Ahad, 16 Julai 2017

KEMAHIRAN MENJAWAB SOALAN 3 (B) KERTAS BAHASA MELAYU 2 SPM.

SOALAN KERTAS BAHASA MELAYU BAHAGIAN  3 (B)

Pelajar amat gementar dan risau apapila menjawab soalan bahagian ini, kenapa keadaan ini berlaku?
Jawapannya, soalan bahagian 3 (b) merupakan kajian sintaksis iaitu berkenaan ayat. Pelajar perlu menguasai kemahiran berkaitan binaan ayat dalam bahasa Melayu. Oleh sebab, soalan bahagian ini sukar, sepatutnya pelajar perlu membuat persiapan dari sekarang, kerana pelajar masih belum terlambat untuk menguasai soalan bahagian ini. Pelajar tidak boleh lari daripada menjawab soalan bahagian ini, kerana soalan ini termasuk dalam format peperiksaan SPM.

Terdapat beberapa soalan boleh ditanya di bahagian soalan 3 (b) , antaranya:-

1.       Soalan berkaitan kemahiran mengesan dan menentukan Subjek dan Prediket pada ayat.

2.       Soalan berkaitan ayat majmuk dan ayat tunggal.

3.       Soalan berkaitan jenis-jenis ayat, seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seru.

4.       Soalan berkaitan ragam ayat, iaitu ayat aktif dan ayat pasif.

5.       Soalan berkaitan ayat cakap ajuk dan ayat cakap pindah.

6.       Soalan berkaitan pola ayat yang terdapat dalam bahasa Melayu seperti pola ayat seperti:-
Frasa Nama + Frasa Nama, Frasa Nama + Frasa Kerja, Frasa Nama + Frasa Adjektif, Frasa Nama + Frasa, Frasa Nama + Frasa Sendi.

7.       Soalan berkaitan ayat biasa dan ayat songsang. ( Telah keluar pada SPM 2016 )
Pelajar SPM 2016, boleh berasa lega kerana soalan paling sukar bahagian 3 (b) telah keluar pada tahun lepas.

Pada penulisan kali ini saya akan fokus kepada jenis-jenis ayat dalam bahasa Melayu:-

JENIS-JENIS AYAT 

Ayat-ayat dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan. Apakah kepentingan pelajar menguasai kemahiran mengenal dan mengesan ayat-ayat berkenaan.

Kebaikan mengenal, mengesan dan menguasai jenis-jenis ayat dalam bahasa Melayu:-

a)       Pelajar dapat mengesan jenis-jenis ayat yang boleh ditanya semasa menjawab soalan 3 (b).
b)      Pelajar mampu mengesan dan membina ayat ketika menukar ayat  cakap ajuk kepada ayat cakap pindah dan sebaliknya ketika menjawab soalan 3 (b).
c)       Anda juga boleh menggunakan ayat cakap ajuk semasa membina ayat menggunakan perkataan ketika menjawab soalan 3 (a). Selalunya pelajar akan menulis ayat cakap ajuk sekiranya, perkataan tersebut sukar dibina untuk menerbitkan ayat penyata terutama pelajar terpaksa menggunakan imbuhan sedangkan menambah imbuhan tidak dibenarkan.

1. Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu penyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal. Ayat jenis ini disebut juga ayat berita atau ayat keterangan.
Contoh ayat penyata:
i.    Nadia jurutaip.
ii.   Dia wartawan.
iii.  Ashila sedang tidur.

2. Ayat Tanya pula adalah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu perkara. Dengan berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu.
Ayat Tanya dapat digolongkan kepada dua jenis , iaitu:
i. Ayat Tanya tanpa kata Tanya.
ii. Ayat Tanya dengan unsur kata Tanya.

i. Ayat Tanya tanpa kata Tanya
Ayat Tanya tanpa kata Tanya ialah ayat yang lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada Tanya ini dilambangkan oleh tanda soal (?).
Contohnya:
i. Encik Lokman kaunselor di sekolah itu?
ii. Adik masih menangis?
iii. Mimi menjadi pragawati?

Ayat Tanya jenis ini juga boleh disertai dengan partikel –kah, yang diletakkan pada unsur yang dijadikan fokus atau judul ayat.
Contoh ayat:
i. Dia ke sekolah?
Dia ke sekolahkah?

ii. Minggu lalu kamu ke Kedah?
Minggu lalu kamu ke Kedahkah?

iii. Mereka berlepas pagi tadi?
Mereka berlepas pagi tadikah?

ii. Ayat Tanya dengan unsur Tanya.
Ayat Tanya dengan unsur Tanya ialah ayat yang mengandungi unsur seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak bila. Ayat-ayat jenis ini terdiri daripada tiga golongan, iaitu:
a) Ayat Tanya dengan kata Tanya.
b) Ayat Tanya dengan kata ganti nama diri.
c) Ayat Tanya dengan frasa sendi nama Tanya.

a) Ayat Tanya dengan kata Tanya
Ayat Tanya dengan kata Tanya ialah ayat yang mengandungi kata Tanya seperti siapa, berapa, bagaimana, bila, mengapa dan kenapa.
Contoh ayat seperti berikut:
i. Harga barang ini berapa?
ii. Hari perkahwinannya bila?
iii. Awak datang lambat kenapa?

b) Ayat Tanya dengan kata ganti nama diri Tanya
Ayat jenis ini terdiri daripada ayat yang mengandungi kata ganti nama Tanya seperti apa, siapa, dan mana.
i. Apakah benda itu?
ii. Siapakah gurunya?
iii. Manakah adik awak?

c) Ayat Tanya dengan frasa sendi nama Tanya
Ayat jenis ini terdiri daripada ayat yang didahului oleh frasa sendi nama Tanya seperti di mana, dari mana, ke mana, sejak bila, sampai bila dan sebagainya.
Contoh ayat:
i. Tuan tinggal di mana?
ii. Adik hendak ke mana?
iii. Anak Puan Anita berkahwin dengan siapa?

3. Manakala ayat perintah pula ialah ayat yang digunakan dengan tujuan menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti kamu, awak, engkau dan sebagainya yang biasanya digugurkan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis berikut:
i. Ayat suruhan
ii. Ayat larangan
iii. Ayat silaan
iv. Ayat permintaan

i) Ayat suruhan
Ayat suruhan ialah ayat yang digunakan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Dalam ayat suruhan, subjek ialah kata ganti nama orang kedua seperti awak, engkau, kamu dan selainnya yang biasanya digugurkan. Walau bagaimanapun, kerana tujuan penegasan, subjek boleh juga dikekalkan. Contoh ayat seperti berikut:
a) Keluar dari bilik ini!
b) Pergi dari sini!
c) Awak siapkan kerja itu sekarang.

ii. Ayat larangan
Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan mnegah seseorang melakukan sesuatu.
Contohnya:
a) Jangan ambil harta orang.
b) Kamu jangan beritahu dia.
c) Usah dikenangkan lagi perkara yang lalu.

iii. Ayat silaan
Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemout atau mempersilakan seseorang. Contoh ayat seperti berikut:
a) Sila datang ke rumah saya.
b) Sila serahkan surat ini ke pejabat.
c) Jemput masuk.

iv. Ayat permintaan
Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong, dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan seperti yang terdapat dalam contoh berikut:
a) Minta tuan-tuan jelaskan yuran persatuan.
b) Minta tuan benarkan kami masuk.
c) Tolong tutup tingkap itu.

4. Ayat yang seterusnya ialah ayat seruan.
Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram dan sebagainya. Intonasi seruan ini digambarakn dalam tulisan dengan tanda seru (!) yang diletak di akhir ayat. Kata seru yang biasanya digunakan ialah oh, wah, amboi, cis, nah, syabas dan sebagainya. Contohnya:
i. Anakku!
ii. Amboi, garangnya!
iii. Wah, besarnya rumah awak!

Contoh-contoh soalan berkaitan dengan jenis-jenis ayat:
i)    Nyatakan ayat-ayat perintah di bawah sama ada ayat larangan, ayat suruhan, ayat silaan atau ayat permintaan.
(i)   Tolong tandatangan borang tersebut sebelum diserahkan kepada urus setia.
(ii)   Jangan tampal sebarang poster di sepanjang laluan ini.
(iii) “Jemputlah masuk ke rumah, emak sedang menunggu di ruang tamu,” kata kakak   kepada jirannya.

(iv)  “Sila penuhkan tempat kosong di hadapan,” kata pengerusi majlis kepada para hadirin.
(v)   Pengguna jalan raya diminta tidak melalui kawasan runtuhan itu kerana berbahaya.
(vi)  Usah dikenang peristiwa yang sedih itu.


ii) Berdasarkan ayat-ayat di bawah, bina ayat tanya dengan menggunakan kata tanya yang betul. Kata Tanya yang digunakan hendaklah bersesuaian dengan rangkai kata yang berhuruf condong dalam ayat-ayat yang diberi.

(i)    Ibu ke pasar pagi tadi.

(ii)   Tuan Hj. Sulaiman pengetua sekolah itu.

(iii)  Pelajar itu berjaya dengan cemerlang kerana rajin belajar.

(iv)  Pertandingan Akhir Bahas Ala Parlimen Bahasa Melayu diadakan di Dewan Seri Murni.

(v)   Pasukan itu berjaya menjadi juara bola sepak melalui kerjasama perpasukan.

(vi)  Tiga biji telur digunakan untuk membuat kek itu. 

SILA JAWAB SOALAN-SOALAN DI ATAS SEBAGAI LATIHAN
KE ARAH PENGUASAAN KEMAHIRAN ANDA BERKAITAN JENIS
JENIS AYAT.



  INSYAALLAH, UNTUK KELUARAN AKAN DATANG SAYA AKAN MEMBICARAKAN KEMAHIRAN BAHASA UNTUK JENIS-JENIS AYAT YANG LAIN.

Tiada ulasan: