Ahad, 2 Julai 2017

TIPS DAN PANDUAN MENUKAR CAKAP AJUK KEPADA CAKAP PINDAH DAN SEBALIKNYA

Satu lagi permintaan anak murid saya berkaitan kemahiran menukar ayat cakap ajuk kepada ayat cakap pindah..

KEMAHIRAN MENUKAR CAKAP AJUK KEPADA CAKAP PINDAH DAN SEBALIKNYA
Sebelum saya membicarakan kemahiran menukar cakap ajuk kepada cakap pindah, pelajar perlu memahami apa itu maksud cakap ajuk dan apa pula maksudnya cakap pindah.

A)     Ayat Cakap Ajuk
Ayat cakap ajuk ialah percakapan seseorang tentang sesuatu perkara. Oleh sebab itu cakap ajuk berupa petikan percakapan yang berbentuk perbualan atau dialog.
Ayat cakap ajuk menggunakan pembuka kata dan penutup kata dalam tulisan ( “................”)

B)      Ayat Cakap Pindah
Ayat cakap pindah ialah bentuk ayat yang ditulis semula daripada bentuk perbualan kepada bentuk karangan.
Ayat cakap pindah tidak menggunakan tanda pembuka kata dan penutup kata.
Walaupun bentuknya berbeza daripada bentuk ayat cakap ajuk tetapi maksud yang disampaikan adalah sama.

Tips atau panduan menukar ayat cakap ajuk kepada ayat cakap pindah:

i.             Membuang tanda pembuka kata dan penutup kata.

ii.            Mengenal pasti kata kerja yang sesuai, misalnya

menyuruh,meminta,mempersilakan,memberitahu,menerangkan,menjelaskan,melarang,menasihatkan dan sebagainya. Bagaimana untuk pelajar menentukan kata kerja berkenaan? Jawapannya pelajar boleh menetukannya berdasarkan binaan ayat cakap ajuk tersebut sama ada ayat tersebut ayat penyata, ayat silaan, ayat suruhan, ayat larangan, ayat tanya, dan ayat seruan. Oleh sebab itu, pelajar perlu mahir mengesan jenis ayat yang digunakan dalam cakap ajuk kerana pengecaman jenis  ayat berkenaan akan menentukan kata kerja yang perlu digunakan semasa menulis ayat cakap pindah. Contohnya seperti di bawah:-

Jenis ayat ( Cakap Ajuk)
Kata kerja boleh digunakan untuk semasa menulis cakap pindah
Ayat penyata
berkata, memberitahu, menjelaskan, menceritakan, menerangkan dan  sebagainya yang sesuai dengan situasi.

Ayat silaan     
mempersilakan, menjemput, mengundang, mengajak.
Ayat permintaan
meminta, merayu, menggesa, mencadangkan, menasihati.
Ayat suruhan
menyuruh, mengarahkan, memerintahkan.
Ayat larangan
melarang, tidak membenarkan, menegah, menghalang
Ayat tanya       
bertanya, menanyakan, menyoalkan, ingin tahu, ingin kepastian.
Ayat seruan
bergantung kepada situasi ayat itu diucapkan sama ada "marah, hairan, terkejut,  menyindir, memarahi, mencabar, merayu dan sebagainya".

                  iii.    Menukarkan kata ganti nama dan kata keterangan yang digunakan, contoh:

          Semasa menukar cakap ajuk kepada cakap pindah, kata ganti nama diri, kata ganti nama                      tempat, kata ganti nama tunjuk, kata keterangan masa, dan kata keterangan cara akan berubah              seperti di bawah. Pastikan pelajar peka dengan pernyataan di atas supaya penghasilan cakap                ajuk anda tepat dan gramatis.

Golongan kata
Ayat Cakap Ajuk
Ayat Cakap Pindah
Kata ganti nama diri





Kata ganti nama tempat

Kata ganti nama tunjuk


Kata keterangan masa

Kata keterangan cara
·         saya, aku
·         kami
·         beta
·        awak, kamu, engkau
·         kamu semua
·         dia
·         sini
·         ini
·         sekarang
·         hari ini
·         esok
·         semalam
·         malam tadi
·         kelmarin
·         begini
·         dia, beliau
·         mereka
·         baginda
·         dia ,-nya
·         mereka
·         -nya
·         situ
·         itu
·         masa itu
·         hari itu
·         keesokkan harinya
·         pada hari yang lepas
·         malam yang lepas
·         dua hari yang lalu
·         begitu


Contoh penukaran ayat:

i. "Orang itu menerpa dan memberi hadiah ini kepada saya" kata Ali kepada Chan.
     Jawapah: Ali memberitahu Chan bahawa orang itu menerpa dan memberinya hadiah tersebut.

ii. "Dunia pada hari ini semakin panas kerana berlaku penipisan ozon" kata guru itu.
     Jawapan: Guru itu menerangkan bahawa dunia pada hari ini semakin panas kerana berlakunya       
     penipisan ozon.

iii. "Mengapakah kamu datang lewat ke sekolah hari ini, Raju?" tanya guru disiplin itu.
      Jawapan: Guru disiplin itu ingin tahu punca Raju datang lewat ke sekolah pada hari tersebut.

iv. "Jemput makan kuih itu!" kata Mak Chan kepada Cik Lim.
      Jawapan: Mak Chan menjemput Cik Lim supaya makan kuih itu.

v. "Pak cik mesti makan ubat yang saya beri ini" kata doktor kepada pesakit itu.
      Jawapan: Doktor tersebut menasihati pesakitnya seorang tua supaya makan ubat yang   
      diberinya itu.

vi. "Amboi, bagusnya anak dara. Pukul 11.00 baru bangun tidur!'' kata Mak Tan kepada Michelle.
      Jawapan: Mak Tan menyindir Michelle yang baru bangun daripada tidur walaupun sudah
      pukul 11.00 pagi.

vii. "Hai, apa khabar Sally?" kata Fai Jun Pui.
       Jawapan: Fai Jun Pui menegur Sally sambil bertanyakan khabar.


b. Contoh menukarkan ayat dan jawapan:

Contoh 1:
Tulis semula perbualan di bawah dalam bentuk cakap pindah. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Kamariah : Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi.
Samad      : Negara ini mempunyai pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi yang 
                   indah.
Aziz         : Ramai rakyat Malaysia yang suka melancong ke luar negara seperti Indonesia,    
                   Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah.
Samad      : Keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong
                   tempatan .pelancong di dalam negeri.
Kamariah : Pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan perlu memberi       
                              potongan harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat
                   percutian mereka.
Samad      : Kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu   
                   ditanam dalam diri.

Jawapan:
Kamariah berkata kepada Aziz dan Samad bahawa negara Malaysia memang banyak mempunyai tempat menarik untuk dikunjungi. Pendapatnya itu disokong oleh samad dengan mengatakan bahawa negara ini mempunyai pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi yang indah. Aziz pula menyatakan kehairanannya tentang ramai orang Malaysia yang masih suka melancong ke luar negara seperti ke Indonesia, Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah. Kamariah menyetujui pandangan itu. Samad berpendapat mungkin keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong tempatan melancong di dalam negeri. Aziz bersetuju dengan pendangan Samad itu. Kamariah pula mencadangkan supaya pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan memberi potongan harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian mereka. Samad pula mengatakan bahawa di samping itu, kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu ditanam dalam diri. Kamariah dan Samad mengiakan pendapat itu.


Contoh 2:

Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.
Redwan dan Kamarul berkawan baik. Mereka sangat rapat dengan Cikgu Hassan.
“ Oh, cikgu, kami ada di rumah ! “ Sahut Kamarul setelah mendengar sapaan Cikgu Hassan di halamannya.
Cikgu Hassan sudah berada di tangga rumah Redwan. “ Jemputlah naik, cikgu. Redwan ada di dalam, “ pelawa Kamarul dengan hormat.
“Naik. Mestilah naik, kalau tidak buat apa datang, “ gurau Cikgu Hassan
“Rumah kami berselerak. Tak sempat nak berkemas, “ Redwan mencelah.
“ Manalah sempat nak berkemas, kerja-kerja menuai baru selesai dua hari yang lepas, “ Kamarul memberikan alasan.

Jawapan:
1. Redwan dan Kamarul berkawan baik dan hubungan mereka dengan Cikgu Hassan sangat rapat.
2. Kamarul telah menyahut sapaan Cikgu Hassan yang berada di halaman rumah dengan
    mengatakan bahawa mereka berada di dalam rumah.
3. Setelah berada di tangga rumah Redwan, Kamarul dengan hormat mempersilakan Cikgu
    Hassan naik ke rumah dan/ sambil mengatakan bahawa Redwan berada di dalam rumah.
4. Dengan nada mengusik Cikgu Hassan membalas ajakan itu dengan mengatakan bahawa dia
     tentu akan naik kerana kalau tidak masakan dia datang ke situ.
5. Redwan memohon maaf kerana keadaan rumahnya belum berkemas/ tidak teratur.
6. Kamarul pula menjelaskan bahawa mereka tidak berkesempatan mengemas rumah kerana
    kerja-kerja menuai padi baru selesai dua hari sebelumnya.

Latihan 1

Tulis semula perbualan di bawah ke dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.
“ Bagaimana dengan rancangan awak ? “ tanya Salleh.
“ Rancangan apa? “ jawab Ani.
“ Rancangan mendaki gunung yang awak kata pada saya tempoh hari, “ kata Salleh.
“ Oh, itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Sabtu depan. “ jelas Ani.
“ Bagus Ani, bagus. Saya sokong rancangan itu ! “
Ani tersenyum puas apabila mendengar kata-kata sahabat karibnya itu. ............[ 6 markah ]

Latihan 2:

Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah.
“Ani tak ada sapa-sapa. Ani sorang.......”
“Ani tak boleh tinggal sini.Di sini bahaya,” kata Tuk Yahya sambil meneliti mata belolok anak itu.
“Ani tak ada sapa-sapa,” rengek Ani lagi.
“Ya, Tuk Yahya tahu.........”
“Ani tak mahu tinggal di rumah lagi.Nanti bom jatuh lagi. Datuk tak ada, datuk tak ada”,jelas anak itu hampir meraung.
“Ani ada Tuk Yahya, Ani ada comot,” pujuk Tuk Yahya .....................................[ 6 markah ]

Latihan 3:
Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah.
“Salim, mengapakah awak kelihatan muram sahaja?” tanya Nizam.
“Pagi tadi, Cikgu Khairul bertanyakan saya tentang yuran peperiksaan yang masih belum saya bayar,” beritahu Salim dengan perasaan sayu.
“Eh, bukankah awak mendapat biasiswa! Mengapakah kamu tidak gunakan duit tersebut untuk membayar yuran?” tanya Nizam dengan perasaan hairan.
“Duit biasiswa itu telah saya gunakan untuk perbelanjaan rawatan abang saya yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini,” jelas Salim.
“Oh begitu! Salim, saya cadangkan awak berjumpa dengan Cikgu Khairul dan jelaskan perkara yang sebenarnya,” kata Nizam.
“Tapi, saya takutlah Nizam. Cikgu Khairul tu garang sangat,” kata Salim. .....[ 6 markah ]

Latihan 4:
Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah
MAWI  : Wah, sedap betul mi ini. Apa namanya ?
FELIX    : Mi Pedas.
MAWI  : Yalah ,minya pedas.Memang pedas......... tapi apa namanya ?
FELIX    : Mi pedas. Si Dolah tu kata namanya Mi Pedas.
MAWI  : Oh begitu, jadi kau masuk ke kedai ini sengaja nak makan Mi Pedaslah?
FELIX    : Yalah. Kan aku dah janji nak belanja kau dulu.Inilah dia. ...................[ 6 markah ]


Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah.
Norhayati  : Syikin, mengapa Syikin tidak datang ke sekolah semalam?
Norasyikin : Syikin minta maaflah. Semalam Syikin ada hal di rumah.
Norhayati   : Apa halnya? Ceritakanlah kepada Yati. Andainya susah, sama-samalah kita
                       tanggung. Bukankah kita sudah lama berkawan?
Norsyikin    : Sebenarnya ibu Syikin sakit. ........................................................[ 6 markah ]


JAWAPAN SOALAN 1:

1. Salleh bertanya kepada Ani tentang rancangannya itu.
2. Ani meminta kepastian tentang rancangan yang dimaksudkan oleh Salleh.
3. Seterusnya Salleh menjelaskan bahawa yang dimaksudkannya itu berhubung dengan  
    rancangan Ani mendaki gunung yang diperkatakannya suatu hari dahulu.
4. Ani menjelaskan bahawa rancangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pada hari Sabtu
    akan datang.
5. Salleh memuji dan sangat bersetuju dengan rancangan Ani itu/ dan menyokongnya.
6. Ani tersenyum puas/ bangga atas sokongan kawan karibnya itu.


JAWAPAN SOALAN 2:

1. Ani mengatakan bahawa dia tidak mempunyai sesiapa dan keseorangan
2. Tuk Yahya menjelaskan bahawa Ani tidak boleh tinggal di sanan kerana tempat itu bahaya
    sambil meneliti mata belolok Ani.
3. Ani merengek lagi dengan mengatakan bahawa tidak mempunyai sesiapa .
4. Tuk Yahya mengiyakan hal tersebut .
5. Ani hampir meraung apabil memberitahu Tuk Yahya bahawa dia tidak mahu tinggal di 
    rumah itu lagi kerana khuatir bom akan jatuh lagi di situ.Tambahan pula datuknya sudah 
    tiada lagi.
6. Tuk Yahya memujuk Ani dengan mengatakan bahawa Ani masih ada dia dan Comot


JAWAPAN SOALAN 3:

1. Nizam bertanyakan masalah Salim kerana dia kelihatan muram sahaja.
2. Salim memberitahu Nizam dengan perasaan sayu bahawa Cikgu Khairul bertanyakan               tentang yuran peperiksaan yang belum dijelaskannya.
3. Nizam terkejut dan berasa hairan kerana Salim mendapat biasiswa tetapi belum menjelaskan
     yuran peperiksaannya.
4. Salim menjelaskan bahawa duit biasiswanya telah digunakan untuk perbelanjaan rawatan
    abangnya yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini.
5. Nizan telah mencadangkan agar Salim berjumpa dengan Cikgu Khairul dan menjelaskan
    perkara yang sebenarnya.
6. Salim enggan berjumpa dengan Cikgu Khairul kerana menurutnya beliau merupakan                 seorang yang sangat garang.


JAWAPAN SOALAN 4:

1. Dengan kagum Mawi menyatakan bahawa mi itu sedap sambil bertanya namanya kepada
     Felix.
2. Felix memberitahu kepada Mawi bahawa namanya ialah Mi Pedas.
3. Mawi menyatakan bahawa dia tahu Mi itu pedas tetapi dia ingin mendapatkan kepastian
    namanya sekali lagi daripada Felix.
4. Felix memberitahu bahawa mengikut kata Si Dollah nama mi itu ialah Mi Pedas.
5. Mawi mengiyakan dan bertanya Felix adakah tujuan masuk ke kedai itu hanya semata-
    mata makan Mi Pedas.
6. Felix mengiyakan dan menyatakan bahawa dia telah berjanji untuk membelanja Mawi               makan dahulu.


JAWAPAN SOALAN 5:

1) Norhayati bertanya kepada Syikin mengapa dia tidak hadir ke sekolah semalam.
2) Norasyikin meminta maaf kepada Norhayati kerana tidak memberitahunya dan menjelaskan  
    bahawa dia menghadapi masalah di rumah.
3) Norhayati bertanya kepada Norasyikin masalah yang dihadapi dan meminta dia menceritakan   
    perkara yang berlaku kepadanya. Norhayati berjanji akan bersama-sama menanggung    
    kesusahan kerana menggangap mereka sudah lama berkawan.
4) Norasyikin menjelaskan kepada Norhayati bahawa ibunya sakit.


B. AYAT CAKAP PINDAH KEPADA AYAT CAKAP AJUK.

a. Langkah menukarkan cakap pindah kepada cakap ajuk:

1. Ada dua cara: (anda boleh memilih mana-mana cara di bawah)
i.  Menggunakan dialog biasa dalam bentuk perenggan.
ii. Menggunakan dialog seperti wawancara.
2. Jaga penukaran ayat yang telah dipelajari. Anda hanya perlu menukarkannya semula kepada  
    bentuk asal seperti yang telah dipelajari dalam “menukarkan ayat cakap ajuk kepada ayat   
    pindah”. Jika anda lupa, sila rujuk semula.
1.       Jaga penggunaan tanda bacaan, tanda kata, tanda seruan dan sebagainya untuk mengelakkan
markah anda ditolak.

b. Contoh soalan dan jawapan:

Contoh 1:
Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap ajuk. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Kamariah berkata kepada Aziz dan Samad bahawa negara Malaysia memang banyak mempunyai tempat menarik untuk dikunjungi. Pendapatnya itu disokong oleh samad dengan mengatakan bahawa negara ini mempunyai pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi yang indah. Aziz pula menyatakan kehairanannya tentang ramai orang Malaysia yang masih suka melancong ke luar negara seperti ke Indonesia, Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah. Kamariah menyetujui pandangan itu. Samad berpendapat mungkin keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong tempatan melancong di dalam negeri. Aziz bersetuju dengan pendangan Samad itu. Kamariah pula mencadangkan supaya pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan memberi potongan harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian mereka. Samad pula mengatakan bahawa di samping itu, kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu ditanam dalam diri. Kamariah dan Samad mengiakan pendapat itu
                                                                                                                                    [ 6 markah ]


Jawapan :
Kamariah  : Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi.

Samad       : Negara ini mempunyai pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi
                     yang indah.

Aziz            : Ramai rakyat Malaysia yang suka melancong ke luar negara seperti Indonesia,
                     Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah.

Samad       : Keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong
                     tempatan melancong di dalam negeri.

Kamariah   : Pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan perlu memberi potongan
                      harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian
                    mereka.

Samad      : Kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu
                    ditanam dalam diri.


Contoh 2:
Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap ajuk. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Mak Limah bertanya arah tujuan suaminya setelah melihat suaminya itu dalam keadaan tergesa-gesa hendak keluar. Pak Usop mengatakan bahawa dia hendak berjumpa dengan ahli-ahli jawatankuasa Koperasi Maju. Mak Limah mencadangkan agar suaminya makan nasi dahulu walaupun sibuk dengan kerja kerana dia takut suaminya akan berasa lapar . Pak Usop memberitahu ii itsterinya bahawa dia hendak meletakkan jawatan sebagai pemandu bas koperasi itu. Mak Limah bertanya cara suaminya hendak mendapatkan pekerjaan sekiranya dia berhenti kerja. Pak Usop menjelaskan bahawa dia hendak memohon pinjaman daripada pihak MARA untuk membeli sebuah bas.

Jawapan:

Mak Limah        : Abang hendak ke mana dalam keadaan tergesa-gesa ini?
Pak Usop           : Saya hendak berjumpa dengan ahli-ahli jawatankuasa Koperasi Maju.
Mak Limah        : Kalau sibuk dengan kerja pun makanlah nasi dulu, nanti lapar.
Pak Usop           : Abang hendak meletakkan jawatan sebagai pemandu bas koperasi itu.
Mak Limah        : Sudah tu, abang hendak kerja dengan siapa?
Pak Usop           : Minta pinjaman daripada MARA, abang beli sebuah bas.
       
           Sekiranya anda ada masalah berkaitan kemahiran menukar ayat cakap ajuk kepada cakap pindah dan sebaliknya, segera minta pencerahan daripada guru bahasa Melayu anda dengan segera.

20 ulasan:

Anonymous berkata...

Terima kasih cikgu, sgt membantu,Jazakallah khairan. :)

Unknown berkata...

tq💪

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih cikgu...saya gunakan ya bahannya.

Unknown berkata...

Terima kasih cikgu......saya gunakan sebaik mungkin bahan yg diberikan

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih cikgu.. Boleh dijadikan panduan utk mengajar

Unknown berkata...

X faham lh

Unknown berkata...

Memang tak faham cikgu tolong jelaskan ulasan cigku dan bagi soalan dan jawapan dengan betul

Unknown berkata...

Terima kasih cikgu. Sangat membantu

afif berkata...

Izinkan saya guna semua bhn ni untuk ajar kepada murid-murid saya ..terima kasih

Unknown berkata...

Memang b'guna❤

Unknown berkata...

Supoh aa mmg cun

Unknown berkata...

baca dn fahami dgn baik

Unknown berkata...

Terbaik 👍👍

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih banyak cikgu ����

Azlans berkata...

Terima kasih cikgu

Luqman Hakim berkata...

Terima kasih cikgu. Saya minta izin ye untuk gunakan nota ini

Unknown berkata...

terima kasih cikgu...

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih, izinkan saya kongsi bahan ini dengan murid2 sy.

Tanpa Nama berkata...

Assalam Cikgu, mohon izinkan saya menggunakan bahan cikgu untuk penerangan kepada murid-murid saya..terima kasih.

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Waalaikumsalam. Saya izinkan dan gunakanlak untuk kebaikkan anak-didik.