Ahad, 15 Oktober 2017

ADAKAH SOALAN 3 (E) SUKAR? KENAPA PELAJAR BERKATA BEGITU, TEPUK DADA TANYA SELERA. JAWAPANNYA ADA PADA DIRI PELAJAR SENDIRI.

KENAPA ADA KALANGAN KECIL PELAJAR KELAS 5 SAINS, SMK SERI LONDANG MENGELUH MENGATAKAN SOALAN BAHAGIAN 3 (E) SUKAR? MALAM INI, SAYA INGIN MEMBERI PENDAPAT DAN PUNCA MASALAH SEBEGINI BERTERUSAN BERLAKU DAN INTERVENSI UNTUK MENGATASINYA.

       Beberapa orang pelajar saya mengeluh kerana item soalan 3 (e ) Kertas Bahasa Melayu 2, dianggap sebagai soalan sukar. Kenapa mereka berkata demikian? Jawapannya golongan pelajar seperti ini tidak mahu keluar daripada kepompong masalah iaitu tidak pernan mahu berusaha untuk mengatasi masalah sedemikian sukar kerana kurang membaca dan membuat latihan. Ibarat kata pepatah Melayu, yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang bermaksud sesuatu masalah dan keinginan tidak akan dapat diselesai dan diperoleh tan usaha kerana usaha tangga kejayaan. Beberapa kali saya meminta pelajar merujuk modul Bahasa Melayu 2 yang saya terbitkan untuk memantapkan kemahiran menjawab soalan peribahasa dan saya juga sudah memberi latihan untuk pelajar iaitu meminta pelajar menyenaraikan peribahasa yang tidak diketahui tetapi setakat ini hanya beberapa orang sahaja yang menghantar latihan. Pelajar perlu ingat, dalam situasi seperti sekarang sekiranya pelajar tidak melakukan kerja yang dipertanggungjawapkan, saya pasti pelajar akan menghadapi masalah kerana bukan sahaja kerja atau latihan bahasa Melayu sahaja yang mereka terima setiap hari, tetapi juga kerja mata pelajaran lain. Saya dah nasihatkan supaya pelajar mengorbankan masa senggang, mengorbankan sedikit masa untuk berseronok sepanjang Program Pecutan Akhir SPM kerana hanya pelajar yang berdisiplin, pandai menjadualkan masa yang mampu untuk berbuat demikian. InsyaAllah pelajar yang patuh pada masa dan bertanggungjawab dengan kerja akan menikmati kegembiraan semasa SPM nanti.

          Saya mohon kepada pelajar yang ingin menguasai kemahiran menjawab peribahasa merujuk modul muka surat Aktiviti Peribahasa muk surat 103 hingga muka surat 114, semua bahagian muka surat ini merupakan latihan peribahasa. Justeru, saya berpendapat pelajar tidak mengeksplor semua nota dan latihan kenapa, tak pandai menggunakan kesempatan masa yang berbaki sebelum peperiksaan dan tidak pandai menggunakan bahan. Berkali-kali saya mohon pelajar merujuk bahagian modul Kertas Bahasa Melayu 2, tetapi tak tahulah pelajar zaman sekarang sering alpa dengan tanggungjawap dan tidak pernah berusaha untuk mengatasi kelemahan sedang bahan sudah ada di depan mata. Saya telah susun latihan berkenaan dan paling postifnya, saya berikan jawapan di bawah latihan, itupu tidak dimanfaat pelajar. Sebagai usaha terakhir, saya masukkan beberapa bahagian modul Kertas Bahasa Melayu untuk pelajar sendiri faham akan keberadaan nota berkenaan di dalam modul. Ingat, saya tak akan dedahkan semua bahagian Aktiviti Masteri Peribahasa berkenaan kerana semuanya dah ada di dalam modul harap maklum.

Aktiviti Masteri Peribahasa:-

Bahagian peribahasa SPM biasanya berkisar pada beberapa bentuk soalan. Hal ini dinyatakan di bawah:

A. Membina ayat daripada peribahasa:Contoh:
1.  bagai menatang minyak yang penuh
    Ibu bapa selalunya menyayangi dan menjaga anak-anak mereka bagai menatang minyak yang
     penuh sehinggalah mereka dewasa.

2. seperti katak di bawah tempurung
    Sikap Muzammil yang sukar menerima perubahan yang berlaku menyebabkan dia berfikiran     tertutup seperti katak di bawah tempurung.

3. seperti paku dengan penukul
    Pelajar yang malas dan bersikap seperti paku dengan penukul tidak mungkin dapat meraih
    kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

4. ketam mengajar anaknya berjalan lurus
    Masih ramai ibu bapa yang malas membaca tetapi mahu anak mereka rajin mengulang kaji
    pelajaran samalah seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.


B. Mengemukakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang diberi:
Contoh: Beri tiga  peribahasa yang sesuai dengan cerita yang diberi.

1. Pak Hassan terkejut besar apabila anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang sanggup  melakukan perkara yang terkutuk itu. Dia tidak menyangka bahawa anaknya itu terlibat     dalam  kes  ragut yang telah memalukannya. Tindakan anaknya yang telah membunuh     mangsa itu tidak dapat  diselamatkan kerana anaknya akan menerima hukuman yang      setimpal.
i.     bagai menatang minyak yang penuh (memelihara dengan penuh kasih sayang)
ii.   bagai menyonteng arang ke muka (memalukan)
iii.  anak emas (anak kesayangan)
iv.  air muka (diri, peribadi)

2. Pasangan pengantin di atas pelamin itu amat sepadan. Pasangan itu bakal melayari hidup      sebagai suami isteri. Setiap pasangan perlu bersabar dan jika ada perselisihan pendapat, mereka     perlu bertolak ansur serta saling memaafkan. Tanpa sikap tolak ansur sesebuah keluarga tidak     akan dapat bertahan lama dan perasaan kasih saying akhirnya akan lenyap. Hal ini boleh     menyebabkan perceraian berlaku.

i. bagai pinang dibelah dua.
ii. sedangkan lidah lagi tergigit.
iii. bagai embun di hujung rumput.

C. Mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberi:
Contoh:
1. Setelah Berjaya melepaskan dirinya daripada digigit anjing liar, gadis itu terpaksa pula bergelut
    dengan seorang lelaki yang hendak meragut beg tangannya.
* keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

2. Walaupun telah lama tinggal di luar negara namun akhirnya Rony pulang semula ke kampung   
     halamannya kerana berasakan kampung halamannya lebih tenteram.
* hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

3. Apabila Encik Santos meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu, keluarganya menjadi kucar-kacir dan saling berbalah.
* bagaikan anak ayam kehilangan ibu.

D. Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai:Contoh:

1. Tok penghulu kesal akan sikap penduduk kampung yang hanya membisu ketika mesyuarat dijalankan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama …………(i)…………… Mereka sepatutnya tidak mengemukakan pendapat sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ……(ii)…….. Walau bagaimanapun, sebagai ketua tok penghulu akan berusaha untuk menyelesaikan masalah …………(iii)………..nya itu supaya dapat memuaskan hati semua pihak.

i.   rumah siap pahat berbunyi
ii.  mulut manusia lebih tajam daripada mata pedang / terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata
     buruk padahnya.
iii. anak buah



Latihan 1:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.
1. bagaikan kera mendapat bunga
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
3. burung terbang dipipiskan lada
4. menegakkan benang yang basah
5. bagaikan telur dihujung tanduk
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
8. matinya semut kerana gula
9. air dicincang tidak akan putus
10. bagaikan embun di hujung rumput


Latihan 2:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.
1. seperti mendukung biawak hidup
2. sudah jatuh ditimpa tangga
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
4. ditelan mati emak, dibuang mati bapak
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
9. bagai mencurah air ke daun keladi
10. kuman di seberang laut Nampak, gajah di depan mata tak Nampak

Jawapan dan latihan seterusnya rujuk modul 

Kertas Bahasa Melayu 2.

MOHON JADILAH PELAJAR BERMINDA KELAS PERTAMA

Tiada ulasan: