
merupakan salah satu jenis perniagaan yang dijalankan di sekolah. Koperasi
juga merupakan sebuah syarikat usahasama yang terdiri daripada beberapa
individu yang memegang saham di dalam syarikat tersebut. Koperasi sekolah
ditubuhkan untuk memberikan kemudahan kepada murid-murid mempelajari
selok-belok perniagaan. Sejak dua tiga dekad belakangan ini kita dapat
menyaksikan peranan koperasi kepada warga sekolah. Kita seharusnya berterima
kasih kepada pihak kerajaan kerana menggalakkan penubuhan koperasi dalam
kawasan sekolah. Koperasi Sekolah merupakan perniagaan yang dibangunkan oleh
pihak sekolah yang terdiri daripada guru dan murid. Oleh itu, terdapat beberapa
faedah yang mewarnai fokus perbincangan demi kebaikan bersama. Namun, persoalan yang bermain diminda kita ialah apakah
kebaikan koperasi sekolah kepada warga sekolah?
Umum
mengetahui bahawa koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana koperasi
membantu memudahkan murid memperoleh barangan keperluan sekolah. Malah, harga
yang dikenakan lebih murah dan berpatutan daripada harga di pasaran. Secara
logiknya, murid-murid hanya membuang masa sahaja jika mereka pergi ke pasar
raya semata-mata hendak membeli sebatang pen. Dengan penubuhan koperasi
di sekolah, secara tidak langsung pelajar tidak akan membuang masa dan tidak
akan membazir wang dengan mengunjungi pasar raya atau kedai serbaneka
semata-mata untuk membeli peralatan sekolah. Tidak tumbuh tidak melata, tidak
sungguh orang tidak mengata. sekiranya kedai koperasi tidak diwujukan di sekolah sudah pasti guru dan pelajar akan menghadapi masalah untuk melengkapkan keperluan persekolahan mereka. Oleh sebab itu, penubuhan koperasi di sekolah-sekolah
banyak membantu murid-murid dan guru-guru sekolah membeli peralatan menulis
tanpa membuang masa dan tenaga.
Selain
itu, kita dapat menyaksikan betapa banyak kebaikan dapat diperoleh melalui
penubuhan koperasi seperti pengalaman baru untuk murid dalam perniagaan. Secara
tidak langsung, penglibatan murid dalam koperasi adalah merupakan proses
pembelajaran di luar bilik darjah. Perkara yang dipelajari di dalam kelas
seperti subjek prinsip akaun dan matematik dapat dipraktikkan ketika
murid-murid mencari pengalaman berniaga daripada penglibatan mereka dalam
koperasi.sebagai contoh, murid-murid dalam beklajar cara menguruskan Akaun
Tunai, membuat Kunci Kira-kira dan Timbang Duga apabila menutup akaun bagi
setiap tahun. Pengalaman tersebut juga membantu memudahkan murid-murid
yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan dan menjadikan bidang
tersebut sebagai kerjaya pada masa hadapan bak kata pepatah,
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika kedai koperasi tidak diwujudkan di sekolah sudah pasti pelajar tidak dapat pengalaman berniaga sekiranya mereka mengambil jurusan perniagaan. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh
koperasi sekolah dapat membantu memberi pengalaman berniaga kepada murid-murid
sekolah.
Seterusnya,
penubuhan koperasi juga memberi faedah untuk menjana pendapatan sekolah dengan
membantu menambah sumber kewangan sekolah. Keuntungan diperoleh pihak koperasi
berpunca daripada pembelian barangan koperasi oleh murid-murid, guru-guru dan
warga sekolah. Oleh hal yang demikian, sebahagian keuntungan akan diberi kepada
pihak sekolah supaya kewangan sekolah meningkat memandangkan koperasi merupakan
kepunyaan sekolah. Di samping itu, kebanyakan koperasi juga dengan ikhlas
memberi sumbangan untuk sekolah demi kemudahan murid-murid dan guru-guru.
Misalnya, kemudahan bersolat di surau setiap sekolah dan menambah prasarana
sesebuah sekolah merupakan sumbangan ikhlas daripada koperasi sekolah tersebut.
Oleh itu, pendapatan dan keuntungan sesebuah koperasi dapat membantu
meringankan beban sekolah dalam menyediakan kemudahan untuk guru dan para
pelajarnya. Tegasnya, penubuhan koperasi juga memberi faedah untuk menjana
pendapatan sekolah dengan membantu menambah sumber kewangan sekolah
Realitinya, tidak dapat dinafikan bahawa penubuhan koperasi
membawa semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid. Buktinya,
penglibatan murid-murid memudahkan guru-guru untuk menguruskan koperasi. Jika
tiada kesepakatan, pengurusan koperasi tidak akan berjalan dengan lancar. Di
samping itu, murid-murid juga dapat menimba ilmu daripada guru. Sebagai contoh,
ilmu mengenai selok-belok perniagaan berkoperasi. Hubungan silaturahim antara
guru dan murid juga akan terjalin dengan baiknya. Kerjasama mereka dalam
pengurusan koperasi diibaratkan seperti aur dengan tebing. Justeru, pengurusan
koperasi dapat mewujudkan jalinan dan jaringan antara pengurusan sekolah dengan
pembekal barangan koperasi di sekolah. Sekiranya, kedai koperasi tidak diwujudkan sudah pasti jalinan hubungan guru dengan pelajar dan hubungan sekolah dengan pembekal tidak akan terjalin. Sudah terang lagi bersuluh, penubuhan
koperasi membawa kepada semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid serta hubungan baik sekolah dengan pembekal yang menguntungkan warga sekolah.
Intihanya,
penubuhan koperasi oleh pihak sekolah yang telah lama berkembang di Malaysia
seperti cendawan tumbuh selepas hujan memberi banyak faedah kepada warga
sekolah termasuk guru dan murid. Dengan demikian, semua warga sekolah perlulah
bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan
berterusan serta menambah baik tahap koperasi kepada yang lebih tinggi.
Sekiranya semua pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi
akan berkekalan dalam jangka masa yang lama. Jelaslah, peranan warga sekolah
menaik taraf koperasi adalah sama penting dengan peranan koperasi terhadap
warga sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan