SULIT
2
1103/1
Jabatan Pendidikan Pulau
Pinang Bahagian B
[100 Markah]
[Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit]
Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang
panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.
1. Kebanyakan remaja lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia mengimpikan kerjaya yang dapat menjamin masa hadapan mereka.
Huraikan faktor-faktor pemilihan kerjaya
bagi seseorang remaja.
2. Remaja kini banyak menghabiskan masa dengan
melayari Internet yang memberikan
pelbagai kesan kepada mereka.
Huraikan peranan ibu bapa untuk mengawal
penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak.
BERJIMAT CERMAT AMALAN MULIA
3.
Ulaskan pernyataan tersebut.
4. Filem-filem Barat telah memberikan pelbagai
pengaruh terhadap kehidupan masyarakat sejagat.
Huraikan pengaruh yang diterima oleh
masyarakat sebagai akibat kemasukan
filem filem dari Barat ke negara mereka.
5.
Peribahasa bagai lebah menghimpun madu bermaksud seseorang yang sangat
rajin.
Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa
tersebut.
KERTAS PEPERIKSAAN TAMAT
MOHON PELAJAR KELAS 5 SAINS BERSEDIA KERANA KARANGAN PILIHAN ANDA PERLU DISIAPKAN DALAM MASA 1.30 MINIT SESUAI PERUNTUKAN 3 MASA MENGIKUT JADUAL HARI SELASA DAN MASA YANG DICADANGKAN SEMASA PEPERIKSAAN SPM 2017. SEMOGA ANDA DAPAT MENGHASILKAN KARANGAN CEMERLANG.
INSYAALAH, SAYA AKAN LAMPIRKAN CONTOH KARANGANNYA SEBAGAI PANDUAN PELAJAR KE DALAM WHATSAPP KELAS DAN JUGA KE DALAM BLOG INI. MOHON DOAKAN SAYA SIHAT. AAMIIIN.
INSYAALAH, SAYA AKAN LAMPIRKAN CONTOH KARANGANNYA SEBAGAI PANDUAN PELAJAR KE DALAM WHATSAPP KELAS DAN JUGA KE DALAM BLOG INI. MOHON DOAKAN SAYA SIHAT. AAMIIIN.
CONTOH KARANGAN
Soalan Satu ( PPSPM Pulau Pinang Set 1 2107)
Kebanyakan remaja lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia mengimpikan kerjaya yang dapat menjamin masa hadapan mereka.
Huraikan faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi
seseorang remaja.
Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi
yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyumbang kepada perkembangan
ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Dalam sistem
pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah
rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar
sentiasa disoal oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda
inginkan?” Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih
gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar
kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada
profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup.
Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar
sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini
mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang
diambil dikemudian hari. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor,
juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu
bidang kerjaya dalam kalangan pelajar SPM?
Fokus perbincangan
pertama saya berkaitan faktor minat dan cita-cita pelajar semasa di bangku
sekolah terutama dalam kalangan pelajar SPM. Minat dan cita-cita merupakan dua
perkara saling berkait dan merupakan faktor paling dominan mempengaruhi
pemilihan kerjaya seseorang pelajar terutama pelajar yang bakal menghadapi
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh sebab itu, ketika mereka
berada di tingkatan empat, pelajar perlu menentukan aliran yang mereka pilih,
sama ada aliran sains atau sastera. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan
belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan cemerlang ke semua pakej mata
pelajaran yang ditawarkan dalam jurusan yang diambil. Hal ini kerana kecemerlangan
mereka tersebut membolehkan mereka meneruskan pengajian di menara gading untuk
menggapai cita-cita mereka. Di Menara gading jugalah tepat mereka menimba ilmu
berdasarkan kerjaya yang mereka cita-citakan, sama ada untuk menjadi golongan pekerja
profesional seperti doktor, peguam, pendidik, pentadbir dan sebagainya. Jikalau
pelajar berusaha sudah pasti mereka akan menggapai kerjaya yang mereka impikan
kerana di mana ada kemahuan, di
situ ada jalan. Tegasnya, faktor minat dan cita-cita
merupakan dua aspek penentu utama kejayaan pelajar untuk merealisasikan kerjaya
mereka cita-citakan.
Selain faktor minat
dan cita-cita, pelajar juga perlu memilih mata pelajaran yang ada kaitan dengan
kerjaya yang mereka pilih. Umumnya kita mengetahui bahawa semasa di alam
persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya
yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan
mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah
mengetahui dan membuat persediaan yang rapi umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar
seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing
semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pada zaman yang serba
canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan
yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut
diberi keutamaan kerana hanya jauhari
sahaja yang mengenali manikam. Contohnya, jika pelajar memilih kerjaya sebagai seorang jurutera,
subjek yang mereka mesti pilih ialah Lukisan kejuruteraan. Jikalau pelajar berjaya
menguasai mata pelajaran berkenaan sudah pasti mereka ada kelebihan untuk menggapai
kerjaya yang diidam-idamkan. Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh,
pemilihan mata pelajaran juga penting untuk menentukan kejayaan pelajar
merealisasikan kerjaya yang mereka minati.
Bahkan juga,
pelajar yang mengidamkan kerjaya yang diminati perlu mempunyai tokoh atau idola
sebagai motivasi untuk berjaya. Kebiasaaanya, idola yang dipilih perlulah
seorang yang unik, seorang yang tabah, dan berjaya dalam bidang kerjayanya.
Sebagai contoh Hijjaz Kasturi, seorang arkitek luar biasa negara, mendapat
pendidikan di Adelaide University dan seterusnya ke
Melbourne University, Australia. Sekembalinya ke Malaysia tahun 1967,
beliau telah memiliki kemahiran tersendiri dan menerajui bidang arkitek negara.
Beliau telah memenangi pertandingan rekebentuk menara Maybank, bangunan Tabung
Haji dan menara Telekom. Setiap rekabentuk bangunannya menerapkan ciri-ciri keIslaman
hingga ke hari ini sehingga namanya tersohor di Persada dunia. Sekiranya pelajar
mempunyai idola sendiri, sudah pasti kerjaya pilihan mereka sebagai seorang
arkitek akan dapat direalisasikan kerana setiap sejarah kejayaan serta teladan
seperti ketekunan, kegigihan dan kekreatifan idola mereka memotivasikan mereka
untuk berjaya bukan sahaja di Malaysia malah keseluruh dunia. Tegasnya,
seseorang pelajar yang ingin berjaya menggapai kerjaya idamannya memerlukan
idola agar dapat mempengaruhi minda dan semangat mereka untuk berjaya.
Selain itu, sokongan dan doa ibu bapa amat
perlu untuk memastikan kerjaya idaman remaja dapat direalisasinan. Ironisnya,
jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa,
sudah tentulah punah harapan mereka. Hal ini bermakna, seseorang yang
hanya mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa
mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka akan kecundang di
peringkat awal lagi. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya
menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan
harapan kedua-dua ibu bapa. Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak
mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam
memenuhi kriteria yang diperlukan. Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah
memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada dalam
bentuk material mahupun spiritual. Sekiranya, ibu bapa tidak turut serta
membantu usaha anak mereka untuk menggapai kerjaya idaman mereka sudah pasti
usaha berkenaan tidak akan kesampaian. Izharlah bahawa ibu bapa juga
berperanan menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa
depan anak-anak mereka.
Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya,
maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama dalam pemilihan sesuatu
kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemilihan
kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan
sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental,
spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan
spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak, manakala
sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan
belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen.
Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat
di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal
lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang
jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat kegigihan,
ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk
kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang
dinyatakan di atas hendaklah dilaksanakan secara efektif dan janganlah
bersikap keras-keras kerak nasi yang mudah putus asa supaya pemilihan
bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi.
KARANGAN SOALAN 3 BERJIMAT CERMAT
AMALAN MULIA
Peringatan. Karangan di bawah Cuma
untuk membenih idea anda untuk mengarang. Ubah suai jika perlu.
Setelah menghela nafas kemerdekaan
selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah
begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan
dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada
paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di
sebalik kemajuan yang sedang dikecap, negara kita masih lagi terkongkong dalam
gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan
sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak
fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang
terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan
kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh
itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus
diimplementasikan untuk merungkaikan masalah ini bak kata peribahasa,tak
ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.
Persoalannya, mengapakan Berjimat Cermat Amalan Mulia?
Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan
penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya
mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan
konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan
batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat Lao tze, kehidupan
membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu,
kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya
nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja
mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan
usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan
mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada
menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan
pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik
penyertaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis
dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jikalau usaha
seperti ini tidak dilakukan sudah pasti masyarakat akan menghadapi masalah
kewangan terutama untuk mengharungi keadaan inflasi serta
peningkatan kos sara hidup sekarang. Jelaslah bahawa penganjuran kempen
berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk
merungkaikan masalah kenaikan harga barangan.
“Jika
satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang
kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun
begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian
itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang
telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara
Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan
bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai
kesinambungan idea, tindakan badan bukan kerajaan atau NGO melindungi
hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di
pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang
masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau
Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna.
Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala
permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan
keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang
melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan
yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan
tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak
bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan
ukhuwahibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita
juga berpegang pada falsafah Confusius, apalah gunanya sekiranya kita tidur
sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang
berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak
pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan
tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.
Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak
boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong.
Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu
berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub
dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak
berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas
terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa
memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga
haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara
mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan
para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap
seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan
juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk
menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara
serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga.
Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang
lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan
sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh
itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil
tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang
masalah kenaikan harga barangan di pasaran.
Lampu
Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih
dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan
semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh
kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas
kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan
prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang
kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia
masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah
sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan
bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas golongan
pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah
menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan
hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media
massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka
daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila
berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak
berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan.
Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para
pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total
dan bertindak berani kerana benar dalam memperjuangkan
hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini.
Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi
bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng
tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya.
Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit
menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang
bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh
itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak
berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu,
Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun
Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin
PERANAN
IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET
Cuba
ubahsuai karangan di bawah untuk membantu kome mengarang.
Marcapada,
internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan pada masa yang
sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana
hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara
meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu
mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu
penyalahgunaan internet bukanlah suatu isu baharu. Terdapat manusia sanggup
melakukan penyalahgunaan internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan
diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka
tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging.
Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses
internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal
menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu, sebagai
mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus
berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ internet, maka
dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet dan
secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan
penggunaan internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam mendidik
anak-anak memanfaatkan internet pada hari ini?
Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M
Tuah Iskandar, “Seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan
namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil
oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan
dan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian
kerana agama merupakan benteng yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir
negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Anak-anak yang diasuh
dan dibesarkan dengan didikan agama yang mantap dapat membezakan dosa dan
pahala ketika melayari laman sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan
melayari laman sesawang yang mengandungi unsur pornografi yang mampu
mencemarkan minda dan sekali gus mampu mendorong meruntuhkan akhlak anak-anak
yang masih separa matang. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan
internet untuk menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat dengan
menyebarkan fitnah malahan mereka akan menggunakan internet untuk menyampaikan
ilmu yang berguna kepada masyarakat. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan
nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah insan yang berguna iaitu insan
yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka
sudah cukup teguh, mereka dapat menggunakan internet dengan baik dan bijak.
Peranan lain yang harus dimainkan oleh
ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada masa ini
termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan
dengan internet. Hal ini disebabkan anak-anak perlu diberitahu mengenai
baik buruk penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara
menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar
dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam
menggunakan kemudahan internet pada masa-masa akan datang bak kata
pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur
buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa
bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan kepada anak-anak mengenai
penggunaan internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan
masyarakat moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat
berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan
oleh ibu bapa.
Selain
itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa
menggunakan kemudahan internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu
internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu
mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan
pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan
media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang
dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan
tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak
bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus
provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga
terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga
merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang
termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu
bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet dapat
mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan internet.
Jika
dikaji dari aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat
penggunaan internet oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal internet
dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah
mengelakkan pengguna internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang
sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik
kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan
internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses
laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan
sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan
internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada
mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif
seperti yang kebiasaanya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa
ini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya,
persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu
bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain
putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa
sebaik-baiknya mengawal penggunaan internet oleh anak-anak sebagai cara
mengajar mereka menggunakan internet secara lebih bijak.
Akhir
sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak
menggunakan internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka
dengan medium-medium pembelajaran menerusi internet. Seperti yang
ditegaskan, internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari
segi pendidikan. Hari ini, kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan
teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua
peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh
hal yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman
sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak.
Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan
aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan internet, namun malangnya kurang
mendapat sambutan dalam kalangan pengguna internet masa kini. Sebaik-baiknya
anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangya mereka akan mula
memanfaatkan penggunaan internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga
tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari
internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani
di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada
anak-anak. Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu
bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui internet kepada
anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan
internet.
Secara
tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengasuh
anak-anak memanafaatkan penggunaan internet. Perkhidmatan internet sememangnya
memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada
keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu
sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan
penggunaan internet dalam kehidupan seharian. Walaupun demikian, kita tidak
seharusnya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan
tidak akan berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah
dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat
sama ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat
penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat
menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan
akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan pihak yang lain tidak
turut turun padang membantu kerajaan melahirkan generasi yang celik IT
dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat,
sememangnya jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah penyalahgunaan internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan
mudah dirungkai, dan secara tidak langsung matlamat negara untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju dunia pada tahun 2020 tidak akan kesampaian.
4 ulasan:
Cantik karangan nya Nie.. Tq
Wajib
Bapak best ayat.. =D
Mashallah cantik sangat ayat dia. Alhamdulillah moga membantu :) terima kasih sangat2 . Really appreciate the work. Might be helping for SPM trial tomorrow :)
Catat Ulasan