Ahad, 14 Mei 2017

CONTOH KARANGAN UMUM UNTUK PPT 2017


Bahagian B
[100 markah]
[ Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit]

    Pilih satu daripada soalan di bawah ini dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

1.    Dalam menghadapi dunia semakin mencabar ini ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang penting dalam kehidupan seseorang.
       Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

2.        Amalan berjimat cermat patut dipupuk dalam kalangan anggota keluarga demi masa depan   yang cerah.
        Terangkan peranan ahli keluarga bagi memupuk amalan berjimat cermat.

3.   Sempena Program Peningkatan Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan Alam Sekitar  Sekolah, sekolah anda telah menganjurkan  pertandingan syarahan yang bertajuk  
      “Kebersihan dan Keceriaan Kunci Kecemerlangan”. 
       Sediakan teks syarahan anda selengkapnya.

4.    Kehadiran pekerja asing memberikan pelbagai kesan kepada sesebuah negara.  Huraikan sumbangan pekerja asing kepada pembangunan sesebuah negara.

5.        “Jikalau kamu bersifat dermawan
               Segala orang dapat kautawan”
Berdasarkan rangkap gurindam di atas, bincangkan kebaikan mengamalkan sikap
suka  menderma.





KERTAS PEPERIKSAAN TAMAT

1.    Dalam menghadapi dunia semakin mencabar ini ilmu pengetahuan dalam pelbagai        bidang  penting dalam kehidupan seseorang. 
             Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menambahkan ilmu                      pengetahuan.

       Pendahuluan

                         "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad" dan " Ilmu Jambatan Hidup" . Itulah antara dua kata-kata yang membuktikan bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan manusia. Pada zaman kini, jika saya itu tidak mempunyai ilmu, saya akan ketinggalan dan  akan mengalami kesusahan dalam kehidupan, saya boleh diibaratkan seperti katak di bawah tempurung akan sentiasa ketinggalan dalam berbagai aspek kehidupan sama ada aspek sosioekonomi, mahupun sosiobudaya. . Untuk memperoleh serta mendalami ilmu, saya perlu berusaha dengan gigih kerana ilmu tidak datang sendiri melainkan dengan usaha yang berterusan. Bak kata peribahasa Melayu, yang bulat tidak datang menggolek dan yang pipih tidak datang melayang. Menurut Hadis, Rasululah pernah meriwayatkan tuntutlah ilmu sehingga ke nagara China. Berdasarkan kenyataan di atas, sudah terang lagi bersuluh, ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan dan saya perlu berusaha untuk menggapainya, bak kata peribahasa Melayu genggam api biarlah jadi arang, menjeluk perkasam biarlah sampai ke pangkal lengan, begitulah konsep sepatutnya menjadi pegangan saya lakukan untuk mengembangkan ilmu di dada. Bahkan juga, ilmu pengetahuan mampu mengubah kehidupan keluarga saya terutama untuk memecah kepompong kemiskinan keluarga yang sering menghantui keluarga saya mayapada. Sekiranya saya tidak mengambil kesempatan mengubah kehidupan keluarga saya dengan meningkatkan ilmu pengetahuan, sudah pasti kehidupan keluaraga saya tidak akan berubah dan berada pada takuk yang lama. Persoalannya, bagaimanakah kita mampu untuk menambah ilmu pengetahuan?

             Mari kita bersama-sama mengupas isi pertama saya iaitu cara saya memperoleh ilmu pengetahuan ialitu melalui pembacaan. Hal ini kerana ayat pertama yang diturunkan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad ialah surah Al-Alaq...Wahyu tersebut disampaikan oleh Malaikat Jibrail dengan berkata, 'Bacalah wahai Muhammad! ' Beliau bersabda: "Aku tidak pandai membaca."  Sabda Rasulullah lagi, lalu malaikat memegang dan memelukku erat-erat, ketika aku merasakan kepayahan ia pun melepasku. Sudah terang lagi bersuluh betapa dalam Islam konsep membaca amat diutamakan selaras dengan Surah Al-Alaq di atas, Malaikat Jibrail meminta Rasululah membaca walaupun beberapa kali Rasulullah menyatakan bahawa beliau tidak tahu membaca. Oleh sebab itu, sebagai khalifah di muka bumi saya sebagai generasi yang sedar akan peri pentingnya ilmu dalam kehidupan seharusnya membudaya membaca dalam kehidupan seharian saya. Sebagai khalifah pada zaman moden pelbagai cara membolehkan saya memperoleh ilmu dengan membaca kerana membaca gedung ilmu . Kita boleh membaca secara konvensional dengan membaca buku pelbagai aspek ilmuan seperti bahasa, matematik, sains dan sebagainya. Seyogia, pada zaman moden ini, maklumat di hujung jari, dan dunia tanpa sempadan kerana saya boleh melayari pelbagai sumber ilmu menggunakan pelbagai peranti sama ada dengan komputer riba atau gadjet terkini telefon pintar, dan cara pembacaan ini bukan sahaja pantas dan murah tetapi bahan pembacaan boleh diperoleh dengan pelbagai pendekatan sama ada melalui video dengan melayari laman sesawang Youtube, atau melalui bahan berbentuk bahan bertulis sam ada berbentuk powerpoint, atau melalui teks. Sekiranya saya cakna dengan maklumat berkenaan sudah pasti saya menjadi orang berilmu kerana orang berilmu diperlukan dalam kalangan masyarakat kotemporori dan saya akan dihormati. Kesimpulannya, ilmu pengetahuan membolehkan saya meningkatkan ilmu pengetahuan terutama melalui pembacaan sama ada secara konvensional iatu yang boleh saya dapati daripada buku, mahupun menggunakan teknologi terkini menggunakan telefon pintar arau komputer riba.


              Mari kita selusuri perbincangan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dengan kata kunci isi kedua iaitu cara saya menuntut ilmu pengetahuan dengan memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru ibarat lilin membakar diri untuk menerangi kehidupan pelajar, justeru adalah sangat malang jika saya tidak mengambil pusing dengan tidak menumpu perhatian kepada proses pengajaran guru. Selain itu, amalkan bertanya sekiranya kita tidak memahami penerangan guru kerana malu bertanya sesat jalan dan malu biarlah bertempat. Oleh sebab itu, saya sebagai pelajar yang proaktif memerlukan saya sentiasa melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana dengan langkah sedemikian rupa saya akan menjadi  pelajar yang berjaya dan disayangi guru. Selalunya pelajar dalam kategori ini akan sentiasa mengungguli tempat pertama dalam peperiksaan, sama dijalankan oleh pihak sekolah atau peperiksaan umum yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia . Bahkan konsep mencatat setiap penerangan guru juga merupakan amalan terpuji kerana adakalanya penerangan guru tidak ada dalam nota tetapi keluar secara spontan semasa pengajaran guru kerana proses mengunakan deria telinga untuk mendengar, deria mata untuk melihat dan angota tangan dan jari jemari mencatat akan memudahkan proses memantapkan ingatan saya semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru semasa di dalam kelas. Menurut seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “ lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Selain itu, saya juga  perlu mengelakkan diri saya daripada melakukan perbuatan yang menimbul kemarahan guru seperti bersembang, dan mengganggu proses guru semasa beliau mengajar kerana konsentrasi guru akan hilang semasa mengajar apabila situasi berkenaan berlaku, dan selalunya pelajar dalam kategori ini akan berada di belakang pelajar yang berjaya. Kesimpulannya, Jika saya tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan menjadi lalat yang membusukkan ikan.” Maksud peribahasa berkenaan ialah kita harus tidak menimbulkan masalah kepada orang lain kerana sifat berkenaan amat merugikan. Tegasnya, sebagai seorang pelajar ingin berjaya, saya perlu 
memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas.

                       Seterusnya saya akan membincangkan isi ketiga di bawah kata kunci membentuk kumpulan belajar mampu meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang saya tidak kuasai. Sebagai seorang pelajar yang mendambakan kecemerlangan saya perlu memilih anggota kumpulan yang akan membatu saya menguasai  mata pelajaran yang sukar untuk saya kuasai kerana berkawan biarlah ramai, musuh jangan dicari. Antara faktor pemilihan rakan untuk kumpulan saya berkenaan biarlah kalangan rakan yang sealiran dengan jiwa saya, supaya saya berbincang maksudnya biarlah rakan  kumpulan studi saya ini rakan yang boleh membantu saya berbincang berkiatan pelajaran di luar waktu persekolahan. Seterusnya, rakan yang saya pilih perlu bervariasi kemahiran, maksudnya rakan yang tersebut perlu menguasai pelbagai mata pelajaran. Apabila semua faktor pemilihan berkenaan diambil kira, sudah pasti proses pembelajaran berkumpulan akan memberi impak maksima dan perbincangan boleh dilakukan dengan perkongsian ilmu yang akan dapat meningkatkan penguasaan ilmu pelbagai untuk saya dan ahli kumpulan perbicangan saya. Contohnya rakan pertama mahir dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, dan saya pula mahir mata pelajaran Bahasa Melayu, rakan kedua saya pula mahir mata pelajaran matematik, sementara rakan ketiga saya mahir mata pelajaran matematik tambahan, dan rakan kelima mahir mata pelajaran Biologi. Tepuk dada tanya selera, jika semua faktor pemilihan di atas lengkap sudah pasti aktiviti pembelajaran saya secara kumpulan akan ceria, di samping perkongsian ilmu akan berkonsep menang menang dan semua ahli kumpulan akan menerima kesan terutama untuk menguasai pelbagai ilmu. Peribahasa ada mengatakan "Kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar dicari.Konklusinya, saya akan membentuk kumpulan belajar sealiran dengan jiwa saya dan mampu meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang saya tidak kuasai.


            Seterusnya, saya akan membicarakan isi keempat saya di bawah tajuk pemilihan buku hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk saya meraih pengalaman mereka menggapai kecemerlangan dalam kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh ilmu pengetahuan dalam kehidupan. Hali ini kerana mereka telah menerbitkan karya ilmiah yang mampu meningkatkan minat dan kesungguhan pembaca untuk mengumpulkan ilmu pengetahuan untuk menerangi kehidupan serta kesejahteraan masyarakat serata alam. Antara nama pengarang tersohor Islam yang perlu kita contohi seperti  Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Syed Muhammad Abduh, Syed Tahir Jalaluddin, HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik bin Syeikh Abdul Karim bin Syeikh Muhammad Amarullah. Ketekunan ilmuan tersohor ini untuk menuntut ilmu perlu perlu saya jadikan budaya dalam kehidupan sayaa. Contohnya Ibnu Sina seorang ulama tersohor Islam malah pakar dalam bidang perubatan sehingga hasil karya beliau diterjemahkan dalam bahasa latin, Hebrew dan bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, bak kata pepatah Melayu, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Antara hasil penemuan Ibnu Sina dalam ilmu perubatan ialah beliau telah menemui  pengaruh kuman dalam penyakit seperti  penyakit rubella, alahan, cacar, penyakit jiwa, dan menghasilkan ubatan dan preskripsi ubat yang mujarab untuk digunakan sebagai penyembuhan pelbagai jenis penyakit. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, begitulah jasa ilmuan tersohor Islam yang menguasai pelbagai ilmu untuk kegunaan manusia sehingga ke zaman moden ini. Intihanya, pemilihan buku bacaan terutama hasil karya ilmuan Islam tersohor mampu meningkat usaha saya untuk menghasilkan penemuan baru dalam apa juga bidang ilmu terutama untuk kejahteraan masyarakat negara malah untuk masyarakat dunia amnya.


                    Selanjutnya, perbicaraan saya menjurus kepada membicarakan isi kelima iaitu untuk menambah ilmu pengetahuan saya perlu mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah. Sebagaimana kita sedia maklum, banyak pusat tuisyen boleh menjadi medan untuk saya meningkatkan pengetahuan ke arah seorang pelajar berjaya dalam pelajaran. Setiap tahun, pusat tuisyen tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kenapa situasi ini berlaku? Antaranya, ibu bapa dan pelajar sedia maklum, tenaga pengajar yang mengajar di pusat tuisyen adalah dalam kalangan guru-guru berpengalaman mengajar dan kebanyakan mereka menjadi penyemak kertas peperiksaan berdasarkan bidang ilmu mereka, justeru ibu bapa berusaha untuk melaburkan duit mereka untuk kecemerlangan anak-anak mereka dengan menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen. Tindakan ibu bapa ini umpama di mana ada gula, di situ ada semut. Kebiasaannya guru-guru berpengalaman di pusat tuisyen akan mempermudah dan mendedahkan cara-cara  untuk saya menjawab soalan, terutama item-item soalan sukar untuk saya fahami. Oleh sebab itu, kebanyakan pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang adalah dalam kalangan pelajar yang mengikuti kelas tuisyen. Selain itu, budaya sekolah cemerlang, sentiasa mengadakan program kecemerlangan dengan menjemput guru-guru cemerlang, sama ada dalam daerah malah ada yang menjemput guru-guru cemerlang dari luar daerah dan antara kriteria guru-guru yang dipilih untuk menjadi tenaga penceramah berkenaan adalah kalangan guru berpengalaman terutama menjadi penyemak kertas mata pelajaran berkenaan. Dalam kalangan ibu bapa pula, mereka sentiasa menyokong sebarang usaha pihak pentadbir sekolah untuk mengadakan program kecemerlangan untuk anak-anak mereka. Sokongan ibarat aur dengan tebing, antara pihak sekolah dengan ibu bapa serta bantuan Persatuan Ibu Bapa Guru, begitu juga sekiranya program yang dijalankan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen di tempat tersebut, sudah pasti usaha tersebut akan membuahkan impak yang maksimun. Kesimpulannya, untuk menambah ilmu pengetahuan saya akan sedaya upaya akan mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah untuk kecemerlangan saya dalam pelajaran.


                 Kesimpulannya, pelbagai kaedah, pendekatan boleh saya lakukan untuk menambahkan ilmu  pengetahuan. Sebagai mana perbicaraan di atas, ilmu pengetahuan boleh diperkembangkan antaranya saya perlu membudayakan membaca dalam kehidupan seharian saya, di samping itu, saya perlumemberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas, membentuk kumpulan belajar yang mampu meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang saya tidak kuasai,  pemilihan buku hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk saya meraih pengalaman mereka menggapai kecemerlangan dalam kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh kejayaan dengan ilmu pengetahuan, dan untuk menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar, saya perlu mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah. Sudah terang lagi bersuluh, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek, menjolok pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan untuk menggapai kecemerlangan ilmu pengetahuan, justeru untuk menambah ilmu pengetahuan saya perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana usaha tangga kejayaan.


       Alhamdulillah, karangan di atas sudah lengkap. Pelajar boleh melihat

             bagaimana cara untuk menghasilkan karangan cemerlang. Isi perlu dihurai
             mengikut kaedah deduktif, dan pastikan anda perlu mahir memasukkan
             istilah, frasa menarik antaranya peribahasa, serta anda perlu banyak 
             membaca, terutama untuk mengetahui tokoh-tokoh tersohor Islam. Di samping
             itu  karangan seperti di atas unsur kbat kurang tetapi huraian anda perlu
             mantap untuk mengambarkan anda bijak, namun pelajar yang hebat kbat akan
             berlaku jika pelajar menghuraikan isi dan menjelas, menghurai isi serta mengaitkan
             kesan atau impak isi berkenaan kepada masyarakat.

             Anda boleh merujuk contoh-contoh karangan yang saya paparkan dan

             adakalanya.......karangan yang anda perlu tulis terutama semasa latihan
             kendiri.....ada isi dan huraiannya boleh anda gunakan yang penting anda
             perlu bijak...dan jangan salin karangan bulat-bulat kerana itu namanya meniru,
             kecuali anda pasti karangan tersebut betul-betul mantap, dan anda tidak ada
             idea untuk menulisnya.


Cadangan untuk karangan nombor dua, anda boleh merujuk karangan yang telah saya paparkan daripada blog latihan nombor 5 http://subrato403.blogspot.my bertajuk menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan. Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita? Ubah suai, dan sesuaikan dengan tajuk  Amalan berjimat cermat patut dipupuk dalam kalangan anggota keluarga demi masa depan   yang cerah.
Terangkan peranan ahli keluarga bagi memupuk amalan berjimat cermat.

CONTOH SOALAN 3.



3.     Sempena Program Peningkatan Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan Alam Sekitar Sekolah, sekolah anda telah menganjurkan  pertandingan syarahan yang bertajuk  “Kebersihan dan Keceriaan Kunci Kecemerlangan”. 
Sediakan teks syarahan anda selengkapnya.

      Soalan karangan ini jika sekali baca seperti mudah untuk dihasilkan tetapi jika diteliti secara mendalam sebenarnya karangan ini agak sukar untuk pelajar kerana fokus isi karangan ini bertumpu kepada bagaimana kebersihan dan keceriaan merupakan kunci kepada kecemerlangan pelajar atau sekolah. Seyogia, pelajar perlu menimbang semula keputusan akhir sebelum memilih karangan ini dengan membandingkan karangan berfokus diri, berfokus keluarga/masyarakat, berfokus negara, berfokus antarabangsa, dan berfokus sastera.
      Apabila dirujuk daripada pembahagian soalan, tajuk karangan nombor 3 di atas berfokus kepada fokus negara. Oleh sebab itu, tahap kesukaran karangan ini agak tinggi walaupun sekali baca seolah-olah karangan tersebut mudah. Fikir-fikirlah semasa proses memilih karangan sebelum anda terlambat dan terjebak dengan kesilapan memilih karangan kerana objektif pelajar untuk menghasilkan karangan bertaraf A+.
      Tambahan pula karangan ini berformat syarahan dan melibatkan pertandingan, justeru pelajar perlu memastikan bahagian pengenalan perlu ada kata-kata aluan kepada tetamu kehormat.....mengikut susunan pangkat...perlu ada hakim....dan seterusnya kehadiran tetamu yang hadir semasa pertandingan jika sekolah, selain pengetua....rakan-rakan pelajar.
                  Jika pelajar perhalusi tajuk karangan, objektif kecemerlangan hasil daripada unsur kebersihan dan keceriaan adalah umum, justeru kecemerlangan yang diperoleh bukan sahaja menjurus kepada kecemerlangan pelajar atau sekolah sahaja, kecemerlangan yang disasarkan juga boleh meliputi kecemerlangan dalam memimpin sama ada memimpin keluarga, memimpin organisasi dan sebagainya. Oleh sebab skop perbincangan karangan ini agak luas dan memerlukan pelajar bijak semasa memilih isi agar tepat dengan kehendak skema pemarkahan karangan.

Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, barisan hakim yang berpaksikan keadilan, penjaga masa yang cakna dengan masa dan jam randiknya, guru-guru, dan rakan sekalian. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana saya diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk berada di atas pentas  pada pagi ini untuk menyampaikan syarahan bertajuk  “ Kebersihan dan Keceriaan Kunci Kecemerlangan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebelum layar saya bentangkan, sebelum bahtera saya layarkan, izinkan saya menghuraikan beberapa kata kunci yang terkandung dalam tajuk syarahan yang akan saya sampaikan, kebersihan merujuk keadaan bersih untuk persekitaran kita, keceriaan merujuk perihal keadaan atau sifat ceria yang sepatutnya diamalkan dalam kehidupan, dan kata kunci bermaksud sesuatu yang menjadi, atau formula untuk mencapai sesuatu tujuan, sementara kecemerlangan pula bermaksud kegemilangan berdasarkan sesuatu peristiwa. Secara literalnya, tajuk karangan pada hari ini boleh kebersihan dan kecerian merupakan prakarsa yang penting untuk mewujudkan kecemerlangan sesebuah institusi dan perbincangan saya mengkhusus kepada kecemerlangan sekolah.

Hadirin sekalian.

Berdasarkan Mutiara Kata Islam, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Begitulah peri pentingnya kebersihan dan kecerian dalam kehidupan manusia terutama sekolah sebagai institusi penting sebagai penjana kecemerlangan pelajar. Hal ini kerana hanya dengan kebersihan dan keceriaan akan mewujudkan persekitaran kelas yang kondusif dalam kalangan pelajar dan seterusnya mereka akan berminat untuk menghadiri kelas dan dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara berkesan setiap hari persekolahan. Oleh sebab itu, atas kesedaran pentingnya kebersihan dan keceriaan, pihak pentadbiran sekolah mengadakan pertandingan kelas terbersih dan terceria pada setiap minggu sebagai usaha untuk membudayakan amalan mulia tersebut dalam kalangan pelajar. Apabila dua unsur penting ini menjadi budaya, suasana kelas akan menjadi kondusif, pelajar akan sayang akan kelas mereka apabila mereka sentiasa berusaha menjaga kebersihan dan menceriakan kelas mereka secara kerjasama. Imtihanya, pelajar akan sentiasa akur menjalankan tugasan berdasarkan tugasan kumpulan sebagaimana tercatat dalam jadual mingguan seperti menyapu kelas, membersihkan papan hitam, membuang sampah dan sebagainya. Sementera itu pula, usaha menceriakan kelas dijalankan bagaikan aur dengan tebing, dan mereka akan berusaha memastikan hiasan di dalam kelas mereka dijalankan sepanjang masa, contohnya mengecat kelas, menukar tirai dan menghias dinding kelas dengan gambar, dan ada yang membawa bunga-bunga hidup untuk menghias kawasan kelas mereka kerana usaha itu tangga kejayaan dan yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul sudah pasti segala yangdidambakan akan menjadi kenyataan. Apabila suasana kelas bersih dan ceria, pembelajaran akan menjadi menarik dan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan akan dapat dihasilkan, dan sudah pasti kecemerlangan pembejaran akan dapat dicapai. Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh, kebersihan dan keceriaan kelas merupakan penyumbang utama untuk kecemerlangan pelajar dan sekolah.


Hadirin sekalian,


Bahkan juga, unsur kebersihan dan keceriaan kelas terlaksana sudah pasti usaha untuk menceriakan sekolah juga akan mudah dilaksanakan oleh pentadbir sekolah. Soal kewangan sebenar tidak akan menjadi masalah sekiranya usaha sekolah untuk membudayakan kebersihan dan keceriaan sekolah dilaksanakan secara berterusan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Apabila asas kebersihan dan keceriaan telah diaplikasikan oleh warga sekolah mata dan telinga masyarakat sentiasa menjadi saksi dan masyarakat terutamanya ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bahkan juga wakil rakyat sendiri akan membantu untuk membantu sekolah menceriakan sekolah. Denyut nadi menceriakan sekolah bermula dari akar umbi iaitu pelajar, guru-guru, dan pentadbir sekolah Apabila suasana sekolah kondusif untuk pelajar, sudah pasti budaya hadir sekolah bersinar di hati dan minda pelajar, dan segala program kecemerlangan sekolah akan mudah dijalankan dan impak program akan maksima. Situasi ini akan menjana kecemerlangan pelajar dan sekolah. Program kecemerlangan sekolah juga bukan sahaja dijalankan pada waktu persekolahan, malah juga diadakan pada waktu cuti dan secara tidak langsung penglibatan guru untuk menjalankan program kecemerlangan juga mudah dijelmakan. Jelaslah, bahawa suasana kebersihan dan keceriaan sekolah  menyuburkan lagi suasana program kecemerlangan yang dianjurkan oleh pentadbir sekolah. Malahan juga, apabila kebersihan dan keceriaan sekolah jika diketahui umum, situasi berkenaan akan menjadi buah mulut masyarakat dan sesiapa sahaja yang mengunjungi sekolah berkenaan. Tidak mustahil, jika diadakan pertandingan kebersihan dan keceriaan di peringkat daerah, sudah pasti untuk mendapat tempat sebagai johan tidak akan menjadi masalah. Apabila sekolah berkenaan menjadi wakil daerah, kemungkinan besar akan ada budjet yang akan disumbangkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah untuk memastikan sekolah berkenaan akan mendapat tempat dalam pertandingan di peringkat negeri. Suasana berkenaan bagaikan bulan jatuh ke riba, dan warga sekolah akan mendapat durian runtuh atas hasil usaha yang mereka jalankan. Konklusinya, dengan kebersihan dan keceriaan sekolah, warga sekolah akan mendapat pelbagai impak samada kecemerlangan mahupun kerjasama masyarakat luar untuk tujuan mengaplikasikan usaha bermanfaat tersebut.

      Tuan puan sekalian,

               Seyogia, budaya kebersihan dan keceriaan yang diterap di sekolah amat besar ertinya kepada seorang pelajar kerana apabila budaya tersebut telah sebati dalam diri mereka, mereka akan mengaplikasinya di rumah. Oleh sebab itu, ibu bapa akan berasa teruja apabila anak-anak mereka mampu membantu mereka menjaga kebersihan dan keceriaan rumah. Tambahan pula, sebagai seorang abang atau kakak. adik-adik akan mengikuti budaya bersih dan ceria yang ditonjolkan oleh orang yang lebih tua daripada mereka kerana abang dan kakak merupakan suri teladan dalam kehidupan mereka. Sudah pasti suasana ini akan menanam semangat kerjasama dan akan mempermudah ibu bapa untuk melahirkan rumahtangga yang bahagia kerana rumahku syurgaku. Malahan, apabila dewasa dan telah mempunyai tanggungjawab sebagai nahkoda dalam kehidupan berumahtangga mereka pula akan menurunkan budaya berkenaan kepada anak-anak mereka. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya, kerana untuk mendidik seseorang perlu bermula ketika umur mereka muda lagi. Hal ini kerana, ibu bapalah yang bertanggungjawap mencorak kehidupan anak-anak mereka kerana anak-anak ibarat kain putih yang bersih, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencoraknya. Sebagai contoh, ibu bapa perlu cakna akan signifikannya budaya kebersihan dalam kehidupan anak-anaknya seperti menjaga kebersihan diri dengan menyuci tangan selepas makan, membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan, menyuci pinggan dan cawan yang digunakan selepas makan dan sentiasa menjaga kebersihan pakaian mereka di mana sahaja, samada di rumah atau sekolah. Bahkan juga, ibu bapa perlu memastikan anak-anak sentiasa menjaga keceriaan rumah, bilik tidur dan malahan susun atur kasut mereka tersusun kerana susun atur kasut mengambarkan disiplin penghuni rumah berkenaan. Namun, usaha berkenaan tidak akan beerti sekiranya ibu bapa sendiri tidak menunjukkan budaya bersih dan ceria kerana ibu bapa merupakan "role model" kepada anak anak dan elakkan seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus kerana bapa borek anak rintikTegasnya, kebersihan dan keceriaan yang diterapkan di sekolah amat besar ertinya kepada seorang pelajar kerana apabila budaya tersebut telah sebati dalam diri mereka, mereka akan mengaplikasi budaya bersih dan ceria setiap masa terutama samada di rumah atau untuk kecemerlangan hidup berumahtangga apabila mereka dewasa kelak.
       
           
                    
      Semoga anda berjaya menghasilkan karangan yang bermutu dan cemerlang.

    

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya ingin copy untuk jadikan contoh karangan daya untuk peperiksaan ya��

Unknown berkata...

Good

Unknown berkata...

terbaik ������

Tanpa Nama berkata...

Sngat memberi manfaat kpd orang lain.

Tanpa Nama berkata...

Sngat membantu